Wednesday, December 21, 2011

Dandelion [Part 4]



DARI celahan daun pintu, Nyx hanya setia memerhatikan gerak laku Wulan yang serba tak kena di dalam kamarnya. Nyx tahu segalanya. Nyx tahu isi hati Wulan yang hebat bergelora. Nyx juga tahu makan malam kelmarin tidak berjalan seperti mana yang direncana. Buktinya, kristal berbentuk hati yang sepatutnya bertukar tangan masih utuh di atas meja yang berukir indah. Nyx spontan mengeluh.

Perlahan dia berlalu membawa sebeban pakaian untuk di cuci di telaga. Sesampainya di telaga, dalam keluh kesah hatinya yang gundah, Nyx terus setia menyudahkan kerja-kerjanya. Pada ketika timba keempat diangkat dari telaga, Nyx mendengar dirinya disapa orang. Dalam terkejut dia berkalih, timba terlepas ke dalam perigi. Sepantas itu juga sepasang tangan kekar yang berurat gagah mencapai timba dari terhumban ke dasar perigi. Nyx berkalih memandang sang pemilik timba. Seakan kaku apabila mendapati wajah tampan Gisher mengisi ruang.

"Apa mahumu?"

Dalam getar dia bersuara. Gisher memandang Nyx, penuh gelisah. Dia memberikan isyarat mahu berbicara. Nyx memandang kiri dan kanan. Sejurus dia membawa diri ke suatu sudut terpencil sambil diikuti oleh Gisher yang juga begitu berhati-hati menyusun gerak.

"Aku sudah menetapkan hatiku. Ya, jantungku juga sedang berdetak menarikan rentak yang sama dengan sang puteri..."

Nyx terpana, memaku tepat pandangannya kepada Gisher. Seketika kemudian bibirnya terukir senyum manis. Sukmanya seakan dituruni salji dingin. Kelegaan mengisi ruang.

"Apakah aku sudah terlewat? Apakah sang puteri sudah bertunang dengan pangeran dari selatan itu?"

Baur gelisah yang membusung dalam nada yang dituturkan Gisher menyebabkan Nyx tambah yakin dengan pengakuan pemuda itu. Nyx cuba menerangkan dengan seringkas mungkin rentetan yang sedang berlaku. Sementara itu dia langsung meminta diri untuk mengkhabarkan warita itu kepada Wulan. Selepas berjanji, Gisher melepaskan dia pergi.

Dalam mengah yang bersisa, Nyx spontan rebah di kaki Wulan. Dia sungguh tidak lagi menaruh sabar untuk memberitahu Wulan apa yang baru sahaja terjadi. Namun baru sahaja Nyx mahu membuka mulut, sapaan dari satu suara asing langsung membisukan dia. Nyx bangun lalu tunduk hormat lalu membawa diri ke tepi. Sang Bangsawan ayahanda kepada Wulan sedang berdiri di hadapannya sambil diiringi oleh Enu Juarsa. Sang Bangsawan berdehem lembut.

"Khabar apakah yang dibawakan sehingga begini teruja?"

Wajah Nyx segera dihinggap peluh. Wulan langsung pucat, dia seakan dapat menebak. Dalam tergagap Nyx memberi alasan, musim bunga akan tiba. Enu Juarsa terus ketawa menyebabkan Sang Bangsawan sama terhibur. Helah Nyx berkesan.

"Baiklah, cukup kita bersenda. Anakanda, ayahanda harap anakanda akan mula membuat persiapan. Kita tidak punya banyak masa."

Dengan kata-kata itu, Sang Bangsawan dan Enu Juarsa berlalu dari kamar Wulan. Enu Juarsa sempat menjual senyum manis buat Wulan sebelum batang tubuhnya lenyap ditelan muka pintu. Wulan lalu mengesak tangis. Nyx segera faham. Hatinya mula berbelah bahagi sama ada mahu memberitahu khabar gembira sebentar tadi atau dia. Dia tahu jodoh Wulan dan Enu Juarsa sudah rasmi diputuskan kini. Melihatkan esak tangis Wulan yang menghiba menyebabkan Nyx sedar yang dia perlu jujur.

"Gisher sudah menyambut tangan yang tuanku hulurkan!"

Wulan mengangkat muka. Tangisannya tiba-tiba terhenti. Ada sedikit kejernihan, cahaya muncul tiba-tiba menyerikan wajahnya. Wulan bangun mendapatkan Nyx.

