Thursday, March 10, 2011

Kisah Duri Dalam Daging


SETIAP kali aku bersusah hati, aku akan berbaring diam-diam, memejamkan mata lalu mula muhasabah diri. Aku sedar, aku manusia yang penuh dengan kekurangan. Adakala aku tanyakan pada diri sendiri.

"Adakah aku seorang manusia yang teruk? Adakah aku seorang kawan yang teruk? Adakah aku seorang pekerja yang teruk? Adakah aku seorang anak yang teruk? Adakah aku seorang kakak yang teruk? Adakah aku seorang adik yang teruk? Adakah aku seorang kekasih yang teruk?"

Susulan kepada soalan2 ini pula ;

"Adakah aku boleh berubah? Adakah aku perlu berubah?"

Dan seterusnya aku jadi tertanya kembali ;

"Adakah aku akan menjadi seorang ibu yang teruk? Adakah aku akan menjadi seorang isteri yang teruk?"

Aku sungguh gagal menemukan jawapan. Aku sungguh-sungguh keliru. Apabila sesuatu berlaku dalam hidup ni, aku akan jadi hairan dan tertanya-tanya ;

"Adakah aku yang tak sesuai hidup dengan orang? Atau orang yang tak sesuai dengan cara hidup aku?"

Sejak seminggu dua kebelakangan ni aku mula rasa bosan. Bosan yang teramat2 bosan. Selepas 24 tahun 3 bulan dan 15 hari wujud bernyawa dalam jasad ni, tak pernah lagi aku merasai kebosanan yang teramat seperti ini. Banyak perkara yang menyusahkan hati aku. Ya, aku sedang amat bersusah hati. Aku amat bosan... amat penat... amat ingin menangisi... amat ingin melepasi.... amat2.......

Aku sudah menghampiri tahap mampu mencederakan sesiapa saja yang berada berhampiran dengan aku. Bila-bila masa saja aku mungkin akan merosakkan segalanya. Hubungan kekeluargaan, percintaan, persahabatan, pekerjaan... bila2 masa sahaja! Aku tak pernah lagi merasa sungguh rapuh seperti yang aku rasakan sekarang. Aku bersusah hati tentang mak. Sejak ayah ditukarkan jauh ke Balai Bomba Cheneh, Along bertugas di Penjara Sungai Buloh, Kak Long di Putrajaya, Mifdhal di Batu Rakit, Arrif pula berulang alik tak menentu masa dari Gong Kapas, sedangkan aku di Subang Jaya, mak sedang bersendirian di rumah. Mak kurang sehat. Sakit lututnya tak pernah surut. Aku bersusah hati mengenang ibunda yang sendiri menguruskan makan minumnya. Kasihannya ibuku. Jadi adakah aku anak yang teruk kerana memilih untuk berjauh darinya?

Aku bermasalah dengan teman-teman serumah yang enggan berkerjasama mengemas rumah. Setiap kali berpulang, hati aku meruap-ruap antara letih, rimas dan terkilan. Ada seorang teman pula bakal melangsungkan hari bahagia, malangnya aral melintang di tengah jalan, aku tak dapat ke sana. Dia mula meroyan, merepek semahu hatinya. Aduhai... kau memang duri dalam hati aku. Sakit sungguh terasa dibuat kau. Dari zaman belajar sampai sekarang! Ada seorang teman pula di pejabat, menuduh aku tak ikhlas dan ego dalam bekerja. Padahal kenalnya dengan aku baru mencecah sebulan dua, sudah berani dia melabel aku. Sumpah! Keikhlasan ada perkara yang cukup sensitif buat aku. Kerja adalah ibadah, itu pesan ustazahku dulu yang masih aku pegang kemas! Marah sungguh aku dibuatnya. Jadi adakah aku kawan yang teruk kerana memilih untuk merasa marah dan terkilan?

Aku sudah merasa cukup penat untuk bercinta. Cinta selalu membelenggu aku dengan perasaan yang tak enak dan berfikir yang bukan-bukan. Jadinya aku ingin terus kahwin dan hidup aman bersama suami dan anak-anak. Jadi adakah aku seorang kekasih yang teruk apabila aku menyusahkan kesayanganku yang cukup baik itu untuk menukar kerja dan mengahwini aku dengan secepat yang mungkin?

Aku suka dengan kerja aku. Suasana kerja yang cukup baik dan harmoni. Asuhan boss menyebabkan aku merasa seperti keluarga dengan rakan sekerja. Tapi aku bosan kerana ada sesuatu yang tiada dalam berkarya di sini. Aku ikhlas berkerja di sini tetapi jiwaku lampus. Adakah aku pekerja yang teruk kerana tidak mahu menggembirakan hati dan redha dengan apa yang aku ada?

Tempat kerja jauh dan aku kerap menyusahkan teman-teman untuk menghantar dan mengambil aku dari tempat kerja ke rumah. Terima kasih terutamanya kepada Ard, kerana paling berjasa. Tak lupa juga Kak Ila, Veronica, JC, Yat, Suwarni, Ee, dan ramai lagi yang telah berjasa menumpangkan aku. Aku segan sebenarnya terhutang budi begini. Aku sedang berusaha menyudahkan lesen dan mahu membeli kenderaan. Tapi tersepit pula dalam pilihan sama ada mahu membeli motor atau kereta memandangkan ekonomi aku masih belum cukup stabil. Jadi adakah aku seorang manusia yang teruk kerana selalu berfikir banyak dan bersusah hati?

Jawablah bagi sesiapa yang mengenali aku ini ;

"ADAKAH AKU BEGITU TERUK???"

Thursday, February 24, 2011

Hari Untuk Cakap Merepek



Gambar2 di atas langsung takde kena mengena dengan entri ni! Hahaha!

