Friday, July 20, 2012

Puasa ~ Diari Ramadhan 1


ASSALAMUALAIKUM! Hah, tiba-tiba aku rasa pulak bagi salam. Selalunya main redah saja. Huhuhu. Bukan apa, katanya Ramadhan ni lebih menuntut kita memesrai perubahan kepada kebaikan. Jadinya salam ku hulur tanda muafakat. Alhamdulillah. ^_^

Hari ni hari pertama berpuasa, jadinya lemaulah sedikit. Aku memang akan lemau sekitar 2, 3 pertama. Lepas masuk hari ke4 barulah semuanya akan kembali normal. Itu biasa. Luar biasanya, aku kena jaga pemakanan supaya dapat berpuasa dengan cemerlang. Kalau tidak, alamatnya En. Gastrik akan mengganas dan melancarkan perang di dalam perut saya. Akibatnya, tentulah rancangan berpuasa penuh (kecuali ketika bulan merah) akan gagal secara total. Tahun lepas aku berpuasa hanya 14 hari. Sedih betul. 5 hari tinggal sebab bulan merah dan bakinya tinggal akibat serangan En. Gastrik.

Jadi! Dengan semangat yang berkobar-kobar, aku berazam penuh untuk berhati-hati dan menjaga pemakanan dengan sebaik-baiknya. Buat masa awal ni, aku akan lebihkan makan yang lembut. Bubur, nestum, oat dan sebagainya. Bila dah stabil ni baru akan makan nasi kembali. Huhuhuhu. Berusahalah! (semoga dapat turunkan berat badan yang menggila naik ni!)

Hari pertama puasa.

Aku ke rumah along di Putrajaya. Sajalah nak sambut puasa bersama adik-beradik. Kak long menghidangkan juadah istimewa, daging masak kicap untuk acara sahur. Sedap! Sejak kecil aku memang suka masakan yang berasaskan kicap. Tapi sayangnya, aku memilih menu selamat untuk sahur. Segelas Nestum + susu Anlene. Seperti biasa, diikuti dengan sajian ubat-ubatan bagi mengawal allergik dan gastrik. Sebiji kurma dan kemudian dua gelas air kosong. Wah! Kenyang.

Sekarang ni, tengah hari. Jadinya bersantai-santailah kami adik-beradik. Menjelang petang nanti barulah akan kembali sibuk di dapur. Bersibuk-sibuk untuk mengerjakan juadah untuk berbuka puasa. Asasnya ayam. Sekarang aku dengan kak long sedang berkira-kira untuk membikin apa. Ayam kari? Ayah gulai cili api? Ayam tomyam? Ayam sup berempah? Ayam kurma? Ayam panggang?

Wah! Wah!

Kecur pulak terasa air liur. Tak apalah, sekejap lagi tahulah kami mengerjakan awak, Encik Ayam. Huhuhuhu. Misi utama tahun ni, tiada bazar Ramadhan!

No... no... no!

Jangan pergi bazar Ramadhan demi untuk mengelakkan pembaziran, berjimat-cermat dan menguruskan badan. Harus sederhana. Aku bukan berangan nak badan macam Cameron Diaz pun. Cuma target nak turunkan 20 kg sahaja. Kembali ke berat badan asal aku dulu. Sekarang ni terasa berat sangat badan. Nak berjalan pun malas. Harap sangat menjelang berakhirnya Ramadhan, paling kurang pun mesti turun 5 kg. Paling-paling kuranglah tu. Kawan-kawan tolong doakan, ye?

Huhuhu. Baiklah, selamat berpuasa dan berbuka kepada semua! Semoga berhasil mendapatkan puasa yang sempurna.

Amin.

Thursday, July 19, 2012

730 dan Ramadhan


ADA dua perkara yang ingin diperkatakan dalam entri kali ini. Perkara yang pertama adalah mengenai ulangtahun yang telah lewat dan perkara yang kedua adalah berkenaan Ramadhan yang bakal menjelang.

