Saturday, January 14, 2012

Ingat Tak?!


MASA aku kecil2 dulu, aku pernah baca satu buku cerita ni. Ceritanya bertajuk 'Si Miskin Dengan 7 Tempayan Emas'. Pernah dengar tak? Kisah dia lebih kurang macam ni, seorang miskin yang sangat miskin tahap bangsat. Dalam bangsat dia pun, Tuhan masih sayangkan dia dan bagi dia rezeki dengan kehadiran seorang isteri dan anak lelaki (kalau tak silap akulah... benda dah lama, beb!).

Tapi si Miskin ni memang bersabar dan baik hati. Setiap hari dia berdoa supaya Tuhan menjadikan dia seorang yang kaya dan dia janji kalau dia jadi kaya, dia akan tolong orang2 miskin yang lain. Dia sabar dan percaya Tuhan akan kabulkan doa dia. Hinggalah satu hari, datang seorang tua ke rumah dia dan tawarkan si miskin ni 7 tempayan emas. Si miskin gembira gila. Kemudian baru dia perasan yang tempayan tu 6 saja yang penuh berisi emas, tapi yang ketujuh hanya separuh dari tempayan yang berisi. Itu menjadikan si miskin ni tiba-tiba hilang kawalan dan jadi tamak. Dia jadi gila nak penuhkan tempayan yang ke7 tu sampai hidup yang selama ni miskin dan melarat jadi bertambah2 bangsat dengan sebangsat-bangsatnya. Malas aku nak citer sampai habis. Aku rasa korang pun tahu kesudahan dia macam mana, kan?

Apa yang menyebabkan aku teringat pada cerita ni adalah kerana aku mula berkenalan dengan beberapa orang manusia yang amat menggilai duit. Duit adalah perkara yang paling mustahak dan amat disukai oleh mereka2 ini. Aku jadi hairan. Aku yang tak normal atau apa? Aku memang tak peduli pasal duit. Aku tak nafikan yang duit memang penting tapi tak perlulah kita hidup dalam dunia ni semata-mata nak mencari, mengejar dan mengumpul duit, kan? Bukankah hidup lebih bermakna dari tu?

Bukankah kehidupan lebih bermakna dari duit?

Bukankah?

Sunday, January 8, 2012

My Fav Actress - Cameron D

(Gambo2 adalah ehsan dari Lebai Google)

BAGI mengelakkan blog aku ni terus bersawang memandangkan hidup yang sedang membosankan dan idea yang sedang kekeringan, aku terfikir untuk buat entri tentang pelakon2 yang paling aku sukai seantero dunia. Hahahaha! Boleh? Huh, kalu tak boleh pun aku pedulik hapa? Blog aku, suka hati akulah. Hahaha (mereng siket. Maaf ye? ;p)

Untuk edisi pertama ni, aku nak cerita pasal seorang actress yang berbadan kurus cun melecun lagi jelita bernama Cameron Diaz! Cameron Michelle Diaz dilahirkan pada 30 Ogos 1972 dan memulakan langkah sebagai pelakon melalui filem pertama, The Mask bergandingan dengan hero kesukaan aku juga iaitu Jim Carrey. Act, melalui filem inilah sebenarnya yang aku mula2 suka minah cun nih! Hahaha... mesti ada yang dah keliru. Aku ni lesbo ke hapa? Hahaha... serius, untuk si Cameron ni aku sanggup weh! (tu pun kalu dia ndak kat aku la... hahaha)

Inilah kali pertama aku tengok Cameron Diaz. Saat dia melangkah masuk ke dalam bank sebagai Tina Carlyle dalam filem The Mask (1994)

Walaupun aku nih gemuk, tapi sebenarnya aku sangat suka tengok perempuan yang kurus kering! Aku rasa amat cantik dan sexy. Aku paling suka si Cameron ni dalam satu scene mimpi dalam Charlie's Angel. Dalam mimpi tu dia menari dalam dress biru muda yang sangat memperlihatkan badan dia yang langsing tuh! Isy2... cantik sungguh ciptaan Rabb!

Antara filem dia yang paling aku suka selepas itu adalah My Best Friend's Wedding. Memegang watak sebagai Kimberly Wallace. Aku sangat suka filem ni sampai sanggup pilih filem ni sebagai tajuk tugasan aku dalam kelas En. Ghaz masa tahun 1 menuntut di akademi. Suka weh!

