Sunday, August 15, 2010

Diari Ramadhan ( II )

HARI ini sungguh penat! Sudahlah bersahur dengan air suam + kurma sahaja, sepanjang tengah hari sampai ke petang pula merayau sekitar 'Kolumpo'. Huhuhu... letih campur seronok sebenarnya. Dah tak lama tak berjalan ke mari dengan Mimie. Sedangkan semasa menuntut dulu, hampir setiap hari kami menjejak ke sini. Berjalan dengan Mimie seakan menelusuri kembali suatu kehidupan yang telah pun tertinggal di dalam relung masa yang telah berlalu... ada secebis sendu di situ. Namun aku sungguh bersyukur kepada RABB kerana ehsan-NYA memelihara hubungan aku dan Mimie sehingga ke hari ini. Alhamdulillah...

Mulanya kami ke Putra, mencari tiket untuk berpulang ke Terengganu kelak. Syukur sungguh, masih ada tiketnya! Tak kiralah tiket tu adalah untuk bas dua tingkat yang cukup aku tak gemar, tak kiralah tiket tu bertarikh malam raya di mana aku akan sampai ke kampung pada hening pagi Syawal yang indah... selaut syukur aku panjatkan kerana berpeluang beraya bersama keluarga. Rindu sungguh rasa hati. Destinasi seterusnya kami merayau ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Wah, seronok sungguh mencuci mata! Dalam beringat nak intai2 sahaja dan membeli kemudian selepas dapat gaji, masih sempat aku sambar sepasang baju kurung berwarna biru putih. Huhuhu... cadangnya tahun ni nak kebaya merah dan baju kurung kuning. Lain pulak jadinya. Kebaya merah cancel! Nak cari baju kurung kuning je lepas dapat gaji nanti.

Sudah tu, aku mengenang dua berita baik... satu, sahabat baik zaman sekolahku yang baru sahaja menyandang status isteri pada bulan 3 yang lalu, alhamdulillah! Bakal menyandang gelaran ibu pula. Segala puji2 pada ALLAH yang melimpahkan rezeki dan khabar gembira kepada hamba2-NYA... keduanya, sahabat zaman di akademi (tentu sahaja keduanya masih sahabat sehingga ke hari ini) pula bakal melangsungkan hari bahagianya selepas raya ni. Nak jadi isteri orang sudah sahabat aku yang manja dan degil ni! Huhuhu... aku sedang mendoakan yang baik2 untuk kalian.

Buat Mimi Aima Mamat yang bakal menjadi seorang ibu dan Nurjihadah Baharuddin yang bakal menjadi seorang isteri, berkat bulan yang mulia ni, semoga kalian dilimpahi rahmat. Selamat menjadi ibu dan isteri yang baik dan membahagiakan keluarga baru kalian. Amin...! (^_^)
ALLAH
Tuhan yang sarat dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim
KAU saratkanlah pula hati kami dengan cinta yang tiada musim surutnya
Kasih yang tiada musih luruhnya
Kesetiaan dan kejujuran yang mekar laksana musim bunga
Kami memohon dengan penuh kerendahan jiwa seorang hamba
RABB
Kau ikatkanlah ijab kabul Haniff dan Nurjihadah ini
Agar terpatri abadi
Mekar harumannya hakiki
Menyihir inderia dengan kasturi musim semi
Sehingga KAU menjemput kami kembali

RABB
Tuhan yang sarat dengan Al-Khaliq dan Al-Muhyi
Telah KAU perkenankan wujud suatu jasad yang berasal dari setitis air
KAU limpahkan suci kasih-MU
KAU hadiahkan gembira yang tiada tara buat seorang bonda
Dengan penuh rasa malu kami meminta
KAU selamatkanlah sembilan bulan ini
Perkenankanlah pula kelahiran yang teristimewa sesudahnya
Buat zuriat yang halal
Sang cahaya mata belahan jiwa yang menghilang duka
Amin... Ya, RABB

