Wednesday, November 23, 2011

Catatan Sempena Ulang Tahun

Amat terharu atas kek ini!!! Kredit untuk Ikyn'z Zahari! ;D

Mr. Lim (HR) sempat menyibuk! Huhuhu...

TIDAK banyak yang hendak dan nak dicatatkan di sini. Jujurnya pada hari-hari yang lalu, aku merasa kosong dan tidak merasa ingin untuk menyambut hari ini. Apalah yang ada pada sebaris tarikh? Tiada apa yang istimewa. Biarlah ianya berlalu seperti hari-hari biasa. Apa yang penting buat aku adalah ingatan dan doa2 yang aku terima pada hari ini. Alhamdulillah...

Cumanya malam tadi, aku sedikit kaget. Benar-benar terkejut sebenarnya apabila sekitar lebih jam 12 malam (menandakan 24 November sudah tiba), Ikyn'Z dan Doraemimie tiba-tiba menghilang ke dalam bilik dan kemudian keluar menyanyikan lagu selamat sambil menatang kek. Aku benar-benar gembira. Benar-benar gembira. Diraikan adalah suatu hal yang sangat mengembirakan. Tidak kiralah bagaimana keraian itu dilakukan. Besar @ kecil, beramai-ramai @ hanya berdua... itu tidak penting. Apa yang penting adalah niat meraikan itu sendiri. Aku sungguh terharu, sungguh gembira.

Tak banyak yang mahu dan dapat aku perkatakan di sini selain rasa syukur setinggi langit ke hadrat ALLAH SWT atas limpah rahmat dan kurnia-Nya kepada aku selama ini. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu, Ya-ALLAH. Aku amat berterima kaseh. Terima kaseh Ikyn'Z, Mimie, Syiella, Ida, Fifa dan semua rakan sepejabat yang sudi menyanyikan lagu selamat buat aku. Terima kaseh juga buat kawan2 dan para sahabat yang mendoakan seluruh perkara yang baik-baik buat aku. Doa kalian aku angkat setinggi langit sebagai tanda ingatan walaupun hanya tercatat di dinding muka buku. Aku amat hargai. Terima kaseh.

Terima kaseh ayah dan mak yang masih menyayangi aku dan telah membesarkan aku. Untuk anda yang tahu siapa anda, terima kaseh atas nyanyian lagu ulang tahun.

Hari ini...
Hari yang kau tunggu
Bertambah satu tahun usiamu
Bahagialah kamu

Yang kuberi...
Bukan jam dan cincin
Bukan seikat bunga atau puisi
Juga kalung hati...

Maaf, bukannya pelit
Atau gak mau, modal sedikit
Yang aku ingin beri padamu
DOA SETULUS HATI

Semoga Tuhan melindungi kamu
Serta tercapai semua angan dan cita-citamu
Mudah-mudahan diberi umur panjang
Sehat selama-lamanya...

Selamat ulang tahun...!

Selamat ulang tahun hari lahir yang ke-25, N... semoga esok akan berbaik hati pada kau! Amin.

Tuesday, November 22, 2011

Aku Selalu Percaya... (Sebuah Catatan Klise)

Perjalanan Masih Panjang... InsyaAllah.

AKU selalu percaya, hidup harus sederhana. Aku selalu percaya, kalau kita masih ada prinsip dalam hidup, maka kita akan dihormati. Paling tidak oleh diri sendiri. Aku kira menghormati diri sendiri adalah jauh lebih besar daripada mendapat penghormatan dari orang2. Dalam kehidupan sehari-hari, kita akan bertemu bermacam-macam jenis ragam orang. Pilihan kita tak semestinya betul, pilihan orang2 di sekeliling kita juga tak semestinya salah.

Baru-baru ini, aku telah mengambil satu keputusan yang separa besar dalam hidup aku. Aku masih belum menghebahkan kepada sesiapa (kecualilah mereka2 yang ada semasa aku mengambil keputusan itu). Bukan gusar, jauh sekali merasa takut mereka tak menerima, tapi aku mencari masa yang lebih sesuai. Aku ini amat suka banyak berfikir sebelum melakukan sesuatu hal. Jadinya aku merasakan Tuhan hendak mengkhabarkan pada aku, sesuatu itu perlu dilakukan untuk menyenangkan hati. Fikir-fikir saja takkan pernah habis. Jadinya, suatu kejadian kecil telah menjadi palam pencucuh untuk aku terus mengambil keputusan.

Hal ini belum tentu suatu keputusan yang bijak, tetapi sekurang-kurangnya aku rasa lega. Amat-amat lega. Aku kira rasa lega itu sudah mencukupi. Sesekali hati perlu dibelai dan diberi manja dengan cara begini. Kebelakangan ini lampau banyak hal yang sedah merusuh jiwa. Sekurang-kurangnya satu dari 1001 hal itu telah habis.