Kalau korang nak tahu, selain dari bakat lakonan yang lucu, mantap dan bersahaja si manis ni, ada tiga perkara yang paling aku suka yang menyebabkan aku mengangkat Cameron Diaz sebagai actress kegemaran aku. 3 perkara tu ialah : yang pertama aku dah sebut. Badan dia yang kurus. Yang kedua adalah mata dia yang cantik dan yang ketiga adalah yang paling penting. Cuba teka melalui gambar ni...

Dapat tak? Kalu tak dapat tengok gambo bawah lak. Cuba teka lagi?


Dah dapat teka? Kalau tak dapat gak, memang tak dapat nak diselamatkanlah korang ni. Hahaha... gurau aje. Act, perkara ketiga yang paling penting yang menyebabkan aku amat sukakan Cameron Diaz ni adalah...

Senyuman dia!

Tak ada perkataan yang boleh menggambarkan senyuman dia sebenarnya. Amat cantik, menggembirakan dan memukau. Tengok dia senyum menyebabkan aku rasa macam nak senyum sekali dengan dia. Huhuhu.

Okelah! Rasanya dah banyak sangat aku dok puji si minah ni. Nanti korang muntah hijau lak. Huhuhu... berjumpa lagi di lain kali. Daa!

Wednesday, December 21, 2011

Dandelion [Part 4]



DARI celahan daun pintu, Nyx hanya setia memerhatikan gerak laku Wulan yang serba tak kena di dalam kamarnya. Nyx tahu segalanya. Nyx tahu isi hati Wulan yang hebat bergelora. Nyx juga tahu makan malam kelmarin tidak berjalan seperti mana yang direncana. Buktinya, kristal berbentuk hati yang sepatutnya bertukar tangan masih utuh di atas meja yang berukir indah. Nyx spontan mengeluh.

Perlahan dia berlalu membawa sebeban pakaian untuk di cuci di telaga. Sesampainya di telaga, dalam keluh kesah hatinya yang gundah, Nyx terus setia menyudahkan kerja-kerjanya. Pada ketika timba keempat diangkat dari telaga, Nyx mendengar dirinya disapa orang. Dalam terkejut dia berkalih, timba terlepas ke dalam perigi. Sepantas itu juga sepasang tangan kekar yang berurat gagah mencapai timba dari terhumban ke dasar perigi. Nyx berkalih memandang sang pemilik timba. Seakan kaku apabila mendapati wajah tampan Gisher mengisi ruang.

"Apa mahumu?"

Dalam getar dia bersuara. Gisher memandang Nyx, penuh gelisah. Dia memberikan isyarat mahu berbicara. Nyx memandang kiri dan kanan. Sejurus dia membawa diri ke suatu sudut terpencil sambil diikuti oleh Gisher yang juga begitu berhati-hati menyusun gerak.

"Aku sudah menetapkan hatiku. Ya, jantungku juga sedang berdetak menarikan rentak yang sama dengan sang puteri..."

Nyx terpana, memaku tepat pandangannya kepada Gisher. Seketika kemudian bibirnya terukir senyum manis. Sukmanya seakan dituruni salji dingin. Kelegaan mengisi ruang.

"Apakah aku sudah terlewat? Apakah sang puteri sudah bertunang dengan pangeran dari selatan itu?"

Baur gelisah yang membusung dalam nada yang dituturkan Gisher menyebabkan Nyx tambah yakin dengan pengakuan pemuda itu. Nyx cuba menerangkan dengan seringkas mungkin rentetan yang sedang berlaku. Sementara itu dia langsung meminta diri untuk mengkhabarkan warita itu kepada Wulan. Selepas berjanji, Gisher melepaskan dia pergi.

Dalam mengah yang bersisa, Nyx spontan rebah di kaki Wulan. Dia sungguh tidak lagi menaruh sabar untuk memberitahu Wulan apa yang baru sahaja terjadi. Namun baru sahaja Nyx mahu membuka mulut, sapaan dari satu suara asing langsung membisukan dia. Nyx bangun lalu tunduk hormat lalu membawa diri ke tepi. Sang Bangsawan ayahanda kepada Wulan sedang berdiri di hadapannya sambil diiringi oleh Enu Juarsa. Sang Bangsawan berdehem lembut.

"Khabar apakah yang dibawakan sehingga begini teruja?"