"Kau berkata benar?"

"Patik tak mungkin berbohong!"

"Oh!"

Wulan terlalu gembira. Dia menari-nari di dalam kamar. Tangannya sempat mencapai ukiran kristal. Hatinya terlalu dibuai. Seketika kemudian Wulan jadi tersedar. Dia resah. Tiba-tiba sahaja diraihnya palma tangan Nyx lalu membenamkan kristal berbentuk hati di situ. Dia sempat membaca riak keliru yang berlari-lari di wajah Nyx.

"Kau sampaikan ini kepadanya. Katakan padanya dia harus membawa aku pergi pada hari perkahwinanku nanti. Jangan tidak! Atau aku sendiri akan menghumbankan diriku ke dalam Jurang Agam!"

Nyx langsung terkedu,

"Pergi sekarang!"

Monday, December 19, 2011

Aku Nak Merepek Sikit, Boleh?

(Ehsan Google)

AKU terkesan sedikit apabila membaca 'surat' yang ditujukan oleh salah seorang daripada rakan belajar, pernah jadi rakan sekerja dan kini rakan se'FB' aku kepada salah seorang mereka yang bergelar Sasterawan Negara. Aku terkesan bukan apa. Aku merasa ada sedikit ralat dalam motifnya menulis surat yang demikian. Aku sedar yang dia punya hak untuk meluah keluh kesah tentang apa yang dirasakan membarah di dalam hatinya. Namun malang, haknya itu tanpa sengaja aku pandang sepi kerana aku kurang bersetuju dengan tulisannya. Biasalah, akukan memang suka mencari pasal!

Si kawan 'SZ', aku tahu niat kau suci murni. Aku tahu kau mahukan sasterawan kau kembali ke pokok pangkal yang kau senangi. Aku juga tahu yang kau tak mahu sasterawan mu itu ke kanan atau ke kiri. Kau mahu beliau berdiri di hadapan, dengan mata penanya yang lebih tajam dari pedang, membelah segala kepincangan dan ketidak adilan. Benar usaha kau itu, tidak sama sekali aku tidakkan.

Tapi sedarkah engkau, bahawa tiap-tiap orang yang lahir di muka bumi ini di bekalkan tuhan dengan akal fikir dan suara hati. Akal dan hati inilah yang membuatkan seseorang itu memiliki prinsip yang berbeda di dalam hidup mereka. Kau tak boleh nak suruh atau paksa seseorang itu mengikut jalan yang kau pilih hanya kerana kau merasakan jalan itu paling benar. Hanya di atas tiket dia seorang sasterawan negara yang terkenal, maka kau merasa dia bertanggungjawab mempertimbangankan permintaan dari kau, salah seorang dari ribuan atau mungkin jutaan penyanjungnya.

Sedarkah kau, mungkin, dalam jutaan penyanjungnya itu lebih ramai yang mahukan dia meneruskan perjuangannya pada hari ini? Wajarkah dia menidakkan prinsip hati dan moralnya untuk mempertimbangkan permintaan kau? Katamu begini ;

"Saya hanya pencari nadi tulisan mata besi biasa, yang mampu tajamkan jiwa - bukan yang mampu tumpulkan kuasa"

Aku petik pula kata-kata dari seorang lagi sasterawan negara yang terlalu aku kagumi ;

"Seseorang hanya layak dipanggil penulis apabila berani menyatakan sikap!"

Aku kurang mengerti. Mengapa kau merasakan perjuangan beliau ini bukan untuk kita? Mengapa kau merasakan perjuangan beliau ini hanya demi dakyah politik dan hanya mengambil tahu soal pemimpin politik-politik yang semakin kotor dan busuk ini? Tidakkah kau sedar, ini adalah perjuangan rakyat? Perjuangan sang pencari kebenaran yang mahukan kita hidup dalam hak kita sebagai rakyat! Kita mahu berfikir. Kita tidak mahu diperkuda dan dibodohkan oleh kejumudan.

Aku menulis ini bukan kerana aku anti kerajaan. Aku juga tidak menulis ini kerana aku pro pembangkang. Aku tak pilih mana-mana pihak. Ke kanan tidak, ke kiri pun bukan! Aku berada di tengah-tengah, berdiri di atas angin dan hanya menelaah satu sandiwara demi satu sandiwara. Tonil ini benar-benar lucu, kau tahu? Itulah magisnya akal. Itulah manisnya meneliti perjuangan para sasterawan ini. Kau harus belajar melihat dunia dengan cara ia tidak selalu dilihat dan bukannya bagaimana ia mahu dilihat. Kau harus bijak mencari memaknakan metafora dan parodi masyarakat.

