Sunday, December 30, 2012

Mimpi... dan Aku


DALAM hidup ini, manusia hanya bisa bermimpi untuk menjadi atau mengecapi segala-gala yang diingini. Ada di kalangan kita yang berhasil mencapai mimpi-mimpi itu, maksud aku, menjadikan ianya nyata. Realis. Tidak tinggal bertamu di alam rasian semata-mata. Ada orang bermimpi di kala lena, dan ada yang bermimpi di sepanjang jaga (juga lena). Mimpi ini tidak habis. Tidak sekadar angan-angan Si Jenin. Ini mimpi yang menjadi impian. Cita-cita dan harapan.

Sang pemimpi.

Aku sebenarnya percaya, kita semua adalah sang pemimpi. Apa yang beda hanyalah, bagaimana dan ke mana mimpi itu membawa kita. Seumur hidup, aku cuma ingin menjadi seorang penulis yang mengembara melihat dunia. Selepas 26 tahun 2 bulan, di mana aku? Masih di tempat yang sama (Kuala Lumpur - Terengganu) dan belum lagi layak dipanggil penulis. Tak mengapa. Aku tak pernah memadamkan mimpi-mimpiku. Masih belum diannya kututupkan nyala sumbunya. Masih membara dan membakar seluruh ruang rasaku.

Aku.

Aku mengerti andai kebanyakkan orang-orang di sekelilingku memandang aku sebagai seorang pemimpi yang masih belum ketemu jalan keluar dari alam khayali. Tak mengapa. Apa yang ada di dalam jiwaku masih belum terusik. Tidak terluka malah sedikit pun tidak terguris jejas mimpiku. Ada kala, suatu hal yang kecil saja telah bisa membuatkan kita berasa kuat. 

Aku baru habis menelaah dan kemudiannya habis menonton sebuah filem Indo yang hebat. Sang Pemimpi judulnya. Lanjutan dari Laskar Pelangi hasil karya saudara Andrea Hirata. Dua lagi lanjutan bukunya iaitu, Edensor dan Maryamah Karpov sedang melambai panggil aku untuk menghadam mereka. Sabar, duhai harta-hartaku. Akan kubelai kalian satu-persatu. Aku terkesan dengan watak Arai (yang diperankan oleh Rendy Ahmad (remaja) dan Nazril Irham (dewasa) dalam filem). Katanya:

"Ayahku dulu sebelum meninggal pernah berkata, bermimpilah... dan Tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu. Tanpa mimpi, orang-orang seperti kita ini (miskin) akan mati!"

Aku juga terkesan benar dengan kata-kata watak Pak Guru, iaitu Pak Julian, yang mengajar seni dan sastera kepada anak-anak pelajarnya (yang digelar Sang Pelopor sepanjang waktu kuliah). Katanya:

"Ia bukan mengenai betapa besar mimpimu-mimpimu. Tetapi betapa besar jiwamu untuk bermimpi."

Sungguh. Sekiranya mimpi-mimpiku akan tetap kekal di alam rasian, tak mengapa. Sungguh tak mengapa. Bukan kerana aku tidak punya keberanian untuk menjadikan mimpi-mimpiku nyata dan bermakna. Tetapi aku yakin, jiwaku cukup besar untuk bermimpi. Dan melalui buku-buku iaitu hartaku, aku akan berhasil mengembara ke seluruh dunia.

Dan suatu masa nanti, sebelum aku menutup mata... aku akan menulis. Menulis tentang hidup. Menulis tentang mimpi.

Akan.

(Gambar-gambar adalah ehsan Google)

Waktuku kecil ku bermimpi
Bermain di bawah langit yang biru
Dengan cinta dan tawa

Hati kecilku pun melihat
Dunia tidak seindah di mata
Dan akupun berkata

Saatnya memberikan yang terbaik
Untuk hidup yang lebih baik

Jadilah engkau pahlawan cinta
Yang mewujudkan cinta di dunia
Jadilah engkau pahlawan mimpi
Yang mewujudkan mimpi yang tertunda

Tuliskan kisah cinta di hati
Agar kau tidak gampang menyerah
Jangan gampang menyerah

Walaupun rasanya surga terasa jauh

Saatnya memberikan yang terbaik
Untuk hidup yang lebih baik
(Nidji - Pahlawan Mimpi)

Wednesday, December 26, 2012

Ulangtahun Ke-33 Buat HirSham



ALHAMDULILLAH... hari ini 27 Disember 2012, 33 tahun telah berlalu selepas hari pertama ayahku menikahi bondaku. ^_^ Aku bersyukur ke hadrat-NYA kerana telah memperkenankan rumahtangga ayah dan bondaku bertahan dalam tempoh ini. Aku malah berdoa dengan bersungguh-sungguh pengharapan agar ia kekal bahagia sehingga ke akhirnya. Amin.

