Thursday, September 20, 2012

Aku Terima Nikahnya


JANGAN salah faham, aku bukan nak promote filem antara yang terbaharu dari MiG. Sebaliknya, saja nak buat curhat. Kawan-kawan tahu apa itu curhat? Huhuhu. Kalau cerpen adalah singkatan daripada 'Cerita Pendek' maka curhat adalah singkatan daripada 'Curahan Hati'. Huhuhu. Aku rasa ramai kawan-kawan yang tahu, sajalah aku nak buat sibuk terangkan. ;p

Aku terima nikahnya.

Adalah satu ungkapan yang selalu mendatangkan emosi kepada aku. Malangnya, aku adalah antara wanita tipikal yang selalu menangis pada majlis pernikahan. Saat pengantin lelaki menjabat tangan kadi, atau wali (bapa pengantin perempuan), dada aku akan mula sebak. Bila pengantin lelaki menjawab;

"Aku terima nikahnya..."

Mata aku akan mula bergenang air. Lalu pada ketika doa dibacakan dan upacara membatalkan air sembahyang berlangsung, aku langsung termenangis. Huhuhu. Tipikal! Sebenarnya itulah antara sebab kenapa secara jujurnya aku akan mengelak dari menghadiri majlis nikah. Kali akhir, aku menyaksikan pernikahan Kak Ct Nazariah. Selepas tu, tak ada lagi. Aku selalu membayangkan sebuah majlis pernikahan yang sangat sederhana dan ringkas. Hanya majlis akad nikah dan kenduri doa selamat. Alangkah indahnya majlis pernikahan yang seperti ini. Tak ada beban hutang, tak ada beban bergolok gadai, tak ada rasa susah dan tak ikhlas kerana terpaksa mengumpul duit banyak-banyak untuk dihabiskan demi membuat majlis besar-besaran. Bagi mereka yang memang mampu dan teringin buat majlis yang besar dan meriah, itu tak apa. Hak mereka. Tak ada salahnya. Maksud aku, bagi orang macam aku. Rasa tak adil nak buat majlis besar-besar sedangkan apa yang aku impikan adalah sangat ringkas, mudah dan sederhana. Sesuai dengan apa yang wajib dalam agama. Islam itu mudah. Penuh dengan sederhana. Adat yang selalunya berlebih-lebih. Hurm... Sebuah pengakuan ikhlas yang ingin aku rakamkan di sini ialah, aku sangat menyukai pernikahan.

Sejak kecil, aku selalu berangan menjadi pengantin dan ibu. Aku suka pakai kebaya cantik-cantik dan mekap, secara curi-curi dalam bilik dan berangan. Aku hias tudung saji yang mak buang jadi katil baby dan pakaikan teddy bear aku dengan baju-baju aku semasa bayi. Mak masih simpan baju, napkin (dulu pampers takde), pin, bekas bedak, botol susu, mosquito net dan macam-macam lagi barangan kami empat beradik semasa bayi. Tu yang aku suka sangat selongkar dan buat main. Biarlah aku jelaskan kat sini, aku berangan jadi pengantin dan ada anak ni bukan sebab aku miang, gatal dan tak sabar sangat nak kahwin. Tapi sebab aku memang sangat suka perasaannya.

Perkahwinan pertama yang masih aku ingati adalah perkahwinan kakak sepupu aku, cik Nor Asma yang cantik bersama suaminya Abang Wan. Masa tu aku dalam darjah 4 atau 5 gitulah. Aku ingat sebab semua persiapan berlangsung kat rumah aku. Senyap-senyap, banyak kali aku try baju pengantin dia. Hahaha. Tak senonoh betul, kan? Aku selalu membayangkan, seronoknya kalau dah kahwin dan ada anak. Sebab?

Hurm... kadang-kadang bila aku penat sangat dengan kerja-kerja di pejabat, aku selalu membayangkan, seronoknya kalau balik kerja nanti ada orang jemput. Balik rumah pulak tengok muka anak-anak yang ada 1001 macam ragam. Rumahtangga, suami dan anak-anak adalah suatu kurniaan yang sangat hebat. Ia memungkinkan segala macam perasaan.

Sekarang aku berusia 25 tahun 10 bulan dan masih belum bernikah. Huhuhu. Rasanya sangat ironi, kan? Iyalah, bagi seorang yang begitu sukakan institusi pernikahan, usia aku rasanya sudah jauh dari had kelayakan. Hahaha. Apa boleh buat. Dalam hidup ni kita memang tak boleh dapat semua benda yang kita impikan. Untuk aku, memang segala-galanya tak datang dengan mudah. Aku perlu berjuang dalam mendapatkan apa yang aku mahu. Tak mengapa. Itu suratan buat aku dan aku terima dengan redha dan sabar. Jodoh setiap orang berbeda. Ada yang perlu menunggu 12 tahun, baru dapat bersatu. Ada yang sepanjang hayat tak bertemu jodoh. Ada yang berjumpa 30 minit pun dah boleh berjodoh. Ada orang dipermudahkan perjalanan hasratnya. Ada yang terlalu payah. Barangkali itulah dugaan. Menguji kesabaran. Hei, apalah hidup tanpa cabaran dan perjuangan? ^_^

Aku bukan manusia maksum. Kesabaran dan keredhaan aku bukan 100% sempurna. Masih ada khilafnya. Terkadang aku mengeluh. Terkadang aku berasa sedih, hampa dan kecewa. Tapi tak mengapa. Aku pujuk diri sendiri. Barangkali kesusahan hari ini akan mendatangkan bahagia pada hari depan. InsyaAllah. RABB takkan menduga hamba-Nya lebih daripada apa yang mampu ditanggung. Itu aku yakin benar. Setiap hari aku berdoa semoga ALLAH SWT akan membukakan hati dan melembutkan jiwa. Amin.

