Wednesday, August 29, 2012

Aku yang Selalu Emosi


ALHAMDULILLAH. Kadang-kadang aku selalu terfikir, betapa banyak khabar gembira yang ALLAH titipkan buat kita di kala kesedihan yang sedang meraja di ruang jiwa. Tak banyak sedikit, pasti khabar-khabar gembira ini berhasil membuatkan kita mengukir senyum dan terlupa seketika kesakitan yang sedang kita rasa.

Syukur.

Hari ini aku menerima satu lagi khabar yang cukup menggembirakan seluruh ruang jiwa. Biarlah aku rahsiakan dulu khabar ini memandangkan tuan punya badan sendiri masih belum heboh. Huhuhuhu. Sebenarnya, kebelakangan ni memang ada beberapa khabar gembira yang aku terima, tapi ini, antara yang paling mengesankan.

Dia adalah seorang wanita antara yang teristimewa dalam hidupku. Dalam tak sedar, aku sudah mengenalinya lebih 7 tahun. Kami bertemu, berkenalan, bermesra, bergaduh, bermanja, berpisah, saling bertemu kembali dan terus bersahabat dalam tempoh ini. Apa yang dapat kukatakan. Aku memang paling selalu lekas beremosi. Tak kiralah marah, sedih, terharu, kecewa mahupun gembira, aku yang paling lekas memberikan reaksi. Semasa Jiha melahirkan Hadiff setahun yang lalu, aku yang beria-ia menangis kerana terlalu gembira. Adikku telah menjadi ibu. Aku amat gembira.

Hari ini kakakku pula. Bakal berbahagia. Alhamdulillah. Hanya itu yang mampu aku lafazkan berkali-kali. Semoga ALLAH akan memelihara hatinya dan membahagiakan dia sehingga ke akhirat sana. Hanya itu yang terdaya aku bingkiskan sebagai doa. 

Untuk dia yang pasti tahu siapa dirinya, aku ucapkan selamat. Kau membelai aku dengan penuh kasih sayang. Sentiasa memberikan peha untuk aku bermanja. Kau memberi aku rasa  bagaimana punya kakak. InsyaAllah, persahabatan kita akan terus dipayungi rahmat-Nya. 

Semoga segala kegembiraan yang ada di dalam dunia ini akan menjadi milik akak. Amin.

Monday, August 20, 2012

Raya Ke-2 Katanya!


HARI ni sakan berjalan! Seawal pagi lagi kami sekeluarga telah bertolak ke Rembau, Negeri 9. Penuh pecah rumah uwan. Huhuhuhu. Ada secebis keriangan bertamu serta-merta di pelusuk hati. Lama sudah tak berkumpul beramai-ramai begini. Alhamdulillah, uwan pun terlihat segar. Barangkali terhibur melihat anak cucu cicitnya penuh satu rumah.

Paling ketara, aku sudah punya ramai anak buah (anak sepupu) rupanya. Terasa seronok bila dipanggil Mak Ngah Yoi (Yoi adalah nama panggilan untuk aku dalam versi N9. Yoi = singkatan dari Nooi yang berasal dari perkataan Nurul. Huhuhuhu). Serius, lama sungguh aku tak dipanggil dengan nama tu. Salah seorang anak buah aku ni, Una namanya. Aduh, montel sungguh! Dengan rambut paras bahu hitam lebat + pipinya yang montel gebu pink, aku rasa nak culik saja dia balik Terengganu. Huhuhu. Una ni anak Abang Ngah Hadin, anak Pak Lang Bahruddin, abang ayah. Abang Ngah Hadin ni pulak antara abang sepupu aku yang paling mesra. Alhamdulillah, dia dapat isteri, Kak Ngah Ayu, pun sama mesra macam dia. Jadi aku seronok melayan kerenah anak-anaknya, Hasbullah (si Abang Long yang hensem) dan adiknya, Husna (Una yang super-duper-cute). Selain itu ada Adib dan Adlina, anak Abang Chik Arrashid. Iqram Syamil anak Abang Long Hamruddin pulak cukup comel. Pandai memikat dengan matanya. Aqil Aiman, Hassan Basri dan Hilmi, anak Kak Lang Melor dan Saifullah, anak Angah Afiq pulak tak dapat datang. Beraya di kampung nenek sebelah sana. Uiii! Ramai. Itu belum campur anak-anak buah sebelah keluarga mak.

