Wednesday, November 10, 2010

Sepanjang Jalan-Jalan Kenangan

AKU tersenyum sendiri hari ni. Jadi teringat dan mengenang tiba-tiba. Sejak berpindah ke pejabat baru, aku dan Mimie seakan semakin akrab dengan seorang teman sekerja di pejabat. Beliau yang dimaksudkan ialah En. Azhar Mustaffa, senior creative executive katanya, orang grafik! Huhuhu... mamat ni sebaya aku. Lebih mesra dengan nama Ard @ Don Jaxx. Kenapa aku tiba2 memperkenalkan dia ni ke dalam blog aku? Muhahaha... hal ini adalah kerana tempoh hari aku, Mimie dan Ard serta teman wanitanya yang comel bernama Eiyna telah menghabiskan hujung minggu di Melaka. Seronok!

Aku dengan Mimie memang teruja habis pasal mulanya si Ard ni cakap nak ke Banting, ke Pantai Morib sahaja untuk berdiskusi tentang short film kami yang sedang dalam perancangan. Dalam perjalanan kami terlelap membiarkan Ard memandu sendiri. Jauh sungguh ke Banting, fikirku diam-diam. Tiba-tiba kami dihogah Ard supaya bangun. Aku tenyeh-tenyeh mata, terus ternampak papan tanda, SELAMAT DATANG KE MELAKA. Uiks! Terkejut gak tapi tak lama, keterujaan terus mengisi ruang. Maklum saja, jarang berjalan. Sesekali bila dapat kejutan begini, gila kalau tak teruja?! Huhuhu...

Sepanjang malam kami merayau dibawa Ard. Kejap-kejap berhenti bergambar. Teruja sungguh aku. Aku memang suka amat dengan banggunan-banggunan lama yang klasik ni. Cantik amat! Kemudian kami bermalam di tepi Pantai Pengkalan Balak. Tak tidur pun, teruja main air... menikmati alunan ombak. Aduhai! Menikmati menjelang subuh di tepi pantai memang indah. Selepas pagi menjelmakan diri sepenuhnya, Ard bawa kami sambung berjalan. Akhirnya menjelang tengah hari, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur, membawa bersama kenangan indah di Melaka. ^_^

Hujung minggu seterusnya, aku dibawa cik abang pula berjalan. Kebetulan Ard dan cik abang punyai nama yang sama. Ejaannya saja yang berbeza, Ard = Azhar, cik abang = Azahar. Huhuhu. Macam hal. Satu perkara yang aku sangat suka dengan cik abang nih (huh, kalau dah suka tu semuanya indah! Kawan2 sila bertenang ye... jangan menyampah lak. Aku saja berkongsi seronok. Ahaks! ;p) ialah dia memang suka bawa aku ke tempat-tempah indah yang memang aku cukup suka. Kami ke Hutan Simpan Bubu. Air terjunnya... wow! Kepenatan separuh mati jungle tracking (akibat jarang bersenam) sebelum sampai ke kawasan atas air terjun serta merta hilang! Cantik sungguh ciptaan ALLAH... alangkah ajaibnya alam. Mengucap panjang aku. Cantik... kendian aku menggelupur nak mandi. Air yang sejuk jernih seakan memanggil-manggil aku berendam. Tapi katanya ;

"Orang suruh bawak baju salin tak nak. Nak mandi macam mana?"

Sebelum gerak, sebetulnya aku merasa kurang sehat. Jadinya memang bercadang nak berjalan saja, tak ingin nak berseronok dalam air. Ternyata keindahan alam ciptaan RABB memang menyihir dan langsung menyembuhkan aku. Menyesal sungguh rasa hati tak mendengar saranan darinya supaya membawa pakaian salin dan tuala. Huhuhu... Sepanjang bersama dengan cik abang, lokasi berjalan wajib ke air terjun. Rasanya dah lima enam lokasi berbeza kami 'jemba'. Suka aku.

Selepas meninggalkan Bubu, kami ke Lenggong, menjengah Tasik Raban nan indah. Wow... angin sepoi seakan menyambut selamat datang. Saujana mata memandang keindahan tasik yang luas beralun. Ya, ALLAH! Indah damainya bukan main. Terasa lapang dada dan tenang jiwa. Dia memang tahu mengambil hati. Dia sendiri maklum resah gelisah serta penat lelah aku lewat kebelakangan ni. Apabila berhadapan dan bermesra dengan alam begini, semua rasa yang kurang enak itu seakan dibawa pergi dari aku. Terima kasih, sayang! ^_^

Aku sangat bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan kawan-kawan dan kesayangan yang baik dan rajin membawa aku menengok dunia. Terima kasih banyak-banyak kepada En. Azahar (malam saya) dan En. Azhar (Ard @ Don Jaxx) yang sudi memeriahkan hidup saya ni dengan membawa saya berjalan. Lain kali bawa lagi ye? Huhuhuhu...

