Monday, June 30, 2014

Marhaban Ya Ramadhan


ASSALAMUALAIKUM. Alangkah indahnya Ramadhan. Pada bulan mulia yang menuntut seluruh umat Islam menunaikan Rukun Islam yang ketiga ini, kita semua seakan bersatu hati. Kesabaran dilatih menjadi semakin tinggi, akhlak mulia diusahakan menjadi penghias peribadi dan misi mencari Nur ILAHI semakin menggebu-gebu di dalam diri. Bahkan, segala perkara yang lagho semakin terabai sepi dan segala keburukan diri semakin terusir pergi.

Alhamdulillah.

Tahun ini, sudah masuk tahun yang ke-11 aku meraikan Ramadhan secara berdikari. Jauh daripada ayah, bonda dan keluarga yang tercinta. Namun aku tetap bersyukur kerana setiap tahun, paling tidak akan ada sehari dua yang berjaya aku lapangkan untuk pulang ke kampung halaman dan menikmati Ramadhan bersama mereka. Syukur kepada RABUL'ALAMIN yang sentiasa memakbulkan hasratku untuk bersama keluarga pada bulan yang istimewa ini.

Ada kesederhanaan yang datang bersama Ramadhan. Kita terdorong untuk berasa rendah hati, dan semakin dekat dengan rahmat Sang Pencipta. Perut yang kosong mengingatkan kita pada kesusahan orang lain. Tekak yang haus membuatkan kita terkenangkan kepanasan di Padang Masyar kelak. Namun begitu untuk seorang aku, apabila berpuasa, aku memang akan serta-merta menjadi 'perlahan'. Kurang bercakap, kurang ketawa, lebih tenang dan kurang berasa marah.

Alhamdulillah.

Apa yang cukup aku kesalkan ialah media hiburan masa kini. Di dalam Ramadhan begini pun, tak habis-habisnya menghidangkan umat dengan perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan agama. Memang betul, kita tidak sepatutnya menjadi hipokrit. Baik semasa berpuasa, dan menyetan apabila tidak. Ada suara-suara sumbang yang selalu mengatakan begini;

"Buat apa nak jadi plastik? Masa bulan puasa, pakai tudung, mengaji al-Quran, tengok rancangan agama. Tapi bulan-bulan lain? Dedah aurat, al-Quran hanya jadi perhiasan almari dan rancangan hiburan jadi tontonan 24 jam!"

Betullah tu. Memang dedah aurat tu HARAM pada sepanjang tahun, dan bukannya pada bulan Ramadhan sahaja. Memanglah membaca al-Quran itu sepatutnya jadi amalan harian. Tetapi sedarkah kamu yang melakukan sedikit itu lebih baik daripada tidak melakukannya langsung? Tidak bernanahkah mata kamu melihat orang yang mengaku beragama Islam sedang memakai baju T tanpa lengan, skirt pendek dan gaun sendat pada bulan yang penuh dengan kemuliaan ini? 

Alangkah anehnya melihat rancangan hiburan yang terpekik terlolong, mengumpat dan memfitnah selebriti di sana-sini dan kemudian mengucapkan 'selamat berpuasa' dan semoga dapat mencari kebaikkan di dalam berpuasa. Alangkah canggungnya pula apabila kita melihat orang yang sedang menyeru supaya umat Islam mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan melipat-gandakan amal ibadah serta memperbaiki kekurangan iman diri tetapi dalam masa yang sama memakai kebaya sendat yang berkain jarang dengan rambut yang mayang mengurai.

Benar ada kata-kata yang mengatakan begini, "Jangan lihat siapa yang berbicara, tetapi lihat apa yang dibicarakannya." Tetapi eloklah kalau aku perturunkan pula kata-kata Imam Ibnu Sirin yang berbunyi ;

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kalian melihat dari siapa kalian mengambil agama kalian." 
(Muqaddimah Sahih Muslim)

Aku sedar yang aku sendiri masih jauh daripada kesempurnaan menjadi seorang muslimah. Ada bahagian aurat yang masih cuai ditutup dengan sempurna. Ada ibadat yang masih lompang di sana-sini. Ada juga sikap dan percakapan yang masih tidak terjaga dengan baik. Oleh sebab itulah, aku suka untuk menyeru semua muslimin dan muslimat sekalian, marilah kita sama-sama terus berusaha memperbaiki kelemahan diri. Melakukan kesilapan itu wajar, kerana kita hanya manusia biasa yang tidak maksum. Ruang khilaf sentiasa ada. Biarpun begitu, terus melakukan kesilapan dan berasakan kesilapan itu hanya hal yang kecil adalah SALAH dan TIDAK WAJAR.