Kau harus!

Jadi buat aku, suratmu kau simpan saja sehingga kau benar-benar memahami dirimu sendiri.

Sunday, December 18, 2011

Kawan... Apa Ertinya Sahabat?

Kau

AKU cuma hendak mendedikasikan entri ini buat seorang yang kalau dia baca ini dia akan tau siapa dia.

Dia;

- kau pernah berada di sisi aku setiap kali aku gembira
- kau pernah berada di sisi aku setiap kali aku bersedih
- kau pernah sentiasa dekat di hati aku setiap kali jasad kita jauh
- kau berada bersama aku dalam keadaan yang paling teruk
- kau bersama aku dalam keadaan paling terbaek
- kau dan aku pernah berkongsi cerita ria
- kau dan aku juga pernah berkongsi cerita duka
- kau simpan rahsia aku
- kau curahkan rahsia hati kau pada aku
- kau berjanji akan kekal selamanya bersama aku
- kau sangat ceria dan aku sangat pemurung
- kau sangat positif dan aku sangat negatif
- kau ada melengkapi aku dan aku melengkapi kau
- kau suka coklat dan aku suka vanila
- kau suka pepsi dan aku suka coke
- kau suka biru dan aku suka merah
- kau suka doraemon dan aku suka jack skellington
- kau kelihatan kebudak-budakkan dan aku tahu yang kau sangat matang

Kita sangat berbeza dan dalam perbezaan itu kita sangat serupa. Kita sama-sama keras hati, degil, baran, pemarah, suka kfc, tegas, anak kedua dan lain-lain. Kita pernah melalui hampir semuanya dalam hidup. Kita pernah membina impian dan harapan yang sangat indah suatu masa dahulu. Untuk tempoh hampir 6 tahun mengenali kau, aku pernah rasa gembira sangat dengan kau, aku juga pernah rasa geram, sakit hati dan marah sangat dengan kau. Aku minta maaf kalau aku bukan yang terbaek untuk kau. Aku manusia yang sarat dengan tidak sempurna. Hubungan kita tak pernah berantakan kerana aku tak pernah meluahkan dan berkira dan kau tak pernah besar-besarkan cerita. Dalam diam kita saling memahami, saling mengerti dan saling melengkapi. Aku cuma nak cakap ni dengan kau ;

Terima kaseh sebab ada dalam hidup aku. Aku sangat sayang kau dan aku berdoa kau akan terus ada.

Kau comel dan aku sayang kau.

^_^

Thursday, December 8, 2011

Dandelion [Part 3]



SANG PURNAMA seakan terlukis penuh di dada langit menyebabkan malam menjadi terlalu berseri-seri. Sukar untuk disusunkan ke dalam bentuk kata-kata demi menggambarkan keindahannya. Namun sayang, suasana yang demikian menyihir seluruh inderia itu masih tumpas untuk mengukirkan sebaris senyuman di bibir milik Wulan.

Keraian makan malam yang sepatutnya girang dengan tawa sebaliknya bertukar sepi dan penuh dengan kesuraman.

Enu Juarsa terusan menyuap hirisan kambing panggang ke dalam mulut, mengunyahnya perlahan lalu menelannya sopan. Sesekali palma tangan menggenggam gelas berkaki lalu mencicip jus peraman anggur yang terisi di dalamnya. Usai dengan itu, Enu Juarsa kembali menyuap hirisan kambing panggang. Hanya sesekali dia berkalih mencuri pandang pada seraut wajah muram di hadapannya. Wulan terusan tunduk. Hidangan yang cukup menyelerakan itu sekadar dikuis-kuis.

Enu Juarsa berdehem lembut.

Wulan spontan mengangkat muka. Bertentang pandang dengan pria pangeran yang terlihat gagah dan penuh dengan ciri kelelakian. Spontan juga wajah Gisher sekilas mengisi ruang. Wulan lantas tertunduk kembali. Terasa sarat jiwa dengan rasa kelam, terlanjur dia melepaskan keluhan. Langsung menarik perhatian Enu Juarsa. Pria itu tersenyum sedikit.

"Apakah kedatangan kita ini cabul dan tidak menyenangkan hati sang puteri?"

