Wednesday, June 20, 2012

Jangannnnnnnn!

Jangan jadi macam ni... T_T
(Ehsan Google)
WAH, wah! Tolonglah memasang buah fikir kalian dengan baik. Haizzz... susah nak cakap ni, tapi kena cakap juga. Sebab rasa kecewa yang membuak-buak, aku gagahkan juga menaip di ruangan ini di tengah kesibukan kerja yang menggila.

Haizzz...

Bagi kawan-kawan yang aku suka dan tak suka, serta sesiapa sahaja yang tersesat ke laman ini pada hari khamis yang bertuah ini, aku dengan segala hormatnya ingin memohon suatu hal dari kalian semua. Aku minta tolonglah ;

JANGANNNNNNNNNN!

Janganlah bakar sampah atau buat sebarang aktiviti yang boleh mengeluarkan asap secara terbuka dan terbebas ke ruang udara yang dah semakin nazak tenat nih. Haizz... penat aku! Bayangkanlah, dalam jerebu yang dok menggila sampai aku dah tak boleh nak nampak KLCC dari rumah aku tu, tiba-tiba baik punya Encik @ Cik @ Puan Jiran boleh bakar sampah sampai asap berkepul-kepul membusukkan baju yang baru aku cuci dan jemur di jemuran.

Puk! Puk! Puk!

Geram punya hal, aku tepuk-tepuk dahi sendiri. Apa sajalah korang nih?! Tak tahu ke dengan jerebunya, dengan segala macam mak neneknya, macam mana korang boleh terfikir nak nazakkan lagi keadaan yang sedia ada? Takkan nak tunggu korang dah susah nak bernafas, hujan berasid baru nak fikir. Jangan macam tu tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Sayangilah alam sekitar. Aku suka dengan sebaris ayat yang aku asyik terdengar kat radio berbunyi begini ;

Bumi ini bukan diwarisi dari nenek moyang kita, tetapi dipinjam dari anak cucu kita.

Tak kasihankah pada anak-cucu kita kelak yang mendiami bumi yang kotor dan tercemar? Keturunan kita kelak tak dapat menikmati keindahan laut, kedinginan sungai, udara yang segar dan kehebatan hutan, bukankah mereka akan menyalahkan kita untuk itu? Bunyinya macam hal remeh, tapi sedarkah semakin lama kita semakin menjahanamkan bumi ini dengan sewenangnya. Ambil contoh mudah, tisu dan lampin pakai buang bayi. Orang dulu2 cuma pakai sapu tangan dan kain lampin yang boleh dicuci dan diguna semula. Kini, lampin pakai buang antara sampah terbanyak dan terdahsyat!

Plastik.

Ini pun satu hal lagi. Rasanya dah banyak tahun segala media cetak dan media eletronik menempik melalak melaungan kempen tanpa beg plastik, tapi hasilnya masih di paras yang mengecewakan. Apalah salahnya beli satu beg kain yang beso dan boleh muat segala macam barang yang korang beli di pasaraya. Kan lebih baik dari gunakan plastik. 

Aku pun faham. Nak hidup tanpa benda-benda ni semua langsung memang mustahillah. Tapi bukankah itu sebabnya wujud perkataan 'KURANGKAN'? Jadi tolonglah kurangkan penggunaan benda-benda ni semua. Paling penting sekali;

Jangan bakar sampah!

Jagalah alam sekitar kita ni. Ingat, jangan sampai bumi ni marah dan bertindak di luar jangkaan kita. Masa tu kalau menyesal pun dah tak guna.

Tuesday, June 19, 2012

Dia Cuma Happy Bila....

