Tuesday, July 31, 2012

Ayah ~ Diari Ramadhan 3


RISAU... risau... risau. Itulah antara perasaan yang membaur dalam hati aku sekarang ni. Isnin lepas, ayah aku mula ditahan di wad kerana bengkak pada kakinya masih tak mahu surut selepas hampir seminggu (atau dua?) membengkak. Mulanya aku keliru juga kenapa kaki ayah membengkak tiba-tiba macam tu. Rupanya, selepas ditahan dan dijalankan pemeriksaan yang lebih lanjut, saluran darah pada kaki ayah sebenarnya tersumbat.

Darah terlalu pekat.

Itulah puncanya. Darah ayah terlalu pekat. Akibat mengelak dari makan ubat cair darah, akhirnya kaki terpaksa menanggung bengkak. Kasihan ayahku. Sedih juga dengar dia di wad ketika telah seronok menyambut Ramadhan ni. Terasa terbantut rasa. Aku pun jadi risaukan mak yang setiap hari berulang-alik menjenguk ayah. Tahu sajalah mak. Lututnya sendiri sakit tak sudah-sudah. :( Hmmm... ayah tak bagi sesiapa temankan dia. Dia tak mahu susahkan orang. Aku tahu perangai ayah. Memang selagi boleh tak nak menyusahkan sesiapa.

Hujung minggu ni aku akan pulang ke kampung bersama Along dan Kak Long. Kak Long sedang memikul berita gembira. Alhamdulillah. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya dan Along. Kawan-kawan, mohon doakan bersama ya? Semoga rahmat ALLAH SWT akan kekal berpanjangan. Terima kasih. Mohon doakan juga ayahku akan lekas sembuh dan dapat bersama kami meraikan Ramadhan dan Syawal ini. Sebagai hamba-NYA, aku redha dan hanya mampu berdoa yang baik-baik sahaja.

Amin.

Thursday, July 26, 2012

Kifarah ~ Diari Ramadhan 2


SEMALAM adalah hari ke6 berpuasa. Aku hanya mampu bekerja separuh hari. Hidung terlalu perit dan tekak terlalu sakit. Selepas buat muka kasihan pada HR, aku bergegas ke klinik berhampiran. Doktornya lucu, menyebabkan aku mengambil keputusan untuk mengulang datang di lain kali.

Seperti yang sudah aku jangka, terdapat jangkitan di En. Kerongkong. Katanya mungkin aku ada termakan sesuatu yang gatal / pedas / masam @ jeruk / MSG / terlalu panas. Itu yang menyebabkan tekak aku rupanya sudah luka. Tanpa aku sedar, aku juga rupanya demam. Dia menasihatkan aku supaya berbuka dan banyakkan minum air sejuk. Berbekalkan antibiotik, paracetamol, loratadine, bromhexine, sejenis ubat berwarna maroon untuk dihisap, sekeping bil untuk claim dengan syarikat dan sekeping sijil sakit, aku pun menggagahkan diri balik ke rumah dengan kepala yang serba pening.

Berbuka?

Oh, tidak! Jam telah menunjukkan pukul 1.30 tengah hari. Tak mungkin aku nak berbuka. Suhu badan yang demam sangat merimaskan. Aku pun ke bilik mandi dan mandi. Hahaha. Usai mandi, aku rebahkan badan ke tilam yang serba empuk lalu tertidur pulas. Aku terjaga pun hanya pada pukul 6.00 petang. Sekali lagi aku mandi dan kemudian menggagahkan diri berjalan membeli juadah berbuka. Memandang En. Doktor sudah berpesan, maka aku tabahkan hati dan tahan diri daripada membeli sayur keladi asam pedas yang kelihatan sungguh-sungguh enak. Akhirnya, aku beli nasi bersama sayur masak lemak bersama seplastik air mata kucing yang sangat-sangat sedap.

Alhamdulillah. Hari ni demam aku dah kebah. Tapi masih bersisa perit di tekak dan badan terasa sangat lesu. Haizz... semoga Tuhan memberikan aku banyak kesabaran untuk menghadapi dugaan ini. Sekejap lagi nak menunggang ke Putrajaya. Aduhai... tak terdaya rasanya. Semoga aku dapat bertahan.