Sepanjang jalan-jalan kenangan, aku semakin meranumi dan memesrai kehidupan...!

Keindahan ciptaan RABB yang Maha Esa

Air terjun Hutan Simpan Bubu

Cik Abang yang tengah rungsing dan larikan diri sebab aku tengah menggelupur nak mandi! Ahaks!

Tasik Raban, Lenggong... aku sedang dibelai angin sepoi yang hampir melenakan.

Bandar Hilir, Melaka. Ard dan Eiyna ketawa menggeleng kepala menengok keterujaan aku.

Cantik...

Bandar Melaka nan klasik

Pantai Pengkalan Balak yang mengujakan

Tuesday, November 9, 2010

Gita Inderaloka

Kalau bulan bisa bicara,
Aku akan menyuruh ia diam...

Kalau angin sedang mengalun gita,
Aku akan meminta ia nyenyat...

Kalau jeladari mengulum wirama dalam gulungan bena,
Aku akan membiarkan khali meraja...

Setelah diam sang cendera,
Setelah nyenyat sang pawana,
Setelah khali sang jeladari dan bena,
Dan setelah usai semesta bisu tanpa kata...

Aku akan meminta,
Sang Dia mula memetik kecapi cinta,
Aku mahu mendengar tunaian nada,
Menarikan gemalai irama di bibirnya...

Kerana di situ aku menemui bahagia...
Kerana di situ aku menganyam dan memintal inderaloka!

Monday, November 8, 2010

Rak Harta Karun

Heaven. Impian aku nak buat camni bila da ada umah sendiri nnt. Huhuhu!

LEWAT kebelakangan ni aku terasa begitu kesibukan sedang merompak masa lapangku habis-habisan sampaikan masa untuk aku bersantai dan bersenang-senang pun sudah tak menentu lagi. Kadang-kadang terasa macam dah tua sangat. Bangun tidur pergi kerja, balik kerja terus tidur. Masa untuk menonton televisyen sudah aku tinggalkan. Enaknya zaman studi, orang azan subuh barulah aku terhegeh-hegeh nak tidur selepas bersenang-senang melayan dvd sepanjang malam. Hasilnya, aku dan Mimie mengheret kantuk ke dalam dewan kuliah. Hahaha...

Tapi itu bukan isu yang paling utama. Yang terutamanya ialah RAK HARTA KARUNku semakin terbiar sepi dan berhabuk di sana sini. Sedih! Kalau dulu, letih macam mana pun paling tidak aku tetap aku membaca satu bab sebelum tidur. Semasa keluar bersama 'cik abang' (^_^) tempoh hari, aku sempat menyambar KUNTUM TULIP BIRU di Kinokuniya KLCC. Aduh, girang hati tak usah cerita. Selepas memiliki dan menguliti SAKURA MENGORAK KELOPAK sekitar 13 tahun yang lalu, hasil tukangan SN Arena Wati ini memang membuai rasa dan berhasil membikin jantung jadi berdetup detap.

Sayangnya, selepas sekian minggu Kuntum Tulip Biru berada di sebelah bantal tidur, hanya 1 bab sahaja yang berjaya aku tekuni. Aduhai... kata-kata yang sedang menyihir berjaya ditewaskan oleh kantuk yang dipintal oleh rasa letih. Buku-buku kesayangan yang menjadi harta karunku semuanya barangkali sudah menyimpan rajuk. Betapa tidak? Aku biarkan mereka bermandi habuk. Jarang lagi dibelek belai dan diciumi (ajaran dari guru, mencium dan menikmati aroma buku sebelum menekuninya ^_~) seperti dulu. Kasihan kesayanganku semuanya. Jiwa terasa kosong jadinya. Otak bagai berkarat.

Sejak meninggalkan zaman belajar, aku selalu merasa kosong. Zaman studi memang indah. Bertemu teman-teman, bergebang, bersembang tentang betapa luasnya dunia. Buku, filem dan lagu, mengkritik, berkongsi idea dan pandangan, bertukar-tukar pengetahuan. Itu semua merangsang hidup! Arghhhhh!!! Dunia memang luas. Tidak sekadar, bagaimana untuk menanak nasi minyak, menggulai terung, menggilap mangkuk pinggang, menenun kain ataupun layakkah Lisa Surihani menang FFM?

