Thursday, April 24, 2014

Mangsa




DAH banyak kali aku cuba. Tapi hujung-hujung, macam gini jugak. Macam celaka. Sakit benar anak mata aku tengok kelakuan Balqis. Dia berdiri lebih kurang dua meter dari aku. Sedang tersenyum dan menerima ucapan tahniah dari teman-teman sepejabat yang lain.

"Rai! Chill, babe. Dah rezeki dia naik pangkat.”

Aku berkalih pandang ke arah Alexis yang entah bila, tau-tau je dah duduk sebelah aku. Ada keturunan puaka agaknya budak ni. Kalau tak, takkanlah aku tak sedar bila masa dia datang. Aku terus angkat kaki. Malas nak tengok si Balqis dok berdrama swasta kat situ. Perempuan tu ingat dia akan tercalon dalam Anugerah Skrin kot. Sebab tu sepanjang hayat nak berlakon saja. Fake! Bak kata Mat Luthfi, 

“Plastik, sampah paling banyak kat bumi ni!”

Alexis terus tergedik-gedik mengikut aku. Kadang-kadang getik aku tengok makhluk macam Alexis ni. Kadang-kadang je. Selalunya, aku sayang dia. Dia baik. Walaupun dua alam, dia bukan plastik. Dan dia cantik. Lagi cantik dari aku. Cis! Nama dalam ic dia Alex Fong. Kemudian dia terpengaruh dengan cerita Ugly Betty, lalu suruh aku panggil dia Alexis. Macam Alex Meade, abang kepada Daniel, hero dalam cerita tu yang buat pembedahan jantina dan tukar nama kepada Alexis.

Aku masuk toilet. Alexis tetap ikut walaupun di luar tertulis Ladies. Masa aku baru nak pulas kepala pili, tiba-tiba Balqis masuk. Tersenyum lalu meluru memeluk aku.

“Raimi! Thank’s a lot, darling. Youlah inspirasi I untuk buat paperwork tu. You patut dapat pujian.”

Aku jadi blank. Tau-tau je, kepala Balqis dah pecah aku hentak berkali-kali kat bucu sinki. Darah bersimbahan. Alexis dah macam Statue of Liberty. Kaku. Ternganga.

“Aku memang patut dapat pujian. Paperwork tu aku punya. Aku yang bersengkang mata buat kerja dan kau? Kau cuma bithcing around, ke hulu ke hilir buat-buat sibuk sambil bertepuk tampar dengan semua jantan kat opis ni. Aku tak suka jadi mangsa. Jadi, eloklah kalau kau mampus je.”

Aku pandang Alexis. Dia pandang aku. Aku senyum.

“Plastik, sampah paling banyak kat dunia. Kita kena lupuskan!”

Alexis senyum balik pada aku sambil mengangguk.

Tuesday, April 15, 2014

Duka April


UNTUK luka yang kau hadiahkan,
aku balas dengan kemaafan...

biarpun kamu tak pernah terasa salah itu milikmu,
demi damaikan hatiku, aku maafkan kamu...

namun KITA, biarlah sampai di sini sahaja,
maaf aku beri, tapi eloklah kalau kau tak lagi kutemui...

terima kaseh untuk dingin semalam,
semoga hari depan akan lebih suam.

Tuesday, February 11, 2014

Februari yang Manis


HANYA singgah sebentar untuk mengenang kemanisan Februari. Ramai insan-insan yang aku sayangi telah dilahirkan dalam bulan ini. Alhamdulillah. Selamat panjang umur, selamat murah rezeki, selamat mencapai kejayaan di dalam setiap apa yang sedang diusahakan, dan yang paling penting sekali ;

Semoga segala kegembiraan yang ada di dalam dunia ini akan menjadi milik kalian semua. Amin~

Sebagai sahabat, teman, adik dan ibu, aku hanya mendoakan dari kejauhan. Barangkali tiada kejutan, tiada hadiah... namun aku tetap mengenang kalian dengan doa-doa yang baik. In shaa ALLAH.