Wajah Nyx segera dihinggap peluh. Wulan langsung pucat, dia seakan dapat menebak. Dalam tergagap Nyx memberi alasan, musim bunga akan tiba. Enu Juarsa terus ketawa menyebabkan Sang Bangsawan sama terhibur. Helah Nyx berkesan.

"Baiklah, cukup kita bersenda. Anakanda, ayahanda harap anakanda akan mula membuat persiapan. Kita tidak punya banyak masa."

Dengan kata-kata itu, Sang Bangsawan dan Enu Juarsa berlalu dari kamar Wulan. Enu Juarsa sempat menjual senyum manis buat Wulan sebelum batang tubuhnya lenyap ditelan muka pintu. Wulan lalu mengesak tangis. Nyx segera faham. Hatinya mula berbelah bahagi sama ada mahu memberitahu khabar gembira sebentar tadi atau dia. Dia tahu jodoh Wulan dan Enu Juarsa sudah rasmi diputuskan kini. Melihatkan esak tangis Wulan yang menghiba menyebabkan Nyx sedar yang dia perlu jujur.

"Gisher sudah menyambut tangan yang tuanku hulurkan!"

Wulan mengangkat muka. Tangisannya tiba-tiba terhenti. Ada sedikit kejernihan, cahaya muncul tiba-tiba menyerikan wajahnya. Wulan bangun mendapatkan Nyx.

"Kau berkata benar?"

"Patik tak mungkin berbohong!"

"Oh!"

Wulan terlalu gembira. Dia menari-nari di dalam kamar. Tangannya sempat mencapai ukiran kristal. Hatinya terlalu dibuai. Seketika kemudian Wulan jadi tersedar. Dia resah. Tiba-tiba sahaja diraihnya palma tangan Nyx lalu membenamkan kristal berbentuk hati di situ. Dia sempat membaca riak keliru yang berlari-lari di wajah Nyx.

"Kau sampaikan ini kepadanya. Katakan padanya dia harus membawa aku pergi pada hari perkahwinanku nanti. Jangan tidak! Atau aku sendiri akan menghumbankan diriku ke dalam Jurang Agam!"

Nyx langsung terkedu,

"Pergi sekarang!"

Monday, December 19, 2011

Aku Nak Merepek Sikit, Boleh?

(Ehsan Google)

AKU terkesan sedikit apabila membaca 'surat' yang ditujukan oleh salah seorang daripada rakan belajar, pernah jadi rakan sekerja dan kini rakan se'FB' aku kepada salah seorang mereka yang bergelar Sasterawan Negara. Aku terkesan bukan apa. Aku merasa ada sedikit ralat dalam motifnya menulis surat yang demikian. Aku sedar yang dia punya hak untuk meluah keluh kesah tentang apa yang dirasakan membarah di dalam hatinya. Namun malang, haknya itu tanpa sengaja aku pandang sepi kerana aku kurang bersetuju dengan tulisannya. Biasalah, akukan memang suka mencari pasal!

Si kawan 'SZ', aku tahu niat kau suci murni. Aku tahu kau mahukan sasterawan kau kembali ke pokok pangkal yang kau senangi. Aku juga tahu yang kau tak mahu sasterawan mu itu ke kanan atau ke kiri. Kau mahu beliau berdiri di hadapan, dengan mata penanya yang lebih tajam dari pedang, membelah segala kepincangan dan ketidak adilan. Benar usaha kau itu, tidak sama sekali aku tidakkan.

Tapi sedarkah engkau, bahawa tiap-tiap orang yang lahir di muka bumi ini di bekalkan tuhan dengan akal fikir dan suara hati. Akal dan hati inilah yang membuatkan seseorang itu memiliki prinsip yang berbeda di dalam hidup mereka. Kau tak boleh nak suruh atau paksa seseorang itu mengikut jalan yang kau pilih hanya kerana kau merasakan jalan itu paling benar. Hanya di atas tiket dia seorang sasterawan negara yang terkenal, maka kau merasa dia bertanggungjawab mempertimbangankan permintaan dari kau, salah seorang dari ribuan atau mungkin jutaan penyanjungnya.

Sedarkah kau, mungkin, dalam jutaan penyanjungnya itu lebih ramai yang mahukan dia meneruskan perjuangannya pada hari ini? Wajarkah dia menidakkan prinsip hati dan moralnya untuk mempertimbangkan permintaan kau? Katamu begini ;

"Saya hanya pencari nadi tulisan mata besi biasa, yang mampu tajamkan jiwa - bukan yang mampu tumpulkan kuasa"

Aku petik pula kata-kata dari seorang lagi sasterawan negara yang terlalu aku kagumi ;

"Seseorang hanya layak dipanggil penulis apabila berani menyatakan sikap!"