Aku perlu berusaha dengan lebih keras pada masa akan datang. Aku ni bukan teruk sangat. Cuma malas... aku perlu ubah sikap demi masa depan.

InsyaAllah... amin!

Sunday, November 20, 2011

Bebas Akhirnya!!!

Perasaan aku sekarang! ;p
(Ehsan Pakcik Google)

SELEPAS beberapa tahun tak merasa perasaan ini, akhirnya pada hari yang bersejarah ni, aku akhirnya berjaya membawa diri aku untuk penghijrahan. Mungkin untuk sesetengah orang, tindakan yang aku buat ni adalah tindakan bodoh. Tapi kau tahu sesuatu?

AKU TAK PEDULI!

^_^ Aku tak peduli pun. Cukuplah jiwa dan rasa aku terbeban dan terbelenggu hanya kerana nak cari rezeki sesuap nasi. Aku dah tak sanggup. Bak kata seseorang,

"Selagi kau percaya pada Tuhan, Tuhan takkan lupakan kau... Tuhan takkan biarkan kau sendiri."

Aku percaya tu. Aku amat percaya tu. Aku yakin ini yang terbaek untuk aku dan untuk semua orang juga. Aku sedar dengan cara aku yang kasar mungkin telah menyinggung banyak pihak dan buat korang semua tak selesa berada di sekeliling aku. Maaf. Aku memang begini. Walaupun aku berkasar tapi hakikatnya aku sayang korang semua. Korang semua bertanggungjawab memakna dan mewarna kehidupan aku selama di sini. Untuk korang yang masih bertahan ;

Berusahalah!

Dan doakan aku. Aku perlu doa korang. Terima kaseh untuk segalanya dan maafkanlah aku andai sikap aku menyakiti korang. Aku sayang korang semua!

Aku pun akan berusaha! ^_^

Tuesday, November 15, 2011

Betul ke...? Hurm...

Erk?!

AKU kadang-kadang keliru sikit. Aku adalah timbalan presiden Kelab Anti PINK! Untuk pengetahuan korang, presidennya ada Doraemimie. Hahaha... Dak kecik tu adalah maniac biru dan aku biasalah, dark-darker-darkest! Hahaha... suka hati je. Aku amat suka kombinasi merah-gold-hitam. Aku sendiri tak tahu kenapa dan dari mana puncanya, aku memang amat tak suka pink. Tapi aku cuma layak jadi timbalan presiden pasal aku masih lagi boleh terima dan pakai pink (macam baju, barang-barang perhiasan dan sebagainya) tapi Mimie memang pangkah habis. Dia langsung takde apa-apa pun yang berwarna pink (kecuali sehelai t-shirt yang dihadiahkan oleh kak Wani yang tak pernah dipakainya) hahaha...

Sebenarnya warna merah jambu yang manis ni takde apa dosanya pun pada aku nih. Cuma aku rasa aku memang tak sesuai jadi pinky-gurl coz warna ni memang girly sangat-sangat amat! Di mana langsung tak sesuai dengan konsep aku yang ganas dan selebet nih. Betul tak? Jadi, no pink! No, no, no!

Tapi kadang-kadang aku macam pelik dengan diri sendiri. Aku selalu tengok banyak barang (terutamanya beg dan kasut) yang nampak cantik sangat dengan warna pink. Aku akan menyumpah dan cakap,

"Isy! Design cantik tapi warna geli. Takde warna lain ke???"

Bila aku dapat design yang sama dengan warna lain selain pink, terasa macam tak cantik pulak. Tak tahulah kalau design tu tak sesuai dengan warna lain ataupun tanpa aku sedari aku........ suka pink??????????

TIDAKKKKKKKKKKKKKKKKKKKK!!!

Tak mungkinkan? Sume benda nih hanya kebetulan. Aku tak mungkin akan suka pink! No, no, no! Tapi........... ada kemungkinan ke? @_@

Nope! Aku tetap kipas-susah-mati merah!!! Kegemaran aku, lili. (Ehsan Lebai Google lagi) ;p

Sunday, November 13, 2011

Dandelion [Part 2]



PADA malam itu bulan kelihatan begitu penuh... begitu bercahaya sehinggakan Wulan dapat melihat alam maya dibelai mesra cahaya perak yang sungguh menyentuh. Wulan tersenyum dalam titis-titis tangisan yang kian membarah. Di saat kolam hatinya sedang berkocak memainkan alunan kasih mesra buat Gisher, dia dikejutkan dengan khabar bahawa sebuah armada jiwa sedang berlayar datang dari seorang pria bangsawan dari Selatan.