Berharap
(Ehsan Google)
DIA tengok Kau asyik sangat main PSP. Dia ketawa kecil.
DIA : Kau ni tak bosan ke asyik main PSP?
Kau angkat muka, pandang Dia sambil senyum.
KAU : Habis tu kalau aku tak main PSP ni, aku nak buat apa? Nak mesej bukan ada gf pun. Lain la korang. Ada antara satu sama lain. (senyum)
DIA : Kadang-kadang aku rasa lagi elok takde sesiapa. Takde masalah yang menyakitkan kepala. Kau tahu, aku dah ada bf sejak umur 18. Dan sejak tu aku takde masa untuk diri sendiri.
Kau angkat muka dan letak PSP.
KAU : Jangan fikir macam tu. Tuhan bagi seseorang untuk temani kau. Orang ni berbeza2. Ada orang boleh happy bila sorang-sorang. Ada orang boleh happy bila lepak dengan kawan2. Macam B, dia cuma happy bila kau ada.
Dia buat muka sinikal.
DIA : Serius?
Kau angguk dengan serius.
KAU : Yup! Sejak aku kenal B, aku dah nampak semua tu. Dia cuma happy bila kau ada. Bila kau takde, dia cuma tumpukan perhatian pada keje. Pergi keje balik keje. Lepak layan DVD kat umah. Paling2 pun kitorang gi karaoke. Bila kau ada je baru dia rancang macam2. Nak bawak kau pergi sana-sini.
DIA : Aku tak tahulah, beb. Aku cuma takut jadi beban untuk dia. Banyak sangat masalah kat pihak aku, sampai aku rasa  tak adil untuk dia.
KAU : Sepanjang aku dengan B, apa yang boleh aku kata dia ada 80% persamaan dengan aku. Maksud aku dari segi bercinta. Kitorang sanggup buat dan terima apa saja demi orang yang kitorang sayang. Aku tak fikir B akan putus asa dengan hubungan korang. Dia amat sayangkan kau. Aku yang orang luar ni pun boleh nampak tu.
Dia terdiam sehinggalah B datang. Kau sempat tersenyum pada Dia.
KAU : Jangan risau, semuanya akan baik. Tuhan akan tolong.
Kau kembali tunduk dan main PSP.

Tuesday, June 12, 2012

Kadang-Kadang

Berbeza lagi. Huhuhu.
(Ehsan Google)
PERNAH juga sesekali aku terfikir, kalaulah aku teruskan pengajian di UPM dulu, apa yang akan jadi pada aku sekarang ni? Adakah aku akan berjaya tamatkan pengajian dengan jayanya dan menjadi seorang pegawai pertanian? Kalau itu berlaku, pastilah aku takkan berjumpa dengan Chael dan seterusnya takkan mengenali Si Bulat. Kalau itu juga yang berlaku, aku sedang bersama siapa? Sudah kahwinkah, atau apa?

Kadang-kadang hidup ni memang lucu. Kita suka memikirkan hal-hal 'kalaulah'. Seolah-olah kita mengharapkan Doraemon akan datang dari abad ke-22, keluar dari mesin masa di dalam laci meja kita dan kemudian mengeluarkan Teropong Masa Hadapan. Melalui teropong itu, kita akan dapat melihat, kalaulah kita buat A, apa yang akan jadi. Dan kalaulah kita buat B, apa pula yang akan jadi. Hurm, wah2! Kalau macam tu semua orang akan hidup bahagia, aman damai dan kaya-raya. Kalau tu yang jadi alamatnya kiamat akan datang sebelum waktunya, tau?!

Hidup ni perlukan keseimbangan. Kaya miskin, kuat lemah, derita bahagia, yin yang, lelaki perempuan, siang malam dan banyak lagi. Susah nak cakap, tapi itulah hakikatnya. Jangan asyik nak kalaulah. Alhamdulillah, sepanjang hampir 26 tahun aku hidup dalam dunia ni, aku belum rasa total menyesal dengan setiap keputusan yang aku ambil. Tak kiralah, keputusan itu salah atau betul, mengangkat atau menghumban aku, aku tak kesal. Itu semua adalah kutipan pengalaman yang amat berharga untuk aku. Bukan aku bangga dengan salah yang aku buat. Aku tak bangga. Cuma aku bersyukur pada Tuhan kerana aku peluang untuk merasai secebis ragam kehidupan. 

Tuhan Maha Adil. DIA bagi kita ketawa, menangis, sedap, sakit, gembira, kecewa. Semuanya cukup rasa dalam ramuan hidup. Keputusan yang kita buat akan membentuk siapa diri kita. Aku pernah dengar orang cakap ;

"Your reputation comes from the company you keep"

Maaf, aku kurang bersetuju dengan quotes ini. Aku tak fikir kalau kita bergaul baik dengan rakan-rakan yang kaki clubbing, perokok tegar, penagih syabu ataupun penjenayah berskala kecil, kita akan terus menjadi seperti mereka. Aku fikir tak adil merefleksikan reputasi kita dengan laku teman-teman di sekeliling kita. Adakah dengan minum petang semeja dengan bekas banduan atau pekerja angkut sampah akan menyebabkan kita dipandang sebagai bekas banduan dan pekerja angkut sampah juga? Mana akal, apa fungsi akal?