Semasa preview filem KEMBAR SIANG di The Curve tempoh hari, aku terserempak dengan En. Hassan Mutalib, pensyarahku semasa di akademi. Pensyarah yang pernah menghalau seisi kelas keluar kerana gagal menghantar tugasan seperti yang ditetapkan (hasilnya kami serik dan tidak lagi mengulang kasalahan yang sama). Pensyarah yang pernah mahu menembak aku dan Mimie dengan senapang gajah kerana bekerja dengan MIG. Pensyarah yang menggelar kami sebagai 'terror of terrorist'. Paling penting sekali, pensyarah yang pernah memberikan aku mimpi ngeri dengan filem GLADIATOR. Aku kagumi beliau. Sebenarnya, ramai pensyarah yang aku benar-benar kagumi semasa di akademi antaranya Tuan Haji A. Rahim Abdullah (kritikan yang sungguh merangsang dan kemas!) dan beberapa nama lagi yang elok untuk aku pendam saja. Kami sempat bersembang. Dan apabila aku dibebelkan tentang 'FILEM' oleh beliau, aku tiba-tiba merasa hidup! Aduh! Terima kasih atas pertemuan ini. Tak banyak, sedikit ia berjaya menyegarkan kelesuan aku.

Banyak hal dah berlalu dari hidup. Kadang-kadang melihat tulisan di blog ni pun aku dah naik menyampah. Bebelan-bebelan tentang hidup sendiri sahaja tak habis-habis. Persekitaran aku sekarang amat melemaukan. Paling menarik, apabila aku buka mulut, aku pernah ditempelak begini ;

"N, jangan la bawak bahasa ASWARA kau tu kat sini! Aku tak fahamlah... (ketawa seterusnya)"

Apakah nasib. Sesekali apabila bertemu dengan teman-teman lama, barulah terasa seronok berlawan kata. Tangan terawang-awang mengalahkan pemimpin politik sampai terkadang menepuk-nepuk meja. ^_^ Sayangnya, teman-teman juga turut dihambat kesibukan. Hidup baru menjadi hijab yang menutup kenangan silam yang muluk-muluk.

Hujung minggu ni aku sungguh-sungguh menyimpan angan untuk kembali membelek belai rak harta karunku, seterusnya menekuni Kuntum Tulip Biru sehingga khatam. Kalau sempat, mahu mengulang baca Sakura Mengorak Kelopak sambil sesekali menjernihkan jiwa rasa dengan membelek beberapa kuntum puisi dari SULUK CINTA dan MEMBURU MALAIKAT. Mungkin kalau benar rajin, aku akan mengintai-ngintai kumpulan drama tukangan Pak Usman. Hujung minggu yang indah! Mudah-mudahan... ^_^

Tuesday, October 26, 2010

Penyakit Sempit


SUDAH agak lama aku tak berblog. Bukan melakukan gencatan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarahku semasa bulan puasa hari tu (hahaha), sebaliknya kesibukan bekerja terlalu merompak masa lapangku. Apa boleh buat. Banyak idea yang hendak dikongsi sama sebaliknya hilang terbang dibawa angin kesibukan.

Cuma hari ni aku melapangkan sedikit masa ekoran hati yang sarat melontarkan soalan. Semalam semasa bekerja dalam sembang, seorang pengarah muda (tak berapa nak muda sangatlah!) 'menyerang' aku dengan satu ayat yang mengandungi ketidakpuasan hatinya terhadap sikap suka mengkritik yang dilakukan oleh aku. Aku tak nafikan, sikap lantang aku dalam memberikan kritikan menyebabkan ada pihak yang kurang senang, panas punggung dan melabel aku dengan tuduhan-tuduhan seperti PESIMIS, PREJUDIS dan sebagainya. Aku terima dengan lapang dada. Pada aku kritikan adalah hak setiap orang. Mereka mengkritik aku yang suka mengkritik ni pun satu kritikan jugak dalam tak sedar mereka.

Jujurnya aku bilang di sini, setiap kali aku melontar buah kritik, aku langsung tak menyimpan niat untuk menjatuhkan sebaliknya aku mahu mereka cuba memberi peluang kepada mereka untuk menilai kembali adakah salah betul apa yang aku katakan. Aku mencari yang terbaik sebenarnya. Mahu industri ini membangun. Bukan mahu menjatuhkan.

Hanya kerana aku mengatakan tajuk sebuah filem ini gagal kerana tidak relevan dengan cerita, dia melontarkan kata-kata ini kepada aku ;

"N, kau tau tak yang kau ni adalah tipikal orang Melayu yang hanya tau dengki dan pandang rendah pada kejayaan hasil kerja orang lain dan hanya tau mengkritik sedangkan kau kena tengok kedudukan kau sendiri dulu dan apa yang kau ada!"