AKU sangat sedih hari ni sebab cermin mata yang baru aku buat dengan malangnya telah melukakan telinga aku. Masa cuba pakai dulu, sangat selesa. Rupanya tak sangka ia agak ketat dan mencengkam di bahagian hujung. Aku sedih bukan apa, nak buat cermin mata lain memang taklah! Memandangkan aku memang kedekut orangnya. Hahaha...

Aku nak cerita, pagi tadi aku ke pejabat dengan seorang teman lain memandangkan En. Ard Donivia Don Jaxx melintang aral (berseronok menonton preview filem baru "Sekali Lagi" di PJ State! Waa... nak tengok gak!!!). Si teman ni pula baru sahaja kemalangan yang menyebabkan Myvinya putihnya terpaksa masuk bengkel. Jadi, dia memandu kereta Toyota Vios untuk sementara. Aku yang 'baru keluar dari hutan' ni baru tahu yang kereta Toyota rupanya akan memekik bila pemandunya tak pakai tali pinggang keledar. Hahahaha... klako! Si teman merungut ;

"Menyampah betul naik kereta ni... bising je!"

Pada mulanya penggera tu berbunyi begini,

"Tit...tit...tit...tit..."

Ala, macam bunyi mesin ECG yang dipasang pada pesakit yang hampir dijemput ajal kat kat hospital tu. Lama kelamaan bila si teman ni tetap berdegil tak nak pakai juga tali pinggang keledarnya, mesin tu mula berbunyi nyaring,

"Tiiit, tiiit, tiiit, tiiit, tiiit!"

Aku dah terbayang yang kereta ni macam bercakap,

"Cepat! Cepat! Cepat! Pakai tali pinggang keledar."

Aku juga membayangkan yang itu bunyi bom dan kereta tu akan meletup bila2 masa saja. Aku dah bersedia untuk buka pintu kereta yang tengah bergerak 70 km/s tu dan melompat bergolek ke luar, ala2 macam cerita penuh aksi di kaca tv tu! Lama2 aku bayangkan pula kereta tu dah maki si teman aku ni,

"Pakailah cepat! Nanti terhumban keluar, baru nak menyesal!"

Tengah aku duk berangan tu, tetiba je bunyi tu berhenti. Aku pun jadi terpegun, tapi bayangan aku masih tak berhenti. Akhir sekali aku terbayang kereta tu cakap macam ni,

"Lantak kaulah!"

Hahahaha... aku pun tak tahu kenapa aku sangat teruja sampai tulis semua ni dalam blog. Jadi kalau korang rasa nak lempang aku sebab buang masa korang untuk baca entri ni, silakanlah! Tengok muka aku ni, ada aku kisah??? Aku memang suka tulis entri untuk korang lempang aku! (baca ayat ni sambil bayangkan aku angkat tangan ke dada dan jeling mata ke atas)

Bagi sesiapa yang tak faham sila tonton "Oh, Yeah!" Muhahaha... (gila promosi!) ;p

Monday, February 21, 2011

Nilai Sebuah Karya


AKU jadi terkenang. Sekarang aku merupakan salah seorang dari panel skrip untuk sebuah syarikat penerbitan. Jadinya, selepas berpeluang mengedit, membaikpulih dan menulis untuk beberapa episod drama sahaja sebelum ini, aku dan panel lainnya diberi peluang untuk menulis skrip ZOO : The Series yang akan ditayangkan di ASTRO Ceria tak lama lagi. Semalam hari terakhir pengambaran dan sekarang kami masih bergelut dengan proses mengedit. ^_^

Aku teruja bukan apa sebenarnya, tujuh dari skrip 13 episod ini ditulis oleh aku, dengan bantuan idea dari teman sepanel lain tentunya. Aku jadi tak sabar untuk menantikan respon dari khalayak. Amat sukar untuk menghasilkan skrip drama kanak-kanak. Aku hampir separuh mereng dibuatnya. Sampai budak-budak di pejabat ni pun dah naik buat tak tahu saja bila aku meroyan. Huhuhu... segan. Kawan2 dan kalau ada pembaca yang dah ada anak tersesat di laman ini, saya mohon sila bagi sokongan apabila ZOO : The Series ini ditayangkan kelak. Walaupun penghasilannya masih banyak kelemahan di sana sini, namun saya akan mengambilnya sebagai panduan pengalaman untuk berusaha dengan lebih baik selepas ini!

Apa yang aku cuba nak ceritakan sebenarnya adalah, sedang dalam mengisi keterujaan menunggu hasil penulisanku ini menjengah kaca tv, aku sedang mengenang ketika berada dalam "NERAKA PeTA" dulu. Kami menggelarnya begitu. Huhu... Betapa tidak, aku menghabiskan masa sekitar dua minggu untuk menyiapkan novel 300 m/s. Seminggu langsung tak tidur dan tak ke mana. Tercatuk mengadap Blackie kesayanganku yang setia berkhidmat. Paling dahsyat, aku berusaha untuk tidur selama 5 minit pun sampai tak boleh. Hati terlampau rungsing, langsung aku bangun sambung mengetuk papan kekunci komputer riba kesayanganku ini. Hasilnya, pada hari penyerahan naskah projek akhir ini, aku telah bertukar menjadi Zombie Penara! ( Penara adalah nama pangsapuri tempat tinggalku di Cheras ).

Aku telah mencurahkan segala-galanya untuk naskah ini sesungguhnya. Pengetahuan, perasaan, pokoknya semua! Walaupun masih terlalu banyak kelemahan dikesan apabila aku ulang baca, namun naskah ini lampau istimewa buat aku. Aku telah mencabar seluruh kemampuan diri sesungguhnya untuk merealitikan naskah ini. Ia amat istimewa! Naskah berkulit tebal berwarna kuning berjudul 'KAMIL HIJRAHMU' ini mewakili impian, harapan, cita-cita dan keinginan aku. Ia adalah kekuatan aku. Setiap kali aku menyentuhnya, aku akan mengingati saat yang terindah dalam sudut lain kehidupan yang pernah singgah. Setiap kali membelek lembaran demi lembaran di dalamnya, aku akan berkata pada diri,

"Kau boleh menulis, N! Kau boleh! Jangan sesekali lupakan cita-cita ini... jangan sesekali berhenti!"