730,
Telah beberapa hari berlalu semenjak ulangtahun ke2 mencintai dan dicintai oleh Si Bulat. Tak ada yang berubah. Alhamdulillah, aku masih bahagia dan masih cuba untuk membahagiakan. Aku cuma ingin mengucapkan terima kasih buat Nor Azahar Md. Nor kerana masih sudi meraikan jiwaku dan berkongsi bulan dan malam yang sama. Aku sangat menghargai setiap detik dalam 730 hari ini. Anda adalah laki-laki yang aneh, Si Bulat. Aneh kerana masih sudi bersama saya dan menelan segala rasa sakit ini. Semoga kita akan terus bersama, bercinta dan berbahagia sehingga ke akhirnya. Mudah-mudahan....

Ramadhan,
Esok adalah 1 Ramadhan 1433H. Alhamdulillah, ALLAH SWT masih memberi izin untuk aku bernafas dan meraikan ketibaan bulan yang penuh barakah ini. Syukur. Seakan punya magis, setiap kali Ramadhan menjelang, seluruh jiwa rasa aku akan mula berasa tenang. Seolah-olah segala permasalahan yang memberat di pundak ini hanya sekecil sayap nyamuk (SM Zakir, Panggil Namaku Izrail). Tiada bulan yang semurni bulan Ramadhan. Bayunya terlalu menyamankan. Aku berasa terpujuk.

Salam ulangtahun, kekasihku. Salam Ramadhan, seluruh umat Islam. Semoga berpuasa dapat menjernihkan jiwa dan semoga kita semua berhasil mencicip rahmat dari barakah Ramadhan yang mulia.

Amin.

Tuesday, July 10, 2012

Dandelion [Part 7]


WULAN CITRA EKA WIJAYA SARI adalah satu-satunya pewaris kepada Wilayah Timur yang terletak di bawah jajahan takluk Sang Bangsawan. Selepas bertahun-tahun menikahi Anggun Dewi, sang suri permaisuri, barulah mereka isteri suami dirahmati dengan seorang puteri, pewaris kepada negeri. Lebih penting, pewaris kepada leluhur bangsawan mereka. Sang Bangsawan bukanlah orang yang paling cerewet sebenarnya. Dia sendiri hanya berhasil menikahi Anggun Dewi selepas melalui satu sejarah yang panjang. Anggun Dewi adalah pilihan hati dan dia mencabar segala takdir yang menuntut dia menikahi sepupunya sendiri, Avara Sigarlaki.

Avara Sigarlaki.

Wanita yang telah dipilih dan ditakdirkan untuk menjadi Ratu Wilayah Timur. Tetapi masakan Sang Bangsawan mampu melawan kata hati. Dia telah lama ditewaskan senyuman Anggun Dewi. Untuk manis senyum itu, dia bertindak memutuskan pertunangan dan nyaris kehilangan takhta. Sang Bangsawan terpaksa bertarung bermati-matian untuk mempertahankan haknya. Dan dia menang. Selepas pernantian bertahun bersilih ganti, akhirnya Anggun Dewi berhasil memberikan dia waris, bagi menyambung dan memelihara hak yang telah dipertahankan dengan nyawa dan darah.

Sayang seribu kali sayang, Avara ternyata adalah wanita pendendam yang penuh sihir. Lahirnya Wulan membawa petaka bersama. Anggun Dewi menghembuskan nafas terakhir sesudah menatap wajah sang puteri. Avara langsung muncul dengan penuh gaya, melemparkan sumpahan yang telah dikarang semenjak berkecainya ikatan pertunangan antara dia dengan Sang Bangsawan. Kerana itulah.

Kerana Sumpahan Avara Sigarlaki itulah.

Sang Bangsawan tidak lagi berani mengulang sejarah. Dia tahu, merestui pernikahan di antara Wulan dengan Gisher hanya akan mengundang dendam Enu Juarsa. Dia sedikit bernasib baik kerana Avara adalah sepupunya, sama-sama penakluk Wilayah Timur. Dendam Avara hanya meracun dan memusnahkan jiwa milik dia. Tetapi dendam Enu Juarsa pastilah akan membawa petaka dari Selatan bersama. Sang Bangsawan tidak mampu menjadi pementing diri sendiri. Dia sayangkan warisannya. Sayangkan rakyat jelatanya. Dia tidak mahu peperangan meletus hanya kerana cinta.