Melalui Nyx, dayangnya yang menabur bakti dengan penuh setia itu, armada yang sarat dengan hantaran peminangan itu diketuai oleh Pangeran Enu Juarsa. Enu Juarsa itu sudah menyambut seruan ayahandanya. Lalu sang pangeran datang untuk merebut cintanya dari Gisher. Ah! Dia sekarang ibarat langit... manakan terdaya kail sejengkal Gisher yang berada di bumi untuk menariknya ke dalam mahligai bahagia. Wulan semakin merasakan sakit di ulu hatinya. Oh, mengapakan Enu Juarsa perlu muncul di saat begini?

Pada malam yang dingin itu juga, Wulan mengambil keputusan untuk menghantar Nyx sebagai utusan hatinya. Nyx tanpa bertangguh, dengan rela hati mempertaruhkan seluruh nyawa membawa utusan Wulan kepada Gisher. Gisher sendiri terperanjat separuh mati dalam mamai tatkala lenanya diragut kejutan keras dari Nyx. Pria itu pernah mendengar ceritera rapi mengenai puteri yang sedang hidup dalam sumpahan itu. Langsung dia sama sekali tidak menyangka sang puteri yang suci tinggi taraf hidupnya itu telah jatuh kasih pada seorang pengembala seperti dia. Nyx separuh mendesak, bergegas menanyakan balasan kepada warkah hati sang puteri. Gisher masih bingung. Lalu Nyx pulang tanpa jawapan.

Sementara itu armada Enu Juarsa sudah pun berlabuh tiba di pengkalan desa. Sudah pun bertandu dijemput penuh hormat oleh ayahanda Wulan ke istana. Wulan semakin diamuk resah. Untuk sekali ini, dia lebih rela jasadnya hancur dimamah Jurang Agam daripada menjadi suri buat Enu Juarsa yang tidak pernah dikenali. Sementelah pula, Gisher seakan bermain tarik tali. Tiada jawapan yang dikirimkan kepada Nyx, hampa luluh qalbinya.

Wulan menggenggam erat kristal berbentul hati yang terukir indah itu. Mampukah dia melalui malam kelak? Makan malam pertemuan pertama dia bersama Enu Juarsa. Wulan sungguh tidak rela kristal maharnya bertukar ke palma sang pangeran. Dia tidak sudi. Biarlah dia hancur luluh dimamah sumpahannya. Biarlah andai benar Gisher tidak sudi menyambut tangan yang sedang dia hulurkan. Mentari senja menyaksikan sepanjang petang dia menangis di ribaan Nyx.

Dia tidak sudi menjadi suri Pangeran Enu Juarsa.

Dia tidak sudi...!

Thursday, November 10, 2011

Dandelion [Part 1]



WULAN memegang kristal berbentuk hati itu dengan kedua palma tangannya. Anak matanya lurus menunak ke hadapan. Jauh membatasi relung masa, jauh mengatasi rasa. Tiba-tiba ulu hatinya terasa perit. Wulan spontan terduduk dan memegang dada. Dengan keluh kesah yang terhambur perlahan, Wulan meletakkan kristal berbentuk hati itu kembali ke atas meja. Meja indah yang berukir. Dia langsung menangkap pemandangan seluruh kamarnya. Serba indah, mewah dan bisa dikatakan menjadi idaman setiap anak gadis di jagat raya.

Rasa perit di ulu hatinya masih bersisa. Keluhan di bibirnya juga terusan bersisa. Wulan sedar tindakannya mengeluh serupa itu tidak molek. Namun bagaimana dapat ditahan rasa jiwa yang sedang sarat direndam luka? Wulan bukan anak gadis sebarangan. Dia puteri tunggal yang terlahir di dalam sebuah kerabat bangsawan. Namun kelahirannya membawa khabar duka buat seisi desa. Dia lahir bersama sebuah sumpahan yang amat keras. Menjelang usianya 21 tahun, sekiranya dia masih belum disunting mana-mana pria, dia wajib dibunuh. Jasadnya perlu dihumban ke dalam Jurang Agam yang amat dalam dan menyimpan arus yang cukup bergelora di dasarnya. Tidak boleh tidak! Atau gempa dan nyawa setiap penduduk desa sebagai galang gantinya.

Semenjak sumpahan itu termetri, ayahandanya telah mengupah para bijak pandai untuk menempa sebuah kristal berbentuk hati yang akan menjadi mahar pernikahannya sebelum usianya menggenab 21 tahun kelak. Si Bangsawan itu juga telah memukul canang dan memaklumkan bukan sahaja ke seluruh desa malah ke seantero negara supaya mana-mana keturunan bangsawan sepertinya ada berkenan menjadikan waris perempuannya itu sebagai suri kelak. Jasad kecil itu semakin membesar dan setelah musim silih bergantian, tanpa Si Bangsawan sedar, anak kecilnya sudah membesar dan semakin ranum namun masih tiada lamarannya yang bersambut.

