Thursday, September 27, 2012

Program Lagi... Program Lagi!

Ini kami semasa di PD. Sama saiz semunya. Bunga-bunga Pekan ^_^

OPIS baru aku nih memang sangat suka mengadakan program. Aku pun suka jugak pasal dapat berjalan (tapi kalau boleh janganlah banyak sangat. Hahahaha... aku sangat menghargai masa lapangku yang sungguh terhad ;p). Esok kami akan berprogram lagi. Sabtu Ahad. Kali ini dekat. Tak sampai ke PD pun. Huhuhu. Di Langat saja! Tapi tempatnya menarik, Agro Garden Resort. Aku bukannya tahu sangat, tak pernah ke sana pun. Tapi budak-budak opis ni kata menarik, jadi aku ambil sebagai menariklah. ^_^

Bukan tempatnya yang menjadi isu. Tapi programnya. Aku kira ia amat sesuai dengan tanggungjawab kami sebagai muslim.

Menghayati Cara Hidup Rasulullah SAW.

Alhamdulillah. Semoga kami se'pekan' akan berhasil menghayati cara hidup kekasih ALLAH ini. Amin.

Yuk!

Sunday, September 23, 2012

Tanda dan Petanda


INI adalah suatu hal yang selalu memeningkan kepala hotak aku. Aku adalah seorang manusia yang selalu suka membaca tanda. Maksud? Mudah. Sebagai contoh, kalau orang ni boleh tolong aku, dia akan tanya aku dulu. Kalau dia tanya, aku akan minta tolong dia. Kalau tak, sebaliknya. Faham sekarang?

Hurm...

Aku sebenarnya bukan sengaja sibuk nak cari tanda ni. Benda ni memang automatik akan pop-up dalam kepala aku setiap kali aku sedang berada di persimpangan dilema. Chewah! Bukan tu saja, malah, kalau aku baca sesuatu atau tengok atau dengar sesuatu pun, aku secara auto akan cuba menjadi petanda di situ. Alangkah rumitnya!

Ada seseorang ni. Aku fikir dia pernah sangat memahami aku. Sebab dia pun suka main tanda dengan aku dulu. Dia tahu apa yang aku suka, dan apa yang boleh menarik perhatian aku. Sekarang kami jauh, cukup jauh dan terlalu jauh sampai tak keterlaluan kalau aku cakap kami sudah berada dalam dua dunia yang berbeza.

Masalahnya?

Masalahnya ada dua perkara yang dia buat yang sedang menyebabkan aku terfikir, adakah dia sedang memberi petanda kepada aku yang dia masih ingat pada aku ataupun hanya aku yang terlalu banyak berfikir dan tak habis-habis dengan konsep tanda ni.

Haizzzzz!!!

Alangkah tak bestnya perasaan ni! Spoil mood aku untuk petang ni. :(

Friday, September 21, 2012

Klorofil


APAKAH klorofil? Huhuhu... kenapa aku tiba-tiba tanya soalan yang pelik ini? Sebelum apa-apa, elok aku perjelaskan. Ini adalah entri mengarut + kosong yang aku tulis demi merehatkan otak yang tengah berserabut menyiapkan buku terapi. Ironi, kan? Macam mana kerja-kerja mengedit buku bergenrekan terapi boleh menyebabkan aku jadi stress??? Hahaha... ia memang satu misteri (rujuk entri tangan patah aku tempoh hari. Dah dapat jawapan?)

Kembali kepada klorofil. Sebenarnya tiga hari yang lalu, budak opis aku iaitu Cik Seyha cantik dan Cik Bella manis telah memperkenalkan aku kepada minuman klorofil ini. Kata mereka baik untuk kesihatan. Aku pun tanpa segan silunya, terus mencuba. Wah, sungguh aku cakap, memang memuaskan. Bahan buangan aku berjaya dihasilkan dengan sempurna dan baunya... wallah! Busuk gila. Hahahaha! (Gila kentang cerita pasal tandas kat dalam blog) Bukan apa, Bella cakap En. Klorofil kita nilah yang bertanggungjawab di atas semua itu. Klorofil berfungsi menyingkirkan toksin dalam badan melalui sistem perkumuhan. Bukan tu saja, rupa-rupanya memang banyak kebaikan benda ni dan sangat sesuai digunakan oleh aku. 

Sebab?