Adikku yang tersayang bakal melangsungkan pertunangan bersama pilihan hatinya pada Hari Raya Iduladha bulan depan, dan bakal melangsungkan pernikahan pada bulan 3 tahun depan, insyaAllah. Padanya aku titipkan doa dan restu setinggi langit. Semoga mereka berdua dipanjangkan jodoh, saling melengkapi dan membahagiakan lalu beroleh cahaya mata belahan jiwa dan menghilangkan duka. Amin. Semoga adikku akan berbahagia sehingga ke pintu syurga. Aku amat menyayanginya. Dia adikku yang paling membuat aku berasa erat.

Aku sedar, aku bukan macam sesetengah orang yang sentiasa meluahkan rasa kasih mereka terhadap keluarga tercinta. Tapi, dalam hati jiwa aku, tiada insan dalam dunia ni yang aku kasihi lebih daripada keluargaku. Aku memang tak pandai menunjukkan rasa. Itu sama sekali tak bererti rasa itu tak ada. Ia sentiasa ada, sentiasa harum dan subur mewangi. 

Kadang-kala bila kita senyum, itu tak bererti hati kita juga tersenyum. Barangkali ia sedang menangis. Bukan hipokrit. Cuma terkadang kepalsuan itu perlu untuk menggembirakan hati orang lain. Lebih-lebih lagi orang lain itu adalah orang yang kita sayang. Ada orang kelihatan sangat tabah, keras, tegas, bersikap tak peduli, tapi rupa-rupanya di dalam, dia sedang rapuh dan lemah, barangkali sedang runtuh. Siapa tahu hati orang?

Barangkali juga aku perlu menunggu lama lagi untuk mendengar kalimah aku 'terima nikahnya' ini. Tak mengapa. Aku tak kisah menunggu, asalkan penantian itu bermakna. Aku adalah wanita yang rela mempertaruhkan seluruh jiwa rasa demi cinta yang berbaloi. InsyaAllah. Huhuhu, bunyinya macam emo, kan? Tapi itulah aku yang sebenarnya. Aku tak mampu berbohong dengan mengatakan 'tidak', sedangkan hati aku berlagu 'ya'. Demi rasa, aku percaya aku akan bahagia. Amin.

Kita hanya merancang, tapi Tuhan yang akan menentukan. Sabar dan redha. Itulah kunci yang aku pegang dengan kukuh. Aku percaya, Tuhan tak akan mengubah nasib aku melainkan aku sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. RABB akan memberi sebanyak mana yang aku berhak dapat. Aku percaya. 

Demi kasih sayang Tuhan, akulah hamba yang sedang berjuang untuk bahagia.

Nota tangan : Selamat pengantin baru, Kak Nadd! Wah, berserinya pengantin! ;)

2 comments:

  1. N, janganlah gitu. setiap kali N cerita hal2 cenggini, musti akak rasa sedey sket..sket je la, hehhehe.

    tapi spi sekarang masih lagi tak caya yg pernikahan akak ialah pernikahan last N pnh tgk..huhu. (BANGGA sbnrnya sb nama akak ada kat situ, lalla)

    taperlah N, Allah nak duga kita nih macam2. mungkin nak spi ke jinjang pelamin tu N kena amik jalan liku2 sket. besalah, lagipun N pun bukan jenis suka berjalan lurus kan, adventure je di sepanjang perjalanan. jadi ni lah masanya nak buktikan betapa kuatnya N.

    nanti kalau ada rezeki kita jumpa ek. kita gi tgk jiha. kita gi bagi adiah kat pengantin baru, kak nad. lepak makan mekdi...huhuhu. banyak sungguh pasang niat nih...hehhe

    ReplyDelete
  2. Huhuhu,
    Jangan risau, kak
    InsyaAllah N akan bertabah.
    Setiap perkara yang berlaku mesti ada rahsia dan hikmahnya, kan?
    Trimas akak sebab sentiasa menyokong!
    Amat dihargai sangat2.
    Huhuhu... ^_^

    Betul!
    Majlis nikah akak memang last N tengok.
    Kalau majlis sanding banyak.
    Nikah ni ada satu value yang sentimental.
    Amat bermakna.

    Beres2.
    Nanti akak balik sini, kita settlekan semua tu.
    Gi melawat jiha (hadiff da makin lasak!)
    Bagi hadiah kat pengantin (^_^)
    dan makan mekdi!

    Luv u, kak. :*

    ReplyDelete