Thursday, August 12, 2010

Diari Ramadhan


HARI ni menu bersahur up sikit! Lima biji kurma+secawan nestum+dua gelas air suam= erk, alhamdulillah! Lepas subuh, aku 'membungkang' balik! Hahaha... apalagikan? Tapi pukul 8 dah bangun balik pasal jadual kerja sepanjang bulan puasa ni bermula 8.30pg-5.30ptg (tapi semalam balik dekat pukul 7 jugak. Apa boleh buat... kerja, kerja, kerja!) Mimpi ngeri aku dengan Epilog Syurga Cinta dah berakhir. Berjaya juga kami (panel MIG : Aku & Mimie) menyudahkan skrip yang bercelaru tu dengan persetujuan bos. Kepala pun dah ringan sikit. Huhuhu... sekarang fokus nak menyiapkan Jangan Pandang Belakang Congkak : The Series pula. Dah jadi trend untuk membawa filem ke dalam bentuk drama.

Bulan2 puasa ni, pejabat pun senyap sunyi sahaja. Masing2 menayang muka monyok dan mengantuk (termasuklah aku!) Selalunya riuh heboh! Ada je benda yang boleh dijadikan bahan mengusik dan ketawa.

Berbuka satgi cadangnya nak masak. Tapi Mimie dah merengek2 menarik aku ke Bazar Ramadhan. Aku bukan apa, malas nak ke sana pasal bajet aku confirm lari! Aku ni bukan boleh tengok aneka juadah depan mata. Mulalah itu nak, ini nak! huhuhuhu... Tapi juadah yang aku rasa nak beli untuk berbuka ini ialah, nasi putih + ayam goreng + kuah gulai + telur masin + air kelapa + buah melaka= pergh! confirm kenyang gila! Hahaha...

Oklah, aku ucapkan selamat berbuka puasa kepada semua! (^_^)

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Kali Ini...


KLISENYA kita akan mendengar ayat ini, sedar tak sedar Ramadhan datang lagi. Huhuhu... itu adalah realiti jujurnya. Sekejap saja masa berlalu... telah kembali bulan penuh barkah ini kepada kita. Sejak aku melangkah keluar dari rumah kedua orang tua kira-kira 6 tahun yang lalu, aku menjalani Ramadhan yang sungguh sepi sebenarnya. Tanggungjawab pada pelajaran dan kini pekerjaan menyebabkan sangat jarang aku dapat menikmati acara berbuka puasa bersama keluarga. Kalaupun ada cuti, beberapa hari sahaja.

Ramadhan kali ini tak jauh beza dengan yang lepas. Menu wajib berbuka yang mudah2 saja. Tak ada hidangan penuh meja seperti di kampung. Kalau di kampung, ada beberapa juadah wajib yang mesti berada atas meja setiap hari. Murtabak, popia goreng, timun cina (tembikai, huhuhu), antara yang MESTI! Hidangan pusing (wajib buat tapi bukan setiap hari) pula, ikan pari bakar dengan sambal istimewa mak, ayam percik, kerabu, dan beberapa lagi hidangan kegemaran anak2 akan dimasak mak. Aku suka sambal terung, kerabu taugeh dan tumis air sayur keladi. Along, ikan talapia merah masak lemak ataupun goreng cili api. Mifdhal, ikan bawal masak tomato. Arrif takde lauk specifik. Asal sedap dia memang gemar! Hujung2 puasa, mak akan buat karipap pusing yang sangat sedap! Masa aku kecik dulu, mak suka buat air soya sendiri, tapi dah lewat usia ni kudrat pun semakin berkurang menyebabkan mak mengeluarkan kenyataan seperti ini;

"Sesetengah benda terlalu leceh! Beli sajalah..."

Huhuhuhu... aduh! Rindunya musim berbuka di kampung. Tahun ni dah bertambah dengan Kak Long. Kak Long suka lauk apalah? Huhuhu... Puasa bermula hari ni, menu bersahur biasalah : Air Suam! Kebetulan nestum aku dah habis. Kena pegi beli nih! Berbuka sedap sikit, pasal bos belanja dengan kawan-kawan pejabat semua. Hari pertama puasa saja, kena bepergian ke Ijok. Urusan kerja katanya. Kasihan Jocelyn. Serba salah sungguh dia nak minta diri untuk pergi makan. Masa berbuka pun beberapa kali dia tanyakan;

"Eh, dah boleh makan belum?"