Menurut petikan blog klik sini, aku memang patut minum klorofil ni sebagai amalan. Antaranya, ia sesuai untuk orang (iaitu aku) yang mengalami masalah berat badan, sembelit, sakit ketika haid, tak tahan sejuk, mudah rasa penat dan tertekan, bermasalah pernafasan (nafas sangkut),  sengal-sengal tulang dan selalu sakit tekak. Selain itu katanya, En. Klorofil ini juga sesuai untuk awet muda kerana ia kaya dengan Zink, Vitamin A, C, E dan Selenium (yang berfungsi untuk melindungi dan memperbaharui sel-sel badan).

Jadi kawan-kawan yang kita suka dan tak suka, aku dengan ini syorkan supaya anda semua turut mengamalkan pengambilan En. Klorofil. Gaji nanti aku akan beli. Tak payah minta kat Bella dan Seyha lagi. Hahaha!

Thursday, September 20, 2012

Aku Terima Nikahnya


JANGAN salah faham, aku bukan nak promote filem antara yang terbaharu dari MiG. Sebaliknya, saja nak buat curhat. Kawan-kawan tahu apa itu curhat? Huhuhu. Kalau cerpen adalah singkatan daripada 'Cerita Pendek' maka curhat adalah singkatan daripada 'Curahan Hati'. Huhuhu. Aku rasa ramai kawan-kawan yang tahu, sajalah aku nak buat sibuk terangkan. ;p

Aku terima nikahnya.

Adalah satu ungkapan yang selalu mendatangkan emosi kepada aku. Malangnya, aku adalah antara wanita tipikal yang selalu menangis pada majlis pernikahan. Saat pengantin lelaki menjabat tangan kadi, atau wali (bapa pengantin perempuan), dada aku akan mula sebak. Bila pengantin lelaki menjawab;

"Aku terima nikahnya..."

Mata aku akan mula bergenang air. Lalu pada ketika doa dibacakan dan upacara membatalkan air sembahyang berlangsung, aku langsung termenangis. Huhuhu. Tipikal! Sebenarnya itulah antara sebab kenapa secara jujurnya aku akan mengelak dari menghadiri majlis nikah. Kali akhir, aku menyaksikan pernikahan Kak Ct Nazariah. Selepas tu, tak ada lagi. Aku selalu membayangkan sebuah majlis pernikahan yang sangat sederhana dan ringkas. Hanya majlis akad nikah dan kenduri doa selamat. Alangkah indahnya majlis pernikahan yang seperti ini. Tak ada beban hutang, tak ada beban bergolok gadai, tak ada rasa susah dan tak ikhlas kerana terpaksa mengumpul duit banyak-banyak untuk dihabiskan demi membuat majlis besar-besaran. Bagi mereka yang memang mampu dan teringin buat majlis yang besar dan meriah, itu tak apa. Hak mereka. Tak ada salahnya. Maksud aku, bagi orang macam aku. Rasa tak adil nak buat majlis besar-besar sedangkan apa yang aku impikan adalah sangat ringkas, mudah dan sederhana. Sesuai dengan apa yang wajib dalam agama. Islam itu mudah. Penuh dengan sederhana. Adat yang selalunya berlebih-lebih. Hurm... Sebuah pengakuan ikhlas yang ingin aku rakamkan di sini ialah, aku sangat menyukai pernikahan.

Sejak kecil, aku selalu berangan menjadi pengantin dan ibu. Aku suka pakai kebaya cantik-cantik dan mekap, secara curi-curi dalam bilik dan berangan. Aku hias tudung saji yang mak buang jadi katil baby dan pakaikan teddy bear aku dengan baju-baju aku semasa bayi. Mak masih simpan baju, napkin (dulu pampers takde), pin, bekas bedak, botol susu, mosquito net dan macam-macam lagi barangan kami empat beradik semasa bayi. Tu yang aku suka sangat selongkar dan buat main. Biarlah aku jelaskan kat sini, aku berangan jadi pengantin dan ada anak ni bukan sebab aku miang, gatal dan tak sabar sangat nak kahwin. Tapi sebab aku memang sangat suka perasaannya.

Perkahwinan pertama yang masih aku ingati adalah perkahwinan kakak sepupu aku, cik Nor Asma yang cantik bersama suaminya Abang Wan. Masa tu aku dalam darjah 4 atau 5 gitulah. Aku ingat sebab semua persiapan berlangsung kat rumah aku. Senyap-senyap, banyak kali aku try baju pengantin dia. Hahaha. Tak senonoh betul, kan? Aku selalu membayangkan, seronoknya kalau dah kahwin dan ada anak. Sebab?