Kau berkawan dengan penagih, kau terus jadi penagih. Kau berkawan dengan pelacur, kau terus jadi pelacur. Jadi adakah kalau kau berkawan dengan doktor, kau pun terus jadi doktor? Adakah? Adakah?

Pening.

Kadang-kadang aku terfikir juga, kenapa aku suka sangat buang masa membebel dalam blog ni? Hidup aku masih macam gitu juga. Biasa2 saja. Kata nak jadi penulis, dah 7 tahun berlalu, belum ada sebuah buku pun terbit lagi. Tak apalah, aku takkan salahkan sesiapa pun yang tak boleh nak tengok apa yang ada dalam kepala hotak dan hati aku ni. Huhuhu... 

Pada aku, selagi hidup, selagi boleh makan minum, berfikir, menikmati... maka hidup aku sudah jauh mengatasi 'kesempurnaan' yang diciptakan manusia.

(^_^)

Sunday, May 27, 2012

Ke Pantai Timur! Ayuh!

Nak tengok citer ni balik nanti! Sape nak ikut?
(Ehsan Google)
BERTOLAK ke Pantai Timur!!! Outstation lagi. Huhuhu. Takpelah. Just update minta korang sume yang tersesat di sini mendoakan moga2 aku selamat pergi dan selamat kembali. Rasa boring jugak sebenarnya. Sebab kena pergi Pantai Timur. Tempat sendiri katanya. Hari tu ke Selatan oklah jugak. Nasib baik outstation ke Pantai Timur ini adalah yang terakhir untuk siri jelajah Malaysia 2012. So, lepas ni tahun depanlah pulak!

Huhuhu.

Korang ada nak kirim apa? Kain batik ke, kopok lekor ke, putu beras ke? ;p kalu sempat leh la shopping. Sempat gaji kot. :) Hm, klah... nak gerak da!

Daa~ KL untuk 4 hari. Best!

Friday, May 25, 2012

Entah Siapa Yang Berkhayal

Ehsan Google
Aku tak pernah hidup dalam khayalan. Tapi orang yang lebih suka anggap aku berkhayal.
Apa-apa sajalah!

Friday, May 4, 2012

Keputusan

Berbeza
(Ehsan Google)
Kata Mereka : Jadi, apa keputusan kau?
Kata Dia         : Menang jadi abu, kalah jadi arang...
Kata Mereka : ....
Kata Dia         : (diam)
Kata Mereka : Jadi?
Kata Dia         : Jadi, lebih baik menang jadi abu 
                          dari semata-mata kalah jadi arang!
Kata Mereka : ....
Kata Dia         : (terus diam)

Sunday, April 15, 2012

Dandelion [Part 6]



SEPERTI yang dijanjikan, seawal subuh hening yang permai damai lagi Gisher sudah melutut di balai utama istana. Ada Wulan menemani. Namun tak berani dia sama berlutut di sisi lelaki itu. Wulan sekadar duduk di kerusi utamanya. Terletak elok bersebelahan kerusi ayahandanya. Dalam degup jantung yang semakin hebat menendang dada, Wulan seakan berdoa. Berharap dunia akan berpihak kepadanya.

Wulan merenung wajah Gisher yang kelihatan tenang. Langsung tiada riak-riak gentar terlukis di situ. Sedangkan lamaran yang bakal dipersembahkan kepada Sang Bangsawan sebentar nanti mungkin bakal menghantarnya ke pintu neraka. Ke makam pemenggal tepatnya. Lamaran itu boleh jadi lancang. Terpulang kepada penilaian Sang Bangsawan. Kelancangan itulah yang paling digeruni Wulan. Apalah usaha dan daya dia seandainya benar Sang Bangsawan menghantar Gisher kepada Si Pemenggal untuk memisahkan kepala dan nyawa laki-laki itu dari tubuhnya.

Wulan spontan menekup muka!

"Anggunku..."