Wulan sering bermimpi akan kristal berbentuk hati itu sudah pun bertukar tangan. Namun apabila alam rasian ditamatkan usai dia bangun dari tidur malam, dia menyedari yang kristal berbentuk hati itu masih terpaku di antara bilah jemarinya. Wulan semakin rawan. Menjadi buntu dan tidak tahu apa lagi yang wajar dilakukannya. Tempoh untuk dia hanya berbaki lagi 3 purnama. Lagi 3 purnama usianya akan genab 21 tahun. Wulan tidak ingin mati dalam keadaan yang begitu tragis. Terhumban ke dalam jurang yang takjub dalam dan jasadnya berkecai tak bertanda. Dia kadang-kedang dihiris terkilan dengan sikap ayahandanya yang masih memilih keturunan bangsawan dalam keadaan yang sudah segenting ini.

Wulan kembali berdiri. Dia menyebak jurai langsir yang menutup separuh jendela kamarnya. Anak matanya tertancap pada sebatang tubuh sasa yang sedang asyik mencuci kuda di hujung bawah sana. Sudah hampir dua purnama Wulan terpanggil untuk memerhatikan sang pria itu. Melalui suatu risikan yang dikawal rapi, Wulan mengetahui nama sang pria itu adalah Gisher. Gisher berasal dari sebuah wilayah yang jauh ke utara dan dilahirkan di dalam keluarga peladang tani. Sejak pertama kali Wulan tertikam anak mata Gisher yang bening coklat jernih itu, dia sejujurnya telah tumpas lemas dalam sebuah perasaan yang amat indah.

Wulan sungguh ditusuk gundah. Bagaimanakah dapat dia memaklumkan pada ayahanda dan bondanya bahawa dia Puteri Wulan telah jatuh kasih pada Gisher, sang peladang yang kini menjadi penjaga kuda di istana...?

Bagaimanakah...?!

Sunday, October 30, 2011

Abang Rehatlah, Ye.... T_T

Annual dinner. Terbang dari Penang semata-mata nak meraikan bersama kami.

Di Ijok. Arwah berbaik hati membantu aku dan Mimie mengedit skrip.

Berbuka puasa... arwah belanja kami makan besar.

INI adalah sebuah belangsungkawa luka. Aku masih ingat sekitar pertengahan tahun 2009, aku menemani Mimie ke pejabat MIG di USJ 1. Ketika itu kami terserempak dengan arwah. Usai temuduga, Mimie memberitahu aku dia diterima bekerja, begitu juga dengan arwah. Aku gembira bagi pihak Mimie. Mula bekerja, Mimie selalu dihantar balik oleh arwah kerana kebetulan arwah tinggal di BTS dan kami pula di SS. Dekat. Itulah jasa pertama arwah yang menyebabkan kami begitu rapat dengan beliau.

Apabila aku pula mula bekerja di MIG, ketika itu Mimie 24 jam di lokasi pengambaran, ketika itulah aku diletakkan sebagai PA produksi ADAMAYA. Secara tak langsung aku adalah PA arwah yang ketika itu menjadi koordinator Adamaya. Daripada call lokasi, buat surat, call artis sehinggalah fotostat skrip yang menimbun2, semuanya aku buat. Mulanya aku rasa marah jugak, apasal pulak aku kena buat semua ni padahal aku ni panel skrip kot. Arwah bagitahu aku ;

"Dalam slip gaji abang pun tulis nama jawatan abang 'panel skrip'. Tapi tengok apa yang abang buat sekarang!"

Arwah adalah seorang yang sangat istimewa. Dia macam abang. Abang yang menyakitkan hati namun seorang yang baik hati dan penyayang. Dia suka mengusik. Pernah satu hari suntuk, ketika hanya aku dan dia yang berada di dalam bilik produksi, dia memanggil namaku dengan pelbagai nada. Satu hari suntuk tanpa henti! Sampai naik mereng kepala hotak aku. Akhirnya dia bawa aku pergi makan dan tengok wayang. Dia belanja! ;) Arwah paling suka tengok wayang. Dia tak kisah pergi dengan siapa pun, asalkan dia dapat tengok wayang. Kerjanya sibuk benar. Bila tak shooting, barulah dia berpeluang menonton. Kadang-kadang, tiap2 hari dia ke panggung.

Dia juga suka bercerita pada aku tentang DVD2 yang menjadi koleksi kegemarannya. Kadang2 dia bawa ke pejabat dan menonton bersama aku (memandangkan hanya aku yang selalu berada di pejabat ketika itu). Paling terkesan di hati, semasa kami menonton 'My Name Is Khan' dan aku termenangis. Dia ketawa dan bagitahu semua orang yang aku menangis tengok cerita hindustan. Nakal!