Selagi belum azan, memang dia tak sentuh makanan walaupun aku dah bagi tau supaya dia makan je. Aku oke! Huhuhu... Kalau tahun2 sudah, awal2 lagi baju raya dah siap. Pasal tukang jahit kat kampung memang tak nak terima tempahan bila dah masuk bulan puasa. Tapi tahun ni aku bercadang nak beli saja. Sepasang baju kurung warna kuning dan sepasang kebaya labuh warna hitam merah cadangnya. Tiket balik kampung pun belum beli. Sibuk sangat... aduh! Risau jugak ni. Tiket ke pantai timur memang macam pisang goreng panas. Silap2 dah habis! uiii... jangan! Meraung aku...

Berbuka esok lusa cadangnya nak masak je. Jimat sikit. Banyak nak pakai duit lepas raya ni. Macam puasa2 sudah juga, acara berbuka aku memang dengan Mimie je la. Huiii.... nak balik kampung! Oh, ye! Malam ni cadangnya nak tarawih. (^_^) Buat lapan je kot! Huhuhuhu...

Salam Ramadhan yang penuh barkah... selamat menunaikan ibadat puasa dan semoga kesemua kita berhasil mencicip rahmat yang Maha Esa... amin!

Monday, August 9, 2010

Kehidupan Yang Telah Lewat


LEWAT kebelakangan ni hidup aku banyak berubah secara mendadak sampaikan bila aku bangun pagi tadi, sambil2 duduk di birai katil aku termenung sejenak (padahal dah lewat nak ke pejabat! huhuhu). Banyak perkara yang dah berlalu dan banyak pula kenangan baru yang tercipta menindih kenangan yang lama dulu. Hujung minggu lepas aku menghabiskan masa di Perak. Bercuti dengan si dia. Huhuhu... seronok kerana terasa air terjun tempat aku berendam sambil kecut segala urat tu telah mengalirkan dan membawa bersama segala sisa yang tertinggal dalam hati aku. Semuanya dibawa pergi! Tak ada lagi yang sempat tinggal di hati.

Aku pernah mengatakan pada 'dia', hati aku bukan kertas. Dan apa yang pernah tertulis disitu bukan tinta yang bisa dipadamkan dengan cecair pemadam. Bukan! Dan 'dia' menjawab aku;

"Hati awak memang bukan kertas! Dan saya pun tak mahu memadamkan semua yang tertulis tu. Saya cuma nak menutup segala yang lama itu dengan segala yang lebih bersifat baru..."

Pada ketikanya aku berendam di dalam air terjun yang jernih itu, aku merasai seluruh kebenaran kata2nya itu. Aku bukan seorang yang suka berbicara tentang CINTA di ruangan ini. Terkecualilah puisi2 yang kutulis itu. Aku merasakan soal hati adalah soal yang lebih enak kalau diperibadikan. Tetapi kali ini aku merasa perlu merakamkan rasa hati di sini. Kalau masa boleh diundurkan, aku tetap akan memilih untuk menjalani hidup ini seperti ini. Aku tak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku. Aku yakin benar, penyesalan hanya akan membunuh diri detik demi detik.

Tidak menyesal, tidak pula bererti aku tak sedar salah betul setiap perbuatan aku. Aku cukup sedar! RABB... hanya KAU yang Maha Mengetahui dan Maha Mengerti di atas segala sesuatu itu. Setiap hari aku berperang dengan hati. Kalah atau menang, aku juga yang menanggung sakit nikmatnya.

