Wednesday, July 23, 2014

Eid Mubarak 1435H


ASSALAMUALAIKUM. Apa khabar semua? Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada di dalam rahmat kaseh sayang ALLAH SWT. Alangkah indahnya Ramadhan. Bulan penuh barakah yang membawa jiwa kita pulang ke pangkuan Yang Maha Esa. Jika waktu dalam susuk anak kecil dahulu, semestinya Syawal yang dinanti dengan penuh bahagia. Namun, dalam usia yang semakin ranum ini, sudah pastilah Ramadhan yang terasa enggan dilepaskan. Keindahan Ramadhan terlalu menghiasi jiwa, sehingga hati cukup sayu mengenangkan ia hanya berbaki lagi sedikit hari.

:(

Hidup ini ibarat putaran roda. Setiap yang datang, pasti akan pergi. Demikian Ramadhan yang singgah bakal berlalu dalam sedikit waktu lagi. Ya, ALLAH SWT telah menghadiahkan seluruh hamba-NYA dengan Syawal yang meriah untuk kita meraikan kemenangan. Kalau tahun-tahun sudah, nafsu cukup menggebu-gebu untuk membeli-belah. Shopping raya katanya! Bila dikenang-kenang, malu pula rasanya. Kita meraikan Syawal lebih daripada kita menikmati Ramadhan. Mahu berbaju, berkasut dan perhiasan yang serba baru, semua yang mewah ni sepadankah dengan amalan kita semasa Ramadhan? Sudah berapa kali kita khatam al-Quran sepanjang Ramadhan? Cukupkah ibadat wajib dan sunat kita? Cukupkah tarawih kita? Adakah kita meraikan malam-malam Ramadhan dengan tahajud dan qiamullail? Terjagakah adap dan sikap kita dalam berpuasa? Sudahkah kita sujud dan bertaubat kepada-NYA atas dosa-dosa kita?

Kalau jawapannya tidak, tak rasa malukah kita dengan persiapan beria-ia yang kita lakukan untuk menyambut Syawal? Jujur aku katakan, aku terlalu malu. Aku sendiri masih terlalu kurang dalam usaha untuk merebut rahmat dan redha ILAHI. Lantaran kerana kelemahan diri inilah, cukup Syawal tahun ini aku raikan dengan seadanya sahaja. Memadailah mengisi Syawal dengan menjaga hubungan baik sesama manusia. Bermaaf-maafan atas kesalahan diri dengan seikhlas hati dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim di antara kita semua. Semoga ukhwah kita akan berkekalan teguh dan penuh harmoni.

Alangkah indah dan kuatkan umat Islam andai kita semua bersatu teguh dan saling harmoni.

Buat semua yang mengenali diri ini, aku ingin menyusun 10 jari dan meminta maaf dengan setulus hati. Maafkanlah jika ada salah dan silap dalam perbuatan dan perkataan aku yang ada menyentuh hati kalian. Halalkanlah andai ada yang aku terminum, termakan dan terguna daripada harta kalian. Semoga Syawal yang bakal tiba ini membawa 1001 kebahagiaan dan kegembiraan di dalam kehidupan kita semua.

Amin.

Salam idul fitri daripada hati yang penuh rasa kaseh. (^_^)

No comments:

Post a Comment