Huhuhuhu.

Kadang-kadang terasa jugak diri ni dah makin tua bila dipanggil Mak Ngah. Tapi okelah. Tak ada orang yang makin muda, ya tak? Bila raya macam nilah, baru dapat berjumpa muka dengan sepupu yang selalunya jauh di mata. Paling lama aku tak jumpa Angah Rushdi dengan Alang Fadli, anak Pak Teh Jamaludin. Tadi baru kembali nampak muka. Haizzz... padahal masa kecil-kecil dulu kami cukup rapat. Biasalah hijab masa dan kesibukan meneruskan hidup selalunya melebarkan lagi jurang. Apapun, hari rayalah yang selalu menjadi penawar.

Esok kami akan berpulang ke Terengganu. Doakan perjalanan kami selamat sampai ke destinasi, ya?

Selamat hari raya ke-2. ^_^

Friday, August 17, 2012

Rojak Kateh ~ Diari Ramadhan Akhir


ALHAMDULILLAH. Selepas hampir sebulan melalui Ramadhan nan indah permai, akhirnya lewat senja ini, bulan yang penuh barakah ini bakal melabuhkan tirainya. InsyaAllah, esok Syawal akan tiba bagi meraikan kemenangan kita semua berpuasa. Untuk aku, raya tahun ini berbeda sedikit dari raya yang sebelum ini.

Tahun ini aku akan beraya di Negeri Sembilan. Tanah tumpah darah ayahandaku, Shamsudin Ismail. Selepas raya kedua barulah kami sekeluarga (sebenarnya hanya aku, Arrif, mak dan ayah sahaja) akan berpulang sambung beraya di Terengganu. Apakan daya, Along dan Mifdhal tidak bercuti panjang. Kak Long juga tertinggal di Putrajaya, menemani suaminya. Itulah kejadian Syawal kami tahun ini. Hurm... Antara lain, aku terasa raya tahun ini kurang meriah untukku. Entahlah, adakah kerana usia yang semakin bertambah, menyebabkan kemeriahan Syawal sudah menjadi biasa-biasa sahaja. Sekadar meraikan kemenangan Ramadhan, tidak lebih dan tidak pula kurang.

Sebarang perayaan semasa zaman kanak memang dipenuhi dengan kenangan yang serba muluk-muluk. Maklum sahaja, akal awal hanya dipenuhi dengan keriangan. Syawal bersamaan dengan bunga api, mercun, pelita minyak tanah, lampu kelip-kelip, busana baru dan semestinya duit raya. Lain tak ada. Jadinya bila sudah merangkak dewasa begini, kesemua perkara itu sudah berlalu dan tidak mempunyai tempat dalam ingatan. Masalah yang membuak-buak, kesibukan bekerja dan kedudukan kewangan menjadi alasan yang paling selalu disebut-sebut.

Barangkali kalau mempunyai keluarga sendiri, lainlah keadaannya, bukan? Menguruskan suami dan anak-anak mungkin boleh menyebabkan keriangan menyambut hari raya kembali. Aku tak tahu, aku agak saja. Iyalah, seronok nak sediakan baju anak-anak, duit raya untuk mereka, bersibuk-sibuk mengemas rumah dan menyiapkan juadah barangkali boleh menyemarakan jiwa. Sekali lagi aku tak tahu dan masih mengagak saja. Aku tak punya semua itu. Mungkin bakal punya. Mungkin.

Apapun, sekejap lagi aku nak ke Bangi. Menjengah bapa saudara merangkap adik ayahku, Pak Chik Zainuddin dan Mak Chik Nab. Mereka tengah teruja bakar kaki lembu untuk dijadikan 'Rojak Kateh'. Kawan-kawan tau apa itu rojak kateh? Ia adalah sejenis makanan tradisi (mungkin, aku pun tak pasti) yang berasaskan perkara-perkara pada kaki lembu. Hahahaha. Itu saja penjelasan yang aku boleh jelaskan. Pasal aku sendiri pun tak tahu. Apa yang aku tau, aku TAK SUKA. Hahaha.

Baiklah, selamat hari raya semua. Maaf zahir dan batin, ya?

Selamat hari raya.