Ada seorang lelaki pada suatu masa dahulu. Mengetuk pintu hati. Menghulurkan sebakul rasa hati dan aku terima baik. Tapi penerimaan aku sekadar di mulut. Jadinya hubungan itu bertahan sekadar tiga bulan sahaja. Sejak dari itu, hubungan aku dengan lelaki2 selepas dia selalunya tak menjadi. Menyebabkan aku terfikir, karmakah yang aku tanggung kerana mengecewakan lelaki sebaik dia? Dia sungguh ikhlas. Sampai sekarang aku tak berpeluang meminta maaf kerana melukakan dia. Selepas dia, datang pula seorang lelaki yang sentiasa ada 25 jam sehari dan 8 hari seminggu bersama aku. Aduhai... percaya atau tidak, dalam setiap detik bersama aku, entah betapa sempat dia masih meliar bersama perempuan lain. Dia melayan aku dengan sangat baik sebenarnya. Sangat-sangat baik! Tapi sikap suka meliarnya itu menyebabkan aku mengucapkan selamat tinggal dengan hati yang sungguh berat. Percaya atau tidak, sampai sekarang kami masih berhubung. Bertanya khabar dan sebagainya, Sebagai Kawan sahaja tentunya.

Di kala awan mendung sarat dengan guruh dan kedinginan yang mencengkam sampai ke tulang, datang seorang lelaki yang menyelimutkan aku dengan kehangatan. Yang ini aneh. Dia tak pernah ada. Tapi wujud. Dalam ketiadaannya, dia sentiasa dekat di hati menyebabkan aku terlalu kasih padanya dengan perasaan yang paling halus. Terlalu halus sehinggalah aku menerima khabar tentang pilihan lainnya dan perkahwinannya. Apa lagi yang boleh kita katakan?

Kali pertama dalam hidup, aku merasa sakit yang betul2 sakit. Sakit yang aku rasa sebelum ini automatik jatuh bukan apa2 kalau nak dibandingkan dengan sakit kali ni. Aduhai... entah macam mana, 'dia' datang dengan hanya menghulurkan tangan. Tidak meminta apa-apa melainkan mahukan huluran yang dihulur aku sambut dan tangannya aku genggam. Lebih dari itu dia memohon untuk menyimpan hatiku di dalam hatinya. Supaya hati itu tidak akan terluka lagi. Supaya sakit yang aku sengsarakan akan terhenti dan berganti dengan rasa indah yang lainnya. Supaya senyum yang aku ukirkan tidak lagi bersulam duka dan supaya airmata yang mahal nilainya itu tidak akan terbuang lagi.

'Dia'... bagaimana dapat aku katakan pada 'dia' yang aku benar-benar menghargai datangnya 'dia' dalam hidup dan hatiku? Bagaimana dapat aku ungkapkan apa yang ada dalam hatiku saat ini...? Bagaimana dapat aku zahirkan musim semi yang sedang bertamu dan memekarkan bunga rasa? Walaupun telah lewat 'dia' datang dalam nyali yang selalu rawan ini, namun masih belum terlambat!

RABB... telah aku ikhlaskan segala rasa. Hanya pada-MU tempat aku merapatkan kedua tapak tangan dan merayu-MU dengan seluruh rasa yang KAU wujudkan... jadikanlah ini yang terakhir. Kerana KAU yang Maha Mengerti... redhakanlah hati dan restuilah. ALLAH yang sarat dengan sikap kasih, sesungguhnya KAU yang Maha Esa... amin!

Tuesday, August 3, 2010

Puisi Bulan Kepada Malam


Pada suatu ketika
Di mana langit terlalu kelam
Suram menaburkan hitam di mana-mana
Telah berkuburnya sekeping hati
Mati dibunuh segerombolan janji

Datang dia entah dari pelusuk mana
Membawa segenggam pelangi dan secangkir bicara
Lalu dia tebarkan jala sapta warna dan panca rangkai kata
Menyihir kuburan jiwa dan menyeru nyawa
Perlahan nafas memainkan gita

Di malam hari ini
Dongaklah mengintai bulan di langit tinggi
Cahaya peraknya benar membelai
Gemilang menenangkan resah qalbi
Menjanjikan euforia sehijau musim semi

Duhai malam yang mengusir derita dan menjemput bahagia
Bulankan kekal bersinar meraikan jiwa

Tuesday, July 13, 2010

Hikayat Sang Penderhaka Kepada Keterlupaan!


