Saturday, April 11, 2009

Makyong ke?


Semalam aku dan Kak Wani sempat la menyelitkan diri ke Panggung Eksperimen ASWARA untuk menonton Makyong. Punyalah teruja aku nak tengok pasal pengarahnya bukan lagi yang selalu tu, tapi pembantunya. Kira naik pangkatlah, pembantu jadi pengarah dan pengarah lak jadi penasihat. Aku dah dengar macam2 haru-biru sebelum show. Antaranya, produksi budak2 tahun 3 kali ni dibahagikan kepada 3. Tak macam tahun2 sudah yang ada 1 produksi saja. Ceritanya pun bersambung2... kira 3 malam tu bukan cerita yang sama la. Macam2! Bila dah menonton, aku jadi sesat. Apa punya Makyong ni? Kata Epool, member aku,


"Diorang buat Makyong avant-garde kot, N!"


Rupanya dia pun fikir benda yang sama dengan aku. Yelah, masa produksi Makyong kami tahun lepas tak adalah buruk sampai macam ni sekali. Bayangkanlah, bila dah 3 produksi bawa cerita yang berbeza (walaupun bersambung2) cukup untuk memeningkan kepala khalayak. Ni watak yang mana? Siapa pula dia ni? Macam2 la persoalan yang timbul! Cara mereka menari pun keras semacam (mana taknya, lelaki kena menari tarian perempuan) sebabnya untuk Produksi Muzik pada malam kedua, tak cukup perempuan! Bayangkanlah! Malam pertama untuk Produksi Filem dan Tari pula, merayakan pondan! Pening... pening... pening! Malam ni pula, Produksi Penulisan dan Teater. Tapi aku kena kerja. Tak boleh pergi tengok. Satu hal yang buat aku terkilan, adalah set. Semua pun sedia maklum, Makyong tak memerlukan set yang macam2 seperti Bangsawan. 3 perkara yang paling utama adalah bulatan, tempat pemuzik dan tempat jong dondang. Paling penting sekali tentulah bulatan! Selalunya orang lukiskan bulatan tu cantik2... ini tak! Lukisannya terlalu simple. Macam buat nak tak nak saja. Satu lagi, suara pelakon. Satu apa pun tak dengar. Macam bercakap sesama sendiri saja. Aduh! Tekanan betul. Jong dondang pun satu hal. Seluruh pelajar tahun 3 yang tak berlakon pergi jadi jong dondang. Bunyi suara diorang pun dah bergema satu panggung. Bingit! Pulak tu, duduk bergurau senda, bersembang, keluar masuk sesuka hati... oi, hormatlah sikit pada khalayak yang tengah tengok awak ni! Aduh, tak dapat nak cakaplah! Kecewa rasa hati... Paling penting, aku tak salahkan pelakonnya... pasal diorang dah buat yang terbaik! Siapa yang salah, sendiri mau ingatlah...!

p/s : Mungkin betul cakap Epool! Diorang buat Makyong avant-garde agaknya!

Monday, April 6, 2009

Bukan Milikku...!

Saat kau padamkan namamu dari hatiku
Saat itulah kau menarik keluar jantungku dari tempatnya
Saatnya degup tidak lagi bererti...
Kosong!

Dimensi 143 ini telah mati
Ruang Ai ini telah lampus
Bersama jantung yang tertarik keluar...
Kematian!

Hari majlis pengkebumian berlangsung
Kau tidak mengisi ruang yang kosong
Lalu aku langsung...
Rentung!

Lagenda Negeri Atas Angin!