Wednesday, August 15, 2012

Politik dan Bagus

Cover asal yang 'wallah'!
Cover terkini dan rasmi. Lebih 'berwarna' dan bebas kontroversi.
Sebuah lagi buku bakal terbit yang menarik. Kesemua cover kredit pada Mr. Aliy yang cool!
ALHAMDULILLAH. Itulah perkataan pertama yang pop-up dalam hati dan minda aku pada hari ini. Sebabnya? Mudah. Selepas hampir 3 minggu bertungkus-lumus + kontroversi yang melanda semalam, aku berasa sedikit tenang hari ini apabila segala-galanya hampir selesai. Untuk pengetahuan kawan-kawan (yang sudi singgah dan membaca entri ini), sejak 3 minggu yang lalu aku menerima tugasan yang sungguh mencabar kredibiliti aku sebagai seorang pejuang politik atas angin yang sekali-sekala ditiup ke kiri ini, iaitu mengedit sebuah manuskrip untuk dijadikan buku memakai judul Politik Bagus.

Seperti biasa, persoalan normal yang akan menari salsa dalam kepala hotak aku ialah, 'ceh, apa yang bagusnya politik?' Haa, inilah bahagian yang menariknya. Memandangkan aku ni memang pantang dicabar orangnya, maka aku sahut cabaran untuk mengedit manuskrip ini dengan semangat Hang Jebat. Hahahaha... Untuk pengetahuan semua, buku ini ditulis oleh saudara Prof. Rahman Shaari. Beliau juga merangkap salah seorang daripada bos aku di sini. Banyak perkara yang menarik untuk diperkatakan tentang Prof. Rahman, sungguh! Prof merupakan seorang ketua (lebih bersikap sebagai penasihat) yang mempunyai personaliti menarik untuk dikupas dan diceritakan di sini. Namun seperti selalu, kita akan bercakap tentang yang paling menarik. Jadi yang paling menarik (tak tahu kenapa aku terlalu banyak memetik perkataan 'menarik') tentang Prof. Rahman adalah jenakanya yang bagus dan unik.

Bagi sesiapa yang pernah memesrai lelaki ini pasti bersetuju dengan aku. Jenaka Prof. Rahman bukan sembarangan jenaka. Ia bersifat halus dan perlu difahami. Bagusnya, apabila ia difahami, baharulah akan mendatangkan gelak tawa. Hahahaha. Aku sentiasa senang dan terhibur dengannya. Jadi, apabila beliau datang kepada aku dengan Politik Bagus, aku segera menyambut dengan tangan terbuka.

POLITIK BAGUS.

Ia sebenarnya adalah sebuah manuskrip yang sebagus judulnya. Politik dicerakinkan secara adil (walaupun ada bahagian yang memberat ke kanan, tapi hei... itu adalah biasa) dan terbuka. Ada pencerahan. Ada sejarah yang sebelum ini aku terlepas pandang (atau sengaja tak nak pandang?) dan ada hujah dari sudut ilmiah yang matang. Aku tak semestinya bersetuju dengan penulis tetapi seperti kata Prof ;

"Itu adalah pandangan dan pemerhatian saya, tak berkaitan dengan persetujuan anda."

Dengan memegang kata-kata ini, aku berasa begitu selesa menggauli dan mencanai manuskrip ini sehingga menjadi hampir sempurna di dalam bentuk buku. Isinya juga aku hadam dengan baik. Ada bahagian yang elok, aku serap masuk ke dalam akal. Ada bahagian yang kurang cantik, aku tinggalkan di situ untuk dinilai oleh khalayak yang lain pula. Setiap orang ada otak yang berbeza-beza. Maka, pandangan dan pendirian juga pasti berbeza-beza. Apa yang tidak dipersetujui oleh aku barangkali diterima oleh orang lain. Apa yang ditelan aku, barangkali pula dibangkang mereka. Itu tak apa. Itu demokrasi katanya. Setiap orang berhak memilih.

Apa yang aku nak sampaikan ialah, aku lega kerana berjaya menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepada aku dengan jayanya pada hari ini. Untuk aku, sudah 99% sempurna. Lagi 1% barangkali ada sisi yang aku terlepas pandang. Maklum sahaja, aku bukan maksum. Sekarang ini aku sedang menunggu cover baru selesai diedit. Memandangkan cover asal yang aku approve telah menimbulkan sedikit pertikaian kerana ditakuti bakal mengundang kontroversi. Walaupun cover asal itu sungguh elegan dan serba cun-melecun macam Cameron Diaz, namun aku terpaksa akur dan merelakan ia diedit semula ke dalam versi yang lebih 'selamat' dan sedikit fancy (kerana ada pendapat mengatakan yang bagus (merujuk judul) itu sepatutnya terlihat riang dan menarik). 