Sang Bangsawan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia hanya berdoa dan berharap supaya Enu Juarsa mampu menewaskan Gisher. Bukan dia benci pada anak muda itu. Tidak! Dia jelas tidak berdaya. Takdir menghadapi rakyat jelata dan para kerabat telah menewaskan dia sebagai ayah dan laki-laki. Tidak mampu dia merestui pilihan anak gadisnya kerana dia terikat dengan sejarah. Terikat dengan norma kehidupan yang tidak biasa menerima orang kebanyakan untuk diserap masuk ke dalam keluarga bangsawan. 

Enu Juarsa.

Lelaki itu adalah putera bongsu kepada Raja Wilayah Selatan. Bukan pewaris takhta namun telah dewasa dalam mengenal selok-belok urusan istana. Sungguh padan menjadi pemerintah selepas Wulan ditakhtakan kelak. Elok. Tidak terdaya dia menerima keluarbiasaan dan menolak kelaziman. Sungguh Sang Bangsawan berharap Tuhan akan memakbulkan doa yang sedang dipanjatkan ke langit. Semoga Enu Juarsa berhasil menewaskan anak muda dari Utara itu.

Sang Bangsawan menyimpan sedikit ragu sebetulnya. Dia tahu asal-usul Gisher. Anak muda itu ternyata bukan calang orang. Kegagahan dan keberaniannya bukan sebarang tandingan. Dia menjadi orang suruhan di istana itu pun hanyalah kerana takdir. Jika tidak, pasti Gisher antara kesatria yang sedang gagah mempertahankan Wilayah Utara pada tika ini. Cuma Gisher bukan waris yang sah. Si Panglima, ayahanda Gisher telah menikahi wanita sebarangan. Bukan seketurunan. Gisher tidak diterima untuk menyambung warisan Si Panglima.

Oh, Sang Bangsawan semakin resah! Terasa terlalu lama masa berjalan. Detik demi detik terasa begitu menyeksakan. Andai Gisher berhasil menang, bagaimanakah nanti pendiriannya kelak? Mampukah dia benar-benar mengusir Wulan pergi? Mampukah pula dia berpisah dengan satu-satunya kenangan dia bersama Anggun Dewi? Siapakah kemudiannya yang mahu mewarisi  takhta Wilayah Timur sesudah Wulan terusir pergi?

Oh!

Adakah esok akan berbaik hati...?

Tuesday, July 3, 2012

Mati

Ehsan Google
KALAULAH ditakdirkan korang dapat tahu yang korang akan mati esok, apa yang korang nak buat hari ni? Soalan ni bukan absurb. Ia tidak berbunyi 'korang akan mati esok, jadi apa yang korang nak buat hari ni?'. Ia dengan jelasnya menanyakan perihal 'kalau'.

Kalaulah kita akan mati esok, apa agaknya yang kita nak buat pada hari2 terakhir kita bernafas ni...? Untuk aku, tak ada apa lagi sebenarnya yang aku nak buat. Aku akan pergi kerja macam biasa, minta maaf, ucapkan selamat maju jaya dan kemudian selamat tinggal kepada rakan-rakan di pejabat. Balik dari kerja, aku akan ke BB, beli donut Big Apple. Kemudian makan sambil membuat panggilan kepada mak, ayah, adik beradik. Sama, minta maaf, ucapkan selamat maju jaya, selamat tinggal dan beritahu yang aku amat sangat sayangkan mereka. Kemudian aku akan hubungi teman-teman paling rapat terutamanya Jiha dan anak comel kami, Hadiff. Ucapkan semua perkara yang terbaik dan semoga Hadiff akan membesar sebagai seorang pemuda yang serba mengerti.

Sebenarnya, buat masa ni aku tak ada kekesalan dalam hati. Kalau benar aku memang ditakdirkan untuk mati dalam tempoh terdekat, rasanya tak ada benda yang nak aku kejarkan. Mati sajalah. Cuma terasa ralat kerana aku masih belum menjadi muslimah yang sejati dan anak yang membalas budi.

Pada adikku, Mifdhal, aku sudah berpesan. Dia, mak, ayah, along, kak long, Arrif boleh memilih dan memiliki judul yang mereka sukai dari rak harta karun yakni buku-bukuku sebagai kenang-kenangan tapi tak boleh terlalu banyak. Bukan kedekut, tapi aku sudah berhasrat akan mendermakan bakinya kepada perpustakaan pendalaman yang kekurangan bahan bacaan. Hanya buku-buku itu harta yang aku ada. Kalau ada duit ringgit aku berbaki dalam simpanan, aku minta diserahkan kepada mak dan ayah. 