Amin.

Tuesday, July 24, 2012

Negatif


TAK TAHU nak cakap macam mana. Haizzz... sejak semalam sehingga membawa ke hari ini, aku berasa terlalu sedih. Sedih apabila orang terlalu mudah salah faham dengan apa yang aku buat dan cakap. Kadang-kadang kita ketawa sebab rasa lucu bila seseorang itu berkata sesuatu, tapi dia terasa yang ketawa aku adalah menyindir dia. Kadang-kadang kita puji seseorang tu, tapi dia terasa pujian kita adalah sindiran sebab kita cemburu.

Haizzz...

Mengapa pemikiran sesetengah orang boleh jadi begitu negatif? Kalau kita bagi komen yang membina, dia anggap kita nak menjatuhkan dia. Kalau kita bagi cadangan baik pulih sistem kat tempat kita kerja, dia anggap kita kata dia tak tahu buat kerja selama ni. Aduhai. Janganlah begitu negatif.

Aku terasa sedih, apabila kata-kata aku disalah erti, dan dinilai serong. Aku bukan berkata-kata mengikut rasa atau sekadar suka-suka. Sebelum aku buka mulut, aku dah fikir hal ini selama berminggu, semasak-masaknya aku kira. Aku juga tanyakan pandangan orang yang layak. Ini adalah kata-kata yang sudah ditimbang tara. Sudah dinilai buruk baiknya. Aku sungguh-sungguh sedih. Bukan aku beremosi, namun terasa juga diri ini seperti langsung tak dihargai.

Aku berterima kasih kerana masih ada orang-orang yang mengerti dan cuba membantu serta memberikan kekuatan. Alhamdulillah. Aku tak sendirian dalam hal ini. Syukur. Mungkin ini adalah dugaan bulan puasa. Siapa tahu apabila semuanya selesai, ALLAH akan memberikan yang baik-baik buat aku. InsyaAllah. Mudah-mudahan. Kalau pun usaha ini bakal tidak berhasil, mungkin ALLAH menangguhkannya terlebih dahulu untuk menguji sabar aku. InsyaAllah, aku akan bersabar.

Aku berharap... dan kalau harapanku tak kesampaian, tiadalah aku berpatah hati melainkan sabar juga. Andai kata tiada hari ini, mungkin esok akan ada. InsyaAllah. Doa. Itu yang termampu untuk aku lakukan.

Semoga sinar Ramadhan akan terus menyuluh jalanku. Amin...

Friday, July 20, 2012

Puasa ~ Diari Ramadhan 1


ASSALAMUALAIKUM! Hah, tiba-tiba aku rasa pulak bagi salam. Selalunya main redah saja. Huhuhu. Bukan apa, katanya Ramadhan ni lebih menuntut kita memesrai perubahan kepada kebaikan. Jadinya salam ku hulur tanda muafakat. Alhamdulillah. ^_^

Hari ni hari pertama berpuasa, jadinya lemaulah sedikit. Aku memang akan lemau sekitar 2, 3 pertama. Lepas masuk hari ke4 barulah semuanya akan kembali normal. Itu biasa. Luar biasanya, aku kena jaga pemakanan supaya dapat berpuasa dengan cemerlang. Kalau tidak, alamatnya En. Gastrik akan mengganas dan melancarkan perang di dalam perut saya. Akibatnya, tentulah rancangan berpuasa penuh (kecuali ketika bulan merah) akan gagal secara total. Tahun lepas aku berpuasa hanya 14 hari. Sedih betul. 5 hari tinggal sebab bulan merah dan bakinya tinggal akibat serangan En. Gastrik.

Jadi! Dengan semangat yang berkobar-kobar, aku berazam penuh untuk berhati-hati dan menjaga pemakanan dengan sebaik-baiknya. Buat masa awal ni, aku akan lebihkan makan yang lembut. Bubur, nestum, oat dan sebagainya. Bila dah stabil ni baru akan makan nasi kembali. Huhuhuhu. Berusahalah! (semoga dapat turunkan berat badan yang menggila naik ni!)