Aku tetap memegang kata-kata Prof untuk membujuk hati. Namun aku ubah sedikit untuk menyesuaikan dengan keadaan.

"Itu adalah pandangan dan pemerhatian mereka, tak berkaitan dengan persetujuan aku."

Perkara yang kita tak setuju tak semestinya kita tolak. Itu dinamakan kompromi dalam komuniti ye, kawan-kawan. Jadi, walaupun hampa, aku tetap berpuas hati dan gembira. InsyaAllah. Kalau tak ada melintang aral, selepas raya ini Politik Bagus akan ada di pasaran. Kalau sesiapa nak tempah buku ini, silakan maklum pada aku. Harga asalnya RM15.00. Dapat diskaun 20% (RM12 selepas diskaun) dan biaya pos percuma. Sila hubungi aku di mana-mana yang anda selesa, FB, email (n.dhia07@gmail.com), hp ataupun tinggalkan sahaja komen di sini. Huhuhuhu. Kalau berminat. Kalau tak minat, aku sedikit pun tak berkecil hati. Jangan risau.

Politik Bagus adalah sebuah karya yang baik, dan sesuai dibaca untuk bersantai-santai sambil berfikir dengan mendalam mengenai keputusan yang terbaik untuk diambil semasa mengundi di PRU-13 nanti. Sekurang-kurangnya.

(^_~)

Tuesday, August 7, 2012

Fatimah Sri Anas dan Aku

Cuba teka yang mana satu Tim. Klu : Paling riang tersenyum. ^_^
RASANYA dah hampir dua tahun berlalu sejak kali terakhir aku bersua muka dengan salah seorang ahli Viva, antara yang paling rapat pernah aku dekati, si pemilik nama Fatimah Sri Anas Putri. Antara ramai-ramai, aku memang paling rapat dengan Jiha. Entah kenapa, sejak dulu aku berasakan Jiha lebih memahami jiwa aku. Kami bergaduh, bergelak, ketawa dan menangis dalam irama yang satu. Jiha paling manja. Kak Shai paling penyayang, Salwa paling gemar merengek dan Fatimah adalah yang paling garang. Garangnya bukan semborono. Garang Fatimah Sri selalunya berada pada tempat yang betul.

Kalau tak salah, antara kami berlima, Tim (nama manjanya) adalah yang paling hijau. Tetapi Tim bukan pucuk. Dia cili. Hijaunya membawa pedas dan pijar dalam masa yang sama. Terkadang lakunya seperti anak-anak, tetapi selalunya dia lebih matang dalam berfikir dan berbicara. Aku sebenarnya mempunyai sahabat-sahabat yang betah menjadi bicara sebagai wadah berjuang.

Kalau aku, Tim dan Jiha berlawan cakap, langit pun boleh runtuh. Kak Shai lebih gemar berdiam, membiarkan adik-adiknya memuntahkan segala lahar. Tapi diam-diam Kak Shai bukan sekadar diam ubi. Diam Kak Shai adalah diam gunung berapi. Apabila sampai masa, dia meletuskan lahar yang membuatkan aku, Tim dan Jiha selalunya akan akur.

Manis.

Melewati zaman remaja bersama mereka di akademi memberikan aku 1001 rasa. Pertemuan di KLCC semalam bersama Tim membuatkan aku terkenang. Terbang pulang ke masa lalu yang telah manis terlipat di dalam sejarah hidup. Ada sendu serasa bertamu di hujung hati lewat pertemuan semalam. Benar sungguhlah pesan Imam Ghazali rah. a yang berbunyi ;

"Masa lalu adalah perkara yang paling jauh dari kita..."

Semalam bertemu, hari ini berpisah dan esok kita mengenang. Terkadang aku suka membiarkan diri dibuai emosi. Rindu sentiasa membiru. Sebiru warna langit, sebiru warna laut. 

Walaupun masa lalu ada perkara yang paling jauh, namun kenangan tetap kemas tersimpan di ruangan yang paling dekat di hati. InsyaAllah, kasih sayang dan kemesraan tidak akan luput dari pandangan.

Antara Fatimah Sri dan aku, kami berdiri dan berlari di atas landasan pegangan yang serba beda, namun kasih sayang yang ada tetap tercurah sama ada rasa.

