Wednesday, March 27, 2013

Sembilu Dalam Dada


SUSAH nak pujuk hati sendiri bila sembilu yang paling bisa tiba-tiba terbenam dalam dada. Apa boleh buat, aku ini memang sentiasa diselubungi dengan rasa yang maha kurang enak. Kata orang, apalah hidup dan pekerjaan tanpa masalah. 

Ia. 

Ia memang benar yang tidak aku tidakkan. Tapi kalau sudah terasa bagai teraniaya benar, aduhai... macam mana mahu kupujuk hati ini lagi?

Aku macam tak nak membebel panjang-panjang. Takut nanti lain pulak jadinya. Apa yang boleh aku katakan, kepada kawan-kawan yang sudi mendoakan dan tidak putus-putus memberikan sokongan, dukacita aku maklumkan yang Menunggu Nuraga dari Tuhan masih perlu menunggu. Ia tidak akan diterbitkan dalam masa terdekat ini.

Sekian.

Tuesday, March 12, 2013

Belas Kasih Tuhan


SYUKUR, alhamdulillah... setelah melalui penantian panjang untuk menunggu lahirnya baby sulung aku, akhirnya hujung bulan ini (in shaa ALLAH kalau tiada aral) ia akan keluar. Huhuhu~ Kalau orang mengandung, aku rasa dah bukan bunting kerbau lagi, ini memang dah bunting gajah! Hampir 3 tahun naskah ini 'bertapa' dalam gua, diperam semasak-masaknya. Alhamdulillah, sayapnya sudah kering dan sudah boleh membebaskan dirinya untuk terbang.

Adakalanya dalam melewati hari-hari dalam kehidupan lewat kebelakangan ini, aku jadi lupa dan kadang-kadang sesat. Tak tahu arah mana nak dituju. Hari ini, masuk hampir 3 tahun selepas hari terakhir aku bergelar mahasiswa. Aku sentiasa sedar, hidup ini takkan pernah mudah. Kerana itulah ALLAH SWT mengurniakan kita akal dan jiwa. Cuma itulah. Kita ini manusia yang tidak kamil. Kita ini manusia yang selalu khilaf.

Kamil Hijrah-Mu.

Naskah yang bertungkus-lumus aku tukangi demi Projek Tahun Akhir (PeTA) sebagai prasyarat untuk bergelar graduan Diploma Penulisan Kreatif (Pentas dan Cereka). Benar, novel setebal 360 m/s ini masih mentah. Walaupun sudah hampir 3 tahun ia diperam, namun mentahnya masih belum masak-masak juga. Hahaha~ Inilah natijah kelalaian aku. Aku kira tak mengapalah, in shaa ALLAH untuk novel yang kedua dan seterusnya nanti, aku akan berusaha dengan lebih tekun untuk memasaknya. Dengan harapan supaya ia boleh dihadam dengan baik oleh khalayak yang mahu menghadamnya (amin!). Semoga aku tidak akan berhenti. Amin, Ya-Rabb.

Seperti kebanyakkan manuskrip lain yang melalui sebuah perjalanan yang disebut 'proses', Kamil Hijrah-Mu juga telah berubah (diubah?) dengan memakai judul yang baru. Judul yang baru ini secara rasionalnya dilihat lebih mempunyai potensi yang bagus. Apa kata anda? ^_^

Menunggu Nuraga dari Tuhan.

Alhamdulillah. Setiap kali menatapnya, aku terasa diri bagaikan disihir dengan semangat yang baru. Di dalam naskah ini terkandung kenangan zaman terindah, ajaran guru, konflik diri, impian sepanjang hayat dan separuh nyawa-jiwaku yang telah aku tinggalkan. Untuk sesetengah orang, ia hanya sebuah novel kaku. Untuk aku, seluruh rasaku telah aku pertaruhkan bersamanya. Semoga mata penaku akan sentiasa basah dalam ingatan.

Untuk 'Guru yang Mengajar Aku Bagaimana Untuk Memanggil Masa Lalu', aku ucapkan terima kasih setinggi langit biru. Aku masih di sini, mempertahankan ini, kerana kau pernah menyihirku dengan kata-kata ;

"Biarpun tidak menjadi sasterawan negara, asalkan jangan melangkah keluar dari dunia penulisan ini juga sudah tidak apa..."

Terima kasih. Hutang budi ini kubawa mati.