Aku kurang mengerti. Mengapa kau merasakan perjuangan beliau ini bukan untuk kita? Mengapa kau merasakan perjuangan beliau ini hanya demi dakyah politik dan hanya mengambil tahu soal pemimpin politik-politik yang semakin kotor dan busuk ini? Tidakkah kau sedar, ini adalah perjuangan rakyat? Perjuangan sang pencari kebenaran yang mahukan kita hidup dalam hak kita sebagai rakyat! Kita mahu berfikir. Kita tidak mahu diperkuda dan dibodohkan oleh kejumudan.

Aku menulis ini bukan kerana aku anti kerajaan. Aku juga tidak menulis ini kerana aku pro pembangkang. Aku tak pilih mana-mana pihak. Ke kanan tidak, ke kiri pun bukan! Aku berada di tengah-tengah, berdiri di atas angin dan hanya menelaah satu sandiwara demi satu sandiwara. Tonil ini benar-benar lucu, kau tahu? Itulah magisnya akal. Itulah manisnya meneliti perjuangan para sasterawan ini. Kau harus belajar melihat dunia dengan cara ia tidak selalu dilihat dan bukannya bagaimana ia mahu dilihat. Kau harus bijak mencari memaknakan metafora dan parodi masyarakat.

Kau harus!

Jadi buat aku, suratmu kau simpan saja sehingga kau benar-benar memahami dirimu sendiri.

Sunday, December 18, 2011

Kawan... Apa Ertinya Sahabat?

Kau

AKU cuma hendak mendedikasikan entri ini buat seorang yang kalau dia baca ini dia akan tau siapa dia.

Dia;

- kau pernah berada di sisi aku setiap kali aku gembira
- kau pernah berada di sisi aku setiap kali aku bersedih
- kau pernah sentiasa dekat di hati aku setiap kali jasad kita jauh
- kau berada bersama aku dalam keadaan yang paling teruk
- kau bersama aku dalam keadaan paling terbaek
- kau dan aku pernah berkongsi cerita ria
- kau dan aku juga pernah berkongsi cerita duka
- kau simpan rahsia aku
- kau curahkan rahsia hati kau pada aku
- kau berjanji akan kekal selamanya bersama aku
- kau sangat ceria dan aku sangat pemurung
- kau sangat positif dan aku sangat negatif
- kau ada melengkapi aku dan aku melengkapi kau
- kau suka coklat dan aku suka vanila
- kau suka pepsi dan aku suka coke
- kau suka biru dan aku suka merah
- kau suka doraemon dan aku suka jack skellington
- kau kelihatan kebudak-budakkan dan aku tahu yang kau sangat matang

Kita sangat berbeza dan dalam perbezaan itu kita sangat serupa. Kita sama-sama keras hati, degil, baran, pemarah, suka kfc, tegas, anak kedua dan lain-lain. Kita pernah melalui hampir semuanya dalam hidup. Kita pernah membina impian dan harapan yang sangat indah suatu masa dahulu. Untuk tempoh hampir 6 tahun mengenali kau, aku pernah rasa gembira sangat dengan kau, aku juga pernah rasa geram, sakit hati dan marah sangat dengan kau. Aku minta maaf kalau aku bukan yang terbaek untuk kau. Aku manusia yang sarat dengan tidak sempurna. Hubungan kita tak pernah berantakan kerana aku tak pernah meluahkan dan berkira dan kau tak pernah besar-besarkan cerita. Dalam diam kita saling memahami, saling mengerti dan saling melengkapi. Aku cuma nak cakap ni dengan kau ;

Terima kaseh sebab ada dalam hidup aku. Aku sangat sayang kau dan aku berdoa kau akan terus ada.

Kau comel dan aku sayang kau.

^_^

Thursday, December 8, 2011

Dandelion [Part 3]



SANG PURNAMA seakan terlukis penuh di dada langit menyebabkan malam menjadi terlalu berseri-seri. Sukar untuk disusunkan ke dalam bentuk kata-kata demi menggambarkan keindahannya. Namun sayang, suasana yang demikian menyihir seluruh inderia itu masih tumpas untuk mengukirkan sebaris senyuman di bibir milik Wulan.