Demi Ramadhan yang sedang memeluk kita dengan erat, ambillah sebanyak mungkin kesempatan untuk terus mendekatkan diri dengan ALLAH SWT. Saratkanlah jiwa hamba kita ini dengan cinta kepada ALLAH SWT dan Rasul. Demi ALLAH SWT yang sentiasa bersifat MAHA PENGASIH dan MAHA PEMURAH dengan sekalian hamba-NYA, marilah kita bersujud dan memohon keampunan untuk semua kekhilafan yang pernah kita lakukan. Dosa kecil, dosa besar, dosa tersembunyi, dosa terang-terangan, dosa yang sengaja dan tidak sengaja yang kita lakukan semoga akan mendapat keampunan-NYA. Sujudlah, berdoalah... kita selamanya hidup berTuhan.

Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna,
agar dapat kulalui dengan sempurna....

Nota tangan kanan : Salam rindu yang menggebu-gebu pada ayah bonda dan adinda-adinda tercinta yang sedang menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah. Semoga beroleh rahmat nikmat beribadat dan semoga selamat pulang ke tanah air. Amin.

Tuesday, May 6, 2014

Nama aku, Mar-dhi-ah!


ASSALAMUALAIKUM. Di pejabat pada ketika ini aku sedang menukang buku tentang nama-nama pilihan untuk anak Muslim. Tukangan ini menyebabkan aku terkenang sejarah nama sendiri. Menurut ayah, namaku diberikan oleh Tuan Guru kami. Alhamdulillah. Nama yang baik maknanya dan dipercayai sesuai denganku.

Malangnya.

Semasa aku kecil dan jahil dahulu (sekarang pun masih jahil), jujur aku kongsikan yang aku pernah tidak suka pada nama ini. Alasannya? Namaku amat sukar dieja dan disebut dengan betul. Bergurau? Tidak. Sejak dari tadika sehinggalah sudah berusia 28 tahun sekarang. Sangat jarang sekali namaku dieja dan disebut dengan betul. Nama aku ialah :

Mardhiah.

Ia disebut dengan tiga suku kata iaitu MAR-DHI-AH. Manakala sebutan 'DHI' itu pula perlu disebut tebal sedikit kerana 'dhi' langsung tidak sama dengan 'di'. Adakah ini hal yang terlalu besar sampai aku perlu berasa marah. Jawapan aku,

"Ya, ini adalah hal yang terlalu besar! Nama adalah sangat penting dan selain daripada menentukan identiti seseorang, ia juga berperanan sebagai satu doa. Jika kamu memanggil atau menyebut nama aku, kamu sedang mendoakan aku."

MAR-DHI-AH. Ertinya, 'yang diredhai dan disayangi'. Semoga aku akan terus berada di dalam redha dan kaseh sayang ILAHI. Amin~ Aku paling benci apabila nama aku sentiasa dieja yang disebut seperti ini ;

Madiah, Madihah, Mardihah (kesilapan yang paling kerap muncul), Mardiyah dan Mardiah.

Perkara kecil? Tidak! Nama bukan perkara kecil. Tahukah anda erti Madiah, Madihah, Mardihah, Mardiyah dan Mardiah langsung tidak sama dengan Mardhiah? Selalunya hanya golongan orang-orang agama dan ustaz-ustazah sahaja yang selalu menyebut namaku dengan sebutan yang betul. Aku gembira. Alhamdulillah, semasa di acara konvokesyen yang lalu, dekan Fakulti Penulisan Kreatif iaitu Dato' Dr. Anwar Ridhwan telah menyebut namaku dengan sebutan yang betul.

Aku sangat gembira dan menghargainya.

Terima kaseh Dr. Anwar kerana telah menjadi guru yang baik buat saya. Ilmu yang dikongsikan oleh doktor banyak membantu saya di dalam penulisan saya, novel terutamanya. Terima kaseh juga kerana menghormati saya dengan menyebut nama saya dengan betul pada hari antara yang paling penting untuk saya.

Sebetulnya aku menulis entri ini kerana beberapa orang teman jauh bertanya, mengapa aku dipanggil 'Anne' sedangkan namaku langsung tidak berbunyi seperti itu. Ada juga suara-suara sumbang yang mentertawakan aku sebagai tidak menghargai nama sendiri. Mari aku perjelaskan, nama panggilan yang aku perkenalkan kepada dunia itu dieja sebagai 'N' sahaja. Bukan Anne atau Ann. Hanya N. Aku memilih N kerana ia adalah konsonan pertama dalam ejaan nama penuhku. Pada ketika itu aku selalu mengeja namaku sebagai ;

N. Mardhiah Shamsudin.

Ringkas dan mudah. Aku memilih untuk dipanggil 'N' sahaja sebab tak sudi nak dengar orang memanggil aku Madiah, Madihah, Mardihah, Mardiyah dan Mardiah. Kau boleh pilih nak panggil aku 'N' atau sebut nama aku dengan betul, MAR-DHI-AH.