Hari ini aku mahu bercerita lagi. Kali ini, Hikayat Si Ego dan Si Tolol! Tersebutlah kisah di sebuah kerajaan Atas Angin, terdapat seorang Sultan, Tuah dan Jebatnya. Tuah seperti biasa, dalam mana2 kisah pun akan tetap memegang watak Si Tolol yang menjilat bontot! Sultan juga seperti biasa akan jadi Si Ego yang hanya tahu memberi dan mengungkit. Si Jebat juga tak ada bezanya, tetap menjadi pemberontak jalanan yang cuba mencari dan menegakkan kebenaran.
Tuah telah dihukum kerana mendapati beliau telah melakukan kesalahan. Lalu Jebatlah yang sentiasa berada di sisi, menemani dan memberikan kata-kata semangat. Oh, pada ketika ini Tuah marah benar pada Sultan. Katanya, Sultan telah mencemarkan maruahnya. Sultan tak adil kerana menghukumnya begitu sedangkan selama ini beliau telah taat setia benar terhadap Sultan. Kenapa Sultan melayan beliau begini?
Mendengarkan rintihan Tuah, darah panas Jebat segeralah menggelegak. Lalu Jebat tekad melangkah ke istana demi menuntut bela atas maruah Tuah yang kononnya telah dipermainkan. Melangkahlah Jebat bersama Dang Wangi. Tetapi, alangkah sakitnya hati Jebat apabila sampai sahaja di istana. Tuah sedang bergelak tawa bersama Sultan. (Sebenarnya Sultan sahaja yang bergelak tawa sedangkan Tuah sedang menjadi badut sarkis dan membuat lawak-lawak bodoh). Apabila ternampak sahaja Jebat, Tuah segera memohon ampun ke bawah duli untuk beredar seketika lalu menarik Jebat di balik sebuah pohon.
"Apa ni, Tuah? Kau cakap marahkan Sultan sebab hina kau?"
"Sultan dah berbaik dengan akulah, Jebat. Dia dah cakap elok2 dengan aku. Aku tak bolehlah nak marah2 lagi."
Jebat tetap Jebat! Peduli apa Tuah dah lembut hati?! Jebat pun tetaplah bersemuka dengan Sultan. Sultan yang diserang Jebat dengan pertanyaan yang bertalu-talu itu teruslah kelu lidahnya. Sultan pun tetap Sultan juga! Menjawablah baginda dengan jawapan2 tipikal yang tak boleh diterima dek akal yang waras. Jebat mulalah nak mengamuk. Tetapi alangkah ironinya apabila Tuah segera membela Sultan.
"Aku faham perasaan Sultan. Baginda tengah bengang masa tu..."
Meluat betul Jebat dan Dang Wangi dengan jawapan bodoh si Tuah tu. Lama2, Jebat malas dah nak melayan makhluk dua orang ni lalu Jebat tikam sahaja kerisnya ke dada Tuah dan Sultan sekaligus. Menyampah sangat dah! Lalu pulanglah Jebat dan Dang Wangi ke kediaman mereka lalu hiduplah mereka berdua aman damai dan bahagia hingga ke akhir hayat.
p/s : Ada ke hikayat macam ni? Tepuk dahi, tanya kawan2 yang tahu...

Friday, April 3, 2009

Kata Seorang Lelaki!

Kata seorang teman yang kupanggil sebagai Mr. KK, "bukan rupa paras atau bentuk badan yang dipandang, sebaliknya sopan santun dan elok perangai yang membuatkan hati berkenan." Aku terasa sentap ke hulu hati. Bondaku yang tercinta, selalu berkata demikian kepada aku. Hal ini adalah kerana aku ini bersifat 'jantan' benar! Mana tidaknya, adik-adik dan abangku adalah lelaki. Jadi aku membesar dalam dunia yang penuh kasar secara tidak langsung. Bonda selalu menegur cara jalan, cara bertutur dan juga perlakuan aku. Katanya, nak harapkan rupa memang kuranglah (namun aku bersyukur kerana masih sempurna). Jadi sikap dan tutur yang sopanlah yang dipandang orang. Aku selalu pekakkan telinga bila bonda bercakap. Dah aku memang macam ni, nak berubah jadi perempuan Melayu terakhir macam mana? Tapi, bila hari ini, Mr. KK juga katakan hal yang sama gara-gara aku marahkan mamak roti canai yang acuh tak acuh melayan kami (juga kerana aku hampir menumbuk mamak 'tu), aku terfikir kembali kepada kata-kata bonda. Aku akui, aku memang kasar serba-serbi. Mungkin sebab tu ramai yang kurang gemar berdamping denganku. Tapi, perlukah aku berubah? Sayu juga rasa hati...