Keraian makan malam yang sepatutnya girang dengan tawa sebaliknya bertukar sepi dan penuh dengan kesuraman.

Enu Juarsa terusan menyuap hirisan kambing panggang ke dalam mulut, mengunyahnya perlahan lalu menelannya sopan. Sesekali palma tangan menggenggam gelas berkaki lalu mencicip jus peraman anggur yang terisi di dalamnya. Usai dengan itu, Enu Juarsa kembali menyuap hirisan kambing panggang. Hanya sesekali dia berkalih mencuri pandang pada seraut wajah muram di hadapannya. Wulan terusan tunduk. Hidangan yang cukup menyelerakan itu sekadar dikuis-kuis.

Enu Juarsa berdehem lembut.

Wulan spontan mengangkat muka. Bertentang pandang dengan pria pangeran yang terlihat gagah dan penuh dengan ciri kelelakian. Spontan juga wajah Gisher sekilas mengisi ruang. Wulan lantas tertunduk kembali. Terasa sarat jiwa dengan rasa kelam, terlanjur dia melepaskan keluhan. Langsung menarik perhatian Enu Juarsa. Pria itu tersenyum sedikit.

"Apakah kedatangan kita ini cabul dan tidak menyenangkan hati sang puteri?"

Ternyata Enu Juarsa bijak membaca bahasa tubuh Wulan. Gadis bangsawan itu nyaris berderai air mata mendengarkan bicara tulus sang pangeran. Nyalinya lekas tersentuh. Adakah mencintai Gisher satu dosa? Mengapa dia sedang merasa begitu terhukum?

"Bicaralah. Kalau ada khilaf kita, mohor dikhabarkan. Kalau tak sudi menyambut tangan yang kita hulurkan, jujurlah. Jadi kita tahu dan dapat berundur diri secara baik..."

Perlahan hati Wulan merasa terpujuk. Entah kenapa Enu Juarsa seakan mempunyai magis. Kata-kata seperti mencair di bibirnya. Wulan mula mengangkat muka. Merenung mata bening milik Enu Juarsa yang sedang lembut menunaki wajahnya. Ah, mata itu seperti kolam pada waktu malam! Penuh dan indah. Merasa tewas, Wulan langsung berdiri dan menghantarkan tubuhnya ke muka jendela. Melepaskan segala gundah di situ. Enu Juarsa berdiri, sekadar mengikut rentak.

Buat Enu Juarsa, qalbinya sudah disentuh. Pertama kali terlihat wajah anggun milik Wulan, dia sudah ditewaskan rasa. Menggunung harapnya agar pinangannya diterima. Dia mahu menjadikan puteri itu sebagai surinya yang satu.

"Mengapa belayar merentas samudera dan segala macam bahaya demi menghulurkan tangan pada kita? Tidak adakah kuntum bunga yang mekar di Selatan?"

Kata-kata yang berbaur emosi itu dihadam baik oleh Enu Juarsa. Spontan bibirnya mengukir senyum lagi. Rupanya sang puteri benar tidak menyenangi dirinya.

"Banyak kuntum bunga yang mekar di Selatan. Bukan sahaja indah berwarna-warni tetapi harum juga baunya menyerbak suasana."

Wulan mengetap bibir, namun mengunci bicara.

"Namun entah kenapa sang bunga yang jauh ini telah muncul di dalam mimpi kita. Bunga yang lampau beda indah dan harumnya. Kita bagaikan disihir dengan haruman yang demikian memukau inderia, juga kita bagaikan terpenjara dengan indahnya warna yang terukir di kelopak sang bunga. Walaupun berduri, kita tetap sanggup melukakan jemari demi memetiknya. Kalaupun...."

Cukup! Wulan berpaling menentang mata Enu Juarsa dengan tajam. Tentangan itu langsung mendiamkan kata-kata manis yang sedang mengapung di udara sebentar tadi.

***

Sementara itu Gisher sedang gelisah di pembaringannya. Selalunya di kala malam sudah merangkak gelap begini, Gisher sudah lena didakap mimpi. Letih badannya bukan main. Kerja-kerjanya di kala siang, beratnya bukan mainan. Namun malam ini sama sekali beda dengan malam-malam yang lain. Dia merasa sungguh gelisah. Kunjungan Nyx membawa 1001 persoalan.

Gisher bangun, melontar dirinya ke depan cermin kaca. Refleksi yang terhasil sungguh tidak sempurna ekoran permukaan cermin yang uzur dan retak berbalam di sana sini. Itu cerminan dirinya yang sebenar ; serba daif.