Ternyata Enu Juarsa bijak membaca bahasa tubuh Wulan. Gadis bangsawan itu nyaris berderai air mata mendengarkan bicara tulus sang pangeran. Nyalinya lekas tersentuh. Adakah mencintai Gisher satu dosa? Mengapa dia sedang merasa begitu terhukum?

"Bicaralah. Kalau ada khilaf kita, mohor dikhabarkan. Kalau tak sudi menyambut tangan yang kita hulurkan, jujurlah. Jadi kita tahu dan dapat berundur diri secara baik..."

Perlahan hati Wulan merasa terpujuk. Entah kenapa Enu Juarsa seakan mempunyai magis. Kata-kata seperti mencair di bibirnya. Wulan mula mengangkat muka. Merenung mata bening milik Enu Juarsa yang sedang lembut menunaki wajahnya. Ah, mata itu seperti kolam pada waktu malam! Penuh dan indah. Merasa tewas, Wulan langsung berdiri dan menghantarkan tubuhnya ke muka jendela. Melepaskan segala gundah di situ. Enu Juarsa berdiri, sekadar mengikut rentak.

Buat Enu Juarsa, qalbinya sudah disentuh. Pertama kali terlihat wajah anggun milik Wulan, dia sudah ditewaskan rasa. Menggunung harapnya agar pinangannya diterima. Dia mahu menjadikan puteri itu sebagai surinya yang satu.

"Mengapa belayar merentas samudera dan segala macam bahaya demi menghulurkan tangan pada kita? Tidak adakah kuntum bunga yang mekar di Selatan?"

Kata-kata yang berbaur emosi itu dihadam baik oleh Enu Juarsa. Spontan bibirnya mengukir senyum lagi. Rupanya sang puteri benar tidak menyenangi dirinya.

"Banyak kuntum bunga yang mekar di Selatan. Bukan sahaja indah berwarna-warni tetapi harum juga baunya menyerbak suasana."

Wulan mengetap bibir, namun mengunci bicara.

"Namun entah kenapa sang bunga yang jauh ini telah muncul di dalam mimpi kita. Bunga yang lampau beda indah dan harumnya. Kita bagaikan disihir dengan haruman yang demikian memukau inderia, juga kita bagaikan terpenjara dengan indahnya warna yang terukir di kelopak sang bunga. Walaupun berduri, kita tetap sanggup melukakan jemari demi memetiknya. Kalaupun...."

Cukup! Wulan berpaling menentang mata Enu Juarsa dengan tajam. Tentangan itu langsung mendiamkan kata-kata manis yang sedang mengapung di udara sebentar tadi.

***

Sementara itu Gisher sedang gelisah di pembaringannya. Selalunya di kala malam sudah merangkak gelap begini, Gisher sudah lena didakap mimpi. Letih badannya bukan main. Kerja-kerjanya di kala siang, beratnya bukan mainan. Namun malam ini sama sekali beda dengan malam-malam yang lain. Dia merasa sungguh gelisah. Kunjungan Nyx membawa 1001 persoalan.

Gisher bangun, melontar dirinya ke depan cermin kaca. Refleksi yang terhasil sungguh tidak sempurna ekoran permukaan cermin yang uzur dan retak berbalam di sana sini. Itu cerminan dirinya yang sebenar ; serba daif.

'Ah, masakan langit dan bumi bersatu!'

Suara hatinya membentak. Gisher masih bercermin. Ya, secara fizikalnya dia memang laki-laki yang sempurna. Tubuhnya sasa, ekoran kerja-kerja yang dibikinnya. Malah rupanya ada. Dibikin elok oleh Tuhan. Tidak cacat. Cuma kulit sahaja yang legam, warisan dari leluhurnya. Secara jujur, memang tidak cocok, tidak padan dengan Wulan. Anak gadis bangsawan itu tidak memiliki kejelitaan yang berlebih-lebih sebenarnya. Tetapi dia sarat dengan kemanisan. Umpama bulan. Anggun.

'Adakah aku suka padanya?'

Sang hati masih berbisik. Gisher memejamkan kelopak mata. Mengharapkan malam akan memberikan jawapan. Sayangnya angin terus bisu... sebisu rasa yang membeku.

Dan di dalam kamar makan istana, kebisuan terus mengisi ruang di antara Wulan dan Enu Juarsa. Ternyata sunyi lebih mengisi ruang.

Sepi.