SUDAH lama rasanya aku tak berhikayat. Kui...kui...kui... hikayat longkang katanya. Aku kurang pandai bersatira. Jadi berhikayat sahajalah. Dulu ada sebuah negeri yang terletak jauh di timur. Orang2 di sini, hm... macam mana nak aku kabarkan laku duduknya, ya? Orang2nya adalah dari jenis yang sangat mencintai 'bahasa' mereka. Mereka paling pantang kalau mendengar orang bercakap dengan bahasa luar. Tak suka mereka! Silap2 hari bulan kena sembelih. hahahaha! Percaya tak?

Ada orang bijak pandai pernah mengatakan ini;

"Orang2 di negeri ini adalah seperti orang buta yang berada di dalam rumahnya sendiri. Hebat serba-serbi. Tetapi selangkah sahaja melangkah keluar dari rumah, terjelepok ke tanah!"

Aku angguk2 sahaja mendengar. Dahulu pernah ada sebuah monumen yang menjadi kebanggaan orang2 di sana. Harum gah namanya di mana2 sampaikan orang2 dari luar datang semata2 untuk menengok monumen yang indah ini. Tetapi yang lama akan berganti baru. Hutan paya tempat jin bertendang dicerahkan, dilapangkan tanahnya lalu dibina dengan monumen baru yang lebih gah. Lebih indah. Keindahan yang menenggelamkan susuk monumen lama yang semakin buruk terbiar. Lalang-lalang tinggi berdiri dan menjadi keterlupaan. Tiada lagi keindahan kerana tumpuan sudah berubah.

Kemudian sebuah gelanggang pula telah dibina untuk menggantikan gelanggang yang lama. Gelanggang baru yang indah dan canggih! Apalah yang ada pada gelanggang yang lama selain sejarahnya yang sudah terbentang sejak berzaman. Siap sahaja gelanggang baru yang memasang nama pemerintah yang baru juga, terus berenang ura2 di mana gelanggang lama yang memakai nama pemerintah yang lama sudah tidak relevan dan boleh diruntuhkan. Setelah berzaman segala keraian diraikan di situ, jasanya tidak dikenang. Ia mengenang sendirian. Barangkali kerana derhaka itu balasannya ada, belum sempat diruntuhkan yang lama, gelanggang baru yang serba canggih itu dulu yang runtuh menyembah bumi. Sedangkan yang lama, masih utuh gagah! Aduhai...

Aku hairan menengok kenapa orang2 di sana terlalu ghairah dengan benda2 semua tu. Sederet rumah kedai yang sudah ada sejak zaman Jepun lagi telah pun diruntuhkan demi membesarkan jalan yang semakin sarat dengan kesibukan katanya. Aku bukan penghalang kemajuan... tetapi aduhai sayangnya... lirih! Jangan bagi aku mulakan dengan cerita sebuah kebanggaan yang pernah menjadi yang terbesar di Asia Tenggara dan sekarang hanya terbesar di Malaysia! Itu lagi sadis. Dibiarkan buruk merekah tak bercat. Alasannya;

"Oleh kerana Ia adalah tempat untuk menyimpah sejarah, maka Ia haruslah kelihatan lama juga!"

Mari aku tanyakan satu soalan;

"Kau tahu tak apa bezanya antara lama dan antik dengan buruk?"

Kalau tahu, pergi cantikkan semula tempat yang aku tengok dah macam rumah puaka tu! Kalau tak tahu, aku cadangkan sila pergi mengulang ke tadika semula. Hahahaha... mana hikayatnya? Entahlah, sudah tercicir di mana.

Mungkin aku pun 2x5. Perlu mengulang ke taska semula!

Wednesday, July 7, 2010

Ingatan Yang Telah Berlalu


Ini adalah Dancing Doll. Menarilah! Lalalala~


Koleksi kereta Dash yang pernah menjadi suatu fenomena. 1997.