'Ah, masakan langit dan bumi bersatu!'

Suara hatinya membentak. Gisher masih bercermin. Ya, secara fizikalnya dia memang laki-laki yang sempurna. Tubuhnya sasa, ekoran kerja-kerja yang dibikinnya. Malah rupanya ada. Dibikin elok oleh Tuhan. Tidak cacat. Cuma kulit sahaja yang legam, warisan dari leluhurnya. Secara jujur, memang tidak cocok, tidak padan dengan Wulan. Anak gadis bangsawan itu tidak memiliki kejelitaan yang berlebih-lebih sebenarnya. Tetapi dia sarat dengan kemanisan. Umpama bulan. Anggun.

'Adakah aku suka padanya?'

Sang hati masih berbisik. Gisher memejamkan kelopak mata. Mengharapkan malam akan memberikan jawapan. Sayangnya angin terus bisu... sebisu rasa yang membeku.

Dan di dalam kamar makan istana, kebisuan terus mengisi ruang di antara Wulan dan Enu Juarsa. Ternyata sunyi lebih mengisi ruang.

Sepi.

Wednesday, November 23, 2011

Catatan Sempena Ulang Tahun

Amat terharu atas kek ini!!! Kredit untuk Ikyn'z Zahari! ;D

Mr. Lim (HR) sempat menyibuk! Huhuhu...

TIDAK banyak yang hendak dan nak dicatatkan di sini. Jujurnya pada hari-hari yang lalu, aku merasa kosong dan tidak merasa ingin untuk menyambut hari ini. Apalah yang ada pada sebaris tarikh? Tiada apa yang istimewa. Biarlah ianya berlalu seperti hari-hari biasa. Apa yang penting buat aku adalah ingatan dan doa2 yang aku terima pada hari ini. Alhamdulillah...

Cumanya malam tadi, aku sedikit kaget. Benar-benar terkejut sebenarnya apabila sekitar lebih jam 12 malam (menandakan 24 November sudah tiba), Ikyn'Z dan Doraemimie tiba-tiba menghilang ke dalam bilik dan kemudian keluar menyanyikan lagu selamat sambil menatang kek. Aku benar-benar gembira. Benar-benar gembira. Diraikan adalah suatu hal yang sangat mengembirakan. Tidak kiralah bagaimana keraian itu dilakukan. Besar @ kecil, beramai-ramai @ hanya berdua... itu tidak penting. Apa yang penting adalah niat meraikan itu sendiri. Aku sungguh terharu, sungguh gembira.

Tak banyak yang mahu dan dapat aku perkatakan di sini selain rasa syukur setinggi langit ke hadrat ALLAH SWT atas limpah rahmat dan kurnia-Nya kepada aku selama ini. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu, Ya-ALLAH. Aku amat berterima kaseh. Terima kaseh Ikyn'Z, Mimie, Syiella, Ida, Fifa dan semua rakan sepejabat yang sudi menyanyikan lagu selamat buat aku. Terima kaseh juga buat kawan2 dan para sahabat yang mendoakan seluruh perkara yang baik-baik buat aku. Doa kalian aku angkat setinggi langit sebagai tanda ingatan walaupun hanya tercatat di dinding muka buku. Aku amat hargai. Terima kaseh.

Terima kaseh ayah dan mak yang masih menyayangi aku dan telah membesarkan aku. Untuk anda yang tahu siapa anda, terima kaseh atas nyanyian lagu ulang tahun.

Hari ini...
Hari yang kau tunggu
Bertambah satu tahun usiamu
Bahagialah kamu

Yang kuberi...
Bukan jam dan cincin
Bukan seikat bunga atau puisi
Juga kalung hati...

Maaf, bukannya pelit
Atau gak mau, modal sedikit
Yang aku ingin beri padamu
DOA SETULUS HATI

Semoga Tuhan melindungi kamu
Serta tercapai semua angan dan cita-citamu
Mudah-mudahan diberi umur panjang
Sehat selama-lamanya...

Selamat ulang tahun...!

Selamat ulang tahun hari lahir yang ke-25, N... semoga esok akan berbaik hati pada kau! Amin.

Tuesday, November 22, 2011

Aku Selalu Percaya... (Sebuah Catatan Klise)

Perjalanan Masih Panjang... InsyaAllah.