* * *

"Aku tak sabar hendak menjadi dewasa... barangkali kerana aku mahu bebas" - Azad Ahmad Firjani

"Tidak! Aku tak pernah menyalahkan kau tentang apa yang berlaku. Percayalah... kita bertiga sama-sama bersalah!" - Abdul Rasydan

"Aku katakan bahawa sengsara itu cinta... dan cinta itu penakluk jiwa. Keindahan dan emosi yang menghidupkan jiwa manusia." - Wan Muhammad Wazien

- Menunggu Nuraga dari Tuhan -

Tuesday, February 26, 2013

Teringin


ASSALAMUALAIKUM. Tulis ni entri ni sebab nak bagitahu satu perkara. Teringin sangat nak jumpa budak ni. Teringin sangat-sangat.

Itu saja. Sekian, terima kasih.

p/s : Nama dia, Muhammad Nor Iman Bin Muhamad Shamzie. Alhamdulillah.

Thursday, February 21, 2013

Hydra... Macam-Macam Hal!


TAHUKAH anda apa itu Hydra? Lernaean Hydra merupakan sejenis makhluk dalam Mitologi Greek kuno yang merupakan tugasan kedua dari 12 Tugasan yang perlu diselesaikan oleh Heracles (atau Hercules). Hydra merupakan sejenis reptilia menyerupai ular gergasi (ada sesetengah berpendapat ia lebih menyerupai naga) yang mempunyai lima kepala. Sekiranya satu kepala dipancung, ia akan tumbuh semula menjadi dua. Inilah cabaran yang dihadapi oleh Heracles apabila dia memancung kelima-lima kepala Hydra, setiap satunya tumbuh semula dalam kiraan dua, menyebabkan Heracles terpaksa melawan ular gergasi (atau naga) yang berkepala sepuluh!

Kenapa aku bercerita tentang Hydra?

Sebenarnya, aku terasa seperti sedang menjadi Heracles yang sedang menentang Hydra. Masih ingat lagi tentang En. Burung yang pernah mengganggu ketenteraman kami di rumah, dan telah mati baru-baru ni? Ya, En. Burung sudah kembali.

Satu mati, dua kembali!

Seperti Hydra (ya, mungkin ia bukan sengeri naga dan ular), En. Burung yang telah mati seekor, telah datang kembali, kali ini dua ekor. Aku sendiri pun pelik dengan hal ni. Tak taulah sampai bila kehidupan kami akan diganggu oleh burung-burung.

Ada dua pendapat dari kawan-kawan tentang hal ini. Satu berbunyi agak mistik ; mungkin burung-burung ini membawa sihir. Satu lagi lebih realistik ; mungkin atap rumah kami ni tempat mereka bersarang. Cuma apa yang peliknya, semasa En. Burung 1 masih hidup, hanya ia seekor saja yang datang. Berlegar-legar di dalam kamar mandi dan seputar mandala dapur. Kini datang pula En. Burung 2 dan En. Burung 3, juga berlegar di kamar mandi dan dapur.

Entahlah... aku lebih senang menerima pakai pendapat yang kedua. Barangkali mereka bersarang. Apa pun, aku harap mereka takkan kembali lagi.

Tuesday, February 19, 2013

Belahan Jiwa... Alhamdulillah


SYUKUR alhamdulillah... tiada lain yang mampu aku katakan melainkan memanjat sepenuh kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT. Dengan izin dan kasih-sayang-NYA, kakak iparku telah selamat melahirkan cahaya mata belahan jiwanya semalam, pada tanggal 19 Februari 2013, tepat jam 03.03 petang.

Anak lelaki sulung sekaligus merangkap cucu sulung dalam keluarga Shamsudin Ismail.

Aku sangat gembira sehingga rasa nak pulang ke kampung menjenguk anak buah tersayang. Malangnya, aku terpaksa berseminar pada hujung minggu ini. Haizzz... hampa. Tak mengapalah, nanti Mak Ngah akan jumpa jugak. Huhuhu.

Selamat datang, wahai anak. Kami sambut kau dengan tangan terbuka. Kami sambut kelahiranmu ke dunia dengan jiwa bahagia. Semoga jalan hidupmu berada di laluan yang benar dan segala kegembiraan dalam dunia ini menjadi milikmu. Amin, Ya RABB.

Tuesday, January 15, 2013

Sebuah Kematian

Lebih kurang macam ni. Tapi hitam keseluruhan. Takde kuning.

HARI ni aku terasa nak berkongsi tentang satu hal yang aneh, melanda aku lewat beberapa bulan ni, dan kemuncaknya adalah pada dua hari yang lalu. Apakah halnya? Seperti yang beberapa orang maklum, aku telah berhijrah dari Subang ke Ampang. Rasanya masuk bulan ni, masuk 10 bulan aku tinggal di rumah baru di Ampang. 