Wednesday, April 1, 2009

Sebuah Cerita Luka 2...

Pernahkah kalian mempunyai teman yang kalian fikir sudah cukup memahami kalian, tetapi ternyata kalian silap?! Mungkin pernah, mungkin juga tidak. Untuk apa kita berteman? Barangkali untuk berkongsi susah senang... atau juga barangkali untuk memastikan yang kita tidak bersendirian di atas muka bumi ALLAH ini. Semua orang mempunyai pandangan tersendiri. Untuk aku, teman-teman adalah anugerah-NYA. Aku sentiasa berusaha untuk menghargai teman-teman di sekeliling. Kadang-kadang aku terlajak menghargai sehingga terlanjur mengasihi. Mengasihi dengan perasaan yang paling halus. Aku lebih rela hilang kekasih... hilang kekasih, teman masih ada di sisi. Tetapi, kalau hilang teman? Apa lagi yang tertinggal...?
Semalam, aku terasa seperti tertusuk duri. Sakitnya, Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Di mata seorang teman, aku dilihatnya begitu rendah. Jahat benar aku merasakan diri ini. Lama sudah bersama. Lama sudah berkongsi susah senang... tetapi ternyata tempoh selama itu masih belum cukup untuk kami saling mengenal dan memahami. Aduh! Sakitnya terasa merunjam hati.
Sejak semalam... aku jadi sedikit fobia untuk berteman lagi. Kukatakan begitu kepada adik comelku, Mimie. Aku tak sanggup lagi mengasihi teman-teman dan kemudian dilukai begini. Kata Mimie, janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Lagi katanya, aku barangkali tidak perlu rawan hanya kerana teman seperti itu. Mungkin Mimie benar... aku akui itu. Namun lukanya masih terasa. Untuk teman-teman, ikhlas kukatakan demi Tuhan! Aku tidak pernah terfikir untuk membawa kalian ke suatu jalan yang merosakkan. Aku jujur bersahabat dengan kalian tanpa ada niat untuk mengkhianati kalian. Jangan hukum aku begini hanya kerana aku mengasihi kalian. Mengertilah... jangan lukakan aku begini....

Monday, March 30, 2009

Sebuah Cerita Luka...