Selamat berbahagia dunia dan akhirat, kakak kesayangan, Kak Long Noraini ~ 10 Februari 1981
Selamat meraikan kemudaan, kawan paling cool, Epool ~ 11 Februari 198*
Selamat berhijrah, adik manis, Mimie ~ 12 Februari 1988
Selamat menjadi dewasa sebagai anak yang serba mengerti, belahan jiwa Mak Ngah, Iman ~ 18 Februari 2013
Selamat menjadi ibu dan isteri yang berbakti, sahabat yang manja, Mimi Aima ~ 19 Februari 1986
Selamat, selamat dan selamat walau di mana kamu berada, sahabat yang kukuh tersimpan di kamar hati dan amat dirindui, Noor Shahida ~ Februari 1986

dan paling istimewa,

Selamat beradu selamanya, abang Shahrul, semoga kau tenang di sana ~ 12 Februari 197* (al-Fatihah)

Wednesday, January 22, 2014

Wo-hoop2x... Dengar Radio~


RADIO. Satu benda yang aku rasa di mana-mana sahaja. Di rumah, pada kenderaan, di pejabat dan di mana-mana sahaja. Sementelah pada zaman langit terbuka ini, anda boleh mendapatkan siaran radio melalui internet. Betapa canggihnya dunia. Bayangkan apa yang akan kita dapat esok?

Aku sendiri seorang penggemar radio yang tegar. Kegilaan aku pada radio bermula sejak entah bila. Tahu-tahu sahaja, sehingga ke hari ini aku memerlukan radio untuk membuang masa. Sungguh. Masa boleh dihabiskan begitu sahaja tanpa jemu sekiranya aku mendengar radio. Semasa tinggal di rumah lama dahulu, rumah kami hanya mempunyai sebuah radio yang maha buruk. Terlalu buruknya radio itu sehingga butang 'main'nya tidak boleh ditekan lagi. Ertinya, ia tidak boleh memainkan kaset. Tapi tak apa, asalnya ia masih boleh menangkap frekuensi, aku tidak kisahkan langsung tentang butang 'main' yang tidak boleh ditekan itu. Sehinggalah pada suatu hari, emak telah berjaya mengumpul duit dan membeli sebuah radio yang canggih. Canggih di sini adalah kerana bukan sahaja ia boleh memainkan kaset, malah ia juga boleh memainkan cakera padat selain menyimpan beberapa frekuensi radio dalam 1 masa. Gila? Semasa tahun 1997, radio sebegitu adalah satu rahmat. Satu kecanggihan yang mampu mengkagumkan orang-orang kampung.

Hahahaha~ lampor!

Setiap petang sehingga malam aku akan menghabiskan masa di sisi radio. Balik sekolah, aku akan tidur selama dua jam sambil mendengar radio. Malamnya pula, aku akan menyiapkan kerja sekolah di hadapan radio. Meja kopi yang aku gunakan untuk menulis betul-betul terletak di depan radio. Aku menggunakan si radio habis-habisan seperti radio itu abah aku yang punya! (memang bapak aku yang punya pun. Hahaha~) Zaman tu semua stesen radio yang karut-marut macam sekarang ni mana ada. Lebih hangat dari biasa ke, rentak muzik terkini ke, hanya memainkan muzik retro yang terbaik ke... semuanya tak ada! Apa yang ada hanya stesen-stesen yang hurm~ walaupun agak membosankan, namun ia 10x ganda lebih baik dari stesen yang ada zaman sekarang. Sungguh. Dulu aku paling gila dengan Radio Muzik : Stesen Muzik Anda. Rancangan 'Pilihan Bersama' menemani aku setiap malam. Ia adalah sebuah zaman yang indah... dan mudah. Sungguh!

Bila aku dengar radio, aku cuma nak dengar dua benda sahaja sebenarnya : Lagu dan informasi. Info pun cukuplah sekadar aku tahu hal dunia. Lagu adalah agenda paling penting. Tanpa lagu, untuk aku, radio tidak lebih hanyalah sekadar kotak empat segi yang tak ada faedahnya. Jadi, aku sebenarnya menulis entri ini untuk meluahkan rasa menyampah dan meluat aku yang sedang menggebu-gebu kala ini. Perjalanan ke tempat kerja memakan masa maksima 20 minit setiap pagi. Dalam 20 minit ni, kalau aku pasang radio, aku cuma akan dapat 10 minit sembang mengarut DJ, 5 minit iklan tanpa henti dan kalau nasib aku baik aku akan dapat 5 minit untuk lagu (bersamaan dengan 1 lagu sahaja!). Kalau nasib tak baik, 5 minit itu akan dihabiskan sama ada untuk berita ataupun iklan lagi!