Perlahan dia kembali mengangkat muka, seolah-olah panggilan Gisher sebentar tadi tamsil jemari yang mengangkat dagunya. Wulan merenung tepat ke dalam mata Gisher. Laki-laki itu mengukir senyum manis. Wulan jadi ingin tersenyum juga.

"Jangan bimbang."

Wulan mengangguk. Iya, jangan bimbang! Mengapa harus bimbang? Mengapa mesti membayangkan yang bukan-bukan? Jika tangan berani dia hulurkan, mengapa kesan selepasnya juga tidak berani digenggam?! Dengan niat begitu, Wulan kembali tenang. Rasa berani untuk mempertahankan cintanya kembali menguatkan jiwa.

Ruang dewan utama semakin cerah. Mentari sudah membentangkan sinar keemasannya dan tersalur pula ke dalam dewan melalui ruang-ruang di antara jendela. Para pembesar istana sudah mengambil tempat masing-masing. Begitu juga dengan Sang Bangsawan dan Enu Juarsa. Tergambar jelas di wajah semua orang akan kehairanan yang membukit. Oh, menggunung barangkali.

Nyx pula sedang berdiri di suatu sudut, menahan debar yang hampir pecah!

"Ada apa?"

Begitu suara Sang Bangsawan. Gisher menundukkan muka sedikit, tanda hormat sebelum membuka mulut. Sekilas sempat dia menjeling ke arah Wulan. Tergesa-gesa Wulan tersenyum, tanda memberi kekuatan.

"Ampunkan patik andai mulut patik terlalu cemar untuk membuat suatu permintaan kepada tuanku."

"Katakan," aju Sang Bangsawan.

Enu Juarsa berkalih punggung, mencari letak duduk yang selesa. Dia tampak berminat untuk mendengar permintaan yang bakal dimuntahkan Gisher. Sudah berlutut sembah awal pagi begini, pasti ada hal yang besar.

"Patik dan sang puteri sudah terlajak hati. Inginlah patik yang hina ini memohon restu tuanku bagi memetik sang puteri sebagai hiasan hidup patik!" Tegas dan jelas susunan kata-kata yang meluncur keluar dari bibir Gisher.

Sepi.

Dewan seakan baru lepas diserang garuda. Sepi, sepi dan sepi untuk beberapa ketika. Enu Juarsa, Sang Bangsawan dan seluruh pembesar seperti baru disapa Kelembai. Diam mematung semuanya. Tiba-tiba Enu Juarsa bangun lalu menarik pedang keluar dari sarung. Nyeri bunyinya menyebabkan Wulan turut bingkas berdiri.

"Tahukah kamu, bunga yang kamu minta untuk disunting itu adalah bunga yang kembang di dalam tamanku, milikku?!"

Wulan langsung berlari dan berdiri bersebelahan Gisher.

"Aku bukan milikmu, pangeran. Aku tidak pernah bersetuju. Maafkan aku..."

Dengan kata-kata itu Gisher segera mengeluarkan ukiran kristal berbentuk hati dari saku dalam bajunya. Terbeliak mata Sang Bangsawan.

"Mari selesaikan hal ini secara laki-laki!" Bentak Enu Juarsa.

Sang Bangsawan mengangkat tangan. Di wajahnya terlukis segala keruh. Dia lalu mengeluh. Enu Juarsa masih marah. Terasa dirinya diperkecilkan.

"Apa benar orang suruhan ini adalah pilihanmu, Wulan?"

Enu Juarsa ingin memekik mendengar soalan itu. Tambah ingin mengamuk apabila melihat anggukan Wulan. Tetapi dia menahan diri. Cuba ingin terus melihat sandiwara ini.

"Bagaimana kalau ayahanda menolak?"

"Lalu aku akan humbankan tubuhku ke Jurang Agam! Biarlah takdirku berakhir di situ..."

Ada sendu di hujung suara Wulan. Hatinya terasa walang. Melihatkan itu, Gisher lalu bangun dan berdiri di sebelahnya. Seakan cuba memberikan kekuatan melawan dunia demi cinta mereka.

"Baiklah, kalau begitu aku terima permintaan Enu Juarsa. Beranikah kamu menyambut penyelesaian secara laki-laki yang dihulurkan Enu Juarsa, wahai orang suruhan?"

Gisher mengangguk tanpa kata-kata.