Aku semakin dewasa. Aku semakin meniti usia yang akan bertambah angkanya tahun demi tahun. Sebelum bergelumang dalam dunia tulis, aku merasakan tidak ada apa yang istimewa dalam kehidupan. Semuanya berjalan mengikut keperluan dan perancangan. Lahir, membesar, belajar, bekerja, membina keluarga dan kemudian mati. Apabila sekali aku mula merangka kata, menghimpun aksara dan tenggelam dalam naratif sebuah karya, aku jadi hidup! Aku kembali bernyawa dan kehidupan aku terasa begitu bermakna. Magisnya dunia penulisan ini... aku sungguh-sungguh ingin kembali menulis. Kekuatan, meresaplah ke dalam khali nyaliku... aku amat perlu. Jiwa serasa semakin lumpuh lampus.

Nilai sebuah karya, ia membaur dalam lautan emosi seorang aku...! Masih belum kamil hijrahku... T_T

Sunday, February 20, 2011

Perkara2 Yang Menghairankan!


AKU sungguh hairan. Kehairanan ni semakin memuncak sungguh sejak aku semakin kerap menggunakan pengangkutan awam jenis ini. Soalan yang kerapkali melompat-lompat dalam benak aku sekarang adalah :

"Kenapa pemandu teksi tak kaya-kaya?"

Huish! Jangan ketawa. Aku sungguh2 tengah tenggelam dalam kehairanan. Kenapalah pemandu teksi tak kaya-kaya sedangkan setiap hari duk cekik duit orang? Aku bukan apa. Kalau minta lebih setakat seringgit dua, tak ada aku terkilan sangat. Ini sampai 9 - 10 ringgit! Percaya tak? Aku duduk di USJ 1, Subang Jaya dan bekerja di PJCC. Adakala, teman kami si Ard Donivia Don Jaxx tu membentang aral di pertengahan jalan, lalu gagal menjemput kami (terima kasih Ard kerana selalu hantar dan amik kami setiap hari. Jasamu dikenang! ;p). Hal ini menyebabkan teksi terpaksa menjadi pilihan kerana bas tak lalu.

Jadinya kami selalu ditekan sampai RM 20 untuk perjalanan sehala dan pemandu teksi sama sekali enggan menggunakan meter. Pernah sekali, aku dapat pemandu yang cukup baik, dan menggunakan meter, total tambang kami cuma RM 12 sahaja! Dari USJ 1 ke Subang Parade, RM 16 tak lari diorang ni minta. Tapi kalau pakai meter, dalam RM 8 - 9 sahaja. Sedih tak? Dulu masa duduk Serdang, aku pernah kena cas RM 7 dari Komuter Serdang ke Mines. Gila tak? Bila aku jumpa laluan jalan kaki, pergh... berhari2 juga aku menyumpah seranah! Gila dekat minta sampai RM 7??? Samalah kejadiannya dari USJ 1 ni ke Summit pun minta sampai RM 8. Belum masuk cerita dari Central Market ke Zoo Negara, RM 40. Semua tak ada telur! Tak berani nak pakai meter. Aduh, parah! Memilih pulak tu, sana tak nak pergi, sini tak lalu. P*k*m*k hang la! Kadang2 terdetik dalam hati ni nak bakar je semua teksi tu. Tapi nanti masuk penjara pula. Isy2... tak jadi bakar!

Aku memang pengguna bas sejati. Teksi memang pilihan yang tak masuk dalam buku pun sebenarnya. Tapi masalahnya, bas memanglah lembab yang amat. Kadang-kadang aku tengah kunci pintu rumah, masa tulah basnya sampai tercatuk kat bus stop. Manalah sempat nak kejar. Kena menunggu lagi untuk 45 minit yang seterusnya.

Semalam aku naik KTM, menjengah tanah Serdang. Melawat sahabatku yang sedang hamil 3 bulan. Huhuhu... waktu nak balik sekitar jam 6 petang tu, duh... duh! Aku nyaris gagal bernafas. Semua orang dah jadi gila. Tolak menolak dan tarik menarik berlaku. Maki hamun jangan cerita. Semua orang hilang akal. Mengucap panjang aku dibuatnya. Kesimpulannya, apa lagi pilihan yang paling ampuh melainkan teksi? Tapi harga yang perlu dibayar juga... hm...hmmm! Aduh!

Radio tv sibuk menempik melalak menyeru seisi negara menggunakan pengangkutan awam. Tapi tengoklah! Macam mana kualiti pengangkutan awam kita? Semalam juga satu lagi tragedi berlaku di stesen KTM Kuala Lumpur. Kaunter ditutup dan mesin bodoh yang disediakan untuk membeli tiket itu juga memang bodoh. Syiling... syiling... syiling! Hei, siapalah yang simpan syiling sebanyak segenggam dalam beg masing-masing? Tekanan... tekanan aku dibuatnya! Hal2 seperti inilah yang menyebabkan aku cukup bengkak dan malas nak keluar setiap hujung minggu.

Tapi aku masih hairan, dengan tambang menggila yang diminta oleh para pemandu teksi ni, sampai sekarang kenapa mereka masih tak kaya-kaya???

Tuesday, January 18, 2011

Kegampangan PTPTN!!! Marahnya!



AKU merasa begitu teruk dengan sistem PTPTN. Amat gampang! Aku terjebak dalam pinjaman PTPTN ni semasa di UPM dulu. Oleh kerana aku berhenti dari UPM dan sambung studi di ASK, jadinya jumlah pinjaman aku adalah sebanyak RM 5000 sahaja. Dan oleh kerana aku sambung studi, aku buat penangguhan bayaran. Lepas habis studi tahun 2009, aku start bayar balik pinjaman. Sehingga ke hari ini aku telah membayar sejumlah amaun bernilai RM 3650.