Sambungnya lagi (menariknya ayat ini aku pernah dengar dari mulut seorang pengarah yang cukup aktif bergelar Prof.) berbunyi begini ;

"Kau kena ambil kira macam mana rasanya duduk atas kerusi pengarah, ambil tau kesusahan di belakang tabir dan kekangan masa dan sebagainya baru kau layak mengkritik."

Reaksi aku? Senyum dan cakap begini pada dia ;

"Saya tak pernah terfikir nak jadi pengarah. Malah saya bercakap bukan sebagai penulis skrip pun. Saya bercakap dari sudut penonton yang tak faham kesinambungan tajuk dengan jalan cerita. Lebih dari tu, saya tak bayar sepuluh ringgit untuk ambil tahu apa masalah di belakang tabir."

Sebenarnya korang rasa macam mana? Adakah korang setuju bayar untuk masuk panggung dan menonton filem yang macam haram dan kemudian pergi ambil tahu apa masalah yang menyebabkan filem tu jadi macam haram? Aku bercakap tentang kualiti! Kualiti lakonan dan jalan cerita. Bukan yang mempamerkan unsur kekaguman semata-mata. Kalau ada, itu dikira bonus. Banyak kepincangan yang berlaku sekeliling aku dan adakah aku perlu membisu hanya kerana aku tak pernah berada dalam posisi pengarah? Adakah seorang pengarah sahaja yang layak memberi komen dan kritikan? Atau macam mana?

Aku jadi tak faham dengan pemikiran sesetengah orang. Diberi peluang untuk mengarah sebuah filem, dengan belanja yang besar tentunya, adakah kau tak teringin yang berikan yang terbaik? Aku tak bercakap tentang kereta meletup sana sini sampai kau perlu alasan bajet tak cukup sebab tu tak boleh berikan yang terbaik. Aku bercakap tentang jalan cerita yang bisa membikin jantung kau jadi berdetup detap, teruja dan memuaskan rasa. KUALITI? Agak-agaknya masa sekolah dulu kau belajar tak makna perkataan ni?

Aku tak marah. Langsung tidak. Tapi aku jadi simpati. Kasihan pada pemikiran yang begitu sempit, sesempit kerusi pengarah yang kau duduk tu. Sesempit monitor yang kau hadap tu. Cuba bangun berdiri dan pandang dunia seluruhnya, lalu aku kira kau akan mengerti. Aku jadi teringat pada kajian seorang doktor @ saintis (aku dah tak ingat) terhadap otak orang Asia. Statistik menunjukkan otak orang Asia kekal cantik dan elok di mana ia menunjukkan tahap berfikir yang rendah dan kekurangan dalam menggunakan keseluruhan kemampuan otak.

Hmm... aku rasa kajian tu tepat, maksud aku untuk sesetengah orang! Ops!

Sunday, September 26, 2010

Penderhakakah Aku...?


SEMAKIN lama aku semakin tertanya-tanya, apakah beza antara SEJARAH, DONGENG, MITOS dan LAGENDA? Aku semakin mendapati bahawa empat perkataan ini hanya memperjelaskan satu makna yang sama : KEPERCAYAAN. Orang mengatakan SEJARAH ada satu kepastian. Ianya masa lalu yang dipastikan melalui bukti yang kukuh serta kajian yang menyeluruh. Sejarah adalah sangat penting. Ia adalah jati diri bangsa. Itu adalah pegangan yang pernah aku pegang. Aku pernah jadi seorang pencinta sejarah yang amat sejati.

Kenapa aku menggunakan perkataan 'pernah'? Adakah aku dah tak percayakan sejarah lagi? Adakah kebanggaan masa silam itu tak lagi memilik daya tarikan? Jujurnya aku tak tau. Kadang2 aku jemu sungguh mendengar orang2 mengungkit masa lalu yang sungguh gah. Tapi aku semakin yakin apalah guna masa lalu yang gah itu sedangkan ia SUDAH BERLALU! Kita bukan hidup pada masa lalu. Kita hidup pada masa kini. Pada suatu masa yang orang2 tidak lagi mengagungkan bahasa bangsanya sendiri. Pada masa yang anak2 bangsa sudah tidak tahu lagi menggunakan tulisan warisan nenek moyangnya. Pada ketika yang aku sudah tumpas gagal membezakan mana orang Melayu, Inggeris atau Arab jika hanya melihat pada nama-nama mereka. Aaron boleh jadi orang Melayu. Alex boleh jadi orang Melayu, Andika boleh jadi orang Melayu, Aminurrashid pun boleh jadi orang Melayu.