"Malam akhir sebelum sumpahan Wulan berakhir, kau dan Enu Juarsa akan bertarung di pinggir Jurang Agam. Siapa yang tewas akan melepaskan dan siapa yang menang akan menyunting puteriku."

"Aku setuju!" Bertingkah suara Enu Juarsa dan Gisher menyahutnya.

"Tetapi ingat, seandainya kau tewas wahai orang suruhan, kepalamu akan kupenggal! Dan seandainya kau menang, aku tidak mahu lagi melihat walakin bayang-bayang kalian berdua di daerah ini. Kalian berdua mesti pergi!"

Wulan spontan mengetap bibir.

Wednesday, April 11, 2012

Hidup Ini Memang Perjudian

Cool tak saya? Hahaha!
(Ehsan Google)

PERNAH tak korang rasa takut, rasa keliru sangat? Tak tahu sama ada pilihan yang korang buat tu tepat atau tak. Kadang-kadang pilihan tu bukanlah yang terbaik tapi ianya adalah pilihan yang baik. Kadang-kadang pula pilihan tu adalah yang terbaik tapi ia bukan pilihan yang baik. Untuk jiwa barangkali. Sebagai contoh, aku berhenti dari UPM dan masuk ASK. Berhenti dari MIG dan masuk Pekan Ilmu. Barangkali UPM dan MIG lebih menjanjikan kalau nak dibandingkan dengan ASK dan Pekan. Tapi itulah... UPM dan MIG adalah pilihan yang terbaik. Sedangkan bidang pertanian dan lakon layar bukanlah perkara yang boleh membuatkan aku terliur. Jadi ia bukan pilihan yang baik. Begitukah?

Mungkin...!

Perkara kedua yang aku nak tanya, pernah tak korang berhasrat untuk memiliki sesuatu, aku ambil contoh mudah. Beli kereta misalnya. Kau teringin sangat-sangat nak van mini terpakai yang sudah agak tua dan pudar warnanya (nak beli pasal murah dan pasal korang memang suka van mini). Lepas tu, bila korang ceritakan hasrat korang ni kat kawan-kawan, rakan sekerja atau pun bos, diorang bagi sokongan penuh. Siap bagi cadangan langkah2 yang patut korang buat untuk mendapatkan van mini terpakai yang paling cool. Sebaliknya orang yang paling rapat tahap gila dewa (babi dah haram! So, tukar dewa) dengan korang menentang habis-habisan. Yang Paling Rapat ni lebih mendesak korang untuk membeli Perodua Viva yang kecik kementot tu sebagai contoh. Walaupun Viva ni serba sempit, tak selesa dan tak padan dengan tubuh korang yang sasa (baca : gemuk) tetapi Yang Paling Rapat beria-ia nak korang beli Viva jugak. Van mini buruk dan tak relevan. Viva lebih canggih bergaya (paling tidak ia adalah kereta baru). Apa kelass pakai second-hand!

Apa yang korang rasa? Semak tak kepala hotak korang? Bahagian yang paling mengelirukan, kenapa bila korang cerita impian korang kat orang lain, semua orang boleh suka atau paling tidak boleh cuba nak faham dengan pilihan korang (yang nak beli van mini tadi)? Benda ni masih jadi misteri dalam benak aku. Adakah Yang Paling Rapat dengan korang terlampau memandang sudut positif dan nakkan yang terbaik untuk korang walaupun yang terbaik tu belum tentu baik (Viva memang tak cool dan sempit). Kenapa budak dapat 21 A perangai macam haram tetap menjadi sanjungan keluarga dan masyarakat? Kenapa pulak budak fail PMR dan berenti sekolah tapi pandai menukang, pandai membaiki, hormat orang tua, sembahyang, baik perangai, tak hisap dadah dan tak mencuri pulak sering dicemuh dan dibanding-bandingkan? Misteri... serius pelik! Paling kelakar asalkan kulit putih, mata sepet dan rambut lurus mengurai, tak basuh berak pun takpe. Semua orang nak jadikan taste. Kalau hitam, bibir tebal dan rambut kerinting, simpang malaikat 44. Nampak 10 batu kat depan pun dah menggelupur cari jalan lain nak lalu. Tak mahu terserempak macamlah boleh melekat taik kat badan. Dalam benak jangan ceritalah. Habis semua benda buruk dah fikir. Perompaklah, perogollah... haizz....