Apa ini?

Aku cuma menyimpan enam frekuensi stesen radio sahaja di dalam kereta. Kadang-kadang, meruap betul darah bila keenam-enam stesen tu tak habis-habis menyiarkan iklan! Aduh~ sakit dada. Sudahnya, aku memilih untuk memasang cakera padat sahaja (kereta aku tak cukup canggih. Tak ada slot untuk pemacu keras). Ini merupakan suatu kekesalan di dalam hidup aku. Apalah gunanya radio kalau ia tak berfungsi? Apakah relevannya iklan tanpa henti dan celoteh DJ yang lewat kebelakangan ini semakin sasau dan macam orang hilang akal. Cakap-gelak, cakap-gelak! Apakah?

Di sini aku ingin menyeru agar berhentilah memanipulasikan radio untuk membasuh minda pendengar, terutamanya kanak-kanak. Iklan yang sama dipasang beratus-ratus kali sehari sehingga melekat dalam kepala. Anda pernah dengar iklan yang lebih kurang bunyinya macam ni ;

Situasi : Perbualan antara dua kanak-kanak mengenai satu item.

Budak A : Tapi kamera saya tak canggih... (sedih)

Budak B : Suruhlah ayah awak beli kamera 'sekian-sekian'! (bangga dan berlebih-lebih)

Ini antara sikap memanipulasikan kanak-kanak untuk melariskan jualan yang paling hodoh sekali. Kanak-kanak diasuh untuk menghasut ibu bapa dan jika ibu atau bapa mereka tidak mampu untuk membeli item yang diminta, mereka akan merasa kehidupan mereka serba kekurangan dan malang. Aduh! Kasihan ibu dan bapa dewasa ini. Mereka ditekan dari semua arah. Bukan sahaja tekanan kerja dan pembelanjaan, malah tekanan dari para kapitalis yang sentiasa mahu mencekik darah dan keringat.

RADIO, sila kembali ke pangkal jalan~
*Gambar pinjam dari sini

Tuesday, January 21, 2014

Sodeh!

"Syukurlah... Malaysia masih aman~"
LEWAT kebelakangan ni, macam-macam demam melanda Malaysia. Demam selesema, demam akibat penyakit bawaan nyamuk, anak buah aku demam nak tumbuh gigi, rakan-rakan sepejabat pula demam sakit tekak, batuk dan sebagainya. Tapi manakan dapat melawan demam politik yang melanda tanah air. Demam barangan naik harga, demam tuntutan khalimah ALLAH, demam reformasi jalanan dan yang terkini, demam kangkung. Aku sebenarnya malas dan teramatlah muak nak menulis pasal isu kangkung ni. Isu ni sebenarnya tak relevan langsung dan tak sepatutnya jadi satu isu pun. 

Tapi kenapa media sosial dipenuhi soal kangkung?

Jawapannya mudah. Kerana rakyat sudah terluka. Luka ini pula nampak semakin parah hari demi hari. Oleh itu benda yang bukan apa-apa pun boleh terasa begitu menyakitkan jiwa. Aku selalu mengatakan yang aku ini orang lalang. Orang di atas pagar. Orang yang ke kiri tidak, ke kanan jauh sekali. Cuma selalunya, orang-orang sekeliling aku melihat si lalang ini selalu ditiup condong ke kiri. Salah... salah tu tuan-tuan. Hanya kerana aku selalu membangkang, itu tidak bererti aku menyokong pembangkang. Hahaha~

Sebagai rakyat Malaysia yang sudah hampir empat tahun menanggung perbelanjaan sendiri (bekerjalah kaedahnya), aku rasa aku mempunyai hak untuk mengutarakan pandangan. Jangan bebani aku dengan kenyataan yang teramat bodoh seperti ;

"Kalau tak suka dengan dasar kerajaan Malaysia, jangan duduk Malaysia."
atau

"Kalau rasa diri bijak pandai sangat, kaulah yang jadi menteri!"