Ganazz! Macam biasa, aku pilih Chun Li la... pasal dia pompuan yang cool!


KRUmania! Gilek... oh, Norm! Hahaha. 1992.


Kelab bolasepak yang masih bertakhta di hati! Go, Chelsea! Terbaek!


Ji Fat yang sungguh cool! Sungguh!


Koleksi Ahadiat yang pernah menjadi kegilaan... pernah! uiks!

TIBA-TIBA sahaja, di tengah-tengah kebosanan yang sedang mengepung di pejabat, aku buka YouTube dan taip tiga huruf yang pernah menjadi kegilaan aku 17 tahun yang lalu. KRU. Huhuhuhu... rindu sungguh pada lagu2 yang dulunya enak mengisi halwa telinga. Percaya atau tidak, aku pernah senyap2 duduk dalam bilik, pasang kaset KRU yang dibeli Along dan kemudian terlompat2 menari ala2 rap gitu dengan memakai rain coat. Hahahaha! Macam bodoh bila dikenang balik.

Zaman kanak sungguh dipenuhi dengan ingatan yang muluk-muluk. Indah. Ketawa saja bila diingat-ingat. Di saat orang gilakan Yusry, aku lebih menggilai Norman! Abang Long yang cool dan manis. Huhu... Semasa mengikuti Kursus Etika dan Tatacara di tahun kedua di akademi, antara yang dijemput adalah Norman. Aduh! Nak saja aku pergi dekat dia dan cakap :

"Norm, aku minat kau dari tahun 1992!"

Boleh? Agak2nya apa yang dia akan kata. Aku tak nafikan minat aku pada KRU banyak dipengaruhi Along. Act, aku memang banyak minat semua benda yang Along minat. Pasal aku memang rapat dengan Along. Adik aku kecik lagi dan yang bongsu belum lahir pun masa tu. Jadinya dunia sepak terajang aku memang dengan Along je. Melastik, main tembak2, main layang-layang, main gasing, komik, novel, bertumbuk ala2 Street Fighter, pokoknya semua! Sejak dia masuk sekolah menengah barulah aku bawa dunia sendiri. Abang dah besar, mana nak kawan dengan adik perempuan lagi. Tapi, masa kereta Dash Yonkuro jadi fenomena, Along dan dua tiga orang sepupu aku buat satu litar kat tanah lapang sebelah umah kami. Jadinya ramai la budak lelaki berpesta kat situ. Along still amik hati aku dengan membelikan kereta Dash berwarna merah yang bernama "Dancing Doll" untuk aku. Aku ingat lagi, aku punyalah happy sebab dapat join sekali. Walaupun Dancing Doll aku tak sehebat "Shooting Star", "Emperor", "Rising Bird", "Burning Sun" dan "Cannonball", tapi aku tetap gembira.

Sekarang aku dah besar. Dah bertahun2 berlalu. Aku dah tak dengar lagu KRU, dah tak minat Ahadiat Akasyah dan novel2nya yang... erk! Aku pun dah tak layan Street Fighter. Dash Yonkuro lagilah... dah jadi sejarah. Komik Alam Perwira yang ada kat rumah tu pun semakin usang. Kadang2 bila mengenang ingatan yang telah berlalu ni menyebabkan aku senyum dalam pilu. Along pun dah kahwin. Apa lagi yang tertinggal, ya...?

Entahlah! Hidup dan berubah... tapi ingatan-ingatan ini akan tetap ada.