Berbalik kepada soal van mini dan Perodua Viva tadi. Bagi mereka yang masih berasa keliru dengan pilihan seperti ini, aku cadangkan korang tepuk dada dan tanya selera. Agak2 tawar, korang tambah garam sikit. Berdoalah supaya dunia akan berubah. Memang tak adil kalau mengharapkan dunia akan berubah sedangkan korang sendiri tak nak berubah. Tapi perlukah hidup asyik perlu berubah untuk bagi sedap mata orang memandang? Kalau kau memang suka pakai jeans dan baju T serta bawak van mini cabuk (alangkah coolnya), buat apa buang masa sibuk-sibuk pakai lawa2 dan bawak Viva? Hanya nak bagi seisi mata yang memandang berasa selesa? Kau sendiri selesa tak? Huh!

Hidup ini terlalu singkat untuk memperdulikan apa yang orang nak kata. Pakai baju mahal, kereta mahal, rumah bapak beso berlagak pun... esok2 duk dalam keranda berbalut kain putih jugak. Rupa cantik / hodoh / sederhana / mata sepet / mata bulat / putih / hitam / sawo matang / kuning langsat / hidung mancung / hidung pesek / bibir tebal pun bila mati nanti lepas 10, 20 tahun kalau ada orang gali kubur kau, nampak rupa tengkorak jugak. Manusia ni sama sahaja. Cuma hati perut yang membezakan nurani masing-masing. Itu yang menjadikan kita sebagai manusia. Kalau takde akal dan hati perut baik jadi lembu aje. Orang tarik ke sana pergi ke sana... orang tarik hidung ke sini, ragutlah rumput kat sini. Takde impian, takde pendirian. Dengar saja apa yang orang nak cakap. Ikut sahaja. Turut sahaja. Seolah-olah kata hati dan kehendak diri tu langsung takde nilai.

Misteri bukan?

p/s : Contoh2 di atas hanyalah sekadar CONTOH semata-mata. Janganlah pulak ingat aku tengah ada konflik nak membeli kenderaan padahal aku memang tengah aman selesa permai menunggang EX5 biru kesayangan aku tu. Hahaha... (sambil menyanyi) ku jejak, jalan nak berliku... lalalala. ;p

Tuesday, April 10, 2012

Yang Aku Suka (Alhamdulillah!)

Nak tengok citer nih! (Gambo takde kena-mengena dengan entri, motip?)

CUMA nak bagitahu...

AKU SUKA SEGALA2NYA DALAM HIDUP AKU SEKARANG.

Hahaha... tu je. Babai!

Mode : Ting Tong + riang + bersyukur. (^_^)

p/s - Alhamdulillah...

Saturday, March 31, 2012

Hadiah Dari Selatan


FUH! Aaachooo! Haizz, gatal hidong aku ni. Berabuk2 cik blog. Huhuhu... sibuk sungguh kebelakangan ni. Ditambah pulak dengan kekangan internet. Jadinya... beginilah. Aku sendiri sebenarnya tak tahu nak tulis apa.

Selatan!

Ya, aku baru sahaja pulang dari selatan. Mengembara ke Melaka, Negeri 9 dan Johor selama 4 hari. Tak ada apa yang menarik pun memandangkan aku pergi pun bersama boss atas urusan kerja. Tak berjalan ke mana-mana pun. Total kerja. Cuma sempatlah menikmati mi rebus istimewa berlatarkan Selat Tebrau. Aku segera terkenang :

Umar : Ingat Selat Tebrau?
Safiah : Ya, airnya berkocak seperti hati kita...
Umar : Dah dia menagih janjinya
Safiah : Janjinya?
Umar : Bahawa kasih kita tiada sempadan. Tinggi tak terusik oleh apa jua pun.
Safiah : Dan dia jadi saksi pengucapan kasih.
Umar : Saksi keramat. Tapi kita selalu memungkiri.
Safiah : Piah tahu kerana salah Piah suka bertengkar denganmu.
Umar : Dah kau terlalu cemburu...
Safiah : Kerana kasihku padamu terlalu besar.
(Serunai Malam : Usman Awang)

Ada lagi dialog2 yang aku suka tapi melampau pulak rasanya nak taip sampai habis. Bagi sesapa yang rasa yang berkongsi indah yang aku rasa setiap kali menghadam drama ini, silalah dapatkan sendiri di pasaran. Huhuhu... karya2 Allahyarham Pak Usman memang sudah lama bertakhta dan membelai jiwa aku. Sepanjang menikmati mi rebus dan Selat Tebrau, aku terus terkenang dan mengenang. Juga langsung merindui sang pemilik jiwa. Haizz...