Aku stop bayar sejak kerja di bandar ni. Maklumlah, memulakan kembali kehidupan di bandar, soal kewangan memang serba terhad kerana masih belum stabil. 2 hari lepas aku periksa baki terkini, memang terkejut beruk apabila terpampang RM 1975.35 di situ. P*k*m*k! Bila aku call tanya, dah la sepuluh kali call tak dapat2, bila dapat ada dalam dekat setengah jam aku menunggu baru dapat cakap dengan pegawai bertugas. Bila dah bercakap, dengan selambanya dia menjelaskan yang itu adalah cas apa tak tahu! Cas tu rupanya dah berjalan sejak tahun 2006! Cas tersebut juga bernilai 11% dari baki pinjaman! Gila gampang!!!!

Walaupun aku buat penangguhan, cas tetap berjalan. Memang gampang gila! Aku bukan tak nak bayar, tapi beragaklah! Ada duit memang aku bayar. Kalau tak, takkanlah dah sampai 3650RM aku jelaskan! Kalau macam ni sampai mampus pun tak habis bayar. Bagi pinjam sikit je, tapi cas melampau-lampau. Teruk betul. Kawan2 sume dengan selamba cakap pada aku, baik tak payah bayar. Diorang sume memang tak ingin nak bayar. Salah siapa? Salah PTPTN sendiri yang bersikap macam ceti haram!

Aku hangin satu badan pun, aku tetap bayar balik. Pinjaman tetap pinjaman. Aku tak nak mati esok seksa sebab tak bayar hutang. Apa yang aku cakap ialah, aku jadi faham kenapa ramai orang tak ingin nak bayar pinjaman ni. Melampau sangat. Tak ada toleransi dan timbang rasa langsung! Memang gampang!

Marahnya aku!!!

Monday, December 20, 2010

Zzzz... ( Aku Bersimpati )


HAIRAN aku. Kadang-kadang terasa begitu susah untuk memperjuangankan karya sastera di negara ini. Di kalangan teman-teman sendiri (malas nak pergi jauh kepada golongan pemimpin), membaca buku sastera adalah suatu hal yang jarang sekali dapat dikupas bersama. Rata-rata teman memilih untuk membaca buku popular saja. Baguslah! Sekurang-kurangnya kalian membaca.

Tapi tidakkah terasa sayang? Menghabiskan masa berjam-jam (mungkin berhari-hari) menelaah halaman yang beratus-ratus muka hanya untuk membaca kisah cinta? Ops! Maaf kalau ada yang terasa. Tidak bersalah kalau hanya membaca kisah cinta. Langsung tidak. Cumanya, dunia bukankah lebih luas dari itu? Masih perlukah mencari kisah cinta dan air mata, kekasih dirampas, cinta terhalang sedangkan dunia sedang bergolak hebat? Bacaanku yang terbaharu misalnya, "Serigala Dan Sekuntum Tulip" yang dicanai baik oleh SM Zakir (penulis kesayanganku), usai membacanya aku jadi berfikir, menghadam dan meneroka kehidupan dari suatu sudut dunia yang lain. Bukankah itu seronok? Bukanlah aku sedang meninggi hidung dengan mengatakan yang bacaanku adalah pilihan yang terbaik semata-mata. Tidak sama sekali. Bacaan yang baik adalah subjektif. Terpulang pada penilaian kalian.

Ramai yang beralasan, payah membaca karya sastera. Gaya bahasanya : Fuh! Berpeluh-peluh. Nanti sambil membaca, sambil menelaah kamus. Bersusah payah mencari makna kata yang kurang dimengerti atau mungkin tak pernah didengari, jauh sekali diketahui ertinya. Kurang seronoklah begitu! Pada mereka yang cakap macam tu, kalian sebenarnya pernah baca karya sastera atau tidak? Tak semua karya sastera yang menggunakan bahasa tinggi. Ada yang santai sahaja, cuma pengisiannya. Pengisian sesebuah karya sastera itu yang menjadikan kedudukannya lebih bermartabat! Lagipun, apa salahnya dengan bahasa sastera? Kalau sesetengah dari kalian sanggup membaca karya dalam bahasa Inggeris, dan bermula dengan menyemak kamus untuk memahami bahasa asing tu, jadi kenapa tak sanggup lakukan hal yang sama dengan bahasa ibunda sendiri? Kenapa harus malu menjadi Melayu yang tak tahu berbahasa Inggeris sedangkan lebih memalukan menjadi Melayu yang tak memahami bahasa Melayunya dengan baik!

Aku bukan hebat pun. Kalau baca "Rapsodi" hasil tukangan Zaen Kasturi pun aku masih muntah, membaca "Hujan Pagi", "Langit Petang" dan "Salina" A. Samad Said pun aku boleh demam menjelang khatam. Aku cuma sedih. Dan tak faham dengan mentaliti orang Melayu kita ni. Bahasa orang dijulang-julang, bahasa sendiri sekadar melukut di tepi gantang. Semasa bermesyuarat dengan wakil dari stesen tv berbayar yang terkenal di Malaysia tempoh hari, mereka dengan sinisnya mengatakan ini kepada Mimie,

"Kami suka baca beats awak ni. Banyak bahasa yang hebat seperti penasaran, terpempan dan sebagainya..."

Penasaran dan terpempan adalah bahasa yang hebat? Aku lekas menjelma menjadi patung yang bingung tercengang. Aduhai bangsaku... paling menarik seorang pelajar praktikal dari sebuah kolej seni swasta yang terkenal juga di Malaysia. Aku tugaskan dia membaca skrip dan bagi komen. Selang dua minit dia tanyakan pada aku,

"Akak, 'gonggong' tu apa?"