Suatu yang penuh misteri
Kini bermula menyelubungi
Tak tahu mengapa tapi kuterasa
Bagai sesuatu yang
aneh akan terjadi...
( KRUmania )

Tuesday, July 6, 2010

Setitik Airmata Untuk Sang Cahaya Mata


Sudah sekian lama,
Bonda merinduimu, ayuhai cahaya mata...
Masih beradu kamu di alam sana
Masih belum ditiupkan ke rahim bonda
Masih belum lunas rindu yang beraja

Setitik airmata mengalir laju
Mengenangkan sarat duka di kalbu
Telahku mahkotakan kau dengan sebaris nama
Agar kau diselimuti euforia
Agar kau selamat di fana dunia

Masih bermain rapsodi melankolia
Mengiringi sepi cemburu bonda pada yang lainnya
Sampai berapa lama harus menanti
Sampaikah detik tikanya rindu ini terhenti
Akan menjelmakah kau di ribaan ini

Terus jua kutunggu tiba menjelma
Setitik airmata untuk sang cahaya mata bonda...

Sunday, July 4, 2010

Benci Aku!


AKU paling tak suka tengok rancangan seperti Bersamamu atau yang seangkatan dengannya! Orang2 pernah mengatakan ini kepada aku ;

"Tak baik kau ni... kau tak merasa miskin macam tu bolehlah cakap!"

"Ya ALLAH... tak baiknya. Ini hari diorang, esok lusa kalu hari kau macam mana?"

Dan pelbagai lagi reaksi terkejut yang disampaikan mereka apabila aku mengatakan yang aku menyampah! Korang fikirlah sendiri... korang tak rasa ke yang rancangan macam tu hanya menggalakkan orang jadi peminta sedekah? Akan selesaikah masalah kemiskinan mereka kalau hanya menadah tangan untuk memohon simpati orang? Miskin, sampai anak2 tak mampu dihantar ke sekolah. Kemudian apa? Anak2 itu bukankah hanya akan menyambung legasi kemiskinan mereka? Aku tak faham macam mana orang boleh besarkan tiga orang anak dengan duduk bawah rumah bekas reban ayam. Aku lagi tak faham macam mana orang boleh besarkan lima orang anak dengan hanya duduk dalam van buruk dan bergelandangan.

Aku bukan kejam. Fikirlah sendiri, berapa ramai pendatang asing yang ada di negara ni? Kalau negara ni tak ada kerja, takkan sampai jutaan warga asing boleh membanjiri sektor pekerjaan kita? Kau cakap kau tak ada kerja sebab tak ada kelulusan, habis tu tak boleh kerja tukang sapu? Tak boleh kerja angkut sampah, jadi orang gaji, tak boleh? Hina ke kerja tu semua? Mak kawan aku besarkan TUJUH orang anak hanya dengan jadi tukang sapu. Semuanya jadi orang, masuk universiti. Susah jugak! Gaji tukang sapu RM300 je tau!

Kau sehat je aku tengok, tapi bagi alasan tak nak kerja. Anak2 berhenti sekolah alasan tak mampu. Nak jadi apa? Kalau yang cacat tu, aku memang simpati. Aku paling kagum dengan mak kawan aku tu. Gaji 300, anak 7, suami takde... tapi pelajaran anak2 complete! Naik turun jabatan kebajikan minta biasiswa untuk anak2 belajar. Itu baru betul!

Daripada korang sebuk2 minta sedekah dan bantuan duit dari orang, lebih baik kau cari kerja dan bantuan persekolahan untuk anak2. Pergilah beli kondom. Kalau tau ekonomi tak stabil, tak payahlah beranak ramai2. Kondom paling mudah 3 ringgit lebih. Mampu kot. Kalau tak mampu minta hospital sediakan kondom percuma! Entahlah, sesetengah orang kata aku cakap memang senang, tapi apa yang susah sangat? Takkanlah malu nak kerja angkut najis pun? Itu masih rezeki yang halal... ALLAH akan merahmati. Kerajaan pun tolonglah bantu. Kalau keluarga miskin tu, kecualikanlah yuran, seragam sekolah semua tu tak payah. Yang penting pelajaran. Pelajaran saja yang dapat memecahkan tembok kemiskinan. Janganlah malas. Kalau pendatang asing boleh cari rezeki di negara kita ni, tak mungkinlah kalau kita tak boleh!

Tolonglah jangan minta simpati orang sangat, nanti orang benci!