Arwah juga seorang yang sukakan kucing. Pernah satu hari dia datang ke pejabat dengan satu luka panjang dan dalam di lengannya. Bila aku tanya kenapa, dia jawab ;

"Kesian kucing abang sakit. Abang paksa bagi dia makan ubat, apalagi dia cakarlah abang. Kesian dia."

Aku masa tu terbengong kejap. Abang yang kena cakar, kenapa kesian kat kucing pulak? Dia jawab,

"Dia sakit! Bahagian mana yang N tak paham ni?"

Arwah selalu memanggil ramai orang dengan nama manja. Mimie - Momot, Tasya - Tasyot, Ikyn'z - Po oh, Syiella - Syisyi. Aku pernah tanya kenapa dia tak pernah panggil aku dengan nama2 pelik begitu. Dia hanya buat sejenis senyuman yang hanya dia boleh buat. Tuhan! Aku sangat merindui senyuman tu. T_T

Semasa di Ijok membikin edit skrip Epilog Syurga Cinta. Arwah tanpa segan silu begitu berbaik hari membantu aku dan Mimie. Sampaikan bila aku dan Mimie terbongkang tidur, dia yang berjaga sepanjang malam menyiapkan skrip. Kadang-kadang bila arwah tak faham dengan tulisan cakar ayam aku (di bahagian catatan), dia akan mengejutkan aku dengan perlahan ;

"N apa ni ye? Abang tak faham..."

Ujarnya lembut. Aku bangun sekejap dan menerangkan.

"Oke, abang dah faham. N tidur balik ye..."

Dia siap menepuk-nepuk kaki aku. Sudahnya, dia tertidur selepas balik dari solat Jumaat akibat keletihan berjaga sepanjang malam. Tengah malam berikutnya, dia menghantar aku dan Mimie balik ke USJ sebelum memandu berseorang pulang ke rumahnya di BTS.

Antara kata-kata terakhir yang aku paling terkesan ialah ;

"Abang rasa macam dah penat sangat-sangat. Rasa macam nak ambil cuti panjang dan rehat puas-puas..."

Sakit arwah bermula dengan batuk yang teruk. Kemudian melarat sampai dia tak boleh nak menelan makanan. Namun beliau tetap gagahkan diri datang bekerja dalam sakit-sakit yang semakin memamah dirinya yang semakin kurus melidi. Akhirnya setelah hampir sebulan (atau lebih) menanggung sakit, allahyarham Shahrul Anuar Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 10.40 malam 29 Oktober 2011 di pangkuan ayahnya Pak Ibrahim di kampung halamannya di Pahang.

Aku terasa macam dihempap bumbung ketika mendengar khabar luka ini. Lutut terasa lembik. Masakan tidak? Baru hari selasa yang lepas aku bertemu arwah. Agak terkilan, kata-kata terakhir aku pada arwah ialah,

"Eh, abang ada kat ofis?"

Dia hanya senyum lemah sebagai jawapan. Aku terkejut bukan apa, setiap kali arwah di pejabat, dia tak pernah diam. Pasti kedengaran suaranya memecah suasana. Tapi sepanjang hari tu, aku langsung tak dengar suaranya. Dia mengadu lapar dan meminta Syiella tolong membelikan susu untuknya. Rawan sungguh hati melihat keadaannya kurus melidi.

Aku sampai ke hospital Kuantan sekitar jam 5 pagi. Hati semakin sayu menatap wajah ayahnya yang lampau terkesan dengan pemergian si anak. Hanya perkataan 'ALLAH' yang kerap terkeluar dari mulut Pak Ibrahim. Katanya yang paling menangkap ;

"Ya, Allah... gelapnya rasa dunia."

Berderai airmata kami mendengarnya. Tambah berderai apabila melihat jenazah arwah terbaring lesu di atas stretcher. Jenazah yang berselimut kain putih itu terlalu kurus. Tapi bila kain yang menutup wajahnya dibuka, hati aku berbunga lega. Wajahnya cukup tenang, cukup mulus dan bibirnya seakan mengukir senyuman. Alhamdulillah...

Abangku, selamat berangkat ke negeri yang abadi. Selamat kau selamanya... Abang dah penatkan? Abang rehatlah, ye... N akan sentiasa merindui abang. Al-Fatihah....

Wednesday, October 26, 2011

Matang Dan Macam Mana Kau Patut Guna Kepala Otak!


MATANG. Adalah satu perkataan yang sangat mudah disebut tapi sangat2 susah untuk diserap dan diadaptasikan ke dalam diri. Ada orang yang kelihatan matang pada luaran dek kerana makanan usia. Tapi rupanya 'ruhi' atau dalamannya...... menghampakan. Kepala otak yang diberikan Rabb langsung tak digunakan dengan maksima dan kadang-kadang untuk orang2 seperti ini, aku senang untuk merasakan mereka ini letak kepala otak mereka di kepala lutut!