Hurm... kadang-kadang bila aku penat sangat dengan kerja-kerja di pejabat, aku selalu membayangkan, seronoknya kalau balik kerja nanti ada orang jemput. Balik rumah pulak tengok muka anak-anak yang ada 1001 macam ragam. Rumahtangga, suami dan anak-anak adalah suatu kurniaan yang sangat hebat. Ia memungkinkan segala macam perasaan.

Sekarang aku berusia 25 tahun 10 bulan dan masih belum bernikah. Huhuhu. Rasanya sangat ironi, kan? Iyalah, bagi seorang yang begitu sukakan institusi pernikahan, usia aku rasanya sudah jauh dari had kelayakan. Hahaha. Apa boleh buat. Dalam hidup ni kita memang tak boleh dapat semua benda yang kita impikan. Untuk aku, memang segala-galanya tak datang dengan mudah. Aku perlu berjuang dalam mendapatkan apa yang aku mahu. Tak mengapa. Itu suratan buat aku dan aku terima dengan redha dan sabar. Jodoh setiap orang berbeda. Ada yang perlu menunggu 12 tahun, baru dapat bersatu. Ada yang sepanjang hayat tak bertemu jodoh. Ada yang berjumpa 30 minit pun dah boleh berjodoh. Ada orang dipermudahkan perjalanan hasratnya. Ada yang terlalu payah. Barangkali itulah dugaan. Menguji kesabaran. Hei, apalah hidup tanpa cabaran dan perjuangan? ^_^

Aku bukan manusia maksum. Kesabaran dan keredhaan aku bukan 100% sempurna. Masih ada khilafnya. Terkadang aku mengeluh. Terkadang aku berasa sedih, hampa dan kecewa. Tapi tak mengapa. Aku pujuk diri sendiri. Barangkali kesusahan hari ini akan mendatangkan bahagia pada hari depan. InsyaAllah. RABB takkan menduga hamba-Nya lebih daripada apa yang mampu ditanggung. Itu aku yakin benar. Setiap hari aku berdoa semoga ALLAH SWT akan membukakan hati dan melembutkan jiwa. Amin.

Adikku yang tersayang bakal melangsungkan pertunangan bersama pilihan hatinya pada Hari Raya Iduladha bulan depan, dan bakal melangsungkan pernikahan pada bulan 3 tahun depan, insyaAllah. Padanya aku titipkan doa dan restu setinggi langit. Semoga mereka berdua dipanjangkan jodoh, saling melengkapi dan membahagiakan lalu beroleh cahaya mata belahan jiwa dan menghilangkan duka. Amin. Semoga adikku akan berbahagia sehingga ke pintu syurga. Aku amat menyayanginya. Dia adikku yang paling membuat aku berasa erat.

Aku sedar, aku bukan macam sesetengah orang yang sentiasa meluahkan rasa kasih mereka terhadap keluarga tercinta. Tapi, dalam hati jiwa aku, tiada insan dalam dunia ni yang aku kasihi lebih daripada keluargaku. Aku memang tak pandai menunjukkan rasa. Itu sama sekali tak bererti rasa itu tak ada. Ia sentiasa ada, sentiasa harum dan subur mewangi. 

Kadang-kala bila kita senyum, itu tak bererti hati kita juga tersenyum. Barangkali ia sedang menangis. Bukan hipokrit. Cuma terkadang kepalsuan itu perlu untuk menggembirakan hati orang lain. Lebih-lebih lagi orang lain itu adalah orang yang kita sayang. Ada orang kelihatan sangat tabah, keras, tegas, bersikap tak peduli, tapi rupa-rupanya di dalam, dia sedang rapuh dan lemah, barangkali sedang runtuh. Siapa tahu hati orang?

Barangkali juga aku perlu menunggu lama lagi untuk mendengar kalimah aku 'terima nikahnya' ini. Tak mengapa. Aku tak kisah menunggu, asalkan penantian itu bermakna. Aku adalah wanita yang rela mempertaruhkan seluruh jiwa rasa demi cinta yang berbaloi. InsyaAllah. Huhuhu, bunyinya macam emo, kan? Tapi itulah aku yang sebenarnya. Aku tak mampu berbohong dengan mengatakan 'tidak', sedangkan hati aku berlagu 'ya'. Demi rasa, aku percaya aku akan bahagia. Amin.

