Tuesday, October 29, 2013

Ulangtahun


ALHAMDULILLAH, semalam adalah hari bahagia. 29 Oktober 1956, iaitu 57 tahun yang lalu, Shamsudin Ismail telah dilahirkan di Negeri Sembilan. 30 tahun selepas 1956 iaitu pada tahun 1986, beliau yang bernama Shamsudin ini telah menerima kelahiran seorang puteri yang bernama Mardhiah. Yang bernama Mardhiah itu ialah aku. Huhuhu~ dramatik betul. Aku cuma ingin meraikan hari ulangtahun di mana ayahandaku yang tercinta ini dilahirkan. Alhamdulillah, pada usia 57 tahun ini, beliau masih bersama kami. Masih menjadi bapa yang terbaik untuk kami. Masih dikurniakan ALLAH SWT dengan kesihatan dan ingatan yang baik. Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Mu duhai RABB. ^_^

Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-57, ayah. Terima kasih kerana menjadi bapa yang terbaik untuk seorang anak. Terima kasih kerana mendidik aku dengan ketegasan dan kasih sayang. Aku menghargai setiap pengorbanan yang ayah lakukan demi membesarkan seorang aku. Terima kasih kerana sentiasa di belakangku, menjadi kekuatan untuk aku melangkah ke hadapan. Aku tahu, aku takkan pernah rebah kerana ayah akan sentiasa ada untuk aku.

Maafkan aku andai masih belum menjadi anak yang terbaik untukmu. Apa yang boleh aku katakan ialah aku sangat mengasihimu. Semoga ALLAH SWT akan memanjangkan usia, murah rezeki, menyihatkan tubuh badan dan memberikan kasih-sayang yang sentiasa menggebu-gebu buat ayah dan kita sekeluarga. Amin~ 

29 Oktober juga merupakan ulangtahun ke-2 kepulangan abangku, Allahyarham Shahrul Anuar Ibrahim ke rahmatullah. Semoga abang tenang, damai dan berbahagia di sana. Amin~ Aku sentiasa akan mengenang kau di dalam ruang ingatan yang paling dalam. Aku akan menyusul, bang. Cuma tak tahu bila. 

Al-Fatihah~

Thursday, October 10, 2013

Salam Iduladha ^_^


ASSALAMUALAIKUM. Kita sudah berada di dalam bulan Zulhijjah yang penuh keberkatan. Berpuasa di hari-hari terawal di dalam bulan ini menjanjikan 1001 rahmat. Semoga kesemua kita berhasil memperoleh kasih-sayang daripada Yang Maha Esa. Amin.

Malam ini in shaa ALLAH aku akan berangkat pulang ke kampung halaman di Bandaraya Persisir Air bersama adik dan adik iparku. Semoga perjalanan kami akan dilindungi oleh ALLAH SWT dan sampai ke pangkuan ayah dan bonda tercinta yang sedang menunggu. Amin.

Ini adalah bersempena Hari Raya Iduladha yang bakal menghulurkan salam. Alhamdulillah. Ini adalah perayaan yang menuntut pengorbanan. Semoga kita semua akan dapat menabahkan jiwa dan berkorban demi rahmat dan kasih sayang-NYA. Amin.

Duhai Tuhan Rabbul-Alamin... kuatkanlah jiwa hamba, demi kecintaan kepada-MU wahai Tuhan, bawalah aku sentiasa dekat pada-MU... Amin.

Nota : Gambar ehsan Google.

Tuesday, September 24, 2013

Penyakit Psikologi


APA perasaan anda jika suatu hari anda ditakdirkan hidup serumah atau sekurang-kurangnya mengenali manusia yang mengalami penyakit psikologi atau mental atau jiwa? Adakah anda boleh menerimanya dengan lapang dada dan tangan terbuka atau anda cuba sedaya-upaya untuk lari daripada manusia-manusia ini?

Apa yang akan anda lakukan?

Ini adalah persoalan yang sukar untuk dijawab sebenarnya. Ya, memang bukan mudah untuk menghadapi manusia-manusia yang mengalami masalah sebegini. Dalam kata ringkasnya, ramai yang lebih senang melabelkan mereka-mereka ini sebagai GILA.

Ya, gila.