Sebagai seorang yang mengaku matang kerana usianya lebih tua, aku berikan satu situasi ;

"Dua orang kawan baik kau tiba-tiba bergaduh bermasam muka. Soalannya, apa yang patut kau buat?"

Pilihan yang aku berikan ;

a) Kau jadi orang tengah yang patut mengamankan keadaan.

atau

b) Kau jadi hero yang membabi buta menyerang satu pihak untuk membela satu pihak yang lain.

Mana satu pilihan kau? Kau mesti jawab (a) kan? Well, kalau betul kau jawab (a) [perhatikan betul2 : kalau] maknanya kau memang seorang yang matang. Dan sebagai seorang yang 'matang', kau patut datang pada kedua-dua kawan kau, tanya apa sebenarnya masalah diorang, apa yang menyebabkan masalah tu jadi satu masalah dan macam mana masalah yang timbul tu telah menyebabkan diorang bergaduh. Kau patut jadi penasihat yang tak menyebelahi mana2 pihak sebaliknya cuba cari penyelesaian yang terbaik. Berlembut dan tenang. Itu baru orang yang matang.

Sayangnya kebanyakkan orang lebih rutin untuk melakukan pilihan (b). Inilah pilihan di mana orang2 ini berfikir dengan menggunakan kepala lutut. Kau pilih satu pihak, mempercayai dan membela dengan sesuka hati dan kemudian menyerang satu pihak lagi pun dengan sesuka hati plus, dengan kemarahan yang banyak dan melahar sehingga mungkin menjahanamkan rasa dan jiwa pihak yang diserang.

Aku tak tahu macam mana nak mematangkan orang sedangkan mungkin aku sendiri kurang atau langsung tak matang juga. Aku cuma terfikir, apabila kita berada di dalam kegelapan dan ketandusan yang lemas lagi melemaskan ; tangan siapakah yang akan datang menghulurkan obor yang boleh memberikan cahaya menerangkan dan haba yang menyelesakan?

Tangan siapakah?

Monday, October 24, 2011

Terguris Dan Terhiris...


ADA orang pernah berkata, salah faham boleh mengundang padah. Ada juga orang pernah berkata, mata pena lebih tajam dari mata pedang. Ia memungkinkan cetusan revolusi. Ia juga bisa menghiris dan menghancurkan hati. Untuk seorang aku, mata pena adalah nyawa. Nadi yang menghidupkan sebuah kehidupan. Aku seorang penulis. Tulisan-tulisan ini adalah cerminan jiwaku. Apa yang boleh aku katakan untuk menjelaskan ini?

Ada orang pernah berkata, kasih sayang tidak boleh diumpama air setempayan. Kasih sayang tidak pernah habis dan sentiasa melimpah-ruah walaupun telah dibahagi menjadi beberapa bahagian. Ia tetap mencurah membasahi sekepal hati yang tandus kekeringan. Sebanyak mana pun aku sayang dan kasih pada Budak Bulat, ianya sedikit pun tak mengurangkan kasih sayang aku pada mak dan ayah. Kasih sayangku sentiasa banyak dan melimpah ruah.

Aku tak tahu macam mana nak menulis secara terang-terangan. Aku ini orangnya memang suka berkias dalam berkata. Sayangnya aku merasa kiasan itu amat mudah disalah erti. Andai begitu ada hati yang terguris dan terhiris, aku memohon keampunan maaf dari seluruh ruang hati.

Untuk seumur hidup, aku hanya ingin membahagiakan dan memberikan pembelaan. Aku tahan jiwa dan perasaan demi menghadiahkan kebahagiaan ini. Aku tak sempurna. Terlalu banyak kekhilafan yang aku lakukan sama ada sedar atau tidak. Aku tak tahu macam mana nak memujuk dan menyembuhkan kembali luka yang tanpa sedar telah aku goreskan. Mungkin ini adalah dugaan Tuhan untuk aku.

Tuhanku, aku ini menadah tangan memohon kepada-Mu... sembuhkanlah duka dan luka di hatinya. Bagaimana dapat aku katanya padanya bahawa aku amat mengasihi dirinya...?

25 musim yang lalu,
Kau meraikan November yang indah,
Mendakap bulan dalam genggaman,
Kau mempertaruhkan seluruh kehidupan,
Demi memperindahkan gemerlap sinar bulan...

Semalam,
Ada warna gerhana yang membekukan rasa,
Zulmat terasa melemaskan dan luluh jiwa,
Sang bulan hilang seri hilang rona,
Kau pujuk hati menelan segala,

Hari ini,
Kau masih percaya,
Bulan yang gerhana akan kembali sinarnya,
Ada masa-masa duka pasti ada juga masa-masa ria,
Untuk jiwa yang sentiasa bernyawa.