So?

Apa yang nak aku kongsikan di sini ialah, rumah yang aku duduki sekarang agak aneh. Semua orang tau rasanya, Ampang adalah kawasan yang berbukit-bukit. Jadinya rumah aku pun terletak di celah-celah bukit. Jadi apa yang anehnya?

Sejak tinggal di sini, aku tak adalah mengalami gangguan yang serius. Cuma, yang 'ba... ba... cak' tu adalah. Ada satu ni yang paling klasik, kehadiran seekor burung berwarna hitam dan berekor panjang di dalam bilik air dan dapur rumah. Burung yang sama, dia akan datang 'melawat' kami sekali sebulan.

Kawasan dia berterbangan hanyalah dalam bilik air. Paling-paling pun dia akan masuk dapur. Tak pernah dia masuk ke ruang tamu. Aku seriusnya memang tak tahu kenapa dan apa motif burung hitam tu berada dalam bilik air kami setiap bulan. Apa yang aku tau, kami bertiga tak suka dan tak mengalu-alukan kedatangan dia. Aku memang jenis tak suka binatang yang melompat dan terbang. Aku cepat terkejut.

Nak dijadikan cerita, dua hari yang lepas, masa aku tengah sibuk mencuci baju dalam bilik air bertuah tu, si burung ni datang lagi. Beterbangan atas kepala aku. Tiba-tiba dia masuk ke celah kolah. Tak kelihatan. Aku pun tabahkan hati sudahkan cucian dan terus mandi cepat-cepat. Kebetulan bila aku keluar dari bilik air, housemate aku nak mandi pula. Aku pun bagitahu dia pasal 'tetamu' kami tu. Dia ni berani sikit (pasal dia lagi lama dah berkenalan dengan En. Burung tu). Dia pun kalihlah kolah demi menghalau En. Burung keluar. 

Apa yang jadi?

OMG! En. Burung dah mati! Mati! Aku memang terkejut. Siap housemate aku tu boleh tanya ;

"Akak pukul dia ke?"

Tidak! Takkanlah aku nak buat perbuatan terkutuk tu. Selama ni pun kami halau En. Burung dengan cara melibas-libas manja penyapu ke arahnya. Tak kena dia pun. Memang pelik bila tengok dia tiba-tiba mati macam tu sedangkan baru 10 minit tadi dia beterbangan atas kepala aku. Hmmm... bila aku cerita pada Si Bulat. Mudah saja jawabnya ;

"Baguslah dah mati. Tak adalah dia datang lagi nanti."

Hmm... kadang-kadang bila aku tengok En. Burung yang mati secara tiba-tiba tu, aku terfikir, kematian memang boleh datang bila-bila masa saja. Kebelakangan ni pula, aku banyak menerima khabar kematian dari kenalan. Oh! Aku terkenang kata-kata Ustaz Wan (ustaz jemputan khas untuk sesi rohani di Pekan) ;

"Kita ni dah bersedia ke untuk mati? Sedarkah kita, apabila kita lahir saja ke dunia ni, jambatan ke neraka dah tersedia untuk kita. Jadi, misi kita hidup di dunia ini adalah untuk membina jambatan ke syurga. Terfikirkah kita pada hari ini, dah sampai mana progress kita dalam membina jambatan ke syurga? Usahkan jambatan, entah-entah skru untuk buat jambatan pun belum ada, apatah lagi tiang! Macam mana pulak dengan jambatan ke neraka kita? Sudahkah kita robohnya sedikit demi sedikit ataupun rupa-rupanya kita hari-hari duk upgrade, besarkan, lebarkan dan kukuhkan jambatannya?"

Oh! Dalam tak sedar, kematian semakin menghampiri. Bersediakah kita menghadapi mati sedangkan kematian sentiasa bersedia untuk menghampiri kita?

Nota tangan : Belangsungkawa buat Allahyarham Hafiz Untong (kenalan ASK), Allahyarham Muhammad Adil Hanis (abang teman di MIG) dan Allahyarham Uncle Razali (BOD Pekan) atas pemergian mereka ke rahmatullah. Selamat berangkat ke negeri yang abadi. Al-Fatihah.