Kegilaan ini sebenarnya bermacam-mana. Terlalu suka membaca pun, gila juga. Dikatakan ia gila membaca. Jadi, sejauh mana isu gila ini serius? Aku berikan satu soalan di laman sosial Facebook yang berbunyi begini :

"Ceritanya begini : Pada suatu hari ibu saudara Ali meninggal dunia. Pada majlis pengkebumian itu, Ali terserempak dengan seorang gadis yang jelita. Ali tertarik dengan gadis itu namun malangnya dia tak tahu siapakah gadis tersebut. Esoknya, penduduk kampung gempar apabila mendapati bapa saudara Ali (iaitu suami arwah ibu saudaranya) pula meninggal. Rupanya arwah dibunuh oleh Ali.

Soalan : Mengapakah Ali membunuh bapa saudaranya?"

Biar aku terangkan di sini. Secara normal, kebanyakan orang akan menjawab sama ada gadis itu isteri kedua atau mempunyai hubungan dengan bapa saudara Ali. Tetapi soalan ini mempunyai jawapan kedua. Sesiapa yang memberi jawapan kedua ini selalunya tidak normal (atau lebih mudah dihukum sebagai gila.) Tidak normal yang bagaimana? Orang yang memberi jawapan kedua dikatakan 'Cenderung berpotensi untuk menjadi pembunuh'.

Oke.

Di sinilah saatnya aku menjadi paranoid. Sudah dua minggu aku tak cukup tidur @ tidur tak lena. Hati aku sentiasa berdebar-debar dan aku rasa aku dah jadi paranoid. Biarlah aku berterus-terang. Aku kini sedang berhadapan dengan rakan serumah yang memberi jawapan kedua itu. Aku tak menuduh dia sebagai pengidap penyakit psikologi hanya kerana sebaris soalan. Tidak. Aku tidak secetek itu. Ada beberapa perkara dan siri perbuatan beliau yang mengesahkan ada sesuatu hal yang tidak beres dengan mental atau jiwa beliau.

Aku sebenarnya tak tahu apa yang patut aku lakukan. Buat masa ini aku hanya mampu berdoa supaya beliau akan dapat bertenang sehingga aku berpindah. Janganlah pula kawan-kawan semua menuduh aku berpindah kerana terlalu paranoid dan takut dibunuh. Tidak sampai begitu. Kebetulan aku kini sudah bertukar kerja. Jadi bagus kalau aku mencari rumah baru yang lebih dekat dengan tempat kerja. Ia lebih menjimatkan.

Buat masa ni, paranoid aku cuma setakat pulang lewat ke rumah, berpura-pura riang dan melayannya dan akhir sekali mengunci pintu bilik apabila hendak tidur sahaja. Semoga mimpi ngeri ini akan berakhir selepas aku berpindah. In shaa ALLAH. Amin.

Hati, tabahlah. 

Nota : Gambar di atas di petik dari sini. Terima kaseh.

Tuesday, September 17, 2013

Hilang


KADANG-KADANG dalam hidup ni kita memang tak boleh nak dapat semua benda yang kita nak. Oleh sebab itu, kita kena belajar terima, redha, berdoa dan bertawakal di samping berusaha dengan apa yang kita nak. Betul? Tak kisahlah betul atau tak, yang penting sekurang-kurangnya itu yang aku percaya tentang hidup ni.

Manusia.

Adatlah kalau penuh dengan keterlupaan dan kesilapan. Itu normal. Asalkan jangan mudah putus asa dan jangan bangang sangat sampai mengulang kesilapan yang sama. Itu saja konsep kira-kiranya. Bak kata si Poh (Ikyn'z Zahari);

"Hidup ni jangan banyak sangat fikir. Kalau rasa otak dah tepu, jangan cari manusia lagi untuk mengadu masalah. Cari Tuhan. DIA bagi dugaan kat kita sebab nak kita ingat pada DIA. Pasal kita ni manusia yang memang selalu lupa."

Betul kata Poh. Mungkin masalah terbesar dalam hidup aku ni adalah aku TERLALU banyak sangat berfikir. Otak aku perlukan rehat. Aku sendiri perlukan rehat. Berhenti berfikir dan nikmati sahaja hidup ini seperti mana ia perlu dinikmati. Terlalu banyak berfikir pun takkan menyelesaikan masalah 100%.

Usaha. Doa. Tawakal. Redha. Teruskan hidup.