Dalam hidup ini, aku sangat menghargai semua perkara yang berkaitan denganku. Aku bersyukur dan berterima kaseh kerana dianugerahkan dengan nama seindah Mardhiah. Oleh itu, sila hormati namaku seperti mana aku menghormati nama kalian. Aku jarang menyebut dan mengeja nama orang dengan salah. Rakan sekelas aku di akademi tak ramai. Oleh itu aku boleh mengingati nama-nama penuh mereka (berserta ejaan dan nama bapa yang betul). Salah seorang rakan akademiku pernah terkejut apabila aku mengeja namanya dengan betul.

Fong U-Shin, Xavier.

Sedangkan menurutnya orang selalu mengeja namanya sebagai Xavier Fong Yu Shin. Dia agak terkejut apabila aku mengeja namanya dengan betul sedangkan kami bukan kawan karib. Pada aku, kawan rapat atau kawan biasa ataupun rakan sekerja, hal-hal berkaitan nama perlu dititik berat kerana ia adalah identiti setiap orang. Kalau tak boleh nak ingat, pastikan kau periksa dengan orang itu sendiri. Aku menghormati rakan-rakan sekerjaku (bahagian grafik terutamanya) kerana setiap kali sebelum mereka menulis namaku pada bahagian editor atau terjemahan, mereka akan merujuk pada aku berkali-kali tentang ejaan namaku.

Sijil UPSR, PMR dan SPMku semuanya perlu dimohon semula kerana kesalahan ejaan. Aku rasa kami adik-beradik semuanya mengalami masalah yang sama. 

SHAMZIE selalu dieja sebagai Samzi, Shamzi dan lebih glamor sedikit Samzy.

MIFDHAL selalu dieja sebagai Mifdal, Misdal dan Midal.

NURARRIF lagi teruk. Nur Arif, Nurarif, Nur Ariff dan yang paling kerap Nurrarif.

Bahagian yang aku bold adalah bagaimana nama mereka sentiasa disebut. Salah, salah tu! Tak belajarkan semasa di sekolah? Lari ye, bila cikgu mengajar tentang sebutan? Geram betul dibuatnya. Nama kami ni biasa-biasa sahaja. Tak bombastik macam nama anak-anak selebriti pun. Apalah yang susah sangat nak eja dan sebut SHAM-ZIE, MAR-DHI-AH, MIF-DHAL dan NUR-AR-RIF dengan betul?

Susah sangat?

Kesimpulannya, aku ingin menyeru semua orang supaya hormatilah ehwal tentang nama ini. Semoga kita semua akan saling mengerti dan memahami. (^_^)

Monday, May 5, 2014

Euforia Mei


ASSALAMUALAIKUM. Rasanya sudah terlalu lama aku tak memberi salam sebelum menukang entri di blog ini. Maafkanlah kedaifan aku dalam meraikan kehidupan beragama. Mungkin kerana kejahilan inilah, aku dengan rasa rendah dirinya ingin memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang berada di luar sana sekiranya aku ada menyentuh qalbi kalian dengan perbuatan dan kata-kata aku yang selalunya kasar ini. 

Kalau sudi.

Aku tidak memaksa minta diampuni. Terpulang pada budi bicara kalian. Cumanya aku benar-benar meminta maaf. Hidup ini terlalu singkat untuk saling menyakiti dan bermusuh-musuh. Apatah lagi untuk menyimpan dendam dan menyulam persengketaan. Marilah kita seluruh umat Islam yang berasal daripada Nabi Adam a.s. hidup dalam harmoni dan saling melengkapi. Semoga kita semua akan berhasil mencicip barkah Rabul'alamin serta menjadi muslimin dan muslimat yang sentiasa bersatu bergadingan bahu. Amin~

Alangkah manisnya. (^_^)

April yang penuh duka telah berlalu. Alhamdulillah. Mei yang datang bersama Rejab membuatkan aku tenggelam penuh di dalam kegembiraan dan kesyukuran. Ya, ALLAH SWT tidak pernah membiarkan hamba-hamba-NYA terkapai sendiri. Sudah menjadi lumrah hidup insani. Ada masanya kita berada di bawah. Berasa pedih dengan dugaan ILAHI. Kadang-kala kita jadi rimpuh. Iman yang sinipis kulit bawang ini menyebabkan kita mengeluh. Kita bertanya-tanya pada RABB, apakah dosa salah kita sehingga diuji begini? Di saat tenggelam dalam mandala ghobar, kita lupa rahmat ILAHI yang pernah kita dapat. Kita lupa betapa nikmatnya melihat, mendengar, bercakap, berfikir, bergerak, makan-minum dan segala-galanya. Kita lupa, perkara-perkara buruk dan hodoh yang menimpa kita itu hanya setitis noda hitam di dalam kemanisan semangkuk susu yang kita ada. Bila mana kita minum susu itu, kita akan kenyang dan noda hitam itu langsung tidak menjejaskan rasa susu. Kita lupa. Kita lupa pada dosa kecil, dosa besar, dosa jelas dan dosa tersembunyi yang kita lakukan dengan atau tanpa sedar. Kita benar-benar lupa.