Hari ini aku ingin bercerita. Di sebuah tempat yang tinggi, terdapat sebuah rumah kecil yang didiami oleh lima orang gadis. Rumah kecil ini dianggap seperti syurga untuk mereka lalu mereka berlima menamakan rumah tersebut sebagai Heaven House. Di sini, mereka berlima hidup aman damai seperti adik beradik. Namun penghuni kedua rumah ini yang bernama Si E, selalu sahaja bersikap menyinggung perasaan teman-teman yang lainnya. Pada Si E, beliau sentiasa berada di pihak yang benar. Si E pernah berkata begini kepada Si W,
"Kak W, akak ambil gambar macam ni dah nampak macam pelacur!"
Padahal, Si W cuma possing atas katil dengan memakai singlet sahaja. Apalah yang nampak macam pelacurnya? Bukan ada jantan pun atas katil tu! Sentaplah hati sekalian teman-teman lain yang ada semasa Si E berkata demikian, terutamanya Si M dan Si N. Kerana Si W adalah kakak kepada Si M. Pada suatu hari yang dingin pula, Si E berkata begini kepada Si M dan Si N,
"Korang berdua ni tak merangsang kita untuk belajar! Tak macam masa kita duduk dengan Si Kak R..."
Sentaplah pula nurani Si M dan Si N. Apalah yang mereka berdua buat sampai Si E perlu mengeluarkan kenyataan seperti itu? Si N dan Si M tak nafikan yang mereka berdua belajar tak segigih Si E, tetapi setahu Si N dan Si M, mereka berdua tak pernah pun menganggu Si E belajar. Tapi tak apalah, demi teman yang dah dianggap seperti adik-beradik, tak inginlah mereka berdua bertengkar dengan Si E. Setelah hampir setahun, tinggal bersama... Si E akhirnya membawa diri ke pertapaan. Beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajarannya. Beliau tak mahu tinggal di rumah, sebaliknya tinggal di sebuah gua yang dihuni oleh 6 orang lagi ( ini kerana di rumah tinggal Si N dan Si M yang tidak merangsangnya untuk belajar ). Tak apalah... tinggallah mereka berempat di Heaven House mereka. Pada suatu hari, pulanglah Si E ke rumah untuk menjenguk teman-teman yang ditinggalkan. Namun, apabila mendapati suatu tragedi telah terjadi ( pada pandangannya seorang sahaja ), mengamuklah Si E tak terhingga. Kononnya, teman-teman yang ditinggalkannya telah berbuat cemar. Melakukan suatu perkara yang menyusahkan orang dan menyusahkan masyarakat sahaja. Sehinggakan pada Si E, kalau tak ada kawan-kawan macam Si H dan Si N pun tak apalah! Si N dan Si H bukan kawan-kawan yang boleh membawa Si E ke jalan yang baik! Si M yang tak ada kena-mengena pun dapat tempias yang sama. Kasihan Si M. Kasihan lagi Si H dan Si N. Rasanya tak kena Si E mengamuk begitu. Kata Si E,
"Kenapa korang buat macam ni. Kenapa korang sanggup buat macam ni?"
Si N dan Si H bingung terus. Adakah mereka berdua hisap dadah? Ataupun adakah mereka berdua pergi melacurkan badan? Sampai Si E mengamuk gila begitu. Si M yang tak ada kena mengena pun jadi bingung. Si E kata, masalah Si N dan Si H kecil sahaja kalau nak dibandingkan dengannya. Pada Si N pula, masalah mereka berdua lagi berat dari masalah Si E. Sebenarnya Si E tak ada masalah pun! Masalah Si E sengaja dicipta oleh dirinya sendiri. Ibu lebih agung... lebih besar dari semua yang manusia ada. Si E tak nampak tu. Pada Si N, Si M, Si H dan Si W, Si E memang buat pilihan yang salah. Si E selalu rasa dirinya betul. Tapi Si E salah... salah sebab taknak akui dan sedar yang beliau juga buat salah. Si H anggap Si E macam kakaknya sendiri, sampai sanggup ceritakan rahsia terbesar dalam hidupnya kepada Si E kerana Si E janji akan menyimpannya sampai mati. Tapi belumpun Si E mati, beliau dah pun ceritakan rahsia tu pada Si N dan Si M. Tergamak Si E! Kasihan Si H... kerana salah percaya pada orang!!! Si E ada kawan baik, namanya Si S. Si S ni punyalah anggap Si E ni sebagai kawan yang paling baik dalam dunia tapi di belakang Si S, Si E mengutuknya depan Si N, Si M, Si H dan Si W. Ada ke? Paling menyakitkan hati, Si E dah janji yang semua hal dalam Heaven House takkan di bawa ke luar, tapi Si E siap tulis dalam blog lagi pasal hal ini! Mana perginya janji2 Si E? Jujur ke manusia yang bernama Si E ni? Kawan-kawan sentiasa jaga maruah Si E, tapi Si E? Jaja maruah kawan-kawan kat dalam blog! Si E cakap kawan-kawan tak boleh bawa Si E ke jalan yang baik. Bila Si N dan Si M tengok tv dari lewat malam sampai pagi, pernah ke kami ajak Si E skali? Tidak bukan? Bila pagi pernah ke mereka berdua sampai ponteng kelas sebab terlalu mengantuk? Tidak bukan! Kalau Si N tak pergi kelas sebab tak sihat, pernah ke Si N ajak Si E ponteng sekali? Tidak bukan! Malah, Si E yang selalu ponteng kelas sebab malas, fikiran terganggu dan bila putera Si E datang! Bila Si H dan Si N ambil benda tu, pernah ke kami buat depan Si E atau ajak Si E join sekali sebab Si E pun pernah ambil juga! Pernah ke? Tidak bukan! Bila Si E tak ada idea, bukankan Si N dan Si M juga yang sama-sama berfikir dan menyumbang idea untuk Si E?! Bukankah Si N yang selalu tolong Si E buat tugasan dengan buah fikir ataupun melalui pinjaman buku pusaka kuning tu? Bukankah?! Jadi bagaimana lagi Si E boleh tergamak mengatakan yang kawan-kawan ni tak membawa Si E ke jalan yang baik? Sampai hati Si E!!! Fikirlah, Si E... Si E pun pernah ambil benda tu jugak. Si E pun pernah jadi jahat juga! Adil ke untuk Si E hukum kawan-kawan macam ni? Fikirlah, salah ke betul apa yang Si E buat ni? Sedarlah Si E... kawan-kawan sedang luka kerana tinta airmata Si E...!
KEPADA SI E... JANGAN ASYIK NAMPAK KUMAN SEBERANG LAUT SAMPAI GAJAH DEPAN MATA PUN TAK NAMPAK.