33 tahun. 12,045 hari lamanya kasih bersulam cinta berpadu bersama membentuk sebuah rumah. Aku mendoakan supaya di penghujungnya, mereka berdua akan tetap bersama. Insya-Allah. ^_^ Buat Shamsudin dan Zawahir a.k.a ayah dan bonda, angah ucapkan selamat berbahagia dan selamat ulangtahun.

Setiap titis airmata 
Setiap saat nan duka
Mengajar aku erti dunia
Tak ku lupa
Pengorbanan kehidupan 
Memikul beban di bahu nan selalu
Memberikan yang termampu

Ayahku
Terlalu menyayangi aku
Mendedikasikan hidupnya kepadaku
Dan ibu
Sentiasa ada bersama
Walau serendah mana aku
Dia tetap menjunjung namaku

Biar kubelai tanganmu
Yang telah di telan usia
Namun penuh berjasa mulia
Terlalu lama ingin kuluahkan rasa
Kesyukuranku di hati
Pada dua insan paling kusayangi

Dan aku berdoa
Semoga sejahtera selamanya
Hidup kita sekeluarga 
Di dunia dan selepasnya...
(KRU - Penjunjung Namaku)

Saturday, December 22, 2012

Ahad


HARI ini adalah hari Ahad dan saya sedang berhujung minggu di pejabat. Ada kerja yang memerlukan perhatian segera untuk disiapkan.

Oh, rupanya tanpa aku sedari, aku sangat suka bekerja. Huhuhu~

Terapi Muzik sedang dalam pengubahsuaian. Aku bekerja dengan ditemani oleh Arai (Rendy Ahmad dalam Sang Pemimpi) dengan alunan Fatwa Pujangganya.

Damai.


Thursday, December 20, 2012

Setelah 8 Tahun


8 TAHUN, bersamaan dengan kurang lebih 2920 hari lamanya kepala hotak aku ini telah berserabut dengan hal PTPTN. Pinjaman yang cuma berjumlah RM 5,000 itu terasa terlalu besar jumlahnya dan amat membebankan pembayarannya. Sungguh. Keseluruhan 5,000 yang diberi, tak ada 1 sen pun yang aku gunakan untuk bersuka-suka. Semuanya aku gunakan untuk menanggung pengajian. Mengambil kursus pertanian di UPM Kampus Bintulu memerlukan belanja yang cukup besar. Cukup besar.

Alhamdulillah. Hari ini aku sangat bersyukur kerana telah berjaya melunaskan pinjaman ini. Terasa satu beban besar dalam kepala hotak aku ni dah meringan sedikit. Total bayaran balik yang aku lunaskan dalam tempoh 8 tahun ini adalah sebanyak RM 5789.01. Wow! Jutaan terima kasih aku ucapkan buat bonda dan ayahanda tercinta yang banyak membantu aku dalam hal ini. Terima kasih.

PTPTN selesai, selepas ini aku akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membuat bayaran balik pinjaman Yayasan Terengganu. Pinjaman Yayasan memang berbaloi ye, kawan-kawan. Pinjam RM 10,500 dan jumlah yang perlu dibayar juga RM 10,500. Tiada bunga. Alhamdulillah, setakat ini aku telah berjaya melunaskan bayaran sebanyak RM 1,690. Baki lagi RM 8,810 akan dibayar selama 5 tahun ini secara ansuran bulanan. Selepas 2017, aku akan bebas dari hutang pinjaman pembelajaran. Insya-Allah.

Telah banyak wang ringgit yang telah dikorbankan oleh ayah dan bonda demi melihat aku berjaya menggenggam segulung diploma dan memperolehi kerja yang baik. Alhamdulillah. Aku hadiahkan diploma ini buat mereka. Insya-Allah, hari depan akan lebih baik.

Amin.