:'-)

Thursday, August 2, 2012

Bulan Merah


JAM sudah menunjukkan pukul 4.45 petang. Kami seisi warga Pekan sedang berlucu dalam selingan acara mesyuarat bulanan. 

Tiba-tiba.

Aku mengesan kehadiran 'si dia'. Aku dah mula rasa kecewa. Alahai, minta-minta 'si dia' tu dapat menangguhkan kehadiran sehingga ke jam 7.31 malam. Seketika itu juga perut mengejut terasa bagai dipulas-pulas. Aku akhirnya akur dan mengerti.

'Si dia' sudah pun tiba.

Alahai... rugi puasa hampir sehari. Bulan merah dah muncul. Hahahaha, selamat berpuasa kawan-kawan. Saya cuti sekejap.

;p

Tuesday, July 31, 2012

Ayah ~ Diari Ramadhan 3


RISAU... risau... risau. Itulah antara perasaan yang membaur dalam hati aku sekarang ni. Isnin lepas, ayah aku mula ditahan di wad kerana bengkak pada kakinya masih tak mahu surut selepas hampir seminggu (atau dua?) membengkak. Mulanya aku keliru juga kenapa kaki ayah membengkak tiba-tiba macam tu. Rupanya, selepas ditahan dan dijalankan pemeriksaan yang lebih lanjut, saluran darah pada kaki ayah sebenarnya tersumbat.

Darah terlalu pekat.

Itulah puncanya. Darah ayah terlalu pekat. Akibat mengelak dari makan ubat cair darah, akhirnya kaki terpaksa menanggung bengkak. Kasihan ayahku. Sedih juga dengar dia di wad ketika telah seronok menyambut Ramadhan ni. Terasa terbantut rasa. Aku pun jadi risaukan mak yang setiap hari berulang-alik menjenguk ayah. Tahu sajalah mak. Lututnya sendiri sakit tak sudah-sudah. :( Hmmm... ayah tak bagi sesiapa temankan dia. Dia tak mahu susahkan orang. Aku tahu perangai ayah. Memang selagi boleh tak nak menyusahkan sesiapa.

Hujung minggu ni aku akan pulang ke kampung bersama Along dan Kak Long. Kak Long sedang memikul berita gembira. Alhamdulillah. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya dan Along. Kawan-kawan, mohon doakan bersama ya? Semoga rahmat ALLAH SWT akan kekal berpanjangan. Terima kasih. Mohon doakan juga ayahku akan lekas sembuh dan dapat bersama kami meraikan Ramadhan dan Syawal ini. Sebagai hamba-NYA, aku redha dan hanya mampu berdoa yang baik-baik sahaja.

Amin.

Thursday, July 26, 2012

Kifarah ~ Diari Ramadhan 2


SEMALAM adalah hari ke6 berpuasa. Aku hanya mampu bekerja separuh hari. Hidung terlalu perit dan tekak terlalu sakit. Selepas buat muka kasihan pada HR, aku bergegas ke klinik berhampiran. Doktornya lucu, menyebabkan aku mengambil keputusan untuk mengulang datang di lain kali.

Seperti yang sudah aku jangka, terdapat jangkitan di En. Kerongkong. Katanya mungkin aku ada termakan sesuatu yang gatal / pedas / masam @ jeruk / MSG / terlalu panas. Itu yang menyebabkan tekak aku rupanya sudah luka. Tanpa aku sedar, aku juga rupanya demam. Dia menasihatkan aku supaya berbuka dan banyakkan minum air sejuk. Berbekalkan antibiotik, paracetamol, loratadine, bromhexine, sejenis ubat berwarna maroon untuk dihisap, sekeping bil untuk claim dengan syarikat dan sekeping sijil sakit, aku pun menggagahkan diri balik ke rumah dengan kepala yang serba pening.

Berbuka?

Oh, tidak! Jam telah menunjukkan pukul 1.30 tengah hari. Tak mungkin aku nak berbuka. Suhu badan yang demam sangat merimaskan. Aku pun ke bilik mandi dan mandi. Hahaha. Usai mandi, aku rebahkan badan ke tilam yang serba empuk lalu tertidur pulas. Aku terjaga pun hanya pada pukul 6.00 petang. Sekali lagi aku mandi dan kemudian menggagahkan diri berjalan membeli juadah berbuka. Memandang En. Doktor sudah berpesan, maka aku tabahkan hati dan tahan diri daripada membeli sayur keladi asam pedas yang kelihatan sungguh-sungguh enak. Akhirnya, aku beli nasi bersama sayur masak lemak bersama seplastik air mata kucing yang sangat-sangat sedap.