Kalau ada hutang piutangku yang masih belum lunas, aku minta halalkan. Kalau tak sudi tak apalah, kita bertemu di akhirat nanti. Jangan minta pada keluarga aku. Jangan susahkan mereka. Jangan. Selagi aku hidup ni, mari tuntut dengan aku. Barangkali aku sudah lupa. Rasanya tak ada. Tapi jangan risau, kalau ada mari. Begitu juga dengan dengan permohonan maaf aku. Aku memohon maaf sekiranya ada menyinggung sesiapa. Kalau tak sudi dimaafkan, tak apa. Aku tak berkecil hati. Sama-sama kita selesaikan di akhirat sana.

Bagi aku sendiri, aku maafkan segala salah dan silap sesiapa juga terhadap aku. Kalau ada yang sudah terlupa atau si peminjam tak sudi nak pulangkan, aku juga halalkan semua hutang-piutang sesiapa saja yang pernah berhutang dengan aku. Cuma satu saja yang aku tak mampu nak lepaskan. Untuk sesiapa yang pernah menipu aku, berjanji palsu dan bermain kata dengan aku, itu semua aku tak lepaskan. Setiap huruf yang keluar sama ada melalui kata-kata atau tulisan, aku akan tuntut semuanya di sana kelak. 

Untuk dia, apa yang boleh aku katakan? Aku mencintai dia dengan setulus rasa yang ada. Aku juga bermohon maaf kerana pergi sebelum menjadi yang halal untuknya, melahirkan warisnya dan memberikan sebuah keluarga yang pernah aku janjikan. Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril adalah untukmu.

Apa lagi yang boleh aku katakan. Kalau ditakdirkan ALLAH SWT telah menentukan aku akan mati, maka matilah aku. Aku cuma berdoa semoga kematian aku tidak akan begitu menyakitkan orang-orang yang menyayangi aku.

Amin...

Monday, July 2, 2012

Red Velvet dan Coke

Gandingan mantap. ^_^
SEMALAM aku ke Shah Alam Convention Centre (SACC). Bagi sesiapa yang tak tahu tu, di sana sedang berlangsungnya Pesta Buku Selangor 2012. Maklum sahaja, berkerja di syarikat penerbitan buku memestikan aku untuk peduli tentang acara-acara seperti ini (kalau tak kerja di sini pun, aku memang sentiasa peduli dengan acara buku). Huhuhuhu. Tangkapan di SACC boleh tahan walaupun tak sehebat tangkapan di PWTC. Lepas ni kena ikat perutlah aku memandangkan bajet makan dah lebur ke buku. Antara yang menarik sempat aku rembat ialah Perempuan Nan Bercinta, hasil air tangan Faisal Tehrani. Al-kisah tanpa aku sedari, koleksi FT hampir penuh dalam simpanan. Huhuhu.


Apa yang aku nak cerita sebenarnya ialah, dalam melayari kesibukan berpesta buku, aku terduduk semeja dan terberkongsi cerita bersama salah seorang teman buku Bos Kecik. Act, aku ke Shah Alam pun memang bersama Bos Kecik. Sambil bekerja, dia nak jumpa teman bukunya itu. Secara tak langsung, aku pun berjumpalah juga. 


Aku akui, aku mudah skeptis dengan orang yang baru pertama kali aku jumpa. Mula-mula nampak si manis Aira Aliff ni, aku fikir dia adalah tipikal perempuan yang hanya suka bergolek dengan buku-buku cinta (huhuhu, maaf. Aku berjujur). Rupanya sangkaan aku meleset jauh. Semasa sedang menikmati sepotong Red Velvet bersama segelas coke, kami mula buka cerita. Macam-macam cerita. Bermula dengan mengapa buku-buku DBP tersidai di stor, ke mana halatuju buku-buku ALAF 21 (yang menurutnya lebih berfokus kepada penulis yang ada nama sahaja), membawa kepada ketidakstabilan gaya bahasa di dalam buku-buku sesetengah penerbit seperti FIXI dan CREATIVE sehingggalah kepada kualiti buku-buku yang diterbitkan oleh BUKU PRIMA dan FAJAR PAKEER.