Monday, December 17, 2012

Anak

Ini semasa Hadiff berusia dua hari.
Sudah besar sekarang!
HADIFF MUJAHID lahir ketika aku sedang sibuk bermesyuarat bersama wakil ASTRO CERIA, membincangkan skrip KLIK! Musim Ke-2 (yang membuatkan aku pecah kepala suatu masa dahulu), menyebabkan aku hang sekejap. Antara keinginan untuk terbang ke Hospital Serdang dengan kerja yang suntuk datelinenya, aku akhirnya menyiapkan dahulu tugasan dan baharulah menjengah ke Serdang.

Huhuhuhu~

Itulah satu-satunya penawar. Ketika dilahirkan, berat Hadiff tidak sampai 2kg pun. Kecil! Tapi aku tetap beranikan hati mendukungnya. Walaupun kecil, namun anak ini bertubuh kuat. Tidak sukar menguruskannya (kecuali ketika membaringkan dia. Dia akan menangis sekuat-kuat hati seolah-olah sangat takut bila melentang begitu). Hujung minggu yang lalu, aku menghabiskan masa bersama si anak dan si ibu. Sahabatku itu sedang hamil 7 bulan. Semoga ALLAH SWT melindungi dia dari segala kesusahan. Amin. 

Hadiff sudah besar sekarang. Sudah ada gigi dan sudah boleh berlari. Sudah boleh menyebut beberapa perkataan juga. Sudah boleh memahami perkataan kita kepadanya. Sudah boleh mengekspresikan keinginannya kepada kita dengan jelas. Ah, betapa lajunya masa berlalu! Terkadang kita tak sempat mengenang. Semuanya berlalu dengan begitu saja.

Anak kecil mummy, penawar hati mummy... semoga kau akan membesar sebagai anak yang berbudi dan serba mengerti. Amin.

Ini semasa Hadiff di dalam perut ibu. Huhuhu. ^_^

Friday, December 14, 2012

Freedom 4 My Eyes (Konon)


HAIZZZ! Hari ini merupakan hari yang sangat amat sungguh-sungguh memenatkan (plus sedikit menghampakan). Hurm... pada hari Sabtu yang amat damai permai serta cuti ini, aku bangun seawal jam 8.30 pagi dan bersiap-siap ke KL Sentral demi ingin melunaskan hutang PTPTN yang amat menyerabutkan kepala hotak aku selama 8 tahun kebelakangan ini. Ingatkan segala keserabutan itu bakal berakhir pagi tadi, rupanya anganku musnah.

Hujan.

Hujan pada awal pagi, sebaik sahaja aku menghidupkan enjin JD (si motorsikal kesayangan), rupanya petanda bahawa urusanku takkan lunas. Ada masalah di pejabat PTPTN KL Sentral menyebabkan urusan pembayaran tidak boleh dilakukan. Sia-sia saja aku bangun awal dan merempit ke sana. Ces!

Sudahnya aku dan Bos Kecik meronda-ronda sekitar Central Market dan Petaling Street.  Sempat aku bersarapan dengan bubur nasi bakso di CM. Sedap! Kemudian sajalah cuci-cuci mata. Entah macam mana, aku terfikir nak cuba pakai contact lens. Alangkah miang. Kondisi mata aku ni sebenarnya tak begitu bagus. Akibat masalah alergik dan sinus, ia selalu gatal dan kadang-kadang berair. Memilih untuk memakai contact lens bukanlah satu keputusan yang baik tapi aku teringin sangat nak cuba. Jadi, cuba sajalah. Kosnya boleh tahan. Tidaklah mahal dan tidak murah. Agak kopak jugak aku dibuatnya. Haizzz... Mata aku pula semakin hari semakin kuat tahap kerabunannya. Terkini, 500 (kiri) dan 475 (kanan). Hurm, bila pakai contact lens ni, terasa untungnya orang yang tak rabun. Mata terasa bebas melihat dunia tanpa bilah cermin mata yang menjadi benteng.

Sila doakan aku tak membazir dan biarkan saja benda ni dalam kotaknya. Sila doakan supaya aku punya kekuatan untuk memakainya setiap hari. Sekian, terima kasih.

p/s : Oh, ya, bagi kawan-kawan yang pinjaman PTPTNnya berbaki tidak lagi banyak amaunnya, elok kalau anda buat pembayaran langsai. Ada diskaun 20%. Banyak juga kurang. (rasanya dah ramai yang tau, saja nak buat iklan tambahan)

Nyum2! Bubur nasi bakso yang hangat!