Hari pertama puasa.

Aku ke rumah along di Putrajaya. Sajalah nak sambut puasa bersama adik-beradik. Kak long menghidangkan juadah istimewa, daging masak kicap untuk acara sahur. Sedap! Sejak kecil aku memang suka masakan yang berasaskan kicap. Tapi sayangnya, aku memilih menu selamat untuk sahur. Segelas Nestum + susu Anlene. Seperti biasa, diikuti dengan sajian ubat-ubatan bagi mengawal allergik dan gastrik. Sebiji kurma dan kemudian dua gelas air kosong. Wah! Kenyang.

Sekarang ni, tengah hari. Jadinya bersantai-santailah kami adik-beradik. Menjelang petang nanti barulah akan kembali sibuk di dapur. Bersibuk-sibuk untuk mengerjakan juadah untuk berbuka puasa. Asasnya ayam. Sekarang aku dengan kak long sedang berkira-kira untuk membikin apa. Ayam kari? Ayah gulai cili api? Ayam tomyam? Ayam sup berempah? Ayam kurma? Ayam panggang?

Wah! Wah!

Kecur pulak terasa air liur. Tak apalah, sekejap lagi tahulah kami mengerjakan awak, Encik Ayam. Huhuhuhu. Misi utama tahun ni, tiada bazar Ramadhan!

No... no... no!

Jangan pergi bazar Ramadhan demi untuk mengelakkan pembaziran, berjimat-cermat dan menguruskan badan. Harus sederhana. Aku bukan berangan nak badan macam Cameron Diaz pun. Cuma target nak turunkan 20 kg sahaja. Kembali ke berat badan asal aku dulu. Sekarang ni terasa berat sangat badan. Nak berjalan pun malas. Harap sangat menjelang berakhirnya Ramadhan, paling kurang pun mesti turun 5 kg. Paling-paling kuranglah tu. Kawan-kawan tolong doakan, ye?

Huhuhu. Baiklah, selamat berpuasa dan berbuka kepada semua! Semoga berhasil mendapatkan puasa yang sempurna.

Amin.

Thursday, July 19, 2012

730 dan Ramadhan


ADA dua perkara yang ingin diperkatakan dalam entri kali ini. Perkara yang pertama adalah mengenai ulangtahun yang telah lewat dan perkara yang kedua adalah berkenaan Ramadhan yang bakal menjelang.

730,
Telah beberapa hari berlalu semenjak ulangtahun ke2 mencintai dan dicintai oleh Si Bulat. Tak ada yang berubah. Alhamdulillah, aku masih bahagia dan masih cuba untuk membahagiakan. Aku cuma ingin mengucapkan terima kasih buat Nor Azahar Md. Nor kerana masih sudi meraikan jiwaku dan berkongsi bulan dan malam yang sama. Aku sangat menghargai setiap detik dalam 730 hari ini. Anda adalah laki-laki yang aneh, Si Bulat. Aneh kerana masih sudi bersama saya dan menelan segala rasa sakit ini. Semoga kita akan terus bersama, bercinta dan berbahagia sehingga ke akhirnya. Mudah-mudahan....

Ramadhan,
Esok adalah 1 Ramadhan 1433H. Alhamdulillah, ALLAH SWT masih memberi izin untuk aku bernafas dan meraikan ketibaan bulan yang penuh barakah ini. Syukur. Seakan punya magis, setiap kali Ramadhan menjelang, seluruh jiwa rasa aku akan mula berasa tenang. Seolah-olah segala permasalahan yang memberat di pundak ini hanya sekecil sayap nyamuk (SM Zakir, Panggil Namaku Izrail). Tiada bulan yang semurni bulan Ramadhan. Bayunya terlalu menyamankan. Aku berasa terpujuk.

Salam ulangtahun, kekasihku. Salam Ramadhan, seluruh umat Islam. Semoga berpuasa dapat menjernihkan jiwa dan semoga kita semua berhasil mencicip rahmat dari barakah Ramadhan yang mulia.

Amin.