Itu yang terbaik. Untuk itu aku akan berusaha untuk terus memperbaiki kehidupan. Apa sahaja yang akan berlaku pada masa hadapan, biarkan ia berlaku. Apa yang aku tahu, aku akan terus berusaha memberikan yang terbaik. Semoga esok akan terus berbaik hati. In shaa ALLAH.

ALLAH SWT takkan menguji hamba-NYA lebih dari apa yang termampu ditanggung.

Nota otak kanan : Tempoh hari pertama kali cuba aktiviti memancing. Sebelum ini hanya meneman, kali ini mencuba. Ia seronok, mengujakan dan menenangkan. Di saat aku mencampak mata kail, aku juga mencampak segala masalah yang bersarang di otak. (^_^)


Tuesday, July 30, 2013

Masih Mencari Hingga Kini


DRAMA sungguh tajuk entri kali ini. Sebenarnya bukan apa. Sempena bulan baik hari baik ini, aku sedang mengenang seorang sahabat lama yang sudah menghilang tanpa jejak. Sudah bertahun-tahun aku cuba mencari, cuba menjejakinya kembali, namun masih gagal sehingga ke hari ini. Dia sudah hilang ibarat ditelan hijab masa.

Noor Shahida binti Madri.

Itu namanya. Seorang gadis bertubuh tinggi lampai, berkulit cerah dan manis. Aku mengenalinya semasa darjah 5. Kami semakin erat semasa di darjah 6. Terpisah selepas bersekolah menengah apabila dia kembali ke pangkuan keluarganya di Pahang. Terkadang aku mengutuk zaman 90-an yang masih tidak terkenal dengan telefon bimbit apatah lagi media sosial seperti Facebook yang menyebabkan hubungan kami menjadi terlalu jauh... jauh... jauh... dan jauh....

Sedih.

Walaupun tempoh kami bersahabat tak lama, tapi aku seakan berasa terikat dengannya. Dia adalah seorang wanita yang istimewa. Dia membuatkan aku lengkap sebagai manusia. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa aku di tingkatan 2 dan kali terakhir aku bercakap dengannya adalah semasa di tahun 1 diploma. Tahun 2004, yakni 9 tahun yang lalu. Aku sentiasa terasa kehilangan sejak hari pertama dia meninggalkan aku.

Darjah 6, tahun 1998 adalah satu tahun yang sangat panjang dalam hidup aku. Terlalu panjang sehingga aku tak sedar yang ia telah berakhir. Aku menghabiskan hampir 365 hari bersamanya. 1998 juga menyaksikan bagaimana aku menjadi gemuk dan mula menyukai potongan rambut pendek. 1998... tahun yang amat penting dan terlalu bermakna dalam hidup aku. Ia menyimpan 1001 misteri, sejarah, memori dan permulaan bagi seorang aku.

Walaupun aku telah meneruskan hidup selama 13 tahun tanpa dia di sisi, namun aku tak pernah berhenti memerlukan dan mencari dia. Aku masih mencari hingga kini. Februari yang lalu adalah ulangtahunnya yang ke-27.

Bagi sesiapa yang mengenali susuk bernama Noor Shahida binti Madri yang berusia 27 tahun pada Februari 2013 ini, sila hubungi aku. Aku akan mengenang jasa kalian untuk seumur hidup.

Ya, Rabb... ketemukanlah aku dengannya walau hanya sekali. Amin.

Tuesday, July 23, 2013

Hijrah Lagi


ALHAMDULILLAH. Hari baik dan bulan yang baik. Makanya Rabbul'alamin ALLAH SWT telah memberi rezeki dan jalan untuk aku berhijrah lagi. Barangkali pada usia 27 tahun begini aku sewajarnya tidak lagi berhijrah ke sana ke mari. Mungkin pada usia begini aku patut mula selesa memantapkan diri di satu tempat sahaja. 

Bagaimanakah?

Kita hanya manusia yang merancang. DIA yang lebih tahu untuk menentukan. Jujurnya, aku gembira dengan ketentuan ini. Aku yakin ada hal baik yang tersembunyi di sebalik jalan hijrah ini. Amin. Cukup dengan teka-teki? Baiklah, aku berterus-terang. Tanggal 5hb Ogos ini yakni bersamaan dengan 27 Ramadhan 1434H, aku akan meninggalkan jawatan di Pekan Ilmu dan berhijrah ke tempat baru. Meninggalkan Pekan bukanlah kerana ada kekurangan di sini, samalah seperti aku meninggalkan MIG dulu bukanlah kerana ada kekurangan di sana. Cuma, sampailah sudah seruan untuk aku mencari yang lebih baik untuk diriku.

In shaa ALLAH.

Aku percaya ini adalah pilihan yang baik. Semoga di tempat baru kelak, aku akan menjadi pekerja yang lebih berdedikasi dan memberikan yang terbaik serta ikhlas di dalam pekerjaanku. Mari berusaha, kawan-kawan.

Alhamdulillah.

Wednesday, July 10, 2013

1095 Hari... Jalan Ini


DALAM tak sedar rupanya sudah 1095 hari berlalu sejak hari pertama aku bersama Si Bulat, Sang Laki-Laki yang berjaya mencuri hati. Huhuhu... Alhamdulillah. Aku bersyukur ke hadrat ALLAH SWT yang telah memberikan rasa ini kepada kami. Duhai RABB, kekalkanlah dan satukanlah kami kelak, andai tidak di dunia, biarlah di akhirat sana. Amin.

Syukur.

Dia masih laki-laki yang sama. Jujurnya, aku hanya manusia biasa yang tak tahu apa yang esok bawakan kepadaku. Biarpun begitu, aku akan terus mengharapkan yang baik-baik pada hari depan dan menikmati apa yang hari ini sajikan. Alhamdulillah.

Buat En. Nor Azahar Md. Nor, terima kaseh kerana menjadi anda... dan terima kaseh kerana tidak pernah berhenti untuk percaya dan ada.

Kutanyakan kepada Sang Bulan;
Mengapa ia gerhana?
Lalu jawabnya mesra;
Sayembara duka bergentayangan di bumantara.

Kutanyakan kepada Sang Malam;
Mengapa dingin dan sepi tanpa bicara?
Lalu dijawab dalam dengar dan tidaknya;
Cinta dan janji diukur dengan lidah rupa.

Dalam gerhana Bulan dan sepi Malam,
Aku memandang
Sebatang jalan merening dalam kesamaran
Langsung sebaris senyuman...
Terukir dalam kedinginan.

Biar bulan gerhana, biar malam sepi tanpa bicara
Kau dan aku masih ada
Dengan kasih RABB dan rasa percaya;
Kita 'kan rentas jalan bahagia bersama.

Monday, July 8, 2013

Selamat Datang, Ya Ramadhan


ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat ILAHI, aku masih bernafas, masih sehat dan masih berpeluang bertemu kembali dengan Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini membawa 1001 barkah dan cerita ria dalam hidup aku.

Amin.

Selamat datang, Ya-Ramadhan. Kau kusambut dengan lapang dada dan tangan terbuka.

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui... dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa kuberada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah-NYA
Moga dapat kulenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin kubiarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan, pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kumemohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Kumerayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah
Dengan rahmat-MU oh, Tuhanku
Kutempuh jua...

(Harapan Ramadhan - Raihan ft. Man Bai)

Sunday, June 23, 2013

Hujung Minggu yang Padat


SEJAK berpindah tempat kerja dan tempat tinggal ni, aku terasa hujung minggu aku semakin padat sungguh. Mana tidaknya, ada saja teman, sahabat, keluarga dan sebagainya menghubungi ajak bertemu. Dalam erti kata lain, masa bertemu dengan kehidupan selain kerja hanya terhad pada hujung minggu saja! Aduh... duh... duh! Lelah juga memandangkan hujung minggu hanya ada 4 kali dalam sebulan. Amboi, sibuknya diri! Terasa kalah pak menteri.

Hahaha~

Manalah tak datang sibuknya. Para sahabat, ahli keluarga dan cinta hati masing-masing jauhnya... hai! Along di Putrajaya, Mifdhal di Kuala Kubu Baru, Kak Lang di Puchong, Angah Farana di Bandar Baru Bangi, Jiha di Serdang, Mimie di Bandar Saujana Putra, Ikynz di Shah Alam, Kak CT di Kedah dan Bulat di Perak (sekadar menyebut beberapa nama :p) Jauh tu sebenarnya tak sangat, tapi masing-masing perlu ditemui secara individu. Tu yang rumit tu. Apa pun hujung minggu baru ni aku menghabiskan sepanjang sabtu bersama Mimie, Ikynz dan teman-teman di MIG manakala sepanjang ahad pula bersama Kak CT dan Ikha yang gojes tapi ganas. Hahaha~

Rancangan asal untuk ahad ialah meraikan ulangtahun Jiha sambil berpiknik bersama anak-anak (Hadiff, Hannah dan Ikha) di Titiwangsa. Malangnya, saat yang jarang beginilah Sang Jerebu juga sibuk nak mencelah. Mengenangkan anak-anak yang masih kecil, terpaksalah rancangan asal dibatalkan dan ditunda ke lain kali (ke suatu masa yang tak tahu bila).

Apa pun aku ucapkan tahniah buat Mimie yang sudah pun memiliki kediaman sendiri dan selamat berpindah dengan jayanya. ^_^ Aku juga ingin merakamkan ucapan terima kaseh buat Kak CT atas kesudian menghantar lukisan yang aku tempah darinya dan dapat pula hadiah yang tak disangka-sangka. Terharu!

Selamat berhujung minggu kawan-kawan. Semoga jerebu lekas reda dan kesihatan kita semua akan baik-baik saja. Amin.


Monday, May 13, 2013

14 Mei... Salam Ulangtahun


HANYA sebuah catatan ringkas. Hari ini ulangtahun kelahiran Si Bulat. Alhamdulillah. Selamat meniti usia, wahai kekasih. Selamat panjang umur, selamat murah rezeki, selamat memiliki semua kebahgiaan yang ada dalam dunia ini. In shaa ALLAH. Amin.

Dengan izin RABB, cinta ini akan tetap abadi terpatri di hati.

Sunday, May 12, 2013

Apa yang Kami Nak...?


HARI ni aku tergerak hati nak mengemaskini ruangan yang semakin bersawang ni disebabkan oleh satu soalan;

"Apa lagi yang anak muda nak?"

Pertama sekali, pada usia 27 tahun ni, rasanya aku ni boleh dikategorikan sebagai muda lagi. Hahaha. Sementelah aku pun masih belum beranak-pinak, jadinya mudalah kot. ^_~ Oleh kerana ini, aku rasa aku layak untuk menjawab soalan yang terlontar sebentar tadi.

"Apa lagi yang anak muda nak?"

Soalan ini dilontarkan oleh Mr. Burgermeister. Nama gelaran yang aku berikan pada susuk berusia hampir 50-an ini disebabkan oleh bentuk fizikalnya yang menyerupai watak mayor yang diperankan di dalam filem Frankenweenie (oleh Tim Burton. semestinya). Sumpah aku tak tipu! Memang sebiji. Biarlah aku perjelaskan di sini, situasi bermula apabila Mr. Burgermeister (yang merupakan penyokong nombor wahid kerajaan BN. Pada pandangannya Najib Razak adalah pemimpin terbaik yang berjiwa rakyat, selain PM yang paling tampan di antara PM-PM Malaysia yang lain) meluahkan rasa kesal atas penentangan anak muda zaman sekarang yang tegar menyertai banyak perhimpunan haram (menurutnya) dan mencetuskan huru-hara sehingga mencelakakan ramai pihak.

Anak-anak muda ini dikatakan hanya ikut-ikutan dari pihak penghasut (menurutnya lagi), tidak tahu hujung pangkal perjuangan dan hanya tahu memberontak. Darah muda katanya, masih panas. Masih tidak tahu membuat perhintungan akal yang waras. Katanya begini;

"Apa lagi yang kerajaan tak bagi? Bagi bantuan, bagi sokongan, bagi kemudahan, bagi dorongan, bagi segala-gala. BR1M, KR1M, PR1MA, dan segala macam 1M-1M lagi. Apa lagi yang anak muda nak? Malaysia dah cukup aman. Makan pakai, tempat tinggal, tempat belajar, semua cukup! Apa lagi? Apa lagi? Kenapa tak reti nak bersyukur?"

Pertama sekali, aku nak cakap, kalau kita memberi saranan, melontarkan ide ataupun meminta penambahbaikan, itu bukan bermakna kita tak bersyukur. Itu maknanya kita mahukan perubahan. Sebagai contoh, anak kita ada 10 orang. Gaji kita RM 950 sebulan. Maka kita bekerja dengan baik, berdedikasi, berdisiplin (sementelah kita ada kelulusan dan pengalaman kerja), salahkah kalau kita meminta naik gaji? Patutkah majikan mengherdik kita dengan mengatakan kita tak bersyukur dah ada kerja, dan siapa suruh beranak ramai-ramai kalau dah tau gaji tu rendah? Patutkah?

Ini contoh sahaja. Untuk bagi kau tengok situasi dari sudut yang berbeza. Rasionalnya sama. KIta bukan lembu yang mudah diperdayakan oleh sistem. Kita ada akal untuk berfikir. Kalau kau nampak kepincangan, bolehkah dan mampukah kau menutup saja mata dek kerana kau telah mengecapi kehidupan yang 'aman' dan 'harmoni' selama ini?

Kau dimomokkan dengan media massa. Katanya isu air di Selangor meruncing. Katanya Kelantan mundur. Katanya Pulau Pinang sudah jadi republik Cina. Beratus-ratus orang parti ini umum keluar parti. Orang-orang dari parti itu bergaduh sesama sendiri. Apa ini? Bagi yang kata Kelantan mundur, kau pernahkah tinggal di Kelantan? Apa khabar dengan pendalaman Sabah dan Sarawak? Aku rasa tempoh 50 tahun itu adalah sangat lama. Oh, apa khabar pula dengan Pahang? Kau pernah ke Perpustakaan Awam Pahang? Pernah pula ke Perpustakaan Awam Kelantan? Hahahaha~ lucu.


Perpustakaan di Pahang.

Di Kelantan. Lucu, kan? Negeri yang paling 'mundur' di Malaysia ini 
memiliki gedung ilmu yang besar dan canggih.
(Gambar ehsan Google)

Teori aku mudah saja, adil. Ya, aku tau yang hidup ni memang tak adil, dunia juga tak adil. Tapi keadilan adalah isu yang berbaloi untuk diperjuangkan dalam hidup kita ni. Hidup manusia singkat. Maka untuk mengisinya, kau harus bangkit dan berjuang. Tanpa perjuangan, apalah ertinya hidup? Kau bangun, pergi kerja, balik kerja, makan, tidur. Kawan, itu bukan hidup. Itu rutin. Aku kongsikan bersama kata-kata Buya Hamka;

Kalau hidup sekadar hidup,
Babi di hutan juga hidup.
Kalau kerja sekadar bekerja,
Kera juga bekerja.

Sebagai seorang Islam dan hidup dalam negara yang berdemokrasi, ini adalah dua isu lagi yang perlu diperjuangkan.

Agama dan demokrasi. Agama, keadilan dan demokrasi yang jujur. Itu.

Media tidak bersikap adil. Sekularisme berleluasa. Demokrasi? Telah arwah baru-baru ini. Jadi, aku tak hairan langsung jika anak muda (dan tua juga) mahu bangkit dan menentang. Inilah perjuangan.

Aku tak layak bercakap sebab aku tak mengundi?

Tak apa. Itu hak kamu untuk berasa begitu terhadap aku. Aku percaya, ini hak aku untuk berkata-kata (dalam medium ini, menulis). Kalau tak setuju, kita boleh berdebat, kita boleh mengemukakan hujah masing-masing dan selepas itu, kita boleh hormati pandangan masing-masing. Jangan fikir aku bicara begini sebab aku rasa aku lebih baik dari kau. Tak. Kita semua manusia bukan maksum. Kerana inilah kita perlu bangkit dan zon selesa dan mula melihat sekeliling. Jangan mudah dijadikan boneka, disumbat dengan pemikiran satu hala dan hanya tau nak berseronok. Sebagai manusia, kita perlu banyak berfikir, menganalisa situasi dan muhasabah diri.

Sebagai menjawab soalan tadi, ini jawapan aku;

"Aku mahukan agama, keadilan dan demokrasi. Aku mahu perubahan. Aku mahu berjuang."

Sekian, terima kasih.

p/s : Janganlah pula ada yang mempropagandakan tulisan ini dengan memfitnah aku menyamakan manusia dengan kera dan babi pula, ya? Ia adalah perumpamaan saja. Ibarat seorang ibu memarahi dua anaknya yang sedang bertengkar dengan mengatakan, "Kalian ini berkelahi saja, macam anjing dengan kucing!" Maka itu tak bererti si ibu itu menyamakan anak-anaknya sebagai anjing dan kucing, kan?