Teruja.


Rasanya sudah lama aku tak bergebang bincang sehingga bergegar meja ditepuk oleh gelak tawa kami. Habis cerita buku, Aira tersasul kepada drama tempatan dan artis-artis Malaysia terkini. Kami sama mengumpat tentang bakat vs kontroversi. Entah macam mana, gebang kosong kami sempat melarat hingga ke kancah politik. Tambah bersemangat dan berpeluh-peluh kami mengupas antara lain kebodohan wartawan dan kedangkal-dunguan para artis yang membicarakan tentang Hukum Hudud, terbabas ke isu air di Kelantan sehinggalah tenggelam sekejap dalam arus ISA dan PRU 13.


Sudahnya, kami bersurai dan mengucapkan selamat tinggal dengan perut yang kenyang terisi Red Velvet yang lemak manis, Coke yang bakal meracuni pembuluh darah dan isu-isu semasa yang hangat.


Selamat berjumpa lagi, Cik Aira yang manis. Anda mengujakan petang lemau saya.

Wednesday, June 20, 2012

Jangannnnnnnn!

Jangan jadi macam ni... T_T
(Ehsan Google)
WAH, wah! Tolonglah memasang buah fikir kalian dengan baik. Haizzz... susah nak cakap ni, tapi kena cakap juga. Sebab rasa kecewa yang membuak-buak, aku gagahkan juga menaip di ruangan ini di tengah kesibukan kerja yang menggila.

Haizzz...

Bagi kawan-kawan yang aku suka dan tak suka, serta sesiapa sahaja yang tersesat ke laman ini pada hari khamis yang bertuah ini, aku dengan segala hormatnya ingin memohon suatu hal dari kalian semua. Aku minta tolonglah ;

JANGANNNNNNNNNN!

Janganlah bakar sampah atau buat sebarang aktiviti yang boleh mengeluarkan asap secara terbuka dan terbebas ke ruang udara yang dah semakin nazak tenat nih. Haizz... penat aku! Bayangkanlah, dalam jerebu yang dok menggila sampai aku dah tak boleh nak nampak KLCC dari rumah aku tu, tiba-tiba baik punya Encik @ Cik @ Puan Jiran boleh bakar sampah sampai asap berkepul-kepul membusukkan baju yang baru aku cuci dan jemur di jemuran.

Puk! Puk! Puk!

Geram punya hal, aku tepuk-tepuk dahi sendiri. Apa sajalah korang nih?! Tak tahu ke dengan jerebunya, dengan segala macam mak neneknya, macam mana korang boleh terfikir nak nazakkan lagi keadaan yang sedia ada? Takkan nak tunggu korang dah susah nak bernafas, hujan berasid baru nak fikir. Jangan macam tu tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Sayangilah alam sekitar. Aku suka dengan sebaris ayat yang aku asyik terdengar kat radio berbunyi begini ;

Bumi ini bukan diwarisi dari nenek moyang kita, tetapi dipinjam dari anak cucu kita.

Tak kasihankah pada anak-cucu kita kelak yang mendiami bumi yang kotor dan tercemar? Keturunan kita kelak tak dapat menikmati keindahan laut, kedinginan sungai, udara yang segar dan kehebatan hutan, bukankah mereka akan menyalahkan kita untuk itu? Bunyinya macam hal remeh, tapi sedarkah semakin lama kita semakin menjahanamkan bumi ini dengan sewenangnya. Ambil contoh mudah, tisu dan lampin pakai buang bayi. Orang dulu2 cuma pakai sapu tangan dan kain lampin yang boleh dicuci dan diguna semula. Kini, lampin pakai buang antara sampah terbanyak dan terdahsyat!

Plastik.

Ini pun satu hal lagi. Rasanya dah banyak tahun segala media cetak dan media eletronik menempik melalak melaungan kempen tanpa beg plastik, tapi hasilnya masih di paras yang mengecewakan. Apalah salahnya beli satu beg kain yang beso dan boleh muat segala macam barang yang korang beli di pasaraya. Kan lebih baik dari gunakan plastik. 