Aku jadi keras. Tapi dengan suara penuh simpati aku jelaskan juga padanya apa itu gonggong. Dia angguk faham. Dua minit kemudian, dia bertanya lagi,

"Akak, 'lintah bulan' tu apa?"

Aku jadi keras lagi, masih dengan suara simpati aku jelaskan juga padanya bagaimanakah kejadiannya lintah bulan itu. Dia angguk-angguk dan kembali khusyuk. Pada dua minit seterusnya, aku mendengar ini,

"Hmm, akak... 'bunian' tu apa?"

Oh... oh... oh... aku menepuk-nepuk dahi, terus mengeras dan tak mampu bersimpati lagi. Aduhai bangsaku. Tolonglah berhenti menjadi malas, sombong dan malu dengan bahasamu sendiri. Kenali dan sayangilah bahasa kita. Aku rasa, cara mudah untuk mulakannya adalah berjinak dengan karya sastera. Di dalamnya terkandung bahasa Melayu yang baik susunan dan penggunaannya. Jangan terkurung dalam momokan minda sendiri. Keluar dan bebaskan pemikiran kita! Jangan terpasung dalam belenggu yang melabelkan bahasa sastera itu bahasa yang mendalam dan terawang-awang. Cuba kenali dan cintai.

Aku pernah menjadi peminat tegar Ahadiat Akashah... dan aku mulai benar-benar serius membaca karya sastera hanya selepas aku berusia 19 tahun. Apa yang aku cuba nak sampaikan adalah masih belum terlambat untuk beralih arah. Percayalah, membaca karya sastera nikmatnya lebih enak dan manis. Semestinya memberikan kepuasan yang lebih berbanding hanya menelaah karya popular. Aku jadi tenggelam dalam dunia buku kalau membaca naskah sastera. Kalau baca "Salina", aku seakan dapat menghidu kebusukan tandas yang berlumut di Kampung Kambing. Kalau baca "Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril", langit akan beku dan putih salji terhampar di mana-mana sehingga hitam menjadi pudar. Kalau baca "Tulang-Tulang Berserakan", aku akan mendengar peluru bersipongan dan letupan granit yang membingit.

Bacalah... dan lupakanlah kisah cinta yang tergolek di sana-sini...!

Wednesday, December 8, 2010

Pembawa Khabar Gembira


HARI ini aku menerima khabar yang cukup indah. Cukup manis. Cukup segala-galanya. Khabar yang serta merta membuatkan aku langsung mengenang. Terbang pulang ke tanggal 15 Mei 2005. Tanggal pertama aku diketemukan dengan si dia. Sahabat yang masih bernama sahabat sehingga ke hari ini... sahabat yang masih bernama sahabat selepas 5 tahun, 6 bulan dan 23 hari berlalu sejak dari hari pertama kami bertemu.

Kami bertemu di parking lot. Bersapa mesra dan kebetulan menuntut dalam jurusan yang sama. Jadinya terus seiring bersama. Sahabatku ini memesrai kehidupan yang penuh liku. Dan liku2 ini gagal menewaskan dia sebaliknya menjadikan dia tumbuh sebagai wanita yang sekeras kersani. Jiwanya kukuh. Dia sentiasa yakin dan tahu apa yang dia nak. Hal inilah antara hal yang paling aku kagumi dan cemburui. Dia tak gentar untuk berjuang mempertahankan apa yang dia mahukan. Pernah ada suatu hal yang menyebabkan persahabatan aku, dia dan teman-teman lainnya dilitupi mendung seketika... namun pada tika itu, dia tetap sudi menjadi matahari yang masih menghangatkan aku walaupun hadirnya cuma di balik awan. ^_^

Dia adalah sahabatku yang istimewa, teman yang sentiasa ada, adik yang manja dan lawan yang menguja. Huhuhu! Jangan sampai kami lawan berdebat, memang dahsyat! Terkadang orang2 keliling pandang memandang, disangkanya kami sedang bergaduh besar. Hahahaha... mengenang masa lalu yang manis menyebabkan aku nyaris gagal mengawal emosi. Serasa kolam jernih di kelopak mata sedang memberat. Sahabatku itu sudah membawa separuh dari jiwaku pergi. Dari saat dia menjadi tunangan orang... dan seterusnya menjadi yang halal untuk seorang lelaki yang bernama suami, aku sedar yang sahabatku takkan selapang dulu. Dia sudah punya tanggungjawab yang lebih besar untuk memurnikan rumahtangganya berbanding menghabiskan masa bergebang dan berseronok dengan aku. Huhuhu... aku faham tu. Tapi dia memang sahabatku yang manis! Aku mendapat penghormatan untuk menjadi pengapitnya pada hari bahagia dia melangkah ke dunia baru sebagai seorang wanita yang menyempurnakan separuh dari agamanya, dan pagi tadi, aku menjadi orang kedua (selepas suaminya) yang menerima khabar yang cukup mewarnai hati dengan kegirangan dan kesyukuran.

Alhamdulillah! Duhai RABB... Kau telah melimpahkan sahabatku dengan anugerah yang tiada tara. Aku masih belum putus mengucap syukur. Aku sungguh-sungguh mendoakan agar tempoh yang bakal berlalu ini penuh dengan rahmat-Mu, ALLAH... dan semoga Kau menyelamatkan sahabatku sehingga sampai waktunya. Amin... Sahabatku, aku sentiasa mendoakan yang baik-baik untukmu.

Terima kasih kerana menjadi sahabatku. Terima kasih untuk waktu-waktu yang telah kita kongsi bersama. Terima kasih dan semoga selamat dirimu hendaknya. Amin...!

Tuesday, November 23, 2010

Terima kasih, Tuhan, Bonda Dan Ayah...!