Saturday, March 28, 2009

Topeng


Kujejaki, lingkungan baru…
Kugalasi; tas berisi
Topeng-Topeng!

Ada rupa ria, bidadari syurga mempersona
Ada rupa duka, malaikat maut menerjah
Ada rupa yang membuatkan aku berwajah dewa
Ada rupa yang menjelmakan aku iblis berwajah

Kukembali, garisan lama…
Kudibebani; tas berisi
Topeng-Topeng!

Coretan Kecil Untuk Guru Yang Besar Jiwanya...!

Aku punya seorang guru. Namanya En. MRH. Beliau ku kenali dengan cerita-cerita negatif sehinggakan semasa di tahun pertama pengajian, melintas kamarnya pun aku geruni. Tetapi semasa terlibat di dalam pengurusan acara Malam Puisi di tahun kedua, aku mula mengenali beliau secara dekat. Ternyata, cerita-cerita yang aku dengari selama ini hanya omong kosong. Beliau seorang pensyarah yang tegas, lekas terusik namun berpendirian dan kata-katanya selalu sahaja menyentap hati. Namun aku gagahi juga menahan telinga dan menapak selalu ke kamarnya. Walaupun kata-katanya selalu kasar, namun aku dapat menangkap maksud di sebaliknya dan kadang-kadang terselit di situ penghargaan untukku ( walaupun selalunya tidak secara langsung ). Selalu juga aku mendengar sindiran dari teman-teman yang mengatakan aku anak emaslah, kaki bodeklah dan macam-macam lagi. Aku tetap tak peduli! Semuanya kerana aku tahu, apabila bersamanya, aku mengenal jiwa yang tidak bermuka-muka, suara yang tidak hanya mengatakan yang sedap-sedap sahaja dan juga cetusan yang selalunya menyemarakkan jiwa. Lalu, setelah banyak hari berlalu dan setelah bulan berganti... aku senang menyanjungnya sebagai seorang guru yang menunjukkan kepada aku suatu sudut kecil dunia yang lain. Martabatnya aku sanjung sebagai seorang abang yang memimpin adik kecilnya melangkah menuju ke hadapan. Untuk guru yang aku kenang sebagai abang besar, jasamu mengajar aku erti kehidupan dan bagaimana untuk mengejar cita. Lalu aku selitkan untukmu sebuah penghargaan kecil yang besar nilainya kerana kau menyuluhkan padaku erti sebenar lingkungan yang cuba aku pegang ini. Salam terima kasih!

Tuesday, March 24, 2009

Salam Tahniah!