Tuesday, October 18, 2011

'Kombobesesen' Tu Hapa?

Bunga konvo! ;)

AKU teringat ayat yang lucu ini. Dilafazkan oleh seorang mak saudara yang baik budi dan hati namun sayangnya buta huruf kerana tidak bersekolah. Beliau tidak tahu menahu serba-serbi. Tak tahu membaca, kurang mahir mengira, menulis jauh sekali apatah nak mengenal perkataan2 yang berbaur dalam Bahasa Inggeris. Dulu apabila menonton gambar hindustan, beliau akan meminta aku membaca sarikata. Semasa itu aku masih dalam sekolah rendah. Aku fikir mak saudara aku yang seorang ini rabun (aku pernah melihat dia menjahit sambil memakai cermin mata), jadi aku bacakan saja sarikatanya tanpa sebarang bantahan. Dia suka, lalu aku diupah gula2, syiling $1, aiskrim buatan sendiri dll.

Akhirnya aku ketahui yang si mak sedaraku rupanya buta huruf. Ada 2 insiden lucu yang masih aku ingat. Dia pernah menyangka 'bekpes' (breakfast) itu adalah sejenis kuih dan yang ke-2 inilah, diajukan pertanyaan kepada aku ;

"Kombobesesen tu hapa?"

Apa yang aku nak cerita sebenarnya adalah pada tanggal 15 Oktober yang lalu aku telah selamat ber'kombobesesen' dengan jayanya. Huhuhu... ye, kawan2. Aku akhirnya telah melalui istiadat konvokesyen dan ditabalkan sebagai graduan diploma dengan rasminya. Huhuhu. Lega hati dan lega segala-galanya. Sayang adik kecilku, Nurarrif tak dapat menghadirkan diri. Tuntutan kerja katanya. Sedikit canggung, gambar keluarga yang berbingkai indah telah kekurangan seorang ahli.

Pengurusan akademi seperti selalu, masih seperti dua tahun dulu. Tetap teruk dan merimaskan. Tapi tak apalah. Aku kalungkan selaut ucapan terima kasih kerana telah berjaya mengadakan majlis konvokesyen yang seadanya untuk aku dan teman-teman seperjuangan. Apa pun, terima kaseh Zawahir Salleh, Shamsudin Ismail, Muhamad Shamzie, Noraini dan Muhammad Mifdhal kerana telah meluangkan masa, menemani dan meraikan hari yang bersejarah ini. Tak lupa juga teristimewa buat Nor Azahar Md. Nor, terima kaseh kerana sentiasa ada dan memahami.

Buat kawan2, kita telah berjaya menjadi graduan. Tahniah! Kalian semua teman2 yang hebat. Oh, ya... buat Ikyn'z dan Fifa yang ingat untuk membelikan hadiah graduasi, anda ber2 memang kawaiii!!!!!! Juga buat kak Ct Nazariah dan Jiha, terima kaseh atas ingatan dan ucapan! Korang da best!!! Maaf kalau ada tercicir nama2 di sini. Dalam hati dan ingatan, kalian adalah yang terbaek!

p/s : saudara benua suluk sombong! menghilang begitu saja sehingga tidak berkesempatan bertemu. ;(


Diploma Penulisan Kreatif

Keluargaku syurgaku (kekurangan si kecik Arrif)

Ayah dan bondaku kasih!

Segak dak? ;p

Wednesday, October 5, 2011

Menghukum... Dihukum... Terhukum...?

Metafora

MASA aku tingkatan 4 dulu, pernah jadi kes seorang ibu membunuh dua anaknya (perempuan kalu tak silap) dengan cara mengelar leher kedua anak-anaknya itu. Memang ngeri dan hangat kes tu pada masa tu. Ia disiarkan disemua muka depan akhbar arus perdana dan dilaporkan secara menyeluruh oleh siaran berita di kaca tv. Pada masa tu, satu benda je yang bermain dalam kepala aku yang sedang berusia 16 tahun tu,

"Betina ni memang binatang! Setan jadah apa yang sanggup bunuh anak sendiri dengan kejam!"

Uiii, marah betul aku! Kebetulan keesokkan harinya semasa aku di dalam kelas sedang menelaah matapelajaran Pendidikan Islam, ustazah yang aku kagumi itu membangkitkan isu ini dan bertanyakan pandangan kami. Aku apa lagi, dengan emosi yang membengkak di dada terus menghamburkan cela amarah. Ustazah agak terkejut, namun kemudian dia mengukir senyum dan mengatakan ini kepada seisi kelas ;

"Mardhiah, sebagai manusia kita jangan terlalu cepat menghukum orang. Kedudukan seorang ibu terlalu suci di sisi Tuhan. Naluri seorang ibu juga terlalu istimewa. Untuk seorang ibu yang melakukan perkara sekejam itu, ternyata dia telah terlepas kewarasan akal."