Kita hanya merancang, tapi Tuhan yang akan menentukan. Sabar dan redha. Itulah kunci yang aku pegang dengan kukuh. Aku percaya, Tuhan tak akan mengubah nasib aku melainkan aku sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. RABB akan memberi sebanyak mana yang aku berhak dapat. Aku percaya. 

Demi kasih sayang Tuhan, akulah hamba yang sedang berjuang untuk bahagia.

Nota tangan : Selamat pengantin baru, Kak Nadd! Wah, berserinya pengantin! ;)

Monday, September 17, 2012

Macam Tangan Patah

Perasaan aku masa tengok layout yang kau buat!
(Ehsan Google)

AKU ni memang tengah dalam mode yang marah campur kecewa sangat-sangat. Haizzzz... dalam dunia ni, memang banyak benda yang menjadi kepantangan aku. Mungkin kerana aku ni memang cerewet orangnya dan sekali imbas kelihatan memang tak sesuai hidup dan bergaul dengan orang lain. Antara benda yang paling aku benci dalam dunia ini ialah menunggu atau ditunggu. Serius. Aku memang paling benci. Sebab tu aku lagi suka bergerak secara sendiri. Aku memang tak suka menunggu dan ditunggu. Kalau cakap nak gerak pukul 10, sila gerak pukul 10. Kalau janji nak ada pukul 10, sila dah ada pada pukul 10. Aku akan berangin 1 badan kalau janji lain, sampainya lain. 

Itu satu hal. Ini satu hal lagi. Antara benda yang paling aku pantang sangat-sangat. Buat kerja macam tangan patah. Macam tak ada otak, secara ayat kasarnya. Kau masuk universiti. Mengaku ada degree, tapi buat kerja macam bab*! Mana aku tak angin, benda kerja ni dah la kejar dateline. Kau lagi nak buat perangai. Stress aku, stress!!! Kalau kerja yang melibatkan idea, aku masih boleh bertolak ansur. Dulu masa aku jadi penulis skrip, pun selalu langgar dateline. Yalah, kalau dah kepala hotak memang dah kontang idea, nak menulis celah mananya? Tapi ini bukan kerja yang melibatkan idea. Bukan! Apa lagi alasannya???

Beb, aku cakap jujur dengan kau. Kalau kerja setakat cut and paste, budak tadika pun boleh buat. Kau tak payah masuk universiti dan susah payah nak dapatkan degree kalau kerja setakat main tangkap muat.

Marah? Kurang ajar ayat aku?

Ye, aku memang amat marah dan sekarang sangat cenderung untuk campak ayat yang sangat kurang ajar kat muka kau! Aku memang tak tau apa masalah dalam kepala hotak kau. Aku memang tak tau apa masalah kau. Aku cuma tau kau memang tak boleh buat kerja. Kau tak boleh nak faham arahan orang, tak boleh nak berkomunikasi dengan orang, jauh sekali nak bertoleransi dengan orang! Kerja kau, sepatutnya membantu dan menyenangkan kerja aku. Tapi kalau aku nak kena buat semuanya balik dari A sampai Z, baik aku tak payah ada kau! Sepatutnya benda aku take over daripada M membawa ke Z, tapi ni aku kena mula dari A balik. Gila buang masa! Macam gampang!

Marahnya aku!!!!!!!!!!!

Sebagai grafik yang konon bertauliah, meh sini aku nak bagitahu satu rahsia pada kau.

"Pergi cari kerja lainlah, weh!!! Pergi jadi cikgu pendidikan seni kalau rasa kau tu art sangat!"

Wednesday, September 5, 2012

Demi Rasa


Kadang-kadang aku betul
Kadang-kadang aku khilaf
Tapi kau katakan tak mengapa
Kerana aku tak sempurna

Kadang-kadang aku marah
Kadang-kadang aku tertawa
Kau katakan itu biasa
Kerana aku adalah manusia

Kadang-kadang aku tertawan suka
Kadang-kadang aku berasa benci
Kau katakan itu boleh jadi
Kerana aku punya emosi

Kadang-kadang aku senang menjadi penasihat
Kadang-kadang kau selesa menjadi sahabat
Kerana kita bukan maksum
Walaupun hati kita bercantum
Namun kita punya kurang lebih yang kita maklum.