15 Mei 2005 adalah tarikh keramat di mana aku diterima sebagai mahasiswa di sebuah institusi pengajian kesenian dalam bidang yang cukup aku minati. Aku bercita-cita besar ingin menjadi seorang penulis yang sedia untuk berdiri atas keyakinannya. Di sini, aku bukan sahaja menemui impian, harapan, keinginan... malah aku mengenal setianya persahabatan. Aku mengenal seorang kakak yang tegas dan manis, seorang abang yang lucu, tiga orang adik yang manja dan riang serta seorang teman yang sentiasa bergelumang dengan persoalan. Aku berkongsi kehidupan dengan mereka. Walaupun pernah datang suatu ketika di mana persahabatan kami tercalar dengan pertelingkahan namun aku masih mengasihi mereka dengan perasaan yang paling halus. Walaupun aku sarat menanggung beban terkilan, namun aku gagahi juga untuk menapak ke Dewan Kuliah Utama untuk sama berkongsi detik mereka membentangkan projek akhir. Namun aku tewas untuk menahan beban perasaan yang maha sebak dan pilu lalu gagal menghadirkan diri semasa mereka mengecap nikmat bahagia berkonvo. Maafkan aku... kerana tak mampu melihat kalian segak dengan jubah dan menggegam segulung diploma. Salam tahniah aku bingkiskan... buat teman-teman yang tak pernah luput di ruang ingatan....
--> Shahaini Aizan Md. Zahar, Nurjihadah Baharuddin, Fatimah Sri Anas Putri, Noorisalwa Ahmad Nadzri, Roydy Anuar Eddy Sauly dan Haironizan Mohd Idris... tahniah kerana telah bergelar graduan! Maafkanlah... andai masih ada sisa kemaafan....

Sunday, March 8, 2009

Kepulangan...

Jumaat lalu, aku disentap keras dengan berita kepulangan guruku, Tuan Haji Zubir Ali ke alam yang satu lagi. Terasa begitu walang kerana tidak sempat bersua muka dengan arwah untuk kali yang terakhir. Zubir Ali adalah seorang guru yang cukup istimewa. Sifat merendah dirinya begitu menebal dan kasih-sayangnya kepada kami terasa cukup lembut membelai, persis seorang bapa. Malah, setiap kali tibanya syawal... arwah tidak akan pernah lupa untuk membalas ucapan selamat yang dihantarkan kepadanya selain bertanya khabar. Apa yang aku pasti, syawal tahun ini pastilah sepi tanpanya... Sebak rasanya dada bila mengenang. Kepada guruku yang terhormat, hanyalah sekalung Al-Fatihah yang mampu kukirim untukmu. Doaku semoga kau tenang di alam pengabadianmu... Amin!

Sunday, March 1, 2009

Pertemuan Kembali!

Hari ini tak dapat untuk aku memperjelaskan betapa gembiranya aku. Sejak semalam aku bersama teman yang sudah kuakui sebagai adik sendiri, di mana beliau datang bertandang ke teratakku. Banyak yang kami kongsikan bersama setelah hampir empat bulan tidak bertemu. Separuh beban perasaan dalam jiwa juga habis terbang bersama angin. Kadang-kadang, bila di kenang-kenangkan, masa adalah musuh perhubungan. Dulu hubungan kami cukup akrab. Sekarang masih juga akrab, cuma hijab kesibukan bekerja dan membina hidup terbentang luas di hadapan kami sehingga membataskan pertemuan dan kemesraan. Sudah agak lama aku tidak bersua muka dengan teman-teman lama. Jelasnya teman-teman sedang berhempas-pulas dikejar kesibukan sedang aku sedang berhempas-pulas pula mengejar dateline PeTA. Barangkali tidak mengapalah, aku hanya mampu berdoa semoga apa yang sudah sekian waktu terjalin, takkan pupus begitu sahaja dimamah jarak dan waktu. InsyaAllah...
p/s: Untuk 'beliau' yang sudi bertandang dan menghalau walang, aku ucapkan salam terima kasih dan kasih sayang.