Demi RABB, ini adalah di antara beratus-ratus kenyataan 'super-duper' bodoh yang seakan tak sudi cuping telinga aku ni nak mendengarnya. Mereka (aku gunakan mereka kerana aku tidak mengundi tempoh hari) ini adalah rakyat yang dengan hati ikhlas telah memilih pemimpin yang dipercayai boleh memimpin negara ke arah kemajuan dan kestabilan (melalui seluruh aspek kehidupan). Aku sendiri pula bercakap atas dasar aku memegang kad pengenalan biru dan berstatus warganegara. Oleh itu, aku masih rakyat yang berhak berkata-kata atas dasar kebaikan bersama. Setiap hari apabila kau dengar berita harga minyak naik, kau mesti bertanya;

"Kenapa minyak perlu mahal sedangkan kita mempunyai minyak kita sendiri?"

Bila pertanyaan ini timbul misalnya, pak menteri harus memberikan penjelasan yang munasabah dengan fakta yang kukuh dan bukannya menghalau rakyat Malaysia keluar dari negara tanah tumpah darah mereka ini. Itu sudah menoreh satu luka di jiwa rakyat. Apabila kita kekurangan bekalan gula di pasaran, kita mesti aku mengulang soal yang sama;

"Kenapa bekalan gula kurang sedangkan kita menghasilkan gula kita sendiri?"

Pak menteri juga tidak boleh menyuruh rakyat berhenti makan gula jika bekalan gula tidak ada. Itu telah menoreh satu lagi luka di hati rakyat. Bila pembangkang bikin manifesto yang berjanji akan menurunkan itu dan ini, pak menteri juga tidak sepatutnya 'menganjing' (istilah orang Ganu untuk memperli) pembangkang sebagai bermimpi di siang hari dan selepas itu meniru pula manifesto tersebut. Perbuatan ini boleh diumpamakan sebagai menjilat ludah sendiri.

Apabila tiba masa untuk janji ditepati, hal ini pula tidak berlaku. Semalam kata minyak takkan naik, hari ni tiba-tiba naik atas alasan ketidakstabilan harga minyak dunia. Semalam kata akan menurunkan harga tol, hari ini harga tol naik atas alasan perjanjian konsesi. Kemudian rakyat dihalau pula menggunakan jalan biasa jika tak mampu nak bayar harga tol. Semalam kata harga kereta akan turun, hari ni keluarkan model baru yang dibuang-kurangkan itu dan ini dan kemudian dijual dengan harga yang murah. Timbul lagi persoalan ;

"Kenapa harga kereta tempatan dijual lebih murah di luar negara berbanding di dalam negara sendiri?"

Semalam kata begitu dan hari ini jadi begini. Hinggakan aku bangun tidur dan bertanya ;

"Apa lagi yang akan naik hari ini? Apa lagi kenyataan pak menteri yang akan mengguris luka dalam hati rakyat kali ini?"

Jangan begitu, pak menteri. Jadilah cerdik. Ubati luka rakyat dan bukannya tambah garam pula pada luka dah sudah sedia pedih. Untuk orang yang hidupnya di atas tilam sutera dan makan di dalam dulang emas, barangkali kalau harga tol naik sampai berpuluh ringgit pun tak akan terasa apa-apa. Untuk orang yang duduk di atas kerusi baldu di dalam bilik berhawa dingin dan minum di dalam gelas permata juga tak akan terkesan kalau minyak naik harga sampai beratus ringgit pun. Tapi untuk golongan marhaen seperti aku ini, kalau naik 10 sen pun nilainya terasa menjerut sampai ke ulu hati. Belajar memahami kesusahan orang lain.

Ingatlah yang seluruh rakyat ini adalah amanah ALLAH SWT kepada anda semua.

Sekian~
p/s : Gambar ehsan dari sini

Monday, January 20, 2014

Ada

 

Ada jiwa yang kusimpan untuk hari muka,
Biar ia jauh tak terjangkau dek mata....

Ada rasa yang kubelai manja,
Kusiram agar harum sepanjang masa.

Ada duka yang kutelan jua,
Oleh kerana dunia punya karma;

Ku yakin jarum masa akan mengait sengsara,
Berpintal menjadi gulungan benang bahagia...!

Thursday, December 19, 2013

Tahniah!