AKU selalu percaya, hidup harus sederhana. Aku selalu percaya, kalau kita masih ada prinsip dalam hidup, maka kita akan dihormati. Paling tidak oleh diri sendiri. Aku kira menghormati diri sendiri adalah jauh lebih besar daripada mendapat penghormatan dari orang2. Dalam kehidupan sehari-hari, kita akan bertemu bermacam-macam jenis ragam orang. Pilihan kita tak semestinya betul, pilihan orang2 di sekeliling kita juga tak semestinya salah.

Baru-baru ini, aku telah mengambil satu keputusan yang separa besar dalam hidup aku. Aku masih belum menghebahkan kepada sesiapa (kecualilah mereka2 yang ada semasa aku mengambil keputusan itu). Bukan gusar, jauh sekali merasa takut mereka tak menerima, tapi aku mencari masa yang lebih sesuai. Aku ini amat suka banyak berfikir sebelum melakukan sesuatu hal. Jadinya aku merasakan Tuhan hendak mengkhabarkan pada aku, sesuatu itu perlu dilakukan untuk menyenangkan hati. Fikir-fikir saja takkan pernah habis. Jadinya, suatu kejadian kecil telah menjadi palam pencucuh untuk aku terus mengambil keputusan.

Hal ini belum tentu suatu keputusan yang bijak, tetapi sekurang-kurangnya aku rasa lega. Amat-amat lega. Aku kira rasa lega itu sudah mencukupi. Sesekali hati perlu dibelai dan diberi manja dengan cara begini. Kebelakangan ini lampau banyak hal yang sedah merusuh jiwa. Sekurang-kurangnya satu dari 1001 hal itu telah habis.

Aku perlu berusaha dengan lebih keras pada masa akan datang. Aku ni bukan teruk sangat. Cuma malas... aku perlu ubah sikap demi masa depan.

InsyaAllah... amin!

Sunday, November 20, 2011

Bebas Akhirnya!!!

Perasaan aku sekarang! ;p
(Ehsan Pakcik Google)

SELEPAS beberapa tahun tak merasa perasaan ini, akhirnya pada hari yang bersejarah ni, aku akhirnya berjaya membawa diri aku untuk penghijrahan. Mungkin untuk sesetengah orang, tindakan yang aku buat ni adalah tindakan bodoh. Tapi kau tahu sesuatu?

AKU TAK PEDULI!

^_^ Aku tak peduli pun. Cukuplah jiwa dan rasa aku terbeban dan terbelenggu hanya kerana nak cari rezeki sesuap nasi. Aku dah tak sanggup. Bak kata seseorang,

"Selagi kau percaya pada Tuhan, Tuhan takkan lupakan kau... Tuhan takkan biarkan kau sendiri."

Aku percaya tu. Aku amat percaya tu. Aku yakin ini yang terbaek untuk aku dan untuk semua orang juga. Aku sedar dengan cara aku yang kasar mungkin telah menyinggung banyak pihak dan buat korang semua tak selesa berada di sekeliling aku. Maaf. Aku memang begini. Walaupun aku berkasar tapi hakikatnya aku sayang korang semua. Korang semua bertanggungjawab memakna dan mewarna kehidupan aku selama di sini. Untuk korang yang masih bertahan ;

Berusahalah!

Dan doakan aku. Aku perlu doa korang. Terima kaseh untuk segalanya dan maafkanlah aku andai sikap aku menyakiti korang. Aku sayang korang semua!

Aku pun akan berusaha! ^_^

Tuesday, November 15, 2011

Betul ke...? Hurm...

Erk?!

AKU kadang-kadang keliru sikit. Aku adalah timbalan presiden Kelab Anti PINK! Untuk pengetahuan korang, presidennya ada Doraemimie. Hahaha... Dak kecik tu adalah maniac biru dan aku biasalah, dark-darker-darkest! Hahaha... suka hati je. Aku amat suka kombinasi merah-gold-hitam. Aku sendiri tak tahu kenapa dan dari mana puncanya, aku memang amat tak suka pink. Tapi aku cuma layak jadi timbalan presiden pasal aku masih lagi boleh terima dan pakai pink (macam baju, barang-barang perhiasan dan sebagainya) tapi Mimie memang pangkah habis. Dia langsung takde apa-apa pun yang berwarna pink (kecuali sehelai t-shirt yang dihadiahkan oleh kak Wani yang tak pernah dipakainya) hahaha...