Aku pun faham. Nak hidup tanpa benda-benda ni semua langsung memang mustahillah. Tapi bukankah itu sebabnya wujud perkataan 'KURANGKAN'? Jadi tolonglah kurangkan penggunaan benda-benda ni semua. Paling penting sekali;

Jangan bakar sampah!

Jagalah alam sekitar kita ni. Ingat, jangan sampai bumi ni marah dan bertindak di luar jangkaan kita. Masa tu kalau menyesal pun dah tak guna.

Tuesday, June 19, 2012

Dia Cuma Happy Bila....

Berharap
(Ehsan Google)
DIA tengok Kau asyik sangat main PSP. Dia ketawa kecil.
DIA : Kau ni tak bosan ke asyik main PSP?
Kau angkat muka, pandang Dia sambil senyum.
KAU : Habis tu kalau aku tak main PSP ni, aku nak buat apa? Nak mesej bukan ada gf pun. Lain la korang. Ada antara satu sama lain. (senyum)
DIA : Kadang-kadang aku rasa lagi elok takde sesiapa. Takde masalah yang menyakitkan kepala. Kau tahu, aku dah ada bf sejak umur 18. Dan sejak tu aku takde masa untuk diri sendiri.
Kau angkat muka dan letak PSP.
KAU : Jangan fikir macam tu. Tuhan bagi seseorang untuk temani kau. Orang ni berbeza2. Ada orang boleh happy bila sorang-sorang. Ada orang boleh happy bila lepak dengan kawan2. Macam B, dia cuma happy bila kau ada.
Dia buat muka sinikal.
DIA : Serius?
Kau angguk dengan serius.
KAU : Yup! Sejak aku kenal B, aku dah nampak semua tu. Dia cuma happy bila kau ada. Bila kau takde, dia cuma tumpukan perhatian pada keje. Pergi keje balik keje. Lepak layan DVD kat umah. Paling2 pun kitorang gi karaoke. Bila kau ada je baru dia rancang macam2. Nak bawak kau pergi sana-sini.
DIA : Aku tak tahulah, beb. Aku cuma takut jadi beban untuk dia. Banyak sangat masalah kat pihak aku, sampai aku rasa  tak adil untuk dia.
KAU : Sepanjang aku dengan B, apa yang boleh aku kata dia ada 80% persamaan dengan aku. Maksud aku dari segi bercinta. Kitorang sanggup buat dan terima apa saja demi orang yang kitorang sayang. Aku tak fikir B akan putus asa dengan hubungan korang. Dia amat sayangkan kau. Aku yang orang luar ni pun boleh nampak tu.
Dia terdiam sehinggalah B datang. Kau sempat tersenyum pada Dia.
KAU : Jangan risau, semuanya akan baik. Tuhan akan tolong.
Kau kembali tunduk dan main PSP.

Tuesday, June 12, 2012

Kadang-Kadang

Berbeza lagi. Huhuhu.
(Ehsan Google)
PERNAH juga sesekali aku terfikir, kalaulah aku teruskan pengajian di UPM dulu, apa yang akan jadi pada aku sekarang ni? Adakah aku akan berjaya tamatkan pengajian dengan jayanya dan menjadi seorang pegawai pertanian? Kalau itu berlaku, pastilah aku takkan berjumpa dengan Chael dan seterusnya takkan mengenali Si Bulat. Kalau itu juga yang berlaku, aku sedang bersama siapa? Sudah kahwinkah, atau apa?

Kadang-kadang hidup ni memang lucu. Kita suka memikirkan hal-hal 'kalaulah'. Seolah-olah kita mengharapkan Doraemon akan datang dari abad ke-22, keluar dari mesin masa di dalam laci meja kita dan kemudian mengeluarkan Teropong Masa Hadapan. Melalui teropong itu, kita akan dapat melihat, kalaulah kita buat A, apa yang akan jadi. Dan kalaulah kita buat B, apa pula yang akan jadi. Hurm, wah2! Kalau macam tu semua orang akan hidup bahagia, aman damai dan kaya-raya. Kalau tu yang jadi alamatnya kiamat akan datang sebelum waktunya, tau?!