Tuesday, July 10, 2012

Dandelion [Part 7]


WULAN CITRA EKA WIJAYA SARI adalah satu-satunya pewaris kepada Wilayah Timur yang terletak di bawah jajahan takluk Sang Bangsawan. Selepas bertahun-tahun menikahi Anggun Dewi, sang suri permaisuri, barulah mereka isteri suami dirahmati dengan seorang puteri, pewaris kepada negeri. Lebih penting, pewaris kepada leluhur bangsawan mereka. Sang Bangsawan bukanlah orang yang paling cerewet sebenarnya. Dia sendiri hanya berhasil menikahi Anggun Dewi selepas melalui satu sejarah yang panjang. Anggun Dewi adalah pilihan hati dan dia mencabar segala takdir yang menuntut dia menikahi sepupunya sendiri, Avara Sigarlaki.

Avara Sigarlaki.

Wanita yang telah dipilih dan ditakdirkan untuk menjadi Ratu Wilayah Timur. Tetapi masakan Sang Bangsawan mampu melawan kata hati. Dia telah lama ditewaskan senyuman Anggun Dewi. Untuk manis senyum itu, dia bertindak memutuskan pertunangan dan nyaris kehilangan takhta. Sang Bangsawan terpaksa bertarung bermati-matian untuk mempertahankan haknya. Dan dia menang. Selepas pernantian bertahun bersilih ganti, akhirnya Anggun Dewi berhasil memberikan dia waris, bagi menyambung dan memelihara hak yang telah dipertahankan dengan nyawa dan darah.

Sayang seribu kali sayang, Avara ternyata adalah wanita pendendam yang penuh sihir. Lahirnya Wulan membawa petaka bersama. Anggun Dewi menghembuskan nafas terakhir sesudah menatap wajah sang puteri. Avara langsung muncul dengan penuh gaya, melemparkan sumpahan yang telah dikarang semenjak berkecainya ikatan pertunangan antara dia dengan Sang Bangsawan. Kerana itulah.

Kerana Sumpahan Avara Sigarlaki itulah.

Sang Bangsawan tidak lagi berani mengulang sejarah. Dia tahu, merestui pernikahan di antara Wulan dengan Gisher hanya akan mengundang dendam Enu Juarsa. Dia sedikit bernasib baik kerana Avara adalah sepupunya, sama-sama penakluk Wilayah Timur. Dendam Avara hanya meracun dan memusnahkan jiwa milik dia. Tetapi dendam Enu Juarsa pastilah akan membawa petaka dari Selatan bersama. Sang Bangsawan tidak mampu menjadi pementing diri sendiri. Dia sayangkan warisannya. Sayangkan rakyat jelatanya. Dia tidak mahu peperangan meletus hanya kerana cinta.

Sang Bangsawan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia hanya berdoa dan berharap supaya Enu Juarsa mampu menewaskan Gisher. Bukan dia benci pada anak muda itu. Tidak! Dia jelas tidak berdaya. Takdir menghadapi rakyat jelata dan para kerabat telah menewaskan dia sebagai ayah dan laki-laki. Tidak mampu dia merestui pilihan anak gadisnya kerana dia terikat dengan sejarah. Terikat dengan norma kehidupan yang tidak biasa menerima orang kebanyakan untuk diserap masuk ke dalam keluarga bangsawan. 

Enu Juarsa.

Lelaki itu adalah putera bongsu kepada Raja Wilayah Selatan. Bukan pewaris takhta namun telah dewasa dalam mengenal selok-belok urusan istana. Sungguh padan menjadi pemerintah selepas Wulan ditakhtakan kelak. Elok. Tidak terdaya dia menerima keluarbiasaan dan menolak kelaziman. Sungguh Sang Bangsawan berharap Tuhan akan memakbulkan doa yang sedang dipanjatkan ke langit. Semoga Enu Juarsa berhasil menewaskan anak muda dari Utara itu.

Sang Bangsawan menyimpan sedikit ragu sebetulnya. Dia tahu asal-usul Gisher. Anak muda itu ternyata bukan calang orang. Kegagahan dan keberaniannya bukan sebarang tandingan. Dia menjadi orang suruhan di istana itu pun hanyalah kerana takdir. Jika tidak, pasti Gisher antara kesatria yang sedang gagah mempertahankan Wilayah Utara pada tika ini. Cuma Gisher bukan waris yang sah. Si Panglima, ayahanda Gisher telah menikahi wanita sebarangan. Bukan seketurunan. Gisher tidak diterima untuk menyambung warisan Si Panglima.