Ya, aku lupa.

Bila dugaan datang bertimpa-timpa, aku terlalu mengikut rasa kecewa. Rasanya kalau tak ada Ikyn, aku makin hanyut melayan duka. Dia banyak ingatkan aku supaya mengadu pada Tuhan. Terima kaseh, Kyn. Terima kaseh kerana sanggup memandu jauh di tengah-tengah malam hanya untuk menenangkan aku. Terima kaseh kerana sentiasa menjawab panggilan aku dan berbual berjam-jam dengan aku tanpa mengira masa. Mendapat sahabat yang sentiasa ada untuk kita adalah satu rahmat. Rahmat ALLAH SWT buat hamba-NYA yang kerdil ini. Ikyn selalu cakap, 

"Kedukaan hari ini pasti akan membawa kegembiraan pada hari esok. Kau hanya perlu percaya. Bila manusia tak lagi mampu membantu kau, mengadulah pada Tuhan. Dia ada. Dia sentiasa ada."

Dalam hidup aku, aku cuma ingin menulis. Barangkali cita-cita seperti itu sukar difahami dan sering disalah erti sebagai hobi. Contohnya bila guru tanya,

"Mardhiah, apa cita-cita kamu?"

Aku akan jawab, "Menjadi penulis."

Guru akan menggeleng-gelengkan kepada dan berkata yang beliau bertanyakan cita-cita aku, bukannya hobi aku. Oleh kerana tidak mahu dimalukan sekali lagi, aku katakan aku ingin menjadi peguam.

Polis, peguam dan pensyarah.

Itulah yang sentiasa aku ucapkan setiap kali guru bertanyakan tentang cita-cita semasa di sekolah. Ya, aku sukakan undang-undang. Aku juga suka bercakap. Mulut murai. Becok. Semua orang yang mengenali aku akan cakap begitu tentang aku. Demikianlah cita-cita untuk menjad penulis lebur begitu sahaja. 

Walaupun manusia sukar memahami, tapi ALLAH SWT memberikan sokongan. Aku sentiasa percaya tu. Cerita bagaimana aku dapat masuk ke akademi adalah bukti cita-cita aku mendapat restu Tuhan. DIA Maha Mengetahui apa tersorok di sudut hati paling dalam hamba-NYA ini. Oleh itu, pada tanggal 15 Mei 2005, aku pasakkan dalam hati ;

"Tak apa kalau insani tak mampu menyokong aku. Sokongan ILAHI lebih daripada mencukupi."

Alhamdulillah.

Semasa di MIG, aku menulis. Jawatan aku dalam slip gaji pun memang script-writer. Penulis skrip katanya. Cuma itu bukan jiwa. Dan walaupun beberapa skrip tukangan aku telah selamat ditayangkan di panggung wayang gambar dan kaca televisyen, orang masih bertanya ;

"Hei, sasterawan! Mana hasil tulisan kau?"

Owh, mungkin mereka tidak tahu bahawa skrip juga adalah sejenis tulisan. Tak apa, aku berbaik sangka. Aku jadi faham yang selagi naskah novelku tidak menjengah pasaran, untuk mereka, aku masih belum maju jaya sebagai penulis. Aku masih di dalam dunia angan-angan. Berkhayal tidak sesuai di dalam realis, kau tahu? Kau akan dipandang seperti si Jenin yang lampus di perdu pokok.

Tak apa.

Kata-kata seperti itu tak sempat jadi kudis pun dalam hati aku. Aku tahu, walaupun Mak dan Ayah juga kurang memahami impian aku, tapi mereka berdua adalah insan yang amat mengasihi aku. Mak dan Ayah tak pernah berhenti dan sentiasa mendoakan kejayaan aku di sepanjang penghujung solat mereka. Aku tahu tu. Aku tahu. Kejayaan anak-anak adalah kebahagiaan buat Mak dan Ayah. Along aku dah mencecah usia 33 tahun. Adik aku yang bongsu pula sudah menginjak usia 21 tahun. Usia yang sudah cukup matang untuk berdiri di atas kaki sendiri. Namun Mak dan Ayah tak pernah melepaskan tangan kami. Ini tahun kelima aku bekerja. Hanya sejak dua bulan lepas baru aku mampu mengirimkan sedikit (baca : hanya 10% daripada gaji) duit kepada mereka. Begitu pun, mereka tetap gembira dan tidak pernah merungut untuk membebankan anak-anak. Mak selalu cakap, 

"Tak apa kalau anak-anak tak boleh nak bantu. Mak faham hidup di kota memang ibarat bernafas dalam lumpur (rock mak ambe!). Asalkan anak-anak tak menyusahkan Mak dan Ayah, alhamdulillah. Tu dah cukup."

