Monday, May 13, 2013

14 Mei... Salam Ulangtahun


HANYA sebuah catatan ringkas. Hari ini ulangtahun kelahiran Si Bulat. Alhamdulillah. Selamat meniti usia, wahai kekasih. Selamat panjang umur, selamat murah rezeki, selamat memiliki semua kebahgiaan yang ada dalam dunia ini. In shaa ALLAH. Amin.

Dengan izin RABB, cinta ini akan tetap abadi terpatri di hati.

Sunday, May 12, 2013

Apa yang Kami Nak...?


HARI ni aku tergerak hati nak mengemaskini ruangan yang semakin bersawang ni disebabkan oleh satu soalan;

"Apa lagi yang anak muda nak?"

Pertama sekali, pada usia 27 tahun ni, rasanya aku ni boleh dikategorikan sebagai muda lagi. Hahaha. Sementelah aku pun masih belum beranak-pinak, jadinya mudalah kot. ^_~ Oleh kerana ini, aku rasa aku layak untuk menjawab soalan yang terlontar sebentar tadi.

"Apa lagi yang anak muda nak?"

Soalan ini dilontarkan oleh Mr. Burgermeister. Nama gelaran yang aku berikan pada susuk berusia hampir 50-an ini disebabkan oleh bentuk fizikalnya yang menyerupai watak mayor yang diperankan di dalam filem Frankenweenie (oleh Tim Burton. semestinya). Sumpah aku tak tipu! Memang sebiji. Biarlah aku perjelaskan di sini, situasi bermula apabila Mr. Burgermeister (yang merupakan penyokong nombor wahid kerajaan BN. Pada pandangannya Najib Razak adalah pemimpin terbaik yang berjiwa rakyat, selain PM yang paling tampan di antara PM-PM Malaysia yang lain) meluahkan rasa kesal atas penentangan anak muda zaman sekarang yang tegar menyertai banyak perhimpunan haram (menurutnya) dan mencetuskan huru-hara sehingga mencelakakan ramai pihak.

Anak-anak muda ini dikatakan hanya ikut-ikutan dari pihak penghasut (menurutnya lagi), tidak tahu hujung pangkal perjuangan dan hanya tahu memberontak. Darah muda katanya, masih panas. Masih tidak tahu membuat perhintungan akal yang waras. Katanya begini;

"Apa lagi yang kerajaan tak bagi? Bagi bantuan, bagi sokongan, bagi kemudahan, bagi dorongan, bagi segala-gala. BR1M, KR1M, PR1MA, dan segala macam 1M-1M lagi. Apa lagi yang anak muda nak? Malaysia dah cukup aman. Makan pakai, tempat tinggal, tempat belajar, semua cukup! Apa lagi? Apa lagi? Kenapa tak reti nak bersyukur?"

Pertama sekali, aku nak cakap, kalau kita memberi saranan, melontarkan ide ataupun meminta penambahbaikan, itu bukan bermakna kita tak bersyukur. Itu maknanya kita mahukan perubahan. Sebagai contoh, anak kita ada 10 orang. Gaji kita RM 950 sebulan. Maka kita bekerja dengan baik, berdedikasi, berdisiplin (sementelah kita ada kelulusan dan pengalaman kerja), salahkah kalau kita meminta naik gaji? Patutkah majikan mengherdik kita dengan mengatakan kita tak bersyukur dah ada kerja, dan siapa suruh beranak ramai-ramai kalau dah tau gaji tu rendah? Patutkah?

Ini contoh sahaja. Untuk bagi kau tengok situasi dari sudut yang berbeza. Rasionalnya sama. KIta bukan lembu yang mudah diperdayakan oleh sistem. Kita ada akal untuk berfikir. Kalau kau nampak kepincangan, bolehkah dan mampukah kau menutup saja mata dek kerana kau telah mengecapi kehidupan yang 'aman' dan 'harmoni' selama ini?

Kau dimomokkan dengan media massa. Katanya isu air di Selangor meruncing. Katanya Kelantan mundur. Katanya Pulau Pinang sudah jadi republik Cina. Beratus-ratus orang parti ini umum keluar parti. Orang-orang dari parti itu bergaduh sesama sendiri. Apa ini? Bagi yang kata Kelantan mundur, kau pernahkah tinggal di Kelantan? Apa khabar dengan pendalaman Sabah dan Sarawak? Aku rasa tempoh 50 tahun itu adalah sangat lama. Oh, apa khabar pula dengan Pahang? Kau pernah ke Perpustakaan Awam Pahang? Pernah pula ke Perpustakaan Awam Kelantan? Hahahaha~ lucu.


Perpustakaan di Pahang.

Di Kelantan. Lucu, kan? Negeri yang paling 'mundur' di Malaysia ini 
memiliki gedung ilmu yang besar dan canggih.
(Gambar ehsan Google)

Teori aku mudah saja, adil. Ya, aku tau yang hidup ni memang tak adil, dunia juga tak adil. Tapi keadilan adalah isu yang berbaloi untuk diperjuangkan dalam hidup kita ni. Hidup manusia singkat. Maka untuk mengisinya, kau harus bangkit dan berjuang. Tanpa perjuangan, apalah ertinya hidup? Kau bangun, pergi kerja, balik kerja, makan, tidur. Kawan, itu bukan hidup. Itu rutin. Aku kongsikan bersama kata-kata Buya Hamka;

Kalau hidup sekadar hidup,
Babi di hutan juga hidup.
Kalau kerja sekadar bekerja,
Kera juga bekerja.

Sebagai seorang Islam dan hidup dalam negara yang berdemokrasi, ini adalah dua isu lagi yang perlu diperjuangkan.

Agama dan demokrasi. Agama, keadilan dan demokrasi yang jujur. Itu.

Media tidak bersikap adil. Sekularisme berleluasa. Demokrasi? Telah arwah baru-baru ini. Jadi, aku tak hairan langsung jika anak muda (dan tua juga) mahu bangkit dan menentang. Inilah perjuangan.

Aku tak layak bercakap sebab aku tak mengundi?

Tak apa. Itu hak kamu untuk berasa begitu terhadap aku. Aku percaya, ini hak aku untuk berkata-kata (dalam medium ini, menulis). Kalau tak setuju, kita boleh berdebat, kita boleh mengemukakan hujah masing-masing dan selepas itu, kita boleh hormati pandangan masing-masing. Jangan fikir aku bicara begini sebab aku rasa aku lebih baik dari kau. Tak. Kita semua manusia bukan maksum. Kerana inilah kita perlu bangkit dan zon selesa dan mula melihat sekeliling. Jangan mudah dijadikan boneka, disumbat dengan pemikiran satu hala dan hanya tau nak berseronok. Sebagai manusia, kita perlu banyak berfikir, menganalisa situasi dan muhasabah diri.

Sebagai menjawab soalan tadi, ini jawapan aku;

"Aku mahukan agama, keadilan dan demokrasi. Aku mahu perubahan. Aku mahu berjuang."

Sekian, terima kasih.

p/s : Janganlah pula ada yang mempropagandakan tulisan ini dengan memfitnah aku menyamakan manusia dengan kera dan babi pula, ya? Ia adalah perumpamaan saja. Ibarat seorang ibu memarahi dua anaknya yang sedang bertengkar dengan mengatakan, "Kalian ini berkelahi saja, macam anjing dengan kucing!" Maka itu tak bererti si ibu itu menyamakan anak-anaknya sebagai anjing dan kucing, kan?