Wednesday, August 29, 2012

Aku yang Selalu Emosi


ALHAMDULILLAH. Kadang-kadang aku selalu terfikir, betapa banyak khabar gembira yang ALLAH titipkan buat kita di kala kesedihan yang sedang meraja di ruang jiwa. Tak banyak sedikit, pasti khabar-khabar gembira ini berhasil membuatkan kita mengukir senyum dan terlupa seketika kesakitan yang sedang kita rasa.

Syukur.

Hari ini aku menerima satu lagi khabar yang cukup menggembirakan seluruh ruang jiwa. Biarlah aku rahsiakan dulu khabar ini memandangkan tuan punya badan sendiri masih belum heboh. Huhuhuhu. Sebenarnya, kebelakangan ni memang ada beberapa khabar gembira yang aku terima, tapi ini, antara yang paling mengesankan.

Dia adalah seorang wanita antara yang teristimewa dalam hidupku. Dalam tak sedar, aku sudah mengenalinya lebih 7 tahun. Kami bertemu, berkenalan, bermesra, bergaduh, bermanja, berpisah, saling bertemu kembali dan terus bersahabat dalam tempoh ini. Apa yang dapat kukatakan. Aku memang paling selalu lekas beremosi. Tak kiralah marah, sedih, terharu, kecewa mahupun gembira, aku yang paling lekas memberikan reaksi. Semasa Jiha melahirkan Hadiff setahun yang lalu, aku yang beria-ia menangis kerana terlalu gembira. Adikku telah menjadi ibu. Aku amat gembira.

Hari ini kakakku pula. Bakal berbahagia. Alhamdulillah. Hanya itu yang mampu aku lafazkan berkali-kali. Semoga ALLAH akan memelihara hatinya dan membahagiakan dia sehingga ke akhirat sana. Hanya itu yang terdaya aku bingkiskan sebagai doa. 

Untuk dia yang pasti tahu siapa dirinya, aku ucapkan selamat. Kau membelai aku dengan penuh kasih sayang. Sentiasa memberikan peha untuk aku bermanja. Kau memberi aku rasa  bagaimana punya kakak. InsyaAllah, persahabatan kita akan terus dipayungi rahmat-Nya. 

Semoga segala kegembiraan yang ada di dalam dunia ini akan menjadi milik akak. Amin.

Monday, August 20, 2012

Raya Ke-2 Katanya!


HARI ni sakan berjalan! Seawal pagi lagi kami sekeluarga telah bertolak ke Rembau, Negeri 9. Penuh pecah rumah uwan. Huhuhuhu. Ada secebis keriangan bertamu serta-merta di pelusuk hati. Lama sudah tak berkumpul beramai-ramai begini. Alhamdulillah, uwan pun terlihat segar. Barangkali terhibur melihat anak cucu cicitnya penuh satu rumah.

Paling ketara, aku sudah punya ramai anak buah (anak sepupu) rupanya. Terasa seronok bila dipanggil Mak Ngah Yoi (Yoi adalah nama panggilan untuk aku dalam versi N9. Yoi = singkatan dari Nooi yang berasal dari perkataan Nurul. Huhuhuhu). Serius, lama sungguh aku tak dipanggil dengan nama tu. Salah seorang anak buah aku ni, Una namanya. Aduh, montel sungguh! Dengan rambut paras bahu hitam lebat + pipinya yang montel gebu pink, aku rasa nak culik saja dia balik Terengganu. Huhuhu. Una ni anak Abang Ngah Hadin, anak Pak Lang Bahruddin, abang ayah. Abang Ngah Hadin ni pulak antara abang sepupu aku yang paling mesra. Alhamdulillah, dia dapat isteri, Kak Ngah Ayu, pun sama mesra macam dia. Jadi aku seronok melayan kerenah anak-anaknya, Hasbullah (si Abang Long yang hensem) dan adiknya, Husna (Una yang super-duper-cute). Selain itu ada Adib dan Adlina, anak Abang Chik Arrashid. Iqram Syamil anak Abang Long Hamruddin pulak cukup comel. Pandai memikat dengan matanya. Aqil Aiman, Hassan Basri dan Hilmi, anak Kak Lang Melor dan Saifullah, anak Angah Afiq pulak tak dapat datang. Beraya di kampung nenek sebelah sana. Uiii! Ramai. Itu belum campur anak-anak buah sebelah keluarga mak.

Huhuhuhu.