Monday, January 7, 2013

Ratu


ALHAMDULILLAH. Tahun baru nampaknya memberikan permulaan yang baik buat aku. Syukur. Hanya itu yang berkali-kali termampu aku lafazkan di jiwa. ALLAH SWT yang berkuasa dan Maha Bijaksana lagi Maha Pengasih. Ini adalah rezeki daripada-NYA. Aku bersyukur.

Ingin tahu?

Insya-ALLAH, nanti sampai masanya, aku akan menguar-uarkan. Kawan-kawan sila doakan aku, ya? ^_^

Sunday, December 30, 2012

Mimpi... dan Aku


DALAM hidup ini, manusia hanya bisa bermimpi untuk menjadi atau mengecapi segala-gala yang diingini. Ada di kalangan kita yang berhasil mencapai mimpi-mimpi itu, maksud aku, menjadikan ianya nyata. Realis. Tidak tinggal bertamu di alam rasian semata-mata. Ada orang bermimpi di kala lena, dan ada yang bermimpi di sepanjang jaga (juga lena). Mimpi ini tidak habis. Tidak sekadar angan-angan Si Jenin. Ini mimpi yang menjadi impian. Cita-cita dan harapan.

Sang pemimpi.

Aku sebenarnya percaya, kita semua adalah sang pemimpi. Apa yang beda hanyalah, bagaimana dan ke mana mimpi itu membawa kita. Seumur hidup, aku cuma ingin menjadi seorang penulis yang mengembara melihat dunia. Selepas 26 tahun 2 bulan, di mana aku? Masih di tempat yang sama (Kuala Lumpur - Terengganu) dan belum lagi layak dipanggil penulis. Tak mengapa. Aku tak pernah memadamkan mimpi-mimpiku. Masih belum diannya kututupkan nyala sumbunya. Masih membara dan membakar seluruh ruang rasaku.

Aku.

Aku mengerti andai kebanyakkan orang-orang di sekelilingku memandang aku sebagai seorang pemimpi yang masih belum ketemu jalan keluar dari alam khayali. Tak mengapa. Apa yang ada di dalam jiwaku masih belum terusik. Tidak terluka malah sedikit pun tidak terguris jejas mimpiku. Ada kala, suatu hal yang kecil saja telah bisa membuatkan kita berasa kuat. 

Aku baru habis menelaah dan kemudiannya habis menonton sebuah filem Indo yang hebat. Sang Pemimpi judulnya. Lanjutan dari Laskar Pelangi hasil karya saudara Andrea Hirata. Dua lagi lanjutan bukunya iaitu, Edensor dan Maryamah Karpov sedang melambai panggil aku untuk menghadam mereka. Sabar, duhai harta-hartaku. Akan kubelai kalian satu-persatu. Aku terkesan dengan watak Arai (yang diperankan oleh Rendy Ahmad (remaja) dan Nazril Irham (dewasa) dalam filem). Katanya:

"Ayahku dulu sebelum meninggal pernah berkata, bermimpilah... dan Tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu. Tanpa mimpi, orang-orang seperti kita ini (miskin) akan mati!"

Aku juga terkesan benar dengan kata-kata watak Pak Guru, iaitu Pak Julian, yang mengajar seni dan sastera kepada anak-anak pelajarnya (yang digelar Sang Pelopor sepanjang waktu kuliah). Katanya:

"Ia bukan mengenai betapa besar mimpimu-mimpimu. Tetapi betapa besar jiwamu untuk bermimpi."

Sungguh. Sekiranya mimpi-mimpiku akan tetap kekal di alam rasian, tak mengapa. Sungguh tak mengapa. Bukan kerana aku tidak punya keberanian untuk menjadikan mimpi-mimpiku nyata dan bermakna. Tetapi aku yakin, jiwaku cukup besar untuk bermimpi. Dan melalui buku-buku iaitu hartaku, aku akan berhasil mengembara ke seluruh dunia.

Dan suatu masa nanti, sebelum aku menutup mata... aku akan menulis. Menulis tentang hidup. Menulis tentang mimpi.

Akan.