Rezeki rimau yang berjaya aku rembat dari perjalanan ini adalah.... teng-teng-teng!!!!


Ya, Rentong! Hasil air tangan Pak Shahnon! Huh, berpeluh2 dan tersengeh panjang aku sepanjang perjalanan. Gembira hati tak terkira. Gambar di atas ni adalah ehsan lebai google. Gambar buku aku terlupa lak nak tangkap. Huhuhu... Teruja sangat. Rezeki betul aku nak dapat buku yang jarang macam ni.

Alhamdulillah. Hadiah yang istimewa dari selatan. :)

Saturday, March 10, 2012

Pindah Lagi... Pindah Lagi Dan Pindah Lagi!

Ingatan yang manis untuk diri sendiri. Mudah-mudahan.

AKHIRNYA aku mengambil keputusan untuk keluar dari rumah along dan kembali hidup berdikari seperti yang telah aku buat selama 6 tahun sejak duduk di bandar ni. Aku kira ini adalah keputusan yang paling wajar memandangkan along pun dah bekeluarga. Aku ucapkan terima kaseh yang sebanyak-banyaknya kepada along dan kak long di atas jasa baik mereka menumpangkan aku di rumah mereka selama hampir 3 bulan... ialah, sepanjang tempoh aku menanam anggur. :)

Kerja baru, persekitaran yang baru dan amatlah secocok juga dengan rumah baru. Huhuhu. Aku bukan suka sangat berpindah randah ni. Tapi tulah, dah biasa hidup sendiri. Tambahan pula, rumah yang baru ni amatlah dekat dengan tempat kerja. Paling tidak aku dapat mengurangkan kos masa, minyak dan bahaya. Jauhlah kiranya kalau nak dibandingkan 60 minit dengan 5 minit. Tambahan pula aku menunggang motosikal. Tahu sajalah lebuhraya Sungai Besi membawa ke MRR2. Penuh dengan bas dan lori. Kereta tak usah cerita. Kalau tak silap, mencecah bilangan 3 kali dalam minggu ni aku hampir berlanggar dengan kereta yang masuk secara membabi buta. Memang babi sungguh sebenarnya. Ops, maaf. Aku terkasar bahasa. Tapi bagaimanakah mahu memanggil pemandu itu sebagai manusia jika dah terang-terang dia melanggar kaki aku semata-mata kerana nak menyelit??? Kau bawak kereta, gila! Bukan motor nak main menyelit gitu! Hanya selepas aku hentak bonet depan keretanya dengan penumbuk barulah dia mahu mengangkat tangan.

Macam2 hal. Aku pun bukan mahu kecoh sangat. Tapi pemandu di bandar ni semakin hari semakin melampau. Kurang ajar. Tak tahulah apa yang mereka makan sebagai sarapan. Masuk simpang tak bagi signal. Tukar lorong pun sesuka hati. Seolah2 kami penunggang motosikal ini halimunan. Tak kelihatan di cermin sisi dan cermin pandang belakang mereka. Paling menyedihkan, tak bagi langsung jalan kepada aku yang sedang berada di dalam basah hujan ini sedangkan mereka enak di dalam kereta yang berbumbung. Langsung tak sudi menunggu seminit dua dan memberi laluan kepada aku untuk melintas.

Harapan aku begitulah. Di tempat baru yang memakan masa sekitar 5-10 minit (bergantung kepada lalu lintas) perjalanan ke tempat kerja ini, semoga lebih berkurang paras bahayanya. Amin.

Aku sedang demam campur sakit-sakit badan. Minggu ini minggu basah. Langit sedang menangis. Walaupun berbaju hujan namun tetap kebasahan. Walaupun begitu, aku bersyukur. Rezeki Allah memberikan aku pekerjaan yang aku sangat senangi tika ini. Inilah ujian dan dugaan. Aku menerima dengan tabah. Alhamdulillah. Semoga Tuhan memberikan kekuatan.

Kawan-kawan doakan aku di tempat baru, ya? Terima kaseh. :)