HARI ini 24 November 2010, genab 24 tahun aku diberi izin oleh ALLAH yang sarat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim untuk terus bernafas. Alhamdulillah... selaut syukur aku panjatkan kepada-Mu, RABB... hanya Kau yang Maha Mengerti dan Maha Mengetahui. Aku dilahirkan di Hospital Besar Kuala Terengganu, 24 tahun yang lalu tepat jam 12.15 tgh malam oleh bondaku yang bertarung nyawa selepas tiga bulan berjuang di hospital untuk mengekalkan di dalam rahimnya. Bondaku yang tercinta, Zawahir Binti Salleh telah keguguran sebanyak dua kali sebelum mengandungkan aku. Jadinya rahimnya lemah. Kerana ALLAH sudah menetapkan bahawa aku akan lahir ke dunia, maka lahirlah juga seorang Nurul Mardhiah yang berbintikan Shamsudin Ismail dengan berat sebanyak 4.10kg (beratkan? hahaha!). Nurul Mardhiah, ertinya Cahaya Yang Diredhai Dan Disayangi.

Aku masih ingat kata-kata ayah (seperti yang diceritakan kepada aku) semasa pertama kali dia melihat aku di balik cermin kaca yang jernih, dia tercari-cari yang mana satu puterinya. Apabila ditunjukkan ke arah aku, dia berkata begini ;

(ketawa) "Ingatkan budak mana tadi. Bulat dan hitam je!"

Hahaha... kulit aku memang gelap. Ayah adalah seorang lelaki yang aku gelarkan sebagai "Superman". Semasa cikgu tanya aku, siapakah superhero anda, aku jawab : Ayah! Di mata seorang anak kecil (ketika itu), ayah aku memang hebat. Dia boleh baiki hampir apa saja. Dia tahu menukang, tahu segala-galanya. Dia bekerja keras untuk membesarkan aku dan adik beradik yang lainnya. Ayah kuat, dia tak pernah sakit. Sehinggakan apabila dia sudah tua sekarang dan mulai sakit-sakit, aku jadi tersedar yang ayahku adalah manusia biasa. Bukan superman. Ayah sangat garang. Sangat-sangat garang. Tapi ayahku juga penuh dengan kasih sayang. Dia tak pernah merungut membanting tulang demi menyelesakan kehidupan kami anak beranak. Rumah indah yang tersergam di kampung, yang kami diami sekarang dibina oleh tangannya sendiri. Dengan kudrat dan keringatnya. Aduhai ayahku sayang... Aku tak mungkin dapat ayah yang lebih baik darinya.

Ibuku adalah wanita yang cukup mandiri dan tabah. Selama 24 tahun aku hidup, boleh dihitung dengan jari sebelah tangan sahaja, berapa kali aku melihat dia menangis. Dia adalah wanita yang sedar diuntung. Tak pernah merengek untuk diberikan kemewahan. Wang gaji ayah yang serba sedikit diaturnya cukup baik : mana untuk membeli barang dapur, mana untuk belanja anak-anak, mana untuk belanja hari raya. Aku tak pernah kebulur tak makan. Aku tak pernah tak berganti baju baru di hari raya. Kami tak mewah, tapi semuanya sentiasa cukup. Ibu selalu mengajar aku supaya tak mengharapkan jasa orang. Biar kita hidup dengan apa yang ada. Biarlah kita menyimpan sedikit2 dan membeli keperluan secara perlahan, asalkan jangan diamalkan sikap berhutang keliling pinggang. Aduhai bondaku kasih... aku juga tak mungkin dapat ibu yang lebih baik darinya.

Aku bersyukur dengan apa yang aku ada selama 24 tahun yang telah aku tempuhi ini Mungkin masih banyak yang belum aku capai, tapi tak mengapalah... aku akan berusaha memperbaguskan kehidupan. Apa yang ingin aku katakan adalah, andainya aku mati pada esok hari... aku redha dengan kehidupan yang aku ada pada hari ini dan semalam.

Terima kasih, Tuhan... Kau berikan aku nyawa dan kesempatan untuk berhidup di bawah kasih sayang-Mu. Terima kasih ayah dan bonda... kalian mempertaruhkan seluruh kehidupanmu untuk memanusiakan aku.

Monday, November 22, 2010

Mengunyah Serigala dan Tulip!


SANGAT gembira... sangat-sangat teruja! Ahaks! Over-dose pula aku nih! Hahahaha... bukan apa, sudah sekian lama menjeruk rasa dicemburukan oleh saudara benua suluk akhirnya ahad lalu semasa merewang di KLCC, aku telah menjumpai sekaligus membeli naskah SERIGALA DAN SEKUNTUM TULIP hasil tukangan penulis yang cukup aku gemar iaitu SM ZAKIR. Terima kasih kepada pensyarahku (benua suluk) kerana telah memperkenalkan aku kepada karya-karya Zakir. Pertama yang aku khatam ialah SEKUNTUM KEMBANG DI SAYAP JIBRIL. Aduh! Aku sedang diterbangkan sihir kata-kata!

Berbanding karya-karya beliau yang sebelum ini, kumpulan cerpen kali ini lebih santai aku kira. Mengunyahnya mudah sedikit. Dari segi gaya bahasanya maksud aku. Tapi malu untuk aku akui, aku masih belum khatam lagi. Aku sungguh letih sejak dua menjak ni. Hairan juga dibuatnya. Barangkali aku perlu mengambil makanan tambahan seperti vitamin mungkin. Semalam sebelum lena mencuri masa membacaku, aku hanya sempat menghabiskan dua buah cerpen sahaja. Pagi tadi sementara menunggu ke tempat kerja, aku rembat sedikit masa untuk menghabiskan sebuah cerpen lagi. Aduhai, masih ada 17 buah cerpen lagi... aku ingin benar segera menghabiskan kesemua 20 buah cerpen yang terkandung di dalam naskah terbaharu Zakir ini!