Terima kaseh, Puan Zawahir dan Encik Shamsudin.

Aku yakin, berkat dengan doa Mak dan Ayah inilah penantian aku selama lima tahun untuk melihat Menunggu Nuraga dari Tuhan menjadi buku akhirnya telah menemui titik noktah. Alhamdulillah. 30 April yang lalu, novel tukanganku telah berhasil diterbitkan. Syukur. Segala puji-pujian kepada ALLAH SWT yang Maha Agung dan Maha Pengasih.

Aku gembira.

Sangat gembira dan bersyukur. Aku juga telah mendapat tawaran yang lebih baik di dalam pekerjaan. Aku kira penghujung Jamadil'akhir (juga penghujung April) benar-benar telah menghadiahkan aku dengan rasa bahagia yang sudah hampir setahun tidak aku rasakan. Seperti selalunya pula, apabila ghurub dalam euforia begini, aku jadi mengenang. Aku kembali waras dan mula muhasabah diri. Aku mula sedar akan rahmat Tuhan itu tidak pernah meninggalkan aku. Ia cuma tersembunyi, ditutup resah duka. 

Setiap kali aku bermula semula, setiap kali aku memulakan langkah pertama untuk kali yang entah ke berapa, aku akan penuh dengan semangat. Aku akan gembira. Jiwa akan diselimuti dengan rancangan yang muluk-muluk sahaja. Untuk seorang aku, tidak kiralah berapa kali pun aku perlu bermula, aku tetap akan teruskan perjuangan ini. Ini adalah perjuangan hidup. Aku hanya akan berhenti apabila nafas aku juga terhenti. Di saat aku menutup mata buat selama-lamanya, aku akan pulang kepada YANG MAHA ESA. Hanya ketika itulah, perjuangan aku akan menemui garis penamatnya.

Di alam barzakh dan alam akhirat kelak, akan bermula perjuangan yang lain pula. Semoga kita semua akan beroleh syafaat daripada rasul junjungan Nabi Muhammad SAW. Amin~

Kawan-kawan sila doakan novel aku ini akan berjaya di pasaran. Doakan juga semoga aku akan terus menulis. Doakan semoga novel ini tidak menjadi yang pertama dan yang terakhir. Paling utama, kawan-kawan doakan semoga aku akan cepat-cepat bernikah.

Amin~ (^_^)

Hanya penulis kecil, tetapi berjiwa besar. Alhamdulillah.

Thursday, April 24, 2014

Mangsa




DAH banyak kali aku cuba. Tapi hujung-hujung, macam gini jugak. Macam celaka. Sakit benar anak mata aku tengok kelakuan Balqis. Dia berdiri lebih kurang dua meter dari aku. Sedang tersenyum dan menerima ucapan tahniah dari teman-teman sepejabat yang lain.

"Rai! Chill, babe. Dah rezeki dia naik pangkat.”

Aku berkalih pandang ke arah Alexis yang entah bila, tau-tau je dah duduk sebelah aku. Ada keturunan puaka agaknya budak ni. Kalau tak, takkanlah aku tak sedar bila masa dia datang. Aku terus angkat kaki. Malas nak tengok si Balqis dok berdrama swasta kat situ. Perempuan tu ingat dia akan tercalon dalam Anugerah Skrin kot. Sebab tu sepanjang hayat nak berlakon saja. Fake! Bak kata Mat Luthfi, 

“Plastik, sampah paling banyak kat bumi ni!”

Alexis terus tergedik-gedik mengikut aku. Kadang-kadang getik aku tengok makhluk macam Alexis ni. Kadang-kadang je. Selalunya, aku sayang dia. Dia baik. Walaupun dua alam, dia bukan plastik. Dan dia cantik. Lagi cantik dari aku. Cis! Nama dalam ic dia Alex Fong. Kemudian dia terpengaruh dengan cerita Ugly Betty, lalu suruh aku panggil dia Alexis. Macam Alex Meade, abang kepada Daniel, hero dalam cerita tu yang buat pembedahan jantina dan tukar nama kepada Alexis.

Aku masuk toilet. Alexis tetap ikut walaupun di luar tertulis Ladies. Masa aku baru nak pulas kepala pili, tiba-tiba Balqis masuk. Tersenyum lalu meluru memeluk aku.

“Raimi! Thank’s a lot, darling. Youlah inspirasi I untuk buat paperwork tu. You patut dapat pujian.”