Aku singgah ke dalam sebuah blog yang kelihatan begitu unik. Tapi ada satu ruang dalam blog tu yang membuat aku termenung seketika. Wanita yang begitu bangga dengan 'sejarah' bangsanya itu mengemukakan satu catatan yang membantai artikel seorang pengkaji yang mengatakan HANG TUAH bersaudara adalah orang Cina. Dia begitu marah dalam senyum dengan antara lain mengeluarkan kenyataan ini;

"Hari ini ramai yang mengalami penyakit buta sejarah.Orang yang buta sejarah lebih menyusahkan dari orang yang buta matanya.Orang yang buta sejarah mampu meruntuhkan sejarah dan peradaban sesuatu bangsa.Orang yang buta sejarah mampu menggadaikan tanahairnya kepada orang lain.Jika kita di zaman raja-raja dahulu,orang yang buta sejarah ini mungkin patut disula kerana memporak-perandakan salasilah dan hikayat bangsa.Jika anda bertemu dengan ular dan orang yang buta sejarah pada masa yang sama,anda patut ketuk kepala orang yang buta sejarah ini dahulu ;D"

Terus-terang aku katakan yang aku tak tertarik langsung dengan artikel minah ni. Melampau-lampau teori HIDUP MELAYU dia. Tapi aku tak nafikan yang dia ni memang rajin mengkaji dan bagus dari segi kajian dan penulisan. Cumanya aku lebih tertarik dengan seseorang yang menggelar dirinya HANG KEBUN yang memberi komen seterusnya berbalas debat dalam ruangan komennya. Aku tertarik sebab aku setuju dengan Hang Kebun tu. Komen balas yang diberikan oleh minah ni pun dahsyat + tak rasional menurut aku.

Adakah seseorang yang tidak mempercayai kewujudan Hang Tuah wajib dihukum sebagai penderhaka, pengkhianat bangsa, mengidap penyakit buta sejarah dan juga bakal menjadi punca maruah bangsanya tergadai? Maruah apa yang minah ni cakap? Terselit di mana lagi maruah sebuah bangsa yang asyik bergaduh dan bercakaran sesama sendiri berebutkan takhta politik dan bukannya memperjuangkan nasib rakyat? Mengenang-ngenang masa lalu yang hebat memang seronok, tapi sila buka mata dan pandang sekeliling. Apa yang kau nampak?

Siapa TUN SRI LANANG? Siapa HANG TUAH? Orang2 mengatakan mamat Tuah ni MELAYU ISLAM. Di mana ISLAM seorang hamba yang mendewakan dan mengagungkan SULTANnya melebihi keagungan kepada TUHAN? Ketaatan yang berlebihan begitu apa hukumnya di sisi agama? Jangan biar aku mulakan dengan hukum menyihir, menipu dan melarikan tunangan orang dengan kebodohan membuat penilaian atas amukan seorang sahabat yang membela kematiannya. Paling yang membuatkan aku keliru sungguh2, kalau betul Tuah seorang hamba yang taat, kenapa dia tak pergi mati sahaja semasa Sultan suruh dia mati? Kenapa sembunyikan diri? Bukan tu menderhaka juga ke hukumnya sebab ingkar perintah Sultan?

Cakaplah aku tak faham. Aku tak baca Sejarah Melayu. Aku tak baca Sulalatus Salatin. Aku anak muda yang telah dirosakkan mindanya. Ada aku kesah? Jujurnya aku amat bangga dengan bangsa aku. Aku tetap orang Melayu. Orang dangkal macam kau tak layak mempersoalkan keMelayuan aku. Aku amat suka dengan sastera klasik. Aku amat suka mendengar, membaca dan melantunkan pantun, gurindam, puisi, syair dan segala macam yang seiring dengannya. Aku sebenarnya masih mencari kebenaran. Aku sebenarnya masih mahu memadankan masa lalu dengan keperluan. Kalau ada anak, aku mahu anak2 aku mengenal sejarah. Tapi aku juga mahu anak2 aku berfikir. Aku sendiri mahu berfikir. REALITI. Hebat mana pun masa lalu, ianya telah berlalu.

Jadi adakah benar aku sedang menderhaka apabila aku sungguh yakin yang HANG TUAH tidak pernah wujud di muka bumi ini? Aku sendiri keliru adakah taraf derhaka ini menyamai HANG JEBAT atau HANG KASTURI memandangkan ramai yang tak tahu siapa sebenarnya yang menderhaka. Jebat atau Kasturi? Aku jadi teringat pada kata seorang teman,

"Kenapa sikap orang kita begini? Sama ada taat dengan membuta tuli seperti Tuah atau memberontak dengan membuta tuli seperti Jebat..."