ALHAMDULILLAH, katanya keputusan PMR dah keluar. Tahniah aku ucapkan kepada yang berjaya. Tahniah juga aku ucapkan kepada yang kurang berjaya. Tahniah juga aku ucapkan kepada tak berjaya, dengan syarat anda sudah berusaha. Untuk aku, anda hanya gagal apabila anda sudah berhenti berusaha. 

Aku rasa terpanggil untuk menulis kerana perbualan aku dengan rakan sekerja pada pagi tadi. Dia memberitahu anak saudaranya 'HANYA' mendapat 3A dalam PMR. Katanya begini ;

"Akak nak cakap apa lagi, suruh mak dia sabar ajelah. Dah orang lain dapat sampai 8, 9 A... dia dapat 3 aje. Banyak main budak tu. Belajar tak ndak!"

Aku punya jawab ;

"Eh, baguslah kalau macam tu. Dia tak ndak belajar pun buleh dapat 3A. Hebat!"

Muka akak sekerja aku tu berubah dibuatnya. Aku bukan apa. Aku sebenarnya terasa kesal. Terus-terang aku cakap, aku dapat 2A masa PMR dulu. Dan aku cukup berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan tersebut. Jujur. Nak susah hati buat apa? Aku dah berusaha, itu sahaja kemampuan aku, jadinya alhamdulillah. Ada juga A. (^_^) Syukur!

Aku ingin menyeru kepada masyarakat, sudah-sudahlah tu. A bukan segala-galanya. Siapa yang dalam dunia ni yang nak jadi bodoh? Siapa pula yang dalam dunia ni tak nak jadi cerdik pandai? Cemerlang, terbilang, pelajar nilam dan segala bagai tu? Siapa yang tak nak? Semua orang nak. Hakikatnya, tahap pemahaman dan pemikiran orang tak sama. Aku tak salahkan guru-guru 100%. Guru adalah manusia biasa yang bukan maksum. Ruang kekhilafan sentiasa ada sentiasa terbuka. Namun, tolonglah ikhlaskan diri apabila sudah menerima amanah sebagai guru. 

Aku ceritakan pengalaman sendiri tentang 3 orang guru aku. Pertama, cikgu sejarah tingkatan 3 aku. Guru yang sepatutnya memberi didikan pernah mengherdik aku sebagai hodoh, menyakitkan matanya yang berdiri di hadapan dan kalau tak ada pelajar seperti aku adalah lebih baik. Situasinya? Begini :

Aku mempunyai dua orang sahabat ketika itu. Malangnya kedua-dua orang sahabat aku ni tak suka matapelajaran sejarah. Jadinya mereka cukup suka bersembang semasa cikgu mengajar. Aku ulang, MEREKA berdua suka bersembang semasa cikgu mengajar. Tambah malangnya aku duduk di antara mereka berdua. Jadi, cikgu aku ni terus 'aim' kami bertiga. Maki hamun dan herdikan yang dilontarkan kepada kami bertiga cukup menusuk dan masih aku kenang sehingga ke hari ini. Dia juga dengan berani dan yakinnya berkata yang aku tidak akan menjadi manusia yang berjaya di dalam kehidupan kelak.

Cikgu yang kedua, cikgu bahasa Melayu di tingkatan 4. Dia masuk ke dalam kelas dan naik hantu apabila melihat kerusi di meja gurunya hanya kerusi yang sama dengan kerusi kami. Dia terus mengherdik kami dan berkata ;


"Awak semua tahu tak yang darjat saya sebagai guru ni lebih tinggi daripada awak semua? Kerusi macam ni tak layak untuk saya. Jatuh martabat saya. Ketua kelas pergi cari kerusi guru di stor sekarang jugak."

Cikgu yang ketiga paling 'seronok'. Cikgu matematik di darjah 3. Inilah cikgu yang bertanggungjawab menyebabkan aku jadi tak berminat dengan subjek matematik. Aku memang lemah di dalam subjek kira-kira. Apabila dia menerangkan tentang darab dan bahagi di papan hitam, aku lambat dapat menangkap. Selesai memberi penerangan, dia pun bertanya siapa yang masih tak faham sila angkat tangan. Aku pun apa lagi, teruslah angkat tangan. Dia menulis satu soalan di papan hitam dan menyuruh aku menjawabnya. Bila aku kata aku tak tahu, dia terus menghantuk kepala aku di papan hitam dan memarahi aku sebab tak beri perhatian semasa dia mengajar.