Aku jadi blank. Tau-tau je, kepala Balqis dah pecah aku hentak berkali-kali kat bucu sinki. Darah bersimbahan. Alexis dah macam Statue of Liberty. Kaku. Ternganga.

“Aku memang patut dapat pujian. Paperwork tu aku punya. Aku yang bersengkang mata buat kerja dan kau? Kau cuma bithcing around, ke hulu ke hilir buat-buat sibuk sambil bertepuk tampar dengan semua jantan kat opis ni. Aku tak suka jadi mangsa. Jadi, eloklah kalau kau mampus je.”

Aku pandang Alexis. Dia pandang aku. Aku senyum.

“Plastik, sampah paling banyak kat dunia. Kita kena lupuskan!”

Alexis senyum balik pada aku sambil mengangguk.

Tuesday, April 15, 2014

Duka April


UNTUK luka yang kau hadiahkan,
aku balas dengan kemaafan...

biarpun kamu tak pernah terasa salah itu milikmu,
demi damaikan hatiku, aku maafkan kamu...

namun KITA, biarlah sampai di sini sahaja,
maaf aku beri, tapi eloklah kalau kau tak lagi kutemui...

terima kaseh untuk dingin semalam,
semoga hari depan akan lebih suam.

Tuesday, February 11, 2014

Februari yang Manis


HANYA singgah sebentar untuk mengenang kemanisan Februari. Ramai insan-insan yang aku sayangi telah dilahirkan dalam bulan ini. Alhamdulillah. Selamat panjang umur, selamat murah rezeki, selamat mencapai kejayaan di dalam setiap apa yang sedang diusahakan, dan yang paling penting sekali ;

Semoga segala kegembiraan yang ada di dalam dunia ini akan menjadi milik kalian semua. Amin~

Sebagai sahabat, teman, adik dan ibu, aku hanya mendoakan dari kejauhan. Barangkali tiada kejutan, tiada hadiah... namun aku tetap mengenang kalian dengan doa-doa yang baik. In shaa ALLAH.

Selamat berbahagia dunia dan akhirat, kakak kesayangan, Kak Long Noraini ~ 10 Februari 1981
Selamat meraikan kemudaan, kawan paling cool, Epool ~ 11 Februari 198*
Selamat berhijrah, adik manis, Mimie ~ 12 Februari 1988
Selamat menjadi dewasa sebagai anak yang serba mengerti, belahan jiwa Mak Ngah, Iman ~ 18 Februari 2013
Selamat menjadi ibu dan isteri yang berbakti, sahabat yang manja, Mimi Aima ~ 19 Februari 1986
Selamat, selamat dan selamat walau di mana kamu berada, sahabat yang kukuh tersimpan di kamar hati dan amat dirindui, Noor Shahida ~ Februari 1986

dan paling istimewa,

Selamat beradu selamanya, abang Shahrul, semoga kau tenang di sana ~ 12 Februari 197* (al-Fatihah)

Wednesday, January 22, 2014

Wo-hoop2x... Dengar Radio~


RADIO. Satu benda yang aku rasa di mana-mana sahaja. Di rumah, pada kenderaan, di pejabat dan di mana-mana sahaja. Sementelah pada zaman langit terbuka ini, anda boleh mendapatkan siaran radio melalui internet. Betapa canggihnya dunia. Bayangkan apa yang akan kita dapat esok?

Aku sendiri seorang penggemar radio yang tegar. Kegilaan aku pada radio bermula sejak entah bila. Tahu-tahu sahaja, sehingga ke hari ini aku memerlukan radio untuk membuang masa. Sungguh. Masa boleh dihabiskan begitu sahaja tanpa jemu sekiranya aku mendengar radio. Semasa tinggal di rumah lama dahulu, rumah kami hanya mempunyai sebuah radio yang maha buruk. Terlalu buruknya radio itu sehingga butang 'main'nya tidak boleh ditekan lagi. Ertinya, ia tidak boleh memainkan kaset. Tapi tak apa, asalnya ia masih boleh menangkap frekuensi, aku tidak kisahkan langsung tentang butang 'main' yang tidak boleh ditekan itu. Sehinggalah pada suatu hari, emak telah berjaya mengumpul duit dan membeli sebuah radio yang canggih. Canggih di sini adalah kerana bukan sahaja ia boleh memainkan kaset, malah ia juga boleh memainkan cakera padat selain menyimpan beberapa frekuensi radio dalam 1 masa. Gila? Semasa tahun 1997, radio sebegitu adalah satu rahmat. Satu kecanggihan yang mampu mengkagumkan orang-orang kampung.

Hahahaha~ lampor!