Sebenarnya warna merah jambu yang manis ni takde apa dosanya pun pada aku nih. Cuma aku rasa aku memang tak sesuai jadi pinky-gurl coz warna ni memang girly sangat-sangat amat! Di mana langsung tak sesuai dengan konsep aku yang ganas dan selebet nih. Betul tak? Jadi, no pink! No, no, no!

Tapi kadang-kadang aku macam pelik dengan diri sendiri. Aku selalu tengok banyak barang (terutamanya beg dan kasut) yang nampak cantik sangat dengan warna pink. Aku akan menyumpah dan cakap,

"Isy! Design cantik tapi warna geli. Takde warna lain ke???"

Bila aku dapat design yang sama dengan warna lain selain pink, terasa macam tak cantik pulak. Tak tahulah kalau design tu tak sesuai dengan warna lain ataupun tanpa aku sedari aku........ suka pink??????????

TIDAKKKKKKKKKKKKKKKKKKKK!!!

Tak mungkinkan? Sume benda nih hanya kebetulan. Aku tak mungkin akan suka pink! No, no, no! Tapi........... ada kemungkinan ke? @_@

Nope! Aku tetap kipas-susah-mati merah!!! Kegemaran aku, lili. (Ehsan Lebai Google lagi) ;p

Sunday, November 13, 2011

Dandelion [Part 2]



PADA malam itu bulan kelihatan begitu penuh... begitu bercahaya sehinggakan Wulan dapat melihat alam maya dibelai mesra cahaya perak yang sungguh menyentuh. Wulan tersenyum dalam titis-titis tangisan yang kian membarah. Di saat kolam hatinya sedang berkocak memainkan alunan kasih mesra buat Gisher, dia dikejutkan dengan khabar bahawa sebuah armada jiwa sedang berlayar datang dari seorang pria bangsawan dari Selatan.

Melalui Nyx, dayangnya yang menabur bakti dengan penuh setia itu, armada yang sarat dengan hantaran peminangan itu diketuai oleh Pangeran Enu Juarsa. Enu Juarsa itu sudah menyambut seruan ayahandanya. Lalu sang pangeran datang untuk merebut cintanya dari Gisher. Ah! Dia sekarang ibarat langit... manakan terdaya kail sejengkal Gisher yang berada di bumi untuk menariknya ke dalam mahligai bahagia. Wulan semakin merasakan sakit di ulu hatinya. Oh, mengapakan Enu Juarsa perlu muncul di saat begini?

Pada malam yang dingin itu juga, Wulan mengambil keputusan untuk menghantar Nyx sebagai utusan hatinya. Nyx tanpa bertangguh, dengan rela hati mempertaruhkan seluruh nyawa membawa utusan Wulan kepada Gisher. Gisher sendiri terperanjat separuh mati dalam mamai tatkala lenanya diragut kejutan keras dari Nyx. Pria itu pernah mendengar ceritera rapi mengenai puteri yang sedang hidup dalam sumpahan itu. Langsung dia sama sekali tidak menyangka sang puteri yang suci tinggi taraf hidupnya itu telah jatuh kasih pada seorang pengembala seperti dia. Nyx separuh mendesak, bergegas menanyakan balasan kepada warkah hati sang puteri. Gisher masih bingung. Lalu Nyx pulang tanpa jawapan.

Sementara itu armada Enu Juarsa sudah pun berlabuh tiba di pengkalan desa. Sudah pun bertandu dijemput penuh hormat oleh ayahanda Wulan ke istana. Wulan semakin diamuk resah. Untuk sekali ini, dia lebih rela jasadnya hancur dimamah Jurang Agam daripada menjadi suri buat Enu Juarsa yang tidak pernah dikenali. Sementelah pula, Gisher seakan bermain tarik tali. Tiada jawapan yang dikirimkan kepada Nyx, hampa luluh qalbinya.

Wulan menggenggam erat kristal berbentul hati yang terukir indah itu. Mampukah dia melalui malam kelak? Makan malam pertemuan pertama dia bersama Enu Juarsa. Wulan sungguh tidak rela kristal maharnya bertukar ke palma sang pangeran. Dia tidak sudi. Biarlah dia hancur luluh dimamah sumpahannya. Biarlah andai benar Gisher tidak sudi menyambut tangan yang sedang dia hulurkan. Mentari senja menyaksikan sepanjang petang dia menangis di ribaan Nyx.

Dia tidak sudi menjadi suri Pangeran Enu Juarsa.

Dia tidak sudi...!