Cukup dengan cikgu yang 'hebat'. Aku ceritakan pula pengalaman dengan dua orang guru yang paling hebat dan sentiasa unggul di hati aku. Dua orang lagi guru yang juga tak kurang hebat dengan cara mereka yang tersendiri di dalam mengajar. Pertamanya, cikgu sains aku di tingkatan 3. Cikgu Asma namanya. Amat bengkeng dalam mengajar. Namun tegasnya cukup bertempat. Ada dua peristiwa yang paling melekat dalam kepala aku. Pertamanya, ada dua orang kawan aku ni asyik 'tertinggal' kerja sekolah mereka di rumah. Cikgu Asma pun berkata ;


"Minggu lepas tertinggal, semalam tertinggal, hari ini pun tertinggal. Apa yang pelupa sangat? Scrotum ingat pulak nak bawak? Bawak scrotum tak?"

Masa tu kami semua tak tahu apakah bendanya scrotum tu. Jadi kami pun sibuk membelek buku. Bila dah tahu, wosh! Merah menyala muka kawan aku tu. Hahaha. Sejak tu, tak ada siapa lagi yang berani tinggal kerja sekolah. Satu lagi, Cikgu Asma selalu ingatkan kami semua ;


"Jangan biasakan diri cakap 'tak tahu'. Tapi ajar diri cakap 'tak pasti, nanti saya rujuk dulu'. Pastikan diri betul-betul rujuk. Belajar benda baru setiap hari. Baru kita boleh berjaya. Kejayaan sentiasa datang dalam bentuk yang berbeza-beza. Semua orang tak sama. Apa yang penting, kita tetap berjaya di dalam bidang yang kita pilih. Kalau kita pilih nak jadi doktor, pastikan kita belajar sampai berjaya jadi doktor. Kalau kita pilih nak jadi mekanik motor, pastikan kita berjaya jadi mekanik motor yang handal dan terbaik. Hidup ni mudah. Jadi, jangan susahkannya."

Bila aku dapat 2A dalam PMR yang mana salah satunya subjek sains, aku terus berlari kepada Cikgu Asma. Namun langkah aku terhenti apabila melihat beliau dikerumuni pelajar yang mendapat 5, 6, 7, 8 dan 9 A. Aku jadi segan. Aku ingin berpaling namun kehadiran aku disedarinya. Dia terus merampas slip peperiksaan di tanganku dan melihatnya. Kemudian, dengan senyuman dia memeluk aku dan berkata ;


"Tahniah, Mardhiah. Awak dah berjaya."

Sejak itulah, aku tak pernah ada kekesalan dalam hati dengan apa yang aku dapat. Alhamdulillah. Guruku yang kedua, Cikgu Noraini yang mengajar subjek matematik tambahan di tingkatan 4 dan 5. Sepanjang tingkatan 4, aku dapat markah 0 untuk subjek ini. Sepanjang tingkatan 5 pula, adalah peningkatan sikit sekitar 10-12 markah. Beliau sama bersusah hati. Lagi 3 bulan nak SPM, beliau tarik aku di dalam latihan intensif bagi memastikan aku lulus. Bila keputusan SPM diumumkan, aku berjaya lulus 8E dalam matematik tambahan menjadikan slip keputusan SPM aku bersih tanpa 9G. Alhamdulillah. Apabila aku tunjukkan pada Cikgu Noraini, beliau terus menangis terharu dan memeluk aku sambil berkata,


"Alhamdulillah, kamu lulus. Tahniah, Mardhiah! Cikgu dah kata, kalau kamu berusaha, kamu pasti akan berjaya."

Aku bayangkan semasa itu kalaulah aku dapat 1A dalam matematik tambahan, agaknya Cikgu Noraini akan terus buat kenduri doa selamat. Aku cuma lulus cukup makan, namun beliau sudah begitu gembira. Inilah guru yang benar-benar seorang pendidik yang ikhlas di dalam mendidik anak bangsanya. 

Ada beberapa orang lagi guru-guru yang aku kagumi dengan semangat mereka di dalam mendidik. Namun coretan ini sudah terlalu panjang untuk aku lipurkan kisah mereka. In shaa ALLAH, ilmu dan kasih sayang yang mereka curahkan tetap tersimpan kemas di dalam sudut ingatan. Terima kasih wahai guru-guruku.