Dan memetik kata2 entah dari mana aku tak ingat ;

"Kalau aku jadi Jebat, aku lebih rela membunuh diri dari membiarkan diri dibunuh si bodoh Tuah!"

Apa yang aku cuba katanya, dalam dunia yang serba fikir ini sudah banyak orang menimbang2 dan mencerna acuan silam itu dengan cara yang berbeza. Ketaatan Tuah sudah tidak seharum mana seperti yang didakwa minah tu. Orang boleh menilai. Jadinya, siapa yang menderhaka atau siapa penderhaka itu dah tak penting. Yang penting, sikap terlalu terbawa-bawa dengan ketidaksahihahan itu sendiri suatu kebodohan.

Agak2 faham tak maksud aku?

Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidilfitri


MALAM ni akan berpulang ke kampung halaman demi gigih meraikan hening syawal nan indah. Sayu sungguh terasa hati. Entah kenapa, Syawal tahun ini terlalu membikin hati sayu. Rindu pada ayah bonda dan seluruh keluarga. Dalam sayu tetap bergentayangan rasa teruja! Tak sabar nak menjamah juadah yang diolah bonda tercinta.

Doakan aku selamat sampai. InsyaAllah. Amin... Salam aidilfitri aku hulurkan buat sekalian teman-teman yang selama ini menjadi tulang belakang asas keyakinan langkah yang atur ke depan. Buat semua, ampun dan maaf kupinta andai ada terkasar laku dan bahasa (memandangkan aku ni memang kasar orangnya! Huhuhu... ^_^), maafkanlah semua keterlanjuran dan halalkanlah andai ada yang terminum, makan, terambil, terhutang, ops! (Kalu nak tuntut pun sila. hubungi saja aku, insyaAllah aku akan membayarnya.) Buat cinta hati malamku, terima kasih kerana sudi berkongsi syawal ini bersamaku dan kau mengindahkannya seindah musim semi yang bertamu. Sayang awak! (gedik... huhuhu! ;p)

Selamat hari raya, selamat meraikan hari kemenangan... maaf zahir dan batin! Semoga diketemukan lagi dengan Ramadhan yang bakal melabuhkan senjanya yang akhir. Amin!

Tuesday, August 31, 2010

Diari Ramadhan ( III )


EMPAT hari berpulang ke kampung halaman sungguh menyegarkan! Menikmati suasana bersahur dan berbuka puasa bersama keluarga tercinta merupakan nikmat RABB yang agung. Aduh! Apabila sudah kembali ke dunia hiruk pikuk bandar ini benar meletihkan. Kewangan semakin meruncing. Maklum sahaja, persiapan menyambut raya mengalahkan orang yang sudah berkeluarga dan beranak-pinak! Huhuhuhu...

Empat hari merasa air tangan bonda, aku sungguh berpuas hati! Kata orang, pejam mata rapatlah tidur malam. ^_^ Mak macam biasa. Soalnya ;

"Nak makan apa berbuka nanti?"

Aku pun macam biasa. Meminta dimasakkan lauk-pauk kegemaran yang berhasil mengecurkan air liurku semahunya. Hasilnya, Kerabu Taugeh, Sambal Terung, Sayur Keladi, Ayam Percik, Gulai Ayam Kampung antaranya yang terhidang siap di atas meja menunggu menjadi santapan. Aduh! Puas, sungguh puas! Tambah pula dengan air tebu yang dingin, hasil tanaman sendiri menjadi lawannya... aduhai. Terasa berat nak meninggalkan kampung halaman. Hasilnya, perut buncitku semakin ke depan! Hahahaha... nasib baik awal2 lagi aku dah batalkan nak beli kebaya.

Sempat juga menjengah ke bandar Kuala Terengganu yang semakin sarat untuk menjeling sepasang lagi baju raya. Tapi geram sungguh. Ada baju yang berkenan, tapi saiznya kehabisan. M sedang2 sangat. XL pula terlajak besar (xsangkakan? Hahahaha!) Aku mencari saiz L. Tetapi semuanya kehabisan. Aduh! Tekanan betul. Tak apalah. Menariknya, tanpa sengaja kami sekeluarga bertemakan biru tahun ini. ^_^ Raya pula disambut dengan anggota keluarga yang baru. Selamat hari raya, Kak Long! Shopping jom! Huhuhu...

Duhai bonda dan ayahanda, nantikan kepulanganku di hening pagi Syawal nanti...