Tuesday, December 11, 2012

Bond, James Bond


SEPERTI yang semua orang sedia maklum, semalam merupakan hari cuti buat penduduk Selangor. Kenapa? Carilah sendiri dalam kalendar. Jangan malas. Huhuhu. Jadi, demi tidak membazirkan hari cuti berlalu begitu sahaja, aku mengambil keputusan untuk berjimba-jimba bersama Cik Bella yang manis.

Ke mana?

Makan dan tengok wayang. Apa lagi? Bosan betul tapi apakan daya, itu sahaja keterbatasan aktiviti yang ada. Jadi lenjan sajalah! Kami meraikan makan dengan bersungguh. Bermula dengan Kenny's Chicken Quarter Meals di Kenny Rogers dan diakhiri dengan Chicken Teriyaki di Subway. Ayam dan ayam. Hohoho~ Aku memang pencinta dan penggila ayam ya, kawan-kawan. Sekian, terima kasih.

Wayang?

Oh, aku memilih sebuah filem yang sudah lama ditayangkan (tapi dah tentunya masih belum sempat ditonton). Cik Bella ternyata tidak banyak kerenah dan mengikut saranan dari aku. Jadi, 'pilem' apakah yang menjadi pilihan hatiku? Jeng... jeng... jeng!

It's... Skyfall!

Yap! Anda betul. Aku memang peminat Bond. Tapi sejak aktor sasa yang kacak (menurut Cik Bella) bernama Daniel Craig ini menjadi Agen 007, minat aku seakan surut. Casino Royale dan Quantum of Solace tidak berada dalam Senarai Wajib Tonton aku semasa ia ditayangkan. Pada pandangan aku, Craig tidak 'berwajah' Bond. Hal ini disangkal keras oleh Si Bulat dan selalu menjadi topik pertengkaran kami. Pada pendapat Si Bulat, Craig adalah Bond yang sebenar. Pada pendapat aku, tak ada aktor yang setanding Sean Connery (dalam memerankan watak Bond) dan Pierce Brosnan juga tak kurang hebat (kerana dia berada dalam zaman aku). Oh, Roger Moore juga boleh tahan. Siapa boleh lupakan The Man with the Golden Gun? Tapi  di tangga pertama tetap Connery... oh! Ini adalah dilema antara aku dan Si Bulat. Aku dengan Connery dan Si Bulat dengan Craig. Pendapat anda?

Huhuhuhu~

Berbalik kepada Skyfall. Ia adalah filem yang berbaloi untuk ditonton. Ada beberapa babak yang berhasil mendatangkan rasa teruja. Ada juga yang agak mendatar dan sedikit menjemukan. Tapi, hey! Skyfall tetap menjaminkan kepuasan tontonan. Aku juga bersetuju dengan Epool. Runut bunyi untuk filem ini, yang juga memakai judul Skyfall telah didendangkan oleh Adele, dihasilkan dengan baik. Menurut Epool, rentaknya ada sedikit-sedikit seperti Diamonds Are Forever. Sebaliknya aku berpendapat ia lebih kepada Tomorrow Never Dies dan The World Is Not Enough. Moodnya sama. Pada pandangan akulah. Aku bukan arif sangat pasal muzik. Cuma, bagi aku, muzik sama seperti buku. Ia sama-sama memerlukan mood dan bayangan. Ia harus mampu membawa aku ke suatu dimensi yang lain. Dimensi lagu atau buku tersebut. Kalau tak, selalunya aku tak akan teruskan mendengar atau membaca. Lebih dari itu, Live and Let Die adalah pilihan aku untuk kategori runut bunyi filem-filem James Bond. Licence to Kill juga termasuk dalam senarai top 5 selain Thunderball dan Goldfinger. ^_^

Baiklah. Rasanya dah cukup banyak aku membebel tentang Bond dan 007. Huhuhu. Bagi kawan-kawan yang belum menonton, aku syorkan Skyfall untuk anda. Rumah agam di tengah pergunungan adalah impian seumur hidup aku. Ia betul-betul seperti Skyfall di Scotland yang digambarkan di dalam filem ini. Bahagian inilah yang paling membuatkan aku terkesan. 'Kembali ke masa silam untuk berada satu langkah di hadapan'. 