Kadang-kadang terasa jugak diri ni dah makin tua bila dipanggil Mak Ngah. Tapi okelah. Tak ada orang yang makin muda, ya tak? Bila raya macam nilah, baru dapat berjumpa muka dengan sepupu yang selalunya jauh di mata. Paling lama aku tak jumpa Angah Rushdi dengan Alang Fadli, anak Pak Teh Jamaludin. Tadi baru kembali nampak muka. Haizzz... padahal masa kecil-kecil dulu kami cukup rapat. Biasalah hijab masa dan kesibukan meneruskan hidup selalunya melebarkan lagi jurang. Apapun, hari rayalah yang selalu menjadi penawar.

Esok kami akan berpulang ke Terengganu. Doakan perjalanan kami selamat sampai ke destinasi, ya?

Selamat hari raya ke-2. ^_^

Friday, August 17, 2012

Rojak Kateh ~ Diari Ramadhan Akhir


ALHAMDULILLAH. Selepas hampir sebulan melalui Ramadhan nan indah permai, akhirnya lewat senja ini, bulan yang penuh barakah ini bakal melabuhkan tirainya. InsyaAllah, esok Syawal akan tiba bagi meraikan kemenangan kita semua berpuasa. Untuk aku, raya tahun ini berbeda sedikit dari raya yang sebelum ini.

Tahun ini aku akan beraya di Negeri Sembilan. Tanah tumpah darah ayahandaku, Shamsudin Ismail. Selepas raya kedua barulah kami sekeluarga (sebenarnya hanya aku, Arrif, mak dan ayah sahaja) akan berpulang sambung beraya di Terengganu. Apakan daya, Along dan Mifdhal tidak bercuti panjang. Kak Long juga tertinggal di Putrajaya, menemani suaminya. Itulah kejadian Syawal kami tahun ini. Hurm... Antara lain, aku terasa raya tahun ini kurang meriah untukku. Entahlah, adakah kerana usia yang semakin bertambah, menyebabkan kemeriahan Syawal sudah menjadi biasa-biasa sahaja. Sekadar meraikan kemenangan Ramadhan, tidak lebih dan tidak pula kurang.

Sebarang perayaan semasa zaman kanak memang dipenuhi dengan kenangan yang serba muluk-muluk. Maklum sahaja, akal awal hanya dipenuhi dengan keriangan. Syawal bersamaan dengan bunga api, mercun, pelita minyak tanah, lampu kelip-kelip, busana baru dan semestinya duit raya. Lain tak ada. Jadinya bila sudah merangkak dewasa begini, kesemua perkara itu sudah berlalu dan tidak mempunyai tempat dalam ingatan. Masalah yang membuak-buak, kesibukan bekerja dan kedudukan kewangan menjadi alasan yang paling selalu disebut-sebut.

Barangkali kalau mempunyai keluarga sendiri, lainlah keadaannya, bukan? Menguruskan suami dan anak-anak mungkin boleh menyebabkan keriangan menyambut hari raya kembali. Aku tak tahu, aku agak saja. Iyalah, seronok nak sediakan baju anak-anak, duit raya untuk mereka, bersibuk-sibuk mengemas rumah dan menyiapkan juadah barangkali boleh menyemarakan jiwa. Sekali lagi aku tak tahu dan masih mengagak saja. Aku tak punya semua itu. Mungkin bakal punya. Mungkin.

Apapun, sekejap lagi aku nak ke Bangi. Menjengah bapa saudara merangkap adik ayahku, Pak Chik Zainuddin dan Mak Chik Nab. Mereka tengah teruja bakar kaki lembu untuk dijadikan 'Rojak Kateh'. Kawan-kawan tau apa itu rojak kateh? Ia adalah sejenis makanan tradisi (mungkin, aku pun tak pasti) yang berasaskan perkara-perkara pada kaki lembu. Hahahaha. Itu saja penjelasan yang aku boleh jelaskan. Pasal aku sendiri pun tak tahu. Apa yang aku tau, aku TAK SUKA. Hahaha.

Baiklah, selamat hari raya semua. Maaf zahir dan batin, ya?

Selamat hari raya.