Monday, June 28, 2010

Suatu Ketika



Ada masa-masa yang telah berlalu
Ada hati sendu
Ada airmata di situ
Ada rapsodi beku
Ada lidah yang kelu

Ada hari-hari yang telah menyepi
Ada hati benci
Ada rasa yang menjadi api
Ada rindu yang berlalu pergi
Ada sakit menguliti

Ada detik-detik yang akan tiba
Ada hati bakal dibalut ria
Ada musim semi yang memekarkan bunga
Ada bahagia yang menjelma
Ada penawar pada setiap luka

Sunday, June 27, 2010

Bulan, Laut Dan Kupu-Kupu...

Sejak dari zaman kanak, aku sangat suka dengan serangga. Hobi aku semasa itu adalah menyelinap ke celah2 semak dan kawasan berumput panjang, menguak denai dan mencari binatang kecil ini. Antara koleksi terbaik aku adalah belalang, ladybird, mantis, labah-labah dan kupu-kupu. Aku malah membela semut dan kerengga dari pelbagai jenis. Kesemua peliharaan aku ini kubela di dalam botol jem yang sudah habis jemnya. Kesayangan aku yang paling utama ialah ladybird. Namun apabila usia semakin tumbuh dewasa, aku mula menyenangi kupu-kupu. Tiada apa yang istimewa tentang kupu-kupu. Kecuali sayap yang mengepak kesuraman bertaburan di mana-mana. Oh, dan juga warnanya yang sederhana... serta impiannya terhadap rama-rama!

Begitu juga sejak zaman kanak lagi, ayahanda yang tercinta selalu membawa kami sekeluarga bersantai di tepi pantai. Sementelah aku tinggal di negeri yang sarat dengan pantai menyebabkan aku sudah begitu rasi dengan aroma laut yang masin hangat bercampur hanyir itu. Bau laut sungguh istimewa. Keistimewaan yang menghilangkan segala bauan yang ada... yang melenyapkan segala resah yang beraja...! Dua perkara tentang laut dan pantainya yang paling memegunkan aku adalah tengkujuh dan bulan penuh. Lautan kelihatan begitu dahsyat dan mengkagumkan dalam dua situasi ini. Pernahkah kalian menyaksikan dengan kanta mata sendiri bagaimana dahsyatnya ombak yang bergelombang dan tarian angin ribut yang dimainkan ketika tengkujuh bermusim...? Lautan seakan bergulung dan oh...! Betapa! Pernahkah pula kalian melihat bagaimana panorama ketika malam bulan mengambang penuh tersangkut di dada langit...? Cahaya peraknya yang melimpah ruah, menyelimuti riak-riak ombak sehingga pasiran pantai seakan berkilauan dengan hamparan intan. Aduhai... RABB! Betapa ciptaan-Mu yang Maha Sempurna...

Bulan juga sungguh istimewa. Aku sangat menyenangi malam. Serasa damai dan menyegarkan. Letih peluh waktu siang bertukar damai indah ketika malam menjelang. Sang ratu malam yang sering menemani dada langit yang terbentang seakan membelai dengan cahaya peraknya yang menyentuh. Ada sebuah mitos lama tentang bulan. Kata orang-orang lama, bulan adalah kediaman dewi-dewi. Betapa indah bulan, refleksi kejelitaan dan kesempurnaan para dewi yang menghuni. Lupakanlah seketika kebenaran sains tentang bulan yang hodoh dengan lompang kawah dan hanya membalikkan cahaya matahari semata-mata! Lupakan seketika dan bukalah mata lalu dongaklah ke langit tinggi. Nikmatilah suatu keindahan yang menggoda rasa. Petikan yang aku ambil percaya atau tidak ini adalah kata-kata dari Doraemon kepada Nobita ;

“Sains memang memperkayakan kehidupan manusia tetapi memiskinkan jiwa insan!”

Apa yang aku cuba sampaikan ialah, adakalanya biarkan jiwa menjadi seniman yang dibuai rasa... biarkan cinta mencari langitnya sendiri... dan biarkanlah angin berbisik memainkan irama melankolia...!