Sila tonton ya. ^_^ 

Thursday, December 6, 2012

Angker Ke? Hahaha~


AKU terpanggil untuk menulis entri ni selepas melalui satu sesi perbualan bersama my beloved Poh. Poh merungut pasal jirannya yang asyik menumbuk lesung tengah-tengah malam buta, apahalkah? Kebetulan aku teringat Kak CT Nazariah pun pernah cerita pasal rumah yang terletak di atas rumahnya (flat) asyik kedengaran bunyi bising. Bila suaminya jenguk, rupanya rumah atas itu tidak berpenghuni. Jadi siapakah yang buat bising? Kebetulan juga, tempoh hari semasa di rumah Along, timbul juga hal yang sama (seperti Kak CT). Jeng... jeng... jeng! Apa kejadahnya semua ini?

Huhuhuhu~

Kita gelak dulu sebelum ke bahagian yang serius. Untuk aku sendiri, yang sebelum ini ada dua pengalaman menghuni rumah sebegini (1 flat dan 1 apartment) hal ini juga pernah terjadi kepada aku. Semasa tinggal di Flat Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, aku sentiasa dengar bunyi guli jatuh dan kanak-kanak berlari-larian di tingkat atas rumah aku. Boleh dikatakan setiap hari dan bunyi itu pada tengah-tengah malam. Bila pindah ke Apartment Jati 1, di USj 1, hal yang sama juga. Plus, lagi hebat. Ada bunyi orang menumbuk lesung dan asyik pindah-pindah barang. Pernah satu malam ni, bunyi macam peti ais jatuh terhempas kat atas. Bergegar aku rasa. Jati 1 memang lagi dahsyat. Kadang-kadang ada bunyi 'orang' kat atas tu heret tong gas dan kemudian gulingkannya.

Ada beberapa perkara utama yang boleh aku fokuskan di sini. Pertama, bunyi guli jatuh. Ini yang paling terkenal sekali. Kedua, sama ada bunyi orang tumbuk lesung atau orang mengetuk tukul (paku). Ketiga, sama ada bunyi orang alih-alih barang (berkemas macam nak pindah @ baru pindah) atau bunyi kanak-kanak berlari. Ini memang satu fenomena yang pelik sebenarnya. Tapi secara jujur, aku tak fikir ia berkaitan dengan makhluk angker.

Kenapa?

Rasanya jawapannya cukup mudah. Aku syak ini adalah fenomena normal untuk rumah yang bertingkat-tingkat macam gini. Sebab yang kenanya pun semua di rumah flat atau apartment. Nak jelaskan dengan terperinci apa yang menyebabkan bunyi-bunyi tu memanglah sukar. Elok juga kalau kita jangan takutkan diri sendiri. 

Aku tak nafikan, pada tengah-tengah malam dan kalau korang bersendirian pula, memanglah amat menyeramkan bila terdengar bunyi-bunyi macam ni. Pada aku sendiri, bunyi yang paling creepy ialah bunyi guli jatuh tu. Bunyinya berdenting-denting dan bergolek sangat meremangkan bulu roma. Terbayang seakan ada anak puaka yang sedang bermain-main dengannya (ataupun guli itu sebenarnya biji mata si anak puaka. Ala, macam dalam filem Flat 3A tu). Sekali lagi suka untuk aku tekankan di sini, lebih elok kalau kita jangan takutkan diri sendiri dengan berimaginasi yang bukan-bukan seperti itu.

Jadi bagi kawan-kawan yang mengalami masalah seperti ini, aku syorkan supaya mula menganggap hal ini sebagai fenomena normal. Kalau masih ada sisa-sisa ragu dan risau (atau takut), bagus untuk aku kongsikan di sini satu amalan yang baik iaitu :

Sebelum tidur, bacalah ayat-ayat suci seperti Surah an-Naas, al-Falaq dan al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Kemudian kebaslah tempat tidur anda sambil berselawat ke atas Rasullullah SAW. Selesai dengan itu, jangan lupa baca doa tidur dan tidurlah. Tawakal dan berserah kepada ALLAH SWT. Insya-Allah, kita akan terhindar dari permainan iblis, syaitan dan tentera-tenteranya. Amin.

Selamat malam. ^_^

Aku paling benci doll. Aku tak pernah tengok benda 
ni comel, sebaliknya sangat creepy!