Setiap petang sehingga malam aku akan menghabiskan masa di sisi radio. Balik sekolah, aku akan tidur selama dua jam sambil mendengar radio. Malamnya pula, aku akan menyiapkan kerja sekolah di hadapan radio. Meja kopi yang aku gunakan untuk menulis betul-betul terletak di depan radio. Aku menggunakan si radio habis-habisan seperti radio itu abah aku yang punya! (memang bapak aku yang punya pun. Hahaha~) Zaman tu semua stesen radio yang karut-marut macam sekarang ni mana ada. Lebih hangat dari biasa ke, rentak muzik terkini ke, hanya memainkan muzik retro yang terbaik ke... semuanya tak ada! Apa yang ada hanya stesen-stesen yang hurm~ walaupun agak membosankan, namun ia 10x ganda lebih baik dari stesen yang ada zaman sekarang. Sungguh. Dulu aku paling gila dengan Radio Muzik : Stesen Muzik Anda. Rancangan 'Pilihan Bersama' menemani aku setiap malam. Ia adalah sebuah zaman yang indah... dan mudah. Sungguh!

Bila aku dengar radio, aku cuma nak dengar dua benda sahaja sebenarnya : Lagu dan informasi. Info pun cukuplah sekadar aku tahu hal dunia. Lagu adalah agenda paling penting. Tanpa lagu, untuk aku, radio tidak lebih hanyalah sekadar kotak empat segi yang tak ada faedahnya. Jadi, aku sebenarnya menulis entri ini untuk meluahkan rasa menyampah dan meluat aku yang sedang menggebu-gebu kala ini. Perjalanan ke tempat kerja memakan masa maksima 20 minit setiap pagi. Dalam 20 minit ni, kalau aku pasang radio, aku cuma akan dapat 10 minit sembang mengarut DJ, 5 minit iklan tanpa henti dan kalau nasib aku baik aku akan dapat 5 minit untuk lagu (bersamaan dengan 1 lagu sahaja!). Kalau nasib tak baik, 5 minit itu akan dihabiskan sama ada untuk berita ataupun iklan lagi!

Apa ini?

Aku cuma menyimpan enam frekuensi stesen radio sahaja di dalam kereta. Kadang-kadang, meruap betul darah bila keenam-enam stesen tu tak habis-habis menyiarkan iklan! Aduh~ sakit dada. Sudahnya, aku memilih untuk memasang cakera padat sahaja (kereta aku tak cukup canggih. Tak ada slot untuk pemacu keras). Ini merupakan suatu kekesalan di dalam hidup aku. Apalah gunanya radio kalau ia tak berfungsi? Apakah relevannya iklan tanpa henti dan celoteh DJ yang lewat kebelakangan ini semakin sasau dan macam orang hilang akal. Cakap-gelak, cakap-gelak! Apakah?

Di sini aku ingin menyeru agar berhentilah memanipulasikan radio untuk membasuh minda pendengar, terutamanya kanak-kanak. Iklan yang sama dipasang beratus-ratus kali sehari sehingga melekat dalam kepala. Anda pernah dengar iklan yang lebih kurang bunyinya macam ni ;

Situasi : Perbualan antara dua kanak-kanak mengenai satu item.

Budak A : Tapi kamera saya tak canggih... (sedih)

Budak B : Suruhlah ayah awak beli kamera 'sekian-sekian'! (bangga dan berlebih-lebih)

Ini antara sikap memanipulasikan kanak-kanak untuk melariskan jualan yang paling hodoh sekali. Kanak-kanak diasuh untuk menghasut ibu bapa dan jika ibu atau bapa mereka tidak mampu untuk membeli item yang diminta, mereka akan merasa kehidupan mereka serba kekurangan dan malang. Aduh! Kasihan ibu dan bapa dewasa ini. Mereka ditekan dari semua arah. Bukan sahaja tekanan kerja dan pembelanjaan, malah tekanan dari para kapitalis yang sentiasa mahu mencekik darah dan keringat.

RADIO, sila kembali ke pangkal jalan~
*Gambar pinjam dari sini

Tuesday, January 21, 2014

Sodeh!

"Syukurlah... Malaysia masih aman~"
LEWAT kebelakangan ni, macam-macam demam melanda Malaysia. Demam selesema, demam akibat penyakit bawaan nyamuk, anak buah aku demam nak tumbuh gigi, rakan-rakan sepejabat pula demam sakit tekak, batuk dan sebagainya. Tapi manakan dapat melawan demam politik yang melanda tanah air. Demam barangan naik harga, demam tuntutan khalimah ALLAH, demam reformasi jalanan dan yang terkini, demam kangkung. Aku sebenarnya malas dan teramatlah muak nak menulis pasal isu kangkung ni. Isu ni sebenarnya tak relevan langsung dan tak sepatutnya jadi satu isu pun. 

Tapi kenapa media sosial dipenuhi soal kangkung?