Thursday, August 26, 2010

Neraka Sebuah Syurga



Kau menjanjikan
Panji ilusi sebuah syurga
Memartabatkan cinta seorang wanita
Mengembalikan jiwa seorang hamba
Pulang ke pangkuan Yang Maha Esa

Kibar panjimu tercalar
Dalam yuda membina maya syurga cinta
Sang senapati muda
Ternyata silap bermain susun silang kata
Teratak fiktifmu gagal saur sempurna

Oh, prahara meniupkan pawaka
Bukan irama gemalai yang ditarikan pawana
Ternyata prolog syurgamu
Terlanjur menjemput epilog neraka
Tertewas ditewaskan sebuah bangga

Hari ini inderiaku memberikan kesaksian
Kejatuhan empayar rasa kagum
Kaku kebuntuan masih terusik belum
Gemersik berbisik meraikan neraka sebuah syurga
Gita mengalun melankolia membenam jiwa!

Monday, August 23, 2010

Mencari Syurga Dari Ijok ke Sungai Buloh

Proses menukang di Ijok (Teratak Syurga Cinta) Panel MIG

Proses Shooting di Ijok dan Kota Damansara

Mimie jadi pelakon! Bersama Mia Sara. Huhuhu...

LIMA hari lamanya, aku dan Mimie sama terjun dalam kembara mencari 'syurga' bermula dari Ijok, Kuala Selangor ke Kota Damansara dan berakhir di Sungai Buloh semalam. Betapa susah, betapa penat, betapa tertekan sehingga aku dapat menukang sebuah puisi dalam perjalanan kami. Bayangkan betapa tekanan mampu melahirkan sebuah karya. Aduh!

Aku hampir menyerah kalah sebenarnya. Atau yang sebetulnya, aku memang dah menyerah kalah pun. Tapi ada yang tak membenarkan penyerahahan aku. Aku dipaksa bertahan walaupun aku memang sudah rebah. Rimpuh. Sudah tak punya kekuatan lagi untuk meneruskan sebenarnya. Ramai yang mendorong aku bertabah. Dan aku berusaha untuk bertabah, tetapi aku terlalu buntu. Tetapi kesan dari pemaksaan itu, alhamdulillah lima hari berlalu dengan 77 scene berjaya dicanai. Inilah cabaran dan dugaan besar yang mesti aku tempuh dalam perjalanan kerjaya aku sebagai panel skrip di sini. Aku cukup lega kerana aku dipaksa tabah. Kerana ia mengajar aku untuk tidak kalah. Kekalahan pada masa ini hanya akan merugikan semua pihak.

Catatan ini khas untuk para krew 'Epilog Syurga Cinta' seluruhnya. Walaupun drama ini mendapat kritikan hebat dari khalayak yang menonton, tetapi kita sama2 sedar dan tahu yang kita semua, terutamanya kalian telah memerah keringat yang bukan sedikit demi membawa drama ini daripada medium kaku di atas kertas ke layar kaca dengan jayanya. Kesempurnaan itu subjektif. Susah payah dan jerit perih kalian berbaloi. Walaupun susah, semuanya ditempuh dengan senyuman. Memang betul2 hadapi dengan senyuman! Masalah banyak, tapi kita tetap enjoy buat job ni! Siap masak lagi!

"Che Mat, buah melaka abang memang yang terbaeklah!"

"Nisha, puding roti dan masak tempoyak semalam memang... fuh! Betul sedap! Kena blajo masak dengan deme le jawabnya! Huhuhu"

InsyaAllah, walaupun kita terlanjur menjemput neraka dalam perjalanan mencari 'syurga' ini, namun kita masih boleh berbangga dengan kesemua kita kerana mampu bertabah! Kerana kesempurnaan itu adalah subjektif, maka epilog ini adalah sungguh sempurna!

Tuesday, August 17, 2010

Hakikat


Basah
Lekit-lekit lampau masih bertaburan di telapak tangan
Menjerut sekalung ingatan
Mengetuk sudut kasbah yang lekang
Lebar terkuak pintunya meruntuhkan hijab

Masih belum kering
Berkata inderia pandang sesetengah mereka
Hairan lekas bertamu
Kontang sudah menurut aku
Lekas yakin bertamu mengusir ragu

Mari aku khabarkan
Sudah kering... ertinya tidak lagi basah
Kau mahu memandang bagaimana
Atau aku ingin memahami
Penafian tidak akan mengubah realiti

Lekit-lekit tidak lagi melekat
Saur gita tidak lagi mengalun ghobar hakikat...!

Monday, August 16, 2010

Hening Syawal Yang Pernah Singgah


Baju untuk raya pertama. Huhuhu... dah beli! Baru 7 hari puasa...