Hidup ni perlukan keseimbangan. Kaya miskin, kuat lemah, derita bahagia, yin yang, lelaki perempuan, siang malam dan banyak lagi. Susah nak cakap, tapi itulah hakikatnya. Jangan asyik nak kalaulah. Alhamdulillah, sepanjang hampir 26 tahun aku hidup dalam dunia ni, aku belum rasa total menyesal dengan setiap keputusan yang aku ambil. Tak kiralah, keputusan itu salah atau betul, mengangkat atau menghumban aku, aku tak kesal. Itu semua adalah kutipan pengalaman yang amat berharga untuk aku. Bukan aku bangga dengan salah yang aku buat. Aku tak bangga. Cuma aku bersyukur pada Tuhan kerana aku peluang untuk merasai secebis ragam kehidupan. 

Tuhan Maha Adil. DIA bagi kita ketawa, menangis, sedap, sakit, gembira, kecewa. Semuanya cukup rasa dalam ramuan hidup. Keputusan yang kita buat akan membentuk siapa diri kita. Aku pernah dengar orang cakap ;

"Your reputation comes from the company you keep"

Maaf, aku kurang bersetuju dengan quotes ini. Aku tak fikir kalau kita bergaul baik dengan rakan-rakan yang kaki clubbing, perokok tegar, penagih syabu ataupun penjenayah berskala kecil, kita akan terus menjadi seperti mereka. Aku fikir tak adil merefleksikan reputasi kita dengan laku teman-teman di sekeliling kita. Adakah dengan minum petang semeja dengan bekas banduan atau pekerja angkut sampah akan menyebabkan kita dipandang sebagai bekas banduan dan pekerja angkut sampah juga? Mana akal, apa fungsi akal?

Kau berkawan dengan penagih, kau terus jadi penagih. Kau berkawan dengan pelacur, kau terus jadi pelacur. Jadi adakah kalau kau berkawan dengan doktor, kau pun terus jadi doktor? Adakah? Adakah?

Pening.

Kadang-kadang aku terfikir juga, kenapa aku suka sangat buang masa membebel dalam blog ni? Hidup aku masih macam gitu juga. Biasa2 saja. Kata nak jadi penulis, dah 7 tahun berlalu, belum ada sebuah buku pun terbit lagi. Tak apalah, aku takkan salahkan sesiapa pun yang tak boleh nak tengok apa yang ada dalam kepala hotak dan hati aku ni. Huhuhu... 

Pada aku, selagi hidup, selagi boleh makan minum, berfikir, menikmati... maka hidup aku sudah jauh mengatasi 'kesempurnaan' yang diciptakan manusia.

(^_^)

Sunday, May 27, 2012

Ke Pantai Timur! Ayuh!

Nak tengok citer ni balik nanti! Sape nak ikut?
(Ehsan Google)
BERTOLAK ke Pantai Timur!!! Outstation lagi. Huhuhu. Takpelah. Just update minta korang sume yang tersesat di sini mendoakan moga2 aku selamat pergi dan selamat kembali. Rasa boring jugak sebenarnya. Sebab kena pergi Pantai Timur. Tempat sendiri katanya. Hari tu ke Selatan oklah jugak. Nasib baik outstation ke Pantai Timur ini adalah yang terakhir untuk siri jelajah Malaysia 2012. So, lepas ni tahun depanlah pulak!

Huhuhu.

Korang ada nak kirim apa? Kain batik ke, kopok lekor ke, putu beras ke? ;p kalu sempat leh la shopping. Sempat gaji kot. :) Hm, klah... nak gerak da!

Daa~ KL untuk 4 hari. Best!

Friday, May 25, 2012

Entah Siapa Yang Berkhayal

Ehsan Google
Aku tak pernah hidup dalam khayalan. Tapi orang yang lebih suka anggap aku berkhayal.
Apa-apa sajalah!

Friday, May 4, 2012

Keputusan

Berbeza
(Ehsan Google)
Kata Mereka : Jadi, apa keputusan kau?
Kata Dia         : Menang jadi abu, kalah jadi arang...
Kata Mereka : ....
Kata Dia         : (diam)
Kata Mereka : Jadi?
Kata Dia         : Jadi, lebih baik menang jadi abu 
                          dari semata-mata kalah jadi arang!
Kata Mereka : ....
Kata Dia         : (terus diam)