Oh, Sang Bangsawan semakin resah! Terasa terlalu lama masa berjalan. Detik demi detik terasa begitu menyeksakan. Andai Gisher berhasil menang, bagaimanakah nanti pendiriannya kelak? Mampukah dia benar-benar mengusir Wulan pergi? Mampukah pula dia berpisah dengan satu-satunya kenangan dia bersama Anggun Dewi? Siapakah kemudiannya yang mahu mewarisi  takhta Wilayah Timur sesudah Wulan terusir pergi?

Oh!

Adakah esok akan berbaik hati...?

Tuesday, July 3, 2012

Mati

Ehsan Google
KALAULAH ditakdirkan korang dapat tahu yang korang akan mati esok, apa yang korang nak buat hari ni? Soalan ni bukan absurb. Ia tidak berbunyi 'korang akan mati esok, jadi apa yang korang nak buat hari ni?'. Ia dengan jelasnya menanyakan perihal 'kalau'.

Kalaulah kita akan mati esok, apa agaknya yang kita nak buat pada hari2 terakhir kita bernafas ni...? Untuk aku, tak ada apa lagi sebenarnya yang aku nak buat. Aku akan pergi kerja macam biasa, minta maaf, ucapkan selamat maju jaya dan kemudian selamat tinggal kepada rakan-rakan di pejabat. Balik dari kerja, aku akan ke BB, beli donut Big Apple. Kemudian makan sambil membuat panggilan kepada mak, ayah, adik beradik. Sama, minta maaf, ucapkan selamat maju jaya, selamat tinggal dan beritahu yang aku amat sangat sayangkan mereka. Kemudian aku akan hubungi teman-teman paling rapat terutamanya Jiha dan anak comel kami, Hadiff. Ucapkan semua perkara yang terbaik dan semoga Hadiff akan membesar sebagai seorang pemuda yang serba mengerti.

Sebenarnya, buat masa ni aku tak ada kekesalan dalam hati. Kalau benar aku memang ditakdirkan untuk mati dalam tempoh terdekat, rasanya tak ada benda yang nak aku kejarkan. Mati sajalah. Cuma terasa ralat kerana aku masih belum menjadi muslimah yang sejati dan anak yang membalas budi.

Pada adikku, Mifdhal, aku sudah berpesan. Dia, mak, ayah, along, kak long, Arrif boleh memilih dan memiliki judul yang mereka sukai dari rak harta karun yakni buku-bukuku sebagai kenang-kenangan tapi tak boleh terlalu banyak. Bukan kedekut, tapi aku sudah berhasrat akan mendermakan bakinya kepada perpustakaan pendalaman yang kekurangan bahan bacaan. Hanya buku-buku itu harta yang aku ada. Kalau ada duit ringgit aku berbaki dalam simpanan, aku minta diserahkan kepada mak dan ayah. 

Kalau ada hutang piutangku yang masih belum lunas, aku minta halalkan. Kalau tak sudi tak apalah, kita bertemu di akhirat nanti. Jangan minta pada keluarga aku. Jangan susahkan mereka. Jangan. Selagi aku hidup ni, mari tuntut dengan aku. Barangkali aku sudah lupa. Rasanya tak ada. Tapi jangan risau, kalau ada mari. Begitu juga dengan dengan permohonan maaf aku. Aku memohon maaf sekiranya ada menyinggung sesiapa. Kalau tak sudi dimaafkan, tak apa. Aku tak berkecil hati. Sama-sama kita selesaikan di akhirat sana.

Bagi aku sendiri, aku maafkan segala salah dan silap sesiapa juga terhadap aku. Kalau ada yang sudah terlupa atau si peminjam tak sudi nak pulangkan, aku juga halalkan semua hutang-piutang sesiapa saja yang pernah berhutang dengan aku. Cuma satu saja yang aku tak mampu nak lepaskan. Untuk sesiapa yang pernah menipu aku, berjanji palsu dan bermain kata dengan aku, itu semua aku tak lepaskan. Setiap huruf yang keluar sama ada melalui kata-kata atau tulisan, aku akan tuntut semuanya di sana kelak. 