(Gambar-gambar adalah ehsan Google)

Waktuku kecil ku bermimpi
Bermain di bawah langit yang biru
Dengan cinta dan tawa

Hati kecilku pun melihat
Dunia tidak seindah di mata
Dan akupun berkata

Saatnya memberikan yang terbaik
Untuk hidup yang lebih baik

Jadilah engkau pahlawan cinta
Yang mewujudkan cinta di dunia
Jadilah engkau pahlawan mimpi
Yang mewujudkan mimpi yang tertunda

Tuliskan kisah cinta di hati
Agar kau tidak gampang menyerah
Jangan gampang menyerah

Walaupun rasanya surga terasa jauh

Saatnya memberikan yang terbaik
Untuk hidup yang lebih baik
(Nidji - Pahlawan Mimpi)

Wednesday, December 26, 2012

Ulangtahun Ke-33 Buat HirSham



ALHAMDULILLAH... hari ini 27 Disember 2012, 33 tahun telah berlalu selepas hari pertama ayahku menikahi bondaku. ^_^ Aku bersyukur ke hadrat-NYA kerana telah memperkenankan rumahtangga ayah dan bondaku bertahan dalam tempoh ini. Aku malah berdoa dengan bersungguh-sungguh pengharapan agar ia kekal bahagia sehingga ke akhirnya. Amin.

33 tahun. 12,045 hari lamanya kasih bersulam cinta berpadu bersama membentuk sebuah rumah. Aku mendoakan supaya di penghujungnya, mereka berdua akan tetap bersama. Insya-Allah. ^_^ Buat Shamsudin dan Zawahir a.k.a ayah dan bonda, angah ucapkan selamat berbahagia dan selamat ulangtahun.

Setiap titis airmata 
Setiap saat nan duka
Mengajar aku erti dunia
Tak ku lupa
Pengorbanan kehidupan 
Memikul beban di bahu nan selalu
Memberikan yang termampu

Ayahku
Terlalu menyayangi aku
Mendedikasikan hidupnya kepadaku
Dan ibu
Sentiasa ada bersama
Walau serendah mana aku
Dia tetap menjunjung namaku

Biar kubelai tanganmu
Yang telah di telan usia
Namun penuh berjasa mulia
Terlalu lama ingin kuluahkan rasa
Kesyukuranku di hati
Pada dua insan paling kusayangi

Dan aku berdoa
Semoga sejahtera selamanya
Hidup kita sekeluarga 
Di dunia dan selepasnya...
(KRU - Penjunjung Namaku)

Saturday, December 22, 2012

Ahad


HARI ini adalah hari Ahad dan saya sedang berhujung minggu di pejabat. Ada kerja yang memerlukan perhatian segera untuk disiapkan.

Oh, rupanya tanpa aku sedari, aku sangat suka bekerja. Huhuhu~

Terapi Muzik sedang dalam pengubahsuaian. Aku bekerja dengan ditemani oleh Arai (Rendy Ahmad dalam Sang Pemimpi) dengan alunan Fatwa Pujangganya.

Damai.


Thursday, December 20, 2012

Setelah 8 Tahun


8 TAHUN, bersamaan dengan kurang lebih 2920 hari lamanya kepala hotak aku ini telah berserabut dengan hal PTPTN. Pinjaman yang cuma berjumlah RM 5,000 itu terasa terlalu besar jumlahnya dan amat membebankan pembayarannya. Sungguh. Keseluruhan 5,000 yang diberi, tak ada 1 sen pun yang aku gunakan untuk bersuka-suka. Semuanya aku gunakan untuk menanggung pengajian. Mengambil kursus pertanian di UPM Kampus Bintulu memerlukan belanja yang cukup besar. Cukup besar.

Alhamdulillah. Hari ini aku sangat bersyukur kerana telah berjaya melunaskan pinjaman ini. Terasa satu beban besar dalam kepala hotak aku ni dah meringan sedikit. Total bayaran balik yang aku lunaskan dalam tempoh 8 tahun ini adalah sebanyak RM 5789.01. Wow! Jutaan terima kasih aku ucapkan buat bonda dan ayahanda tercinta yang banyak membantu aku dalam hal ini. Terima kasih.

PTPTN selesai, selepas ini aku akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membuat bayaran balik pinjaman Yayasan Terengganu. Pinjaman Yayasan memang berbaloi ye, kawan-kawan. Pinjam RM 10,500 dan jumlah yang perlu dibayar juga RM 10,500. Tiada bunga. Alhamdulillah, setakat ini aku telah berjaya melunaskan bayaran sebanyak RM 1,690. Baki lagi RM 8,810 akan dibayar selama 5 tahun ini secara ansuran bulanan. Selepas 2017, aku akan bebas dari hutang pinjaman pembelajaran. Insya-Allah.

Telah banyak wang ringgit yang telah dikorbankan oleh ayah dan bonda demi melihat aku berjaya menggenggam segulung diploma dan memperolehi kerja yang baik. Alhamdulillah. Aku hadiahkan diploma ini buat mereka. Insya-Allah, hari depan akan lebih baik.

Amin.