Aku selalu percaya, jika semua guru benar-benar ikhlas di dalam mengajar dan tidak menjadi guru hanya kerana tidak ada kerja lain (dll), pasti tidak ada seorang pun pelajar yang akan gagal di dalam dunia ini. Seperti kata Cikgu Asma, barangkali kejayaan itu sahaja yang akan berbeza-beza kerana semua orang tak sama.

Menjadi orang yang berjaya itu sebenarnya subjektif. Alhamdulillah, sebagai seorang graduan di dalam pengkhususan Penulisan Kreatif, aku kira aku sudah menjadi manusia yang berjaya dengan menjawat jawatan sebagai Editor. Syukur.

Tahniah sekali lagi buat SEMUA adik-adik yang menerima keputusan PMR. Semoga anda semua akan menjadi insan yang berjaya di dalam kehidupan anda.

Amin. 
( Gambar adalah ehsan dari sini )

Friday, November 29, 2013

Selamat Jalan, November


30 November... hari terakhir di dalam bulan kesayanganku. Selamat jalan, Novemberku. Semoga kita akan bertemu kembali. Semoga hidup akan terus semanis red velvet yang dibelikan adik kesayanganku sempena ulangtahun tempoh hari.

In shaa ALLAH.

Tuesday, October 29, 2013

Ulangtahun


ALHAMDULILLAH, semalam adalah hari bahagia. 29 Oktober 1956, iaitu 57 tahun yang lalu, Shamsudin Ismail telah dilahirkan di Negeri Sembilan. 30 tahun selepas 1956 iaitu pada tahun 1986, beliau yang bernama Shamsudin ini telah menerima kelahiran seorang puteri yang bernama Mardhiah. Yang bernama Mardhiah itu ialah aku. Huhuhu~ dramatik betul. Aku cuma ingin meraikan hari ulangtahun di mana ayahandaku yang tercinta ini dilahirkan. Alhamdulillah, pada usia 57 tahun ini, beliau masih bersama kami. Masih menjadi bapa yang terbaik untuk kami. Masih dikurniakan ALLAH SWT dengan kesihatan dan ingatan yang baik. Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Mu duhai RABB. ^_^

Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-57, ayah. Terima kasih kerana menjadi bapa yang terbaik untuk seorang anak. Terima kasih kerana mendidik aku dengan ketegasan dan kasih sayang. Aku menghargai setiap pengorbanan yang ayah lakukan demi membesarkan seorang aku. Terima kasih kerana sentiasa di belakangku, menjadi kekuatan untuk aku melangkah ke hadapan. Aku tahu, aku takkan pernah rebah kerana ayah akan sentiasa ada untuk aku.

Maafkan aku andai masih belum menjadi anak yang terbaik untukmu. Apa yang boleh aku katakan ialah aku sangat mengasihimu. Semoga ALLAH SWT akan memanjangkan usia, murah rezeki, menyihatkan tubuh badan dan memberikan kasih-sayang yang sentiasa menggebu-gebu buat ayah dan kita sekeluarga. Amin~ 

29 Oktober juga merupakan ulangtahun ke-2 kepulangan abangku, Allahyarham Shahrul Anuar Ibrahim ke rahmatullah. Semoga abang tenang, damai dan berbahagia di sana. Amin~ Aku sentiasa akan mengenang kau di dalam ruang ingatan yang paling dalam. Aku akan menyusul, bang. Cuma tak tahu bila. 

Al-Fatihah~

Thursday, October 10, 2013

Salam Iduladha ^_^


ASSALAMUALAIKUM. Kita sudah berada di dalam bulan Zulhijjah yang penuh keberkatan. Berpuasa di hari-hari terawal di dalam bulan ini menjanjikan 1001 rahmat. Semoga kesemua kita berhasil memperoleh kasih-sayang daripada Yang Maha Esa. Amin.

Malam ini in shaa ALLAH aku akan berangkat pulang ke kampung halaman di Bandaraya Persisir Air bersama adik dan adik iparku. Semoga perjalanan kami akan dilindungi oleh ALLAH SWT dan sampai ke pangkuan ayah dan bonda tercinta yang sedang menunggu. Amin.