Alhamdulillah. Hari ni demam aku dah kebah. Tapi masih bersisa perit di tekak dan badan terasa sangat lesu. Haizz... semoga Tuhan memberikan aku banyak kesabaran untuk menghadapi dugaan ini. Sekejap lagi nak menunggang ke Putrajaya. Aduhai... tak terdaya rasanya. Semoga aku dapat bertahan.

Amin.

Tuesday, July 24, 2012

Negatif


TAK TAHU nak cakap macam mana. Haizzz... sejak semalam sehingga membawa ke hari ini, aku berasa terlalu sedih. Sedih apabila orang terlalu mudah salah faham dengan apa yang aku buat dan cakap. Kadang-kadang kita ketawa sebab rasa lucu bila seseorang itu berkata sesuatu, tapi dia terasa yang ketawa aku adalah menyindir dia. Kadang-kadang kita puji seseorang tu, tapi dia terasa pujian kita adalah sindiran sebab kita cemburu.

Haizzz...

Mengapa pemikiran sesetengah orang boleh jadi begitu negatif? Kalau kita bagi komen yang membina, dia anggap kita nak menjatuhkan dia. Kalau kita bagi cadangan baik pulih sistem kat tempat kita kerja, dia anggap kita kata dia tak tahu buat kerja selama ni. Aduhai. Janganlah begitu negatif.

Aku terasa sedih, apabila kata-kata aku disalah erti, dan dinilai serong. Aku bukan berkata-kata mengikut rasa atau sekadar suka-suka. Sebelum aku buka mulut, aku dah fikir hal ini selama berminggu, semasak-masaknya aku kira. Aku juga tanyakan pandangan orang yang layak. Ini adalah kata-kata yang sudah ditimbang tara. Sudah dinilai buruk baiknya. Aku sungguh-sungguh sedih. Bukan aku beremosi, namun terasa juga diri ini seperti langsung tak dihargai.

Aku berterima kasih kerana masih ada orang-orang yang mengerti dan cuba membantu serta memberikan kekuatan. Alhamdulillah. Aku tak sendirian dalam hal ini. Syukur. Mungkin ini adalah dugaan bulan puasa. Siapa tahu apabila semuanya selesai, ALLAH akan memberikan yang baik-baik buat aku. InsyaAllah. Mudah-mudahan. Kalau pun usaha ini bakal tidak berhasil, mungkin ALLAH menangguhkannya terlebih dahulu untuk menguji sabar aku. InsyaAllah, aku akan bersabar.

Aku berharap... dan kalau harapanku tak kesampaian, tiadalah aku berpatah hati melainkan sabar juga. Andai kata tiada hari ini, mungkin esok akan ada. InsyaAllah. Doa. Itu yang termampu untuk aku lakukan.

Semoga sinar Ramadhan akan terus menyuluh jalanku. Amin...

Friday, July 20, 2012

Puasa ~ Diari Ramadhan 1


ASSALAMUALAIKUM! Hah, tiba-tiba aku rasa pulak bagi salam. Selalunya main redah saja. Huhuhu. Bukan apa, katanya Ramadhan ni lebih menuntut kita memesrai perubahan kepada kebaikan. Jadinya salam ku hulur tanda muafakat. Alhamdulillah. ^_^

Hari ni hari pertama berpuasa, jadinya lemaulah sedikit. Aku memang akan lemau sekitar 2, 3 pertama. Lepas masuk hari ke4 barulah semuanya akan kembali normal. Itu biasa. Luar biasanya, aku kena jaga pemakanan supaya dapat berpuasa dengan cemerlang. Kalau tidak, alamatnya En. Gastrik akan mengganas dan melancarkan perang di dalam perut saya. Akibatnya, tentulah rancangan berpuasa penuh (kecuali ketika bulan merah) akan gagal secara total. Tahun lepas aku berpuasa hanya 14 hari. Sedih betul. 5 hari tinggal sebab bulan merah dan bakinya tinggal akibat serangan En. Gastrik.