Terima kasih juga buat cik abang yang menyumbang separuh dari harga buku ini. Ahaks! Bukan tak mampu nak bayar kesemuanya, tetapi sengaja nak bermanja. Lagi pun esok adalah hari....... huhuhu! Kira hadiah untuk saya la ni! ^_~

Selepas usai aku khatam menghabisi naskah ini, aku akan ulas di dalam blog yang satu lagi. Buat masa sekarang, aku mahu gigih berperang melawan kantuk yang sedang enak bermaharajalela! Berusahalah!

Sunday, November 21, 2010

Hari-Hari Dalam Kehidupan


AKU susah untuk memperjelaskan kepada semua orang apa sebenarnya yang sedang terpasak dalam hati aku ni. Lewat dua bulan kebelakangan ni, hati dan minda aku dihambat kerunsingan yang macam-macam. Kerjaya, keluarga, teman-teman, cita-cita dan cinta... adalah antara yang sedang membaurkan rasa. Kata orang, kita tak tahu dan adakalanya tak nampak apa salah kita kalau tak diberitahu. Tapi sesudah diberitahu pun, aku masih gagal menemukan apakah salah aku yang sebenarnya.

Adakah aku ni memang spesies batu dan konkrit yang memang tak sedar diri dan tak tahu kesalahan sendiri? Ataupun aku ni memang tak bersalah langsung. Sudah menghampiri tempoh genab 24 tahun aku diberikan ALLAH nyawa dan kesempatan untuk hidup di atas muka bumi-NYA ini. Sudah berkali-kali aku berbalah dengan teman-teman, ahli keluarga dan sesiapa sahaja dalam hidup aku ni. Aku bukan batu. Aku manusia yang ada hati dan perasaan. Aku selalu bercermin, menengok refleksi diri sendiri dan menimbang-nimbang, berfikir dan bermuhasabah. Aku mencuba untuk tidak hipokrit. Seingat aku, aku tak pernah terniat untuk menyusahkan orang, menyakiti orang, masuk campur dalam urusan orang... tapi orang-orang selalu mencari ruang dan peluang untuk menyakiti aku.

Apakah maksud kehidupan yang sempurna?
  • Kerja kerajaan (supaya ada pencen, dapat bonus tahunan, senang nak buat pinjaman bank, hospital yang murah (kalau bersalin ataupun dapat penyakit kronik, kemalangan dll), waktu bekerja yang tetap, dll yang aku tak pasti pasal aku tak kerja kerajaan!)
  • Perkahwinan yang besar-besaran pasal hanya sekali seumur hidup.
  • Suami / isteri yang elok parasnya (paling tidak, sedap mata memandang) dan punya pekerjaan tetap (seeloknya kerja kerajaan juga).
Adakah hanya apabila memenuhi semua perkara di atas ni barulah kehidupan seseorang itu jadi sempurna? Kalau seseorang tu punya cita-cita untuk mengembara ke seluruh tempat (paling tidak, seluruh Malaysia) dan bekerja secara freelance, menulis mengikut cita rasa, kemudian mengimpikan majlis perkahwinan yang ringkas, akad nikah dan kemudian majlis makan dengan menjemput jiran serta sanak saudara terdekat sahaja : Maka ini dikatakan satu hal yang memalukan dan jauh dari mencapai tahap kesempurnaan!

Seumur hidup aku, aku tak pernah mengimpikan untuk hidup mewah. Aku hanya mahukan kehidupan yang sederhana ; tak senang sangat tapi tak susah. Ada rumah yang selesa untuk berlindung, ada kenderaan untuk mudah bergerak, dapur yang tak putus lauk dan beras serta duit lebih untuk simpanan dan berbelanja sekali-sekala. Aku selalu percaya, kehidupan yang sederhana lebih membuatkan kita menikmati dan menghargai kehidupan. Berhabis wang untuk menyedapkan mata orang memandang, apakah keuntungannya kepada kita?

Aku cuma mahukan kehidupan yang tenang. Suami yang baik yang dapat menjaga, menyayangi dan melindungi aku, kewangan yang stabil (tak perlu mewah), kawan-kawan yang memahami dan menghiburkan serta keluarga yang sentiasa ada dan menyokong aku dari semua sisi. MAcam mana aku nak fahamkan semua orang supaya jangan semudahnya menilai aku. Tak perlu susah payah memahamkan aku bagaimana aku perlu mengatur hidup aku sendiri. Kalau tak suka, aku tak pernah kisah pun. Mulut aku pun, aku sendiri yang suap. Aku tak susahkan korang, jadi tak perlu nak susah hati dan sakit mata tengok kehidupan aku. Aku bahagia. Sekurang-kurangnya, aku tahu apa yang aku nak.
  1. Aku tak pernah kahwin dan kemudian masih curang.
  2. Aku tak pernah terfikir nak membelakangkan keluarga dan kemudian kahwin lari.
  3. Aku sentiasa ukur baju di badan sendiri. Tak pernah terfikir nak beli dan pakai barangan berjenama sedangkan gaji bulanan berapa saja???
  4. Aku tak paksa diri kahwin dengan pilihan keluarga dan kemudian layan suami macam sampah sarap.
  5. Aku tak pernah nak sibuk-sibuk sindir anak orang sedangkan 'peel' anak sendiri lebih memalukan.
Jadi aku rasa, aku masih lebih baik dari orang-orang yang tengah sibuk sangat nak menyakiti hati aku dan keluarga aku sekarang ni. Terima kasih saja kerana aku memang takkan peduli dengan anjing yang tengah menyalak bukit.

Tak payah sibuk sangat nak jaga tepi kain orang, cuba tengok kain sendiri, entah-entah dah rabak ataupun busuk berselepet tahi!

Sunday, November 14, 2010

Tengok Muka Aku Ni - "Ada Aku Kesah?!"

Kegemukan yang berpunca dari makan banyak dan menjadi satu dosa besar menurut sesetengah pegangan. Aduhai...