Untuk dia, apa yang boleh aku katakan? Aku mencintai dia dengan setulus rasa yang ada. Aku juga bermohon maaf kerana pergi sebelum menjadi yang halal untuknya, melahirkan warisnya dan memberikan sebuah keluarga yang pernah aku janjikan. Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril adalah untukmu.

Apa lagi yang boleh aku katakan. Kalau ditakdirkan ALLAH SWT telah menentukan aku akan mati, maka matilah aku. Aku cuma berdoa semoga kematian aku tidak akan begitu menyakitkan orang-orang yang menyayangi aku.

Amin...

Monday, July 2, 2012

Red Velvet dan Coke

Gandingan mantap. ^_^
SEMALAM aku ke Shah Alam Convention Centre (SACC). Bagi sesiapa yang tak tahu tu, di sana sedang berlangsungnya Pesta Buku Selangor 2012. Maklum sahaja, berkerja di syarikat penerbitan buku memestikan aku untuk peduli tentang acara-acara seperti ini (kalau tak kerja di sini pun, aku memang sentiasa peduli dengan acara buku). Huhuhuhu. Tangkapan di SACC boleh tahan walaupun tak sehebat tangkapan di PWTC. Lepas ni kena ikat perutlah aku memandangkan bajet makan dah lebur ke buku. Antara yang menarik sempat aku rembat ialah Perempuan Nan Bercinta, hasil air tangan Faisal Tehrani. Al-kisah tanpa aku sedari, koleksi FT hampir penuh dalam simpanan. Huhuhu.


Apa yang aku nak cerita sebenarnya ialah, dalam melayari kesibukan berpesta buku, aku terduduk semeja dan terberkongsi cerita bersama salah seorang teman buku Bos Kecik. Act, aku ke Shah Alam pun memang bersama Bos Kecik. Sambil bekerja, dia nak jumpa teman bukunya itu. Secara tak langsung, aku pun berjumpalah juga. 


Aku akui, aku mudah skeptis dengan orang yang baru pertama kali aku jumpa. Mula-mula nampak si manis Aira Aliff ni, aku fikir dia adalah tipikal perempuan yang hanya suka bergolek dengan buku-buku cinta (huhuhu, maaf. Aku berjujur). Rupanya sangkaan aku meleset jauh. Semasa sedang menikmati sepotong Red Velvet bersama segelas coke, kami mula buka cerita. Macam-macam cerita. Bermula dengan mengapa buku-buku DBP tersidai di stor, ke mana halatuju buku-buku ALAF 21 (yang menurutnya lebih berfokus kepada penulis yang ada nama sahaja), membawa kepada ketidakstabilan gaya bahasa di dalam buku-buku sesetengah penerbit seperti FIXI dan CREATIVE sehingggalah kepada kualiti buku-buku yang diterbitkan oleh BUKU PRIMA dan FAJAR PAKEER.


Teruja.


Rasanya sudah lama aku tak bergebang bincang sehingga bergegar meja ditepuk oleh gelak tawa kami. Habis cerita buku, Aira tersasul kepada drama tempatan dan artis-artis Malaysia terkini. Kami sama mengumpat tentang bakat vs kontroversi. Entah macam mana, gebang kosong kami sempat melarat hingga ke kancah politik. Tambah bersemangat dan berpeluh-peluh kami mengupas antara lain kebodohan wartawan dan kedangkal-dunguan para artis yang membicarakan tentang Hukum Hudud, terbabas ke isu air di Kelantan sehinggalah tenggelam sekejap dalam arus ISA dan PRU 13.


Sudahnya, kami bersurai dan mengucapkan selamat tinggal dengan perut yang kenyang terisi Red Velvet yang lemak manis, Coke yang bakal meracuni pembuluh darah dan isu-isu semasa yang hangat.


Selamat berjumpa lagi, Cik Aira yang manis. Anda mengujakan petang lemau saya.