Wednesday, August 15, 2012

Politik dan Bagus

Cover asal yang 'wallah'!
Cover terkini dan rasmi. Lebih 'berwarna' dan bebas kontroversi.
Sebuah lagi buku bakal terbit yang menarik. Kesemua cover kredit pada Mr. Aliy yang cool!
ALHAMDULILLAH. Itulah perkataan pertama yang pop-up dalam hati dan minda aku pada hari ini. Sebabnya? Mudah. Selepas hampir 3 minggu bertungkus-lumus + kontroversi yang melanda semalam, aku berasa sedikit tenang hari ini apabila segala-galanya hampir selesai. Untuk pengetahuan kawan-kawan (yang sudi singgah dan membaca entri ini), sejak 3 minggu yang lalu aku menerima tugasan yang sungguh mencabar kredibiliti aku sebagai seorang pejuang politik atas angin yang sekali-sekala ditiup ke kiri ini, iaitu mengedit sebuah manuskrip untuk dijadikan buku memakai judul Politik Bagus.

Seperti biasa, persoalan normal yang akan menari salsa dalam kepala hotak aku ialah, 'ceh, apa yang bagusnya politik?' Haa, inilah bahagian yang menariknya. Memandangkan aku ni memang pantang dicabar orangnya, maka aku sahut cabaran untuk mengedit manuskrip ini dengan semangat Hang Jebat. Hahahaha... Untuk pengetahuan semua, buku ini ditulis oleh saudara Prof. Rahman Shaari. Beliau juga merangkap salah seorang daripada bos aku di sini. Banyak perkara yang menarik untuk diperkatakan tentang Prof. Rahman, sungguh! Prof merupakan seorang ketua (lebih bersikap sebagai penasihat) yang mempunyai personaliti menarik untuk dikupas dan diceritakan di sini. Namun seperti selalu, kita akan bercakap tentang yang paling menarik. Jadi yang paling menarik (tak tahu kenapa aku terlalu banyak memetik perkataan 'menarik') tentang Prof. Rahman adalah jenakanya yang bagus dan unik.

Bagi sesiapa yang pernah memesrai lelaki ini pasti bersetuju dengan aku. Jenaka Prof. Rahman bukan sembarangan jenaka. Ia bersifat halus dan perlu difahami. Bagusnya, apabila ia difahami, baharulah akan mendatangkan gelak tawa. Hahahaha. Aku sentiasa senang dan terhibur dengannya. Jadi, apabila beliau datang kepada aku dengan Politik Bagus, aku segera menyambut dengan tangan terbuka.

POLITIK BAGUS.

Ia sebenarnya adalah sebuah manuskrip yang sebagus judulnya. Politik dicerakinkan secara adil (walaupun ada bahagian yang memberat ke kanan, tapi hei... itu adalah biasa) dan terbuka. Ada pencerahan. Ada sejarah yang sebelum ini aku terlepas pandang (atau sengaja tak nak pandang?) dan ada hujah dari sudut ilmiah yang matang. Aku tak semestinya bersetuju dengan penulis tetapi seperti kata Prof ;

"Itu adalah pandangan dan pemerhatian saya, tak berkaitan dengan persetujuan anda."

Dengan memegang kata-kata ini, aku berasa begitu selesa menggauli dan mencanai manuskrip ini sehingga menjadi hampir sempurna di dalam bentuk buku. Isinya juga aku hadam dengan baik. Ada bahagian yang elok, aku serap masuk ke dalam akal. Ada bahagian yang kurang cantik, aku tinggalkan di situ untuk dinilai oleh khalayak yang lain pula. Setiap orang ada otak yang berbeza-beza. Maka, pandangan dan pendirian juga pasti berbeza-beza. Apa yang tidak dipersetujui oleh aku barangkali diterima oleh orang lain. Apa yang ditelan aku, barangkali pula dibangkang mereka. Itu tak apa. Itu demokrasi katanya. Setiap orang berhak memilih.

Apa yang aku nak sampaikan ialah, aku lega kerana berjaya menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepada aku dengan jayanya pada hari ini. Untuk aku, sudah 99% sempurna. Lagi 1% barangkali ada sisi yang aku terlepas pandang. Maklum sahaja, aku bukan maksum. Sekarang ini aku sedang menunggu cover baru selesai diedit. Memandangkan cover asal yang aku approve telah menimbulkan sedikit pertikaian kerana ditakuti bakal mengundang kontroversi. Walaupun cover asal itu sungguh elegan dan serba cun-melecun macam Cameron Diaz, namun aku terpaksa akur dan merelakan ia diedit semula ke dalam versi yang lebih 'selamat' dan sedikit fancy (kerana ada pendapat mengatakan yang bagus (merujuk judul) itu sepatutnya terlihat riang dan menarik). 