Jawapannya mudah. Kerana rakyat sudah terluka. Luka ini pula nampak semakin parah hari demi hari. Oleh itu benda yang bukan apa-apa pun boleh terasa begitu menyakitkan jiwa. Aku selalu mengatakan yang aku ini orang lalang. Orang di atas pagar. Orang yang ke kiri tidak, ke kanan jauh sekali. Cuma selalunya, orang-orang sekeliling aku melihat si lalang ini selalu ditiup condong ke kiri. Salah... salah tu tuan-tuan. Hanya kerana aku selalu membangkang, itu tidak bererti aku menyokong pembangkang. Hahaha~

Sebagai rakyat Malaysia yang sudah hampir empat tahun menanggung perbelanjaan sendiri (bekerjalah kaedahnya), aku rasa aku mempunyai hak untuk mengutarakan pandangan. Jangan bebani aku dengan kenyataan yang teramat bodoh seperti ;

"Kalau tak suka dengan dasar kerajaan Malaysia, jangan duduk Malaysia."
atau

"Kalau rasa diri bijak pandai sangat, kaulah yang jadi menteri!"

Demi RABB, ini adalah di antara beratus-ratus kenyataan 'super-duper' bodoh yang seakan tak sudi cuping telinga aku ni nak mendengarnya. Mereka (aku gunakan mereka kerana aku tidak mengundi tempoh hari) ini adalah rakyat yang dengan hati ikhlas telah memilih pemimpin yang dipercayai boleh memimpin negara ke arah kemajuan dan kestabilan (melalui seluruh aspek kehidupan). Aku sendiri pula bercakap atas dasar aku memegang kad pengenalan biru dan berstatus warganegara. Oleh itu, aku masih rakyat yang berhak berkata-kata atas dasar kebaikan bersama. Setiap hari apabila kau dengar berita harga minyak naik, kau mesti bertanya;

"Kenapa minyak perlu mahal sedangkan kita mempunyai minyak kita sendiri?"

Bila pertanyaan ini timbul misalnya, pak menteri harus memberikan penjelasan yang munasabah dengan fakta yang kukuh dan bukannya menghalau rakyat Malaysia keluar dari negara tanah tumpah darah mereka ini. Itu sudah menoreh satu luka di jiwa rakyat. Apabila kita kekurangan bekalan gula di pasaran, kita mesti aku mengulang soal yang sama;

"Kenapa bekalan gula kurang sedangkan kita menghasilkan gula kita sendiri?"

Pak menteri juga tidak boleh menyuruh rakyat berhenti makan gula jika bekalan gula tidak ada. Itu telah menoreh satu lagi luka di hati rakyat. Bila pembangkang bikin manifesto yang berjanji akan menurunkan itu dan ini, pak menteri juga tidak sepatutnya 'menganjing' (istilah orang Ganu untuk memperli) pembangkang sebagai bermimpi di siang hari dan selepas itu meniru pula manifesto tersebut. Perbuatan ini boleh diumpamakan sebagai menjilat ludah sendiri.

Apabila tiba masa untuk janji ditepati, hal ini pula tidak berlaku. Semalam kata minyak takkan naik, hari ni tiba-tiba naik atas alasan ketidakstabilan harga minyak dunia. Semalam kata akan menurunkan harga tol, hari ini harga tol naik atas alasan perjanjian konsesi. Kemudian rakyat dihalau pula menggunakan jalan biasa jika tak mampu nak bayar harga tol. Semalam kata harga kereta akan turun, hari ni keluarkan model baru yang dibuang-kurangkan itu dan ini dan kemudian dijual dengan harga yang murah. Timbul lagi persoalan ;

"Kenapa harga kereta tempatan dijual lebih murah di luar negara berbanding di dalam negara sendiri?"

Semalam kata begitu dan hari ini jadi begini. Hinggakan aku bangun tidur dan bertanya ;

"Apa lagi yang akan naik hari ini? Apa lagi kenyataan pak menteri yang akan mengguris luka dalam hati rakyat kali ini?"

Jangan begitu, pak menteri. Jadilah cerdik. Ubati luka rakyat dan bukannya tambah garam pula pada luka dah sudah sedia pedih. Untuk orang yang hidupnya di atas tilam sutera dan makan di dalam dulang emas, barangkali kalau harga tol naik sampai berpuluh ringgit pun tak akan terasa apa-apa. Untuk orang yang duduk di atas kerusi baldu di dalam bilik berhawa dingin dan minum di dalam gelas permata juga tak akan terkesan kalau minyak naik harga sampai beratus ringgit pun. Tapi untuk golongan marhaen seperti aku ini, kalau naik 10 sen pun nilainya terasa menjerut sampai ke ulu hati. Belajar memahami kesusahan orang lain.

Ingatlah yang seluruh rakyat ini adalah amanah ALLAH SWT kepada anda semua.

Sekian~
p/s : Gambar ehsan dari sini