Aku jadi bisu kelu. Terdetik kata-kata busuk dalam hati. Adakah ustazah aku yang kuat berpegang pada agama ini sedang membela seorang pembunuh? Adakah? Seperti tahu bisikan setan yang berbaur di dalam hati ini, ustazah segera menyambung ;

"Menghukum, dihukum dan terhukum. Kita sebenarnya berada di dalam kitaran ini. Dia terhukum dengan kehidupan yang menyebabkan dia jadi tidak waras lalu menghukum anak-anaknya yang barangkali terhasil daripada 'hukuman'nya dan selepas itu dia dihukum dengan undang-undang dan kehinaan pandangan masyarakat."

Ustazah berhenti seketika untuk menarik nafas. Aku kian tertarik dengan ulasannya. Dalam senyum yang tak lekang, dia menyambung ;

"Anak gadis perawan yang hamil dan kemudian membuangnya. Kita katakan dia betina jalang yang sudah bersedap dan kemudian membunuh hasil dosa terkutuknya. Dia kejam. Berhati setan bernafsu binatang. Layak dicela dan direjam, biar mampus! Tapi pernahkah kita terfikir, dia mungkin diperkosa, dirosakkan kehidupannya oleh orang yang sedarah. Akhirnya saat tekanan memuncak apabila melihat wajah comel si anak (yang mengingatkan dia pada tragedi pemerkosaannya), lalu ketika itu akal waras akan lenyap dan tekanan celaannya menyebabkan dia cenderung untuk melempar si bayi."

Aku mula muhasabah diri.

"Pernahkah kita terfikir sebagai manusia yang baik, celaan dan hukuman dari kitalah yang sebenarnya menyebabkan mereka menjadi gila dan membunuh. Barangkali kitalah pembunuh yang sebenar yang bersembunyi di sebalik kata-kata!"

Aku mula rasa tercekik.

"Seorang gadis hamil diperkosa, kita tak tahu dia diperkosa, kita panggil dia jalang, dia panggil anak dia anak haram jadah, seorang pelacur yang dijual suami, seorang bekas banduan, bekas penagih dadah, kita hinakan mereka, kita bersangka buruk terhadap mereka, kita pulaukan mereka. Sedarkah kita, andai mereka kembali kepada kehidupan asal mereka, kitalah puncanya yang PASTI akan dihukum ALLAH SWT di akhirat kelak."

Aku menginsafi diri.

"Wanita yang membunuh anaknya. Dia miskin, suaminya penagih dadah, masyarakat menghinakan dia. Mengatakan dia tidak layak beranak. Anak-anak kelak akan jadi sampah masyarakat. Tidak bersekolah dan bakal berpeleseran. Hari-hari disogok dengan kata-kata cemuh seperti ini, kalau kamu... tidakkah kamu akan terdorong untuk mengambil pisau dan mengelar leher si anak? Supaya dia mati dan tenang di syurga. Supaya dia tidak akan jadi sampah masyarakat. Sama seperti si gadis. Biarlah anak haramnya mati dan aman di indraloka. Daripada hidupnya terseksa apabila besar kelak dan dicemuh dengan panggilan anak haram."

Hari itu aku pulang ke rumah dengan perasaan yang baru. Aku sudah membuang celaan dan hinaan yang pernah bersarang dalam kalbu. Sehingga ke hari ini aku masih cuba mencari puncanya sekiranya aku membaca berita-berita yang seperti ini dan bukan begitu mudah menghukum. Bagi wanita-wanita suci di luar sana. Ingatlah langit ALLAH ini ada tinggi rendahnya. Hari ni kau dengan mudah menunding jari dan menyalahkan mereka-mereka yang membuang bayi. Entah esok, entah lusa, entah malam nanti kalian akan ditarik ke semak mana, diperdaya teman lelaki sendiri (yang nampak sangat baik sekarang) atau berkahwin dengan lelaki tak guna dan sembilan bulan yang akan datang, anda akan terpampang di dada akhbar atas tuduhan yang sama.

Aku bukan membela sewenang-wenangnya. Barangkali ya, memang ada di kalangan mereka yang membuang dan membunuh anak sendiri itu memang jalang, memang bohsia yang siang malam diangkut jantan, memang betina murahan yang mudah menyerah badan untuk sama bersedap. Ya, memang ada. Itu adalah bahagian mereka dengan Tuhan. Tapi sebagai manusia tolonglah jangan begitu mudah menghukum kerana pada suatu masa kalian sendiri akan dihukum dan terhukum.