BILA meraikan Ramadhan yang mulia, pastilah dalam kepala sudah terkenang Syawal yang bakal menjelang sesudah Ramadhan melabuhkan tirai senjanya yang ke-29. Apalah yang boleh kita ceritakan tentang Syawal melainkan kegembiraan meraikan sebuah kemenangan dan harinya di mana kita saling bertemu dan memaafkan di antara satu sama lain.

Semasa aku masih di dalam susuk anak kecil, Syawal adalah satu kemestian yang paling menggirangkan. Selain dari mengumpul duit raya dengan seluruh sanak saudara, hari raya memang menjanjikan seribu satu kegembiraan. Selalunya selepas masuk malam 15 Ramadhan, kami akan mula mencari buluh dan pelita. Terang seluruh kawasan rumah dengan cahaya pelita yang sayu indah. Masa ni aku duk umah kayu dekat dengan umah Teh (kakak mak aku). Sepupu ramai. Epi, Edi, Peyus, Abang Mir, Kak Ayu dan Kak Sa pun join sekaki dengan kami empat beradik. Seronok lawan pasang pelita. Masjid pun depan rumah, dapat dengar orang terawih. Suasana puasa+nak raya memang hidup.

Dan selepas itu setiap malam adalah syurga buat kami. Main bunga api dan mercun adalah mesti! Aku biasalah, tipikal perempuan. Lebih gemar dengan mercun yang meletup-letup dengan berwarna-warni. Mercun naga namanya. Cantik! Aku paling tak suka dengan mercun bawang sebab budak2 ni suka campak dekat kaki. Tak sukalah! Mercun tarik macam biasa, memang diletakkan di antara selipar. Bila tertarik... pap! Huhuhu... semua orang ketawa. Selain tu mercun jarum. Bentuknya seakan mancis tapi menghasilkan letupan yang agak kuat. Paling kuat adalah mercun bola. Bunyinya... wow! Hebat! Tapi selalunya memang suka main bunga apilah.

Bunga api mempunyai satu kenangan yang takkan mungkin aku lupakan. Masa tu aku tak tahulah sama ada ayah lupa atau buat2 lupa untuk membelikan bunga api. Aku dan adik tak berani nak tanya pasal ayah memang garang orangnya. Along aku pulak dah besar. Dah pandai beli mercun sendiri. Jadi untuk mengubati hati, aku ajak adik aku tuang minyak tanah dalam cawan dan main cucuh2 ranting kayu. Punyalah seronok sampai tak sedar percikan minyak tanah tu dah menyala atas pangkin. Adik aku tiba-tiba cuak dan dia ambil secawan minyak tanah tu (yang disangka air sebab terlalu panik) lalu menyimbah ke arah api yang mula nak menyala tu. Apa lagi... wush! Pangkin terbakar! Ayah aku adalah ahli bomba yang baru nak gi kerja (shif malam) apalagi terus amik pasir dan curah atas pangkin. Hadiahnya, aku dan adik dirotan atas tapak tangan sampai jari aku cedera. Sebabnya ayah terlalu geram (pangkin tu baru buat... hahahaha). Tapi ayah tetap ayah. Esoknya balik dari kerja, dia belikan sekotak bunga api! Hah... mainlah sampai lebam! ^_^

Pagi raya macam biasa, kontrak aku adalah buat air, potong nasi impit dan cuci pinggan. Jadinya setiap kali pagi raya pertama aku akan pakai baju kurung biasa2 je pasal memang duk dapur. Huhu... hari raya kedua baru pakai lebih sikit pasal jadual hari raya kedua memang pergi beraya ke rumah jiran dan keluarga yang duduk dekat. Raya ketiga melangkah jauh-jauh beraya ke rumah saudara-mara. Raya ke4 beraya ke seluruh kampung dan rumah saudara yang bau-bau bacang. Aku beraya ke rumah kawan-kawan pun masa raya ke4.

Sekarang dah tak macam dulu. Sejak pindah ke rumah baru, kami dah tak pasang pelita. Pasang lampu kelip-kelip je tapi perasaannya tak sama. Kat sini angin terlalu kuat, tak boleh pasang pelita. Sepupu semua dah jauh. Masjid pun jauh. Sunyi sungguh. Tahun ni aku balik malam raya. Lagilah sedih perasaannya. Tapi tak kesahlah! Balik juga... itu yang penting. Hm, aku tunggulah dapat anak-anak buah nanti. Mungkin masa tu baru ceria Syawal tu akan kembali. Yelah, rumah dan riuh dengan suara budak... mesti seronok!

Duhai Syawal yang indah... pasti kukira detik bertemu kembali.