KADANG-KADANG aku jadi pening. Susah sungguh kejadian jadi orang gemuk ni. Susah nak beli baju, payah nak beli seluar, gundah nak cari kasut @ selipar, resah nak gayakan fesyen yang sesuai, gelisah nak naik atas penimbang berat... serba serbi tak kena katanya! Tu baru sikit. Jangan ceritalah perasaan menjeruk hati bila buka majalah atau surat khabar. Selain menelan liur melihat model-model yang serba jelita dan bersaiz xs, nyali juga seakan dirunjam dengan tajuk-tajuk seperti ini ;

"Kegemukan menyumbang kepada serangan jantung..."

atau

"Obesiti antara punca datangnya penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis..."

Aku tak malu mengatakan yang berat aku adalah 85 kg. Isy, tak payahlah terkejut sangat. Memang 85 kg pun. Berat. Selain dari lemak-lemak yang menggebu ni, aku juga mewarisi tulang dari baka yang besar. Jadinya semasa aku masih kurus dulu, badan aku memang dah besar. Dan semasa aku menimbang berat di The Mines, mesin yang boleh bersuara itu mengatakan begini dengan kuat ;

"Anda gemuk!"

Agak kurang ajar mesin penimbang yang memerlukan dua keping syiling 20 sen untuk menggunakan khidmatnya menimbang berat badanku. Aku bukan jenis orang yang makan banyak. Selalunya jarang mengambil sarapan, dan makan pun nasi separuh dengan dua jenis lauk saja. Ayam dan sayur. Ikutlah, kadang-kadang keli dan ulam (salad @ timun). Malam pun kadang-kadang menu yang sama. Itu kalau hari berduit, kalau tidak memang mencekik maggi mee sahaja kerjanya. Tak pun menanak nasi dan goreng telur. Jadi persoalan besarnya,

"Macam mana aku boleh gemuk?"

Semasa aku darjah 6, aku mengalami tekanan yang sangat kuat sebab pertama kali nak melalui peperiksaan yang besar dalam hidup. Pada masa ini, aku menghabiskan masa seputar 15 jam di sekolah. Percaya tak? Dari jam tujuh pagi sehingga 10 malam. Aku balik rumah untuk tidur saja. Dahsyat. Fokus sungguh aku masa tu. Menyebabkan aku menggemuk tanpa disedari. Aku sebenarnya berlawanan dari orang lain. Kalau korang tengok aku makin gemuk, itu ertinya aku sedang tertekan dan susah hati. Kalau aku macam kurang gemuk sikit (perkataan kurus tak sesuai), itu tandanya aku sedang bersenang hati dan lapang dada. Aku makan setiap kali tekanan. Kalau marah pun aku makan. Makan... makan... makan....! Makin rungsing, makin banyak aku makan.

Sejak dari umur 12 tahun, aku menggemuk dengan pesat. Ramai jugak orang yang memujuk aku, katanya ;

"Awak ni tak gemuk sangat lagi pun..."

Sebenarnya aku tak kisah jadi gemuk. Susah hati, rendah diri dan menjeruk nyali pun tak guna. Menambahkan gelisah sendiri. Aku tak pernah malu menjadi NURUL MARDHIAH SHAMSUDIN yang gemuk, berkulit gelap dan tak berapa nak cantik ni (tapi manisnya ada! ahaks!). Aku bangga dengan diri sendiri. Walaupun pencapaian aku dalam hidup ni tak begitu cemerlang, tapi sekurang-kurangnya masih banyak hal yang mampu aku kecapi dan berbangga dengannya. Aku tak nafikan, susah jadi gemuk begini. Berjalan cepat menangkap penat, kejap-kejap nak duduk. Kaki lenguh, belum campur rasa malas nak bergerak ke sana ke mari. Madam Jane (bos) dah berapa kali menegur aku ;

"N, verry slow la, you! Cepat sikit"

Madam selalu menyuruh aku menguruskan badan. Katanya, badan kurus otak cergas dan idea pun membukit dan melaut. Hari-hari dihulurkan teh herba Cina untuk aku minum. Katanya untuk membuang kolestrol dan menyihatkan badan. Malah, dia melarang aku naik lif, sebaliknya turun naik tangga sahaja. 8 tingkat, bro! ^_^ Merangsang stamina dan mengeluarkan peluh ulasnya. Aku nak ketawa pun ada. Hari-hari meneguk teh herba sampaikan perut memulas-mulas penuh angin dan kepala naik pening berpusing-pusing (aku sebenarnya alahan terhadap produk tradisional, ahaks). Tapi aku sebenarnya memang seorang yang tabah. Ramai yang memerli dan menjadikan tubuh sasaku (perhatikan pemilihan perkataan yang aku gunakan : SASA!) sebagai bahan mengusik dan berlucu, aku sesungguhnya memang tak terkesan. Tak sempat singgah di hati. Apalah yang ada pada cakap-cakap orang? Apa kita hidup di atas kasih sayang dari-NYA di muka bumi ini hanya untuk menyenangkan hati orang. Jadi apa khabar dengan hati sendiri? Adakah dipeduli? Menurut aku, biarlah kita menyenangkan hati sendiri. Asalkan kita tak susahkan hidup orang, orang pun tak perlulah nak susah-susah nak susahkan hidup kita. Jaga diri sendiri sudah!

Aku bukan menulis entri ni untuk puji diri sendiri yang sangat bangga menjadi diri sendiri yang gemuk ni. Tapi untuk berpesan kepada hati, tak usahlah digaduhkan berat badan yang baru naik lagi 5kg ni (sebelum ni berat 80kg, baru timbang tadi... naik lagi!). Itu biasalah. Sekarang aku tengah banyak hal yang perlu difikir dan dirisaukan. Selesai semuanya nanti, barangkali berat badan aku akan kembali ke asalnya (sekitar 75-80kg). Hahaha... atau mungkin tidak. Biarlah! Aku malas nak fikir.

Kalau korang rasa aku memang gemuk dan perlu berdiet untuk kelihatan slim dan menawan, cuba korang tengok muka aku ni...

"Ada aku kesah?"