Tuesday, October 26, 2010

Penyakit Sempit


SUDAH agak lama aku tak berblog. Bukan melakukan gencatan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarahku semasa bulan puasa hari tu (hahaha), sebaliknya kesibukan bekerja terlalu merompak masa lapangku. Apa boleh buat. Banyak idea yang hendak dikongsi sama sebaliknya hilang terbang dibawa angin kesibukan.

Cuma hari ni aku melapangkan sedikit masa ekoran hati yang sarat melontarkan soalan. Semalam semasa bekerja dalam sembang, seorang pengarah muda (tak berapa nak muda sangatlah!) 'menyerang' aku dengan satu ayat yang mengandungi ketidakpuasan hatinya terhadap sikap suka mengkritik yang dilakukan oleh aku. Aku tak nafikan, sikap lantang aku dalam memberikan kritikan menyebabkan ada pihak yang kurang senang, panas punggung dan melabel aku dengan tuduhan-tuduhan seperti PESIMIS, PREJUDIS dan sebagainya. Aku terima dengan lapang dada. Pada aku kritikan adalah hak setiap orang. Mereka mengkritik aku yang suka mengkritik ni pun satu kritikan jugak dalam tak sedar mereka.

Jujurnya aku bilang di sini, setiap kali aku melontar buah kritik, aku langsung tak menyimpan niat untuk menjatuhkan sebaliknya aku mahu mereka cuba memberi peluang kepada mereka untuk menilai kembali adakah salah betul apa yang aku katakan. Aku mencari yang terbaik sebenarnya. Mahu industri ini membangun. Bukan mahu menjatuhkan.

Hanya kerana aku mengatakan tajuk sebuah filem ini gagal kerana tidak relevan dengan cerita, dia melontarkan kata-kata ini kepada aku ;

"N, kau tau tak yang kau ni adalah tipikal orang Melayu yang hanya tau dengki dan pandang rendah pada kejayaan hasil kerja orang lain dan hanya tau mengkritik sedangkan kau kena tengok kedudukan kau sendiri dulu dan apa yang kau ada!"

Sambungnya lagi (menariknya ayat ini aku pernah dengar dari mulut seorang pengarah yang cukup aktif bergelar Prof.) berbunyi begini ;

"Kau kena ambil kira macam mana rasanya duduk atas kerusi pengarah, ambil tau kesusahan di belakang tabir dan kekangan masa dan sebagainya baru kau layak mengkritik."

Reaksi aku? Senyum dan cakap begini pada dia ;

"Saya tak pernah terfikir nak jadi pengarah. Malah saya bercakap bukan sebagai penulis skrip pun. Saya bercakap dari sudut penonton yang tak faham kesinambungan tajuk dengan jalan cerita. Lebih dari tu, saya tak bayar sepuluh ringgit untuk ambil tahu apa masalah di belakang tabir."

Sebenarnya korang rasa macam mana? Adakah korang setuju bayar untuk masuk panggung dan menonton filem yang macam haram dan kemudian pergi ambil tahu apa masalah yang menyebabkan filem tu jadi macam haram? Aku bercakap tentang kualiti! Kualiti lakonan dan jalan cerita. Bukan yang mempamerkan unsur kekaguman semata-mata. Kalau ada, itu dikira bonus. Banyak kepincangan yang berlaku sekeliling aku dan adakah aku perlu membisu hanya kerana aku tak pernah berada dalam posisi pengarah? Adakah seorang pengarah sahaja yang layak memberi komen dan kritikan? Atau macam mana?

Aku jadi tak faham dengan pemikiran sesetengah orang. Diberi peluang untuk mengarah sebuah filem, dengan belanja yang besar tentunya, adakah kau tak teringin yang berikan yang terbaik? Aku tak bercakap tentang kereta meletup sana sini sampai kau perlu alasan bajet tak cukup sebab tu tak boleh berikan yang terbaik. Aku bercakap tentang jalan cerita yang bisa membikin jantung kau jadi berdetup detap, teruja dan memuaskan rasa. KUALITI? Agak-agaknya masa sekolah dulu kau belajar tak makna perkataan ni?

Aku tak marah. Langsung tidak. Tapi aku jadi simpati. Kasihan pada pemikiran yang begitu sempit, sesempit kerusi pengarah yang kau duduk tu. Sesempit monitor yang kau hadap tu. Cuba bangun berdiri dan pandang dunia seluruhnya, lalu aku kira kau akan mengerti. Aku jadi teringat pada kajian seorang doktor @ saintis (aku dah tak ingat) terhadap otak orang Asia. Statistik menunjukkan otak orang Asia kekal cantik dan elok di mana ia menunjukkan tahap berfikir yang rendah dan kekurangan dalam menggunakan keseluruhan kemampuan otak.

Hmm... aku rasa kajian tu tepat, maksud aku untuk sesetengah orang! Ops!