Ini adalah bersempena Hari Raya Iduladha yang bakal menghulurkan salam. Alhamdulillah. Ini adalah perayaan yang menuntut pengorbanan. Semoga kita semua akan dapat menabahkan jiwa dan berkorban demi rahmat dan kasih sayang-NYA. Amin.

Duhai Tuhan Rabbul-Alamin... kuatkanlah jiwa hamba, demi kecintaan kepada-MU wahai Tuhan, bawalah aku sentiasa dekat pada-MU... Amin.

Nota : Gambar ehsan Google.

Tuesday, September 24, 2013

Penyakit Psikologi


APA perasaan anda jika suatu hari anda ditakdirkan hidup serumah atau sekurang-kurangnya mengenali manusia yang mengalami penyakit psikologi atau mental atau jiwa? Adakah anda boleh menerimanya dengan lapang dada dan tangan terbuka atau anda cuba sedaya-upaya untuk lari daripada manusia-manusia ini?

Apa yang akan anda lakukan?

Ini adalah persoalan yang sukar untuk dijawab sebenarnya. Ya, memang bukan mudah untuk menghadapi manusia-manusia yang mengalami masalah sebegini. Dalam kata ringkasnya, ramai yang lebih senang melabelkan mereka-mereka ini sebagai GILA.

Ya, gila.

Kegilaan ini sebenarnya bermacam-mana. Terlalu suka membaca pun, gila juga. Dikatakan ia gila membaca. Jadi, sejauh mana isu gila ini serius? Aku berikan satu soalan di laman sosial Facebook yang berbunyi begini :

"Ceritanya begini : Pada suatu hari ibu saudara Ali meninggal dunia. Pada majlis pengkebumian itu, Ali terserempak dengan seorang gadis yang jelita. Ali tertarik dengan gadis itu namun malangnya dia tak tahu siapakah gadis tersebut. Esoknya, penduduk kampung gempar apabila mendapati bapa saudara Ali (iaitu suami arwah ibu saudaranya) pula meninggal. Rupanya arwah dibunuh oleh Ali.

Soalan : Mengapakah Ali membunuh bapa saudaranya?"

Biar aku terangkan di sini. Secara normal, kebanyakan orang akan menjawab sama ada gadis itu isteri kedua atau mempunyai hubungan dengan bapa saudara Ali. Tetapi soalan ini mempunyai jawapan kedua. Sesiapa yang memberi jawapan kedua ini selalunya tidak normal (atau lebih mudah dihukum sebagai gila.) Tidak normal yang bagaimana? Orang yang memberi jawapan kedua dikatakan 'Cenderung berpotensi untuk menjadi pembunuh'.

Oke.

Di sinilah saatnya aku menjadi paranoid. Sudah dua minggu aku tak cukup tidur @ tidur tak lena. Hati aku sentiasa berdebar-debar dan aku rasa aku dah jadi paranoid. Biarlah aku berterus-terang. Aku kini sedang berhadapan dengan rakan serumah yang memberi jawapan kedua itu. Aku tak menuduh dia sebagai pengidap penyakit psikologi hanya kerana sebaris soalan. Tidak. Aku tidak secetek itu. Ada beberapa perkara dan siri perbuatan beliau yang mengesahkan ada sesuatu hal yang tidak beres dengan mental atau jiwa beliau.

Aku sebenarnya tak tahu apa yang patut aku lakukan. Buat masa ini aku hanya mampu berdoa supaya beliau akan dapat bertenang sehingga aku berpindah. Janganlah pula kawan-kawan semua menuduh aku berpindah kerana terlalu paranoid dan takut dibunuh. Tidak sampai begitu. Kebetulan aku kini sudah bertukar kerja. Jadi bagus kalau aku mencari rumah baru yang lebih dekat dengan tempat kerja. Ia lebih menjimatkan.

Buat masa ni, paranoid aku cuma setakat pulang lewat ke rumah, berpura-pura riang dan melayannya dan akhir sekali mengunci pintu bilik apabila hendak tidur sahaja. Semoga mimpi ngeri ini akan berakhir selepas aku berpindah. In shaa ALLAH. Amin.

Hati, tabahlah. 

Nota : Gambar di atas di petik dari sini. Terima kaseh.