Aku tetap memegang kata-kata Prof untuk membujuk hati. Namun aku ubah sedikit untuk menyesuaikan dengan keadaan.

"Itu adalah pandangan dan pemerhatian mereka, tak berkaitan dengan persetujuan aku."

Perkara yang kita tak setuju tak semestinya kita tolak. Itu dinamakan kompromi dalam komuniti ye, kawan-kawan. Jadi, walaupun hampa, aku tetap berpuas hati dan gembira. InsyaAllah. Kalau tak ada melintang aral, selepas raya ini Politik Bagus akan ada di pasaran. Kalau sesiapa nak tempah buku ini, silakan maklum pada aku. Harga asalnya RM15.00. Dapat diskaun 20% (RM12 selepas diskaun) dan biaya pos percuma. Sila hubungi aku di mana-mana yang anda selesa, FB, email (n.dhia07@gmail.com), hp ataupun tinggalkan sahaja komen di sini. Huhuhuhu. Kalau berminat. Kalau tak minat, aku sedikit pun tak berkecil hati. Jangan risau.

Politik Bagus adalah sebuah karya yang baik, dan sesuai dibaca untuk bersantai-santai sambil berfikir dengan mendalam mengenai keputusan yang terbaik untuk diambil semasa mengundi di PRU-13 nanti. Sekurang-kurangnya.

(^_~)

Tuesday, August 7, 2012

Fatimah Sri Anas dan Aku

Cuba teka yang mana satu Tim. Klu : Paling riang tersenyum. ^_^
RASANYA dah hampir dua tahun berlalu sejak kali terakhir aku bersua muka dengan salah seorang ahli Viva, antara yang paling rapat pernah aku dekati, si pemilik nama Fatimah Sri Anas Putri. Antara ramai-ramai, aku memang paling rapat dengan Jiha. Entah kenapa, sejak dulu aku berasakan Jiha lebih memahami jiwa aku. Kami bergaduh, bergelak, ketawa dan menangis dalam irama yang satu. Jiha paling manja. Kak Shai paling penyayang, Salwa paling gemar merengek dan Fatimah adalah yang paling garang. Garangnya bukan semborono. Garang Fatimah Sri selalunya berada pada tempat yang betul.

Kalau tak salah, antara kami berlima, Tim (nama manjanya) adalah yang paling hijau. Tetapi Tim bukan pucuk. Dia cili. Hijaunya membawa pedas dan pijar dalam masa yang sama. Terkadang lakunya seperti anak-anak, tetapi selalunya dia lebih matang dalam berfikir dan berbicara. Aku sebenarnya mempunyai sahabat-sahabat yang betah menjadi bicara sebagai wadah berjuang.

Kalau aku, Tim dan Jiha berlawan cakap, langit pun boleh runtuh. Kak Shai lebih gemar berdiam, membiarkan adik-adiknya memuntahkan segala lahar. Tapi diam-diam Kak Shai bukan sekadar diam ubi. Diam Kak Shai adalah diam gunung berapi. Apabila sampai masa, dia meletuskan lahar yang membuatkan aku, Tim dan Jiha selalunya akan akur.

Manis.

Melewati zaman remaja bersama mereka di akademi memberikan aku 1001 rasa. Pertemuan di KLCC semalam bersama Tim membuatkan aku terkenang. Terbang pulang ke masa lalu yang telah manis terlipat di dalam sejarah hidup. Ada sendu serasa bertamu di hujung hati lewat pertemuan semalam. Benar sungguhlah pesan Imam Ghazali rah. a yang berbunyi ;

"Masa lalu adalah perkara yang paling jauh dari kita..."

Semalam bertemu, hari ini berpisah dan esok kita mengenang. Terkadang aku suka membiarkan diri dibuai emosi. Rindu sentiasa membiru. Sebiru warna langit, sebiru warna laut. 

Walaupun masa lalu ada perkara yang paling jauh, namun kenangan tetap kemas tersimpan di ruangan yang paling dekat di hati. InsyaAllah, kasih sayang dan kemesraan tidak akan luput dari pandangan.

Antara Fatimah Sri dan aku, kami berdiri dan berlari di atas landasan pegangan yang serba beda, namun kasih sayang yang ada tetap tercurah sama ada rasa.

:'-)