Jadi! Dengan semangat yang berkobar-kobar, aku berazam penuh untuk berhati-hati dan menjaga pemakanan dengan sebaik-baiknya. Buat masa awal ni, aku akan lebihkan makan yang lembut. Bubur, nestum, oat dan sebagainya. Bila dah stabil ni baru akan makan nasi kembali. Huhuhuhu. Berusahalah! (semoga dapat turunkan berat badan yang menggila naik ni!)

Hari pertama puasa.

Aku ke rumah along di Putrajaya. Sajalah nak sambut puasa bersama adik-beradik. Kak long menghidangkan juadah istimewa, daging masak kicap untuk acara sahur. Sedap! Sejak kecil aku memang suka masakan yang berasaskan kicap. Tapi sayangnya, aku memilih menu selamat untuk sahur. Segelas Nestum + susu Anlene. Seperti biasa, diikuti dengan sajian ubat-ubatan bagi mengawal allergik dan gastrik. Sebiji kurma dan kemudian dua gelas air kosong. Wah! Kenyang.

Sekarang ni, tengah hari. Jadinya bersantai-santailah kami adik-beradik. Menjelang petang nanti barulah akan kembali sibuk di dapur. Bersibuk-sibuk untuk mengerjakan juadah untuk berbuka puasa. Asasnya ayam. Sekarang aku dengan kak long sedang berkira-kira untuk membikin apa. Ayam kari? Ayah gulai cili api? Ayam tomyam? Ayam sup berempah? Ayam kurma? Ayam panggang?

Wah! Wah!

Kecur pulak terasa air liur. Tak apalah, sekejap lagi tahulah kami mengerjakan awak, Encik Ayam. Huhuhuhu. Misi utama tahun ni, tiada bazar Ramadhan!

No... no... no!

Jangan pergi bazar Ramadhan demi untuk mengelakkan pembaziran, berjimat-cermat dan menguruskan badan. Harus sederhana. Aku bukan berangan nak badan macam Cameron Diaz pun. Cuma target nak turunkan 20 kg sahaja. Kembali ke berat badan asal aku dulu. Sekarang ni terasa berat sangat badan. Nak berjalan pun malas. Harap sangat menjelang berakhirnya Ramadhan, paling kurang pun mesti turun 5 kg. Paling-paling kuranglah tu. Kawan-kawan tolong doakan, ye?

Huhuhu. Baiklah, selamat berpuasa dan berbuka kepada semua! Semoga berhasil mendapatkan puasa yang sempurna.

Amin.

Thursday, July 19, 2012

730 dan Ramadhan


ADA dua perkara yang ingin diperkatakan dalam entri kali ini. Perkara yang pertama adalah mengenai ulangtahun yang telah lewat dan perkara yang kedua adalah berkenaan Ramadhan yang bakal menjelang.

730,
Telah beberapa hari berlalu semenjak ulangtahun ke2 mencintai dan dicintai oleh Si Bulat. Tak ada yang berubah. Alhamdulillah, aku masih bahagia dan masih cuba untuk membahagiakan. Aku cuma ingin mengucapkan terima kasih buat Nor Azahar Md. Nor kerana masih sudi meraikan jiwaku dan berkongsi bulan dan malam yang sama. Aku sangat menghargai setiap detik dalam 730 hari ini. Anda adalah laki-laki yang aneh, Si Bulat. Aneh kerana masih sudi bersama saya dan menelan segala rasa sakit ini. Semoga kita akan terus bersama, bercinta dan berbahagia sehingga ke akhirnya. Mudah-mudahan....

Ramadhan,
Esok adalah 1 Ramadhan 1433H. Alhamdulillah, ALLAH SWT masih memberi izin untuk aku bernafas dan meraikan ketibaan bulan yang penuh barakah ini. Syukur. Seakan punya magis, setiap kali Ramadhan menjelang, seluruh jiwa rasa aku akan mula berasa tenang. Seolah-olah segala permasalahan yang memberat di pundak ini hanya sekecil sayap nyamuk (SM Zakir, Panggil Namaku Izrail). Tiada bulan yang semurni bulan Ramadhan. Bayunya terlalu menyamankan. Aku berasa terpujuk.

Salam ulangtahun, kekasihku. Salam Ramadhan, seluruh umat Islam. Semoga berpuasa dapat menjernihkan jiwa dan semoga kita semua berhasil mencicip rahmat dari barakah Ramadhan yang mulia.

Amin.