Wednesday, July 23, 2014

Eid Mubarak 1435H


ASSALAMUALAIKUM. Apa khabar semua? Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada di dalam rahmat kaseh sayang ALLAH SWT. Alangkah indahnya Ramadhan. Bulan penuh barakah yang membawa jiwa kita pulang ke pangkuan Yang Maha Esa. Jika waktu dalam susuk anak kecil dahulu, semestinya Syawal yang dinanti dengan penuh bahagia. Namun, dalam usia yang semakin ranum ini, sudah pastilah Ramadhan yang terasa enggan dilepaskan. Keindahan Ramadhan terlalu menghiasi jiwa, sehingga hati cukup sayu mengenangkan ia hanya berbaki lagi sedikit hari.

:(

Hidup ini ibarat putaran roda. Setiap yang datang, pasti akan pergi. Demikian Ramadhan yang singgah bakal berlalu dalam sedikit waktu lagi. Ya, ALLAH SWT telah menghadiahkan seluruh hamba-NYA dengan Syawal yang meriah untuk kita meraikan kemenangan. Kalau tahun-tahun sudah, nafsu cukup menggebu-gebu untuk membeli-belah. Shopping raya katanya! Bila dikenang-kenang, malu pula rasanya. Kita meraikan Syawal lebih daripada kita menikmati Ramadhan. Mahu berbaju, berkasut dan perhiasan yang serba baru, semua yang mewah ni sepadankah dengan amalan kita semasa Ramadhan? Sudah berapa kali kita khatam al-Quran sepanjang Ramadhan? Cukupkah ibadat wajib dan sunat kita? Cukupkah tarawih kita? Adakah kita meraikan malam-malam Ramadhan dengan tahajud dan qiamullail? Terjagakah adap dan sikap kita dalam berpuasa? Sudahkah kita sujud dan bertaubat kepada-NYA atas dosa-dosa kita?

Kalau jawapannya tidak, tak rasa malukah kita dengan persiapan beria-ia yang kita lakukan untuk menyambut Syawal? Jujur aku katakan, aku terlalu malu. Aku sendiri masih terlalu kurang dalam usaha untuk merebut rahmat dan redha ILAHI. Lantaran kerana kelemahan diri inilah, cukup Syawal tahun ini aku raikan dengan seadanya sahaja. Memadailah mengisi Syawal dengan menjaga hubungan baik sesama manusia. Bermaaf-maafan atas kesalahan diri dengan seikhlas hati dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim di antara kita semua. Semoga ukhwah kita akan berkekalan teguh dan penuh harmoni.

Alangkah indah dan kuatkan umat Islam andai kita semua bersatu teguh dan saling harmoni.

Buat semua yang mengenali diri ini, aku ingin menyusun 10 jari dan meminta maaf dengan setulus hati. Maafkanlah jika ada salah dan silap dalam perbuatan dan perkataan aku yang ada menyentuh hati kalian. Halalkanlah andai ada yang aku terminum, termakan dan terguna daripada harta kalian. Semoga Syawal yang bakal tiba ini membawa 1001 kebahagiaan dan kegembiraan di dalam kehidupan kita semua.

Amin.

Salam idul fitri daripada hati yang penuh rasa kaseh. (^_^)

Thursday, July 10, 2014

1460 Hari... Masih Ada!


ALHAMDULILLAH. Sudah empat tahun berlalu semenjak hari pertama hati kami menyatu. Untuk seorang dia, terima kaseh kerana sudi memenuhkan kehidupan seorang aku dengan cinta yang sentiasa menggebu-gebu. Untuk RABBULALAMIN, terima kaseh kerana mengurniakan dia kepadaku

In-yeon i ra go ha jyo
Geo bu hal su ga eob jyo
Nae saeng e i cheo reom a reum da un nal
Ddo da shi ol su it teul gga yo
Go dal peun salm-ui gil e
Dang shin eun seon mu lin geol
I sa ram i nok seul ji an do rok
Neul dak ka bi chul gge yo

* * *
This is what we call fate,
it's something we can't deny
Will I ever experience another day
as glorious as today?
You're a gift upon this exhausting path of life
I'll continuously wash and shine our love 
so it won't rust away
(In-Yeon / Lee Sun Hee)

Untuk 1460 hari... dan hari-hari yang bakal menjelma dan berlalu pergi, kurelakan jiwaku padamu...!

Monday, July 7, 2014

Tetamu ALLAH SWT


ASSALAMUALAIKUM. Semoga pada hari yang ke-10 ini, kita semua masih bertenaga dan terus meraikan Ramadhan yang mulia ini dengan hal-hal yang baik. In shaa ALLAH. Aku hanya singgah untuk berkongsi kegembiraan kerana ayah bonda dan adik2ku yang tercinta telah selamat pulang ke tanah air selepas menjadi tetamu ALLAH SWT selama dua minggu.

Alhamdulillah.

Alangkah besarnya kekuasaan ALLAH SWT yang telah memudahkan laluan buat ayah dan bondaku untuk menjadi tetamu-NYA. Keadaan kesihatan lutut mak menjadi faktor kerisauan kami yang paling utama. Syukurlah dan mujurlah adikku, Mifdhal, turut berkesempatan menunaikan umrah bersama. Khabarnya selama di Tanah Suci Makkah dan Madinah, dialah yang sepanjang masa menolak kerusi roda mak.

Alhamdulillah.

Mak ayah dan adik2ku juga sihat sejahtera. Batuk dan demam tidak sempat singgah. Menurut mak, gastriknya juga tidak menyerang. Aku benar-benar memanjatkan syukur yang teramat syukur ke hadrat ILAHI. Terima kasih, RABB... alangkah Maha Pengasihnya ALLAH SWT. Di tanah air pula, anak saudaraku, Muhammad Nor Iman, langsung tidak meragam dalam jagaan ummi dan abahnya. Walaupun sejak dilahirkan, Iman membesar dalam jagaan mak dan ayah di kampung, namun anak itu tetap sangat memesrai ummi dan abahnya.

Alhamdulillah.

Syukurlah, segala-galanya berjalan dengan baik. Semoga suatu hari kelak, aku juga akan berkesempatan untuk menjadi tetamu ALLAH SWT di sana. Amin... in shaa ALLAH